Pages

Thursday, December 31, 2009

Selamat Pengantin Baru

Maria tersenyum menerima e-mel daripada Leena, sahabatnya di Tanjung Malim. E-mel yang dinanti-nantikan sejak menerima kad undangan perkahwinan Leena.

'Maria, sebagai menghargai persahabatan kita dan untuk berkongsi kebahagiaan yang sedang aku lalui, kutitipkan beberapa keping gambar pernikahanku yang berlangsung kelmarin. Doakan kebahagiaan itu milikku sepanjang hayat.'

Ungkapan ringkas itu dibalas seringkasnya oleh Maria. Dia mengambil masa hampir 30 minit untuk melihat gambar-gambar pernikahan Leena. Semoga Leena lebih bahagia dengan pilihannya. Tahniah, dan selamat pengantin baru.

Wednesday, December 23, 2009

Umur Sekadar Angka

Kedai buku yang tidak begitu popular di kawasan kediaman Maria menjadi destinasi terakhirnya sebelum pulang ke rumah. Diari 2010 dibelek-belek. Memilih yang terbaik untuk digunakan bagi hal-hal rasmi dan peribadinya kelak. Jika hendak diharapkan diari kerajaan atau diari 'sponsor' alamat...sedikit terganggulah perjalanan projek baru yang telah dirancangnya.

Antara sedar dengan tidak, tahun hijrah sudah berganjak. Dan tinggal beberapa hari sahaja lagi, masihi akan mengorak langkah seterusnya. Diam tak diam, umurnya juga semakin meningkat. Maria melakarkan senyuman paling manis, tatkala wajahnya bertembung dengan cermin besar di kedai buku tersebut. 'Ah, masih vouge lagi!' detik naluri wanitanya sambil membetul-betulkankan tudungnya yang sudah sedia terletak elok. Sengaja menyedapkan hati sendiri. Peningkatan usia bukan halangan untuk Maria kekal cergas. Perubahan fizikal sudah tentu akan mengundangnya. Namun, masih belum terlambat untuk menyekat anjakan perubahan fizikalnya. Maria masih bertenaga melaksanakan tugas-tugas rasmi pejabat. Ideanya masih segar. Matanya masih tajam mencari silap dalam setiap manuskrip yang ditangani. Rutin harian di rumah juga masih mampu dilaksanakan tanpa bantuan pembantu rumah.

'Aku masih mampu mengandung lagi apaaa...,' bisik hatinya lagi sambil jari jemarinya ligat menyelak majalah Mum's di rak kedai buku tersebut. Geli hatinya membaca artikel tentang wanita yang mengandung dalam usia lewat 40-an.

'Teknologi semakin canggih. Lepas pencen pun perempuan sekarang boleh mengandung lagi, asalkan belum menopause!' monolognya semakin jauh. Fikirannya melayang-layang walaupun matanya setia menatap majalah ringan di hadapannya.

'Ah, umur sekadar angka. Peningkatannya harus seiring dengan amalan di dunia untuk bekalan di akhirat.'

Maria melangkah keluar dari kedai buku dengan sebuah diari perancangan tahunan dan sekeping kalender meja yang diperoleh secara percuma. Dengan penuh tekad, Maria merenung langit yang semakin gelap. Setiap hari merupakan hari yang perlu dibaiki. Tidak perlu tunggu tahun baru untuk meningkatkan kualiti diri. Selamat tahun baru!

Monday, December 21, 2009

Hari-hari Terakhir Cuti Sekolah

"Ok...Everbody! Makan time! Wash your hands and sit down!" Maria mengeluarkan arahan. Anak-anaknya Zaiqel dan Zurin berlari merebut tempat makan dituruti sepupu mereka yang lain, Isac, Muza, Syirah dan Qaan. Mereka merupakan anak-anak saudara Maria yang umurnya lebih kurang sebaya dengan anak-anak Maria. Minggu-minggu terakhir cuti sekolah, mereka tinggal bersama-sama keluarga Maria.

"Hari ni Mak Long masak ikan pari bakar dan sup cendawan! Makan puas-puas! Siapa makan tak habis, kena denda basuh pinggan!" keenam-enam mereka memandang Maria hampir serentak. Mata mereka terbeliak.

"Apa??? Basuh pinggan? Oooohhh...no!" Qaan, anak saudaranya yang paling kecil menggeleng-gelengkan kepala. Maria tersenyum. Isac mengetuai bacaan doa. Mereka makan dengan tertib walaupun nampak terlalu lapar. Sambil mendukung si kecil, Maria menuang air oren di gelas masing-masing. Dia melayan mereka bagai anak sendiri. Dia senang dengan keriuhan yang dicipta mereka. Bukan selalu rumahnya gamat dengan suara kanak-kanak. Sesekali kelihatan mereka berebut makanan yang terhidang. Sesekali mereka bergurau ketawa terbahak-bahak. Sesekali mereka tersedak kerana makan agak gelojoh. Sesekali mereka mengerling ke arah Maria yang memerhati mereka makan.

"Selesai makan...solat zuhur terus. Jangan berebut bilik air. Hari ni Zaiqel jadi imam,"

"Eh, semalam abang dah jadi imam. Hari ni Isac pulaklah!" Zaiqel cuba mengelak.

"Eh, apa salahnya hari-hari kau yang jadi imam," balas Isac.

"Eh, kaulah pulak. Bapak kau ustaz kan? Lebih besar pahala kita kalau kau yang jadi imam!" Zaiqel seboleh-boleh mengelak. Kunyahan Isac terhenti dengan bicara Zaiqel. Mukanya berkerut.

"Oklah! Sebab dapat pahala besar, biar aku yang jadi imam." Isac termakan dengan kata-kata Zaiqel. Maria tersengih mendengar ulah anak-anak kecil di depannya. Senang hatinya dengan anak-anak yang mendengar kata. Cuma yang Maria pening, rumahnya tonggang-langgang dengan permainan dan segala macam perkakasan. Dia sering berdoa agar tiada tetamu yang datang tika rumahnya bergelandangan. Lantai yang telah dimop kembali kotor dengan bekas tapak kaki mereka. Mereka keluar masuk rumah tanpa memikirkan kebersihan diri. Baju yang berbau hapak dicampak sesedap hati di depan mesin basuh. Cekera padat bersepah-sepah di bawah rak televisyen. Komputer terbiar bernyala tidak digunakan. Sinki penuh dengan cawan. Pun begitu Maria tidak mengeluh. Dia tahu perangai anak-anak kecil. Sesekali dia menegur juga perangai mereka yang tidak tertib sebagai pendidikan dan ilmu yang perlu diamalkan supaya mereka lebih berdisiplin.

Menjelang petang mereka akan berbasikal ke taman permainan kanak-kanak. Jaraknya cuma 100 meter dari rumah Maria. Maria membekalkan kepada mereka beberapa botol air mineral untuk menghilangkan dahaga. Anak-anak alaf baru tidak bermain seperti dia pada zaman kanak-kanaknya. Mereka tidak mengenali batu seremban, teng-teng, peluk tiang, dan pelbagai lagi permaianan lama. Yang mereka tahu mengayuh basikal sehingga lewat petang, menghadap komputer untuk bermain 'game', menekan PS2 mengikut giliran, dan membina lego dengan reka bentuk yang pelik-pelik.

"Balik sebelum magrib tau," pesan Maria sambil menutup pagar utama. Dia berdoa agar anak-anak itu sentiasa dalam lindungan Tuhan. Selamat hendaknya.

Friday, December 11, 2009

Mas Kahwin

"Kerajaan Antaboga telah meningkatkan kadar mas kahwin sebanyak 200%."

"Wow! Berita ni mengejutkan. Kenapa mesti naikkan jumlah mas kahwin? Tak patut...tak patut...," suami Maria menggelengkan kepala mendengar berita di kaca televisyen. Sambil menjamu juadah makan malam bersama keluarga, mulutnya tidak henti-henti bercakap.

"Habislah...semakin ramailah orang yang tak kahwin. Lebih teruk, semakin ramailah anak dara tua!" mulutnya menceceh lagi sambil mencubit ikan goreng di depan mata. Maria yang duduk di sebelahnya mengerutkan muka. Pelbagai persoalan timbul dalam benaknya. Bukan semata-mata tentang kadar baru mas kahwin sebanyak 300.00 yang baru diisytiharkan, tetapi tentang kecamuk fikiran suaminya.

"Aik? Abang pula yang tak puas hati? Abangkan dah kahwin!" Maria melahirkan ketidakpuasan hatinya.

"Memang abang dah kahwin...tapi abang 'belum kahwin lagi...'!" jawab Hadi selamba. Biji mata Maria terbeliak.

"Apa? Belum kahwin lagi???"

"Yalah...dah kahwin, tapi belum kahwin lagi! Tak faham? Kerja kat Dewan Bahasa pun tak faham bahasa?" jerkah Hadi tersenyum-senyum. Laju sahaja cubitan Maria singgah di peha suaminya. Gatal! Getus hatinya. Hadi menggosok-gosok pehanya. Tersengih!

"Tapi, abang tak setujulah mas kahwin tinggi-tinggi," sambung Hadi lagi. "Untung saya, bayar 22.50 saja! Sepatutnya negeri Antaboga tu kena mencontohi kerajaan Hujung Tanah ni! Yang dok pandai-pandai naikkan kadar tu buat apa? Banyak lagi masalah lain tak selesai. Tak cerdik langsung!"

"Harga barang dah naik sekarang, bang. Mas kahwin pun kena meningkat jugalah," ujar Maria sambil menuangkan air ke dalam gelas Hadi.

"Sebab harga barang naiklah, mas kahwin sepatutnya semakin rendah! Isteri yang nak dikahwini tu, bukan barang dagangan!" bantah Hadi.

"Kadar 300.00 tu untuk negeri Antaboga sajalah, bang...,"

"Ya, abang tahu. Tapi, sebaik-baik perkahwinan ialah serendah-rendah mahar. Itu sabda Nabi tau, bukan kata abang." Hadi bangkit dari tempat duduk. Mengelap tangan dan mulutnya. Dia mencapai alat kawalan jauh televisyen. Menukar siaran lain. Berita di kaca televisyen belum pun selesai. Isu mas kahwin sedikit sebanyak membuatkan mood menontonnya berkurangan.

Thursday, December 10, 2009

Seloka Bola

"Musim bola sama macam iklim khatulistiwa. Bola di hutan hujan tropika tidaklah hebat seperti iklim empat musim di Eropah. Anak bujang aku, memang gila bola. Pagi-pagi buta bangun tengok bola. Tengah-tengah malam terpekik seorang diri menonton bola. Suamiku pula, tak layan bola. Katanya bola itu bulat. Bukanlah hebat dan menyengat. Pergerakannya sering tersekat-sekat, walaupun bola itu bulat.

Dulu, aku minat bola. Bila tengok bola boleh hilang stres. Itu pasallah kerja rumah tak habis-habis! Selalu kena 'sound' dengan mak ayah, 'apaaa perempuan tengok bola?' Sekarang, tiada masa tengok bola. Tapi aku tetap suka dengan bola. Ada masa sedih dengan senario bola. Ada masa suka dengan bola Eropah. Ada masa pening dengan kerenah bola. Ada masa senyum sahaja melihat Viantiane dan bola."

Maria keluar daripada blognya. Catatan terbaru dalam blognya ringkas sahaja, namun punya makna dan maksud yang tersendiri.

Tuesday, December 8, 2009

Cintanya Bertaut Jua ( 2 )

'Maria...pada awalnya aku malu dengan perkahwinan ini. Bukan kerana mahu menyalahkan takdir, tetapi aku berasakan seolah-olah diri ini sudah tiada pilihan lain. Tetapi, Tuhan Maha Mengetahui. Aku terima seadanya dia. Aku berkahwin dengan seorang duda beranak empat. Usianya 14 tahun lebih tua daripada aku. Sangat matang! Aku bersyukur dipertemukan dengannya. Ramai dalam kalangan teman-teman kita mengatakan bahawa aku sungguh beruntung kerana 'beli satu percuma empat'. Suamiku orang Pulau Mutiara. Bekerja di Proton dan kini kami menetap di Tanjung Malim. Maria, terima kasih kerana mengambil berat hal aku. Dan, aku harap segala persoalan yang diajukan telah kujawab. Salam untuk sahabat-sahabat di sana - Leena.'

Maria menarik nafas panjang. Senyumannya masih menghiasi bibir. Maria terbayang seri wajah Leena yang masih baru bergelar isteri. 'Semoga kau berbahagia,' bisik Maria setelah menamatkan bacaan e-mel tersebut. Maria mengakui bahawa Leena bukanlah pemilih orangnya. Jodohnya yang lewat bukan kerana dia memilih, tetapi Tuhan belum mempertemukan dia dengan insan yang sesuai dengannya. Ramai lagi teman-teman Maria yang masih membujang baik lelaki mahupun wanita. Mereka bukan tidak mahu berkahwin, tetapi jodoh mereka 'liat'! Ada juga dalam kalangan teman-teman Maria yang sudah beberapa kali mandi bunga...tetapi masih tidak berkahwin.

Jodoh, pertemuan, ajal, maut, dan rezeki semuanya Tuhan yang menentukan. Sebagai hamba yang beriman mesti berusaha memdapatkannya. Tiada yang datang bergolek depan mata!

Maria tersenyum sendirian. Ingatannya kuat terhadap Leena. Teringat Leena yang suka menyanyi. Suaranya boleh tahan lunak! Jika dipuji, lagi kuat nyanyiannya. Leena memang suka menyanyi di dapur. 'Patutlah kau dapat suami ala-ala Datuk K!' Maria bersuara sendiri. Hanya tembok, dinding dan bumbung yang menjadi saksi ungkapannya.

Friday, December 4, 2009

Cintanya Bertaut Jua

Lewat petang setelah pulang daripada melaksanakan urusan rasmi di ibu pejabat Kuala Lumpur, Maria menatap komputer riba suaminya. Hadi yang kepenatan kerana menemaninya sepanjang perjalanan, lena di ruang tamu. Anak-anak sibuk berbasikal bersama anak-anak jiran. Selagi tidak hujan, mereka tidak akan bertandang ke rumah masing-masing. Selagi tidak ribut, mereka akan mengelilingi dunia mereka. Selagi tidak tsunami, mereka akan terus menongkah pawana petang.

Maria duduk membaca e-mel. Sewarkah e-mel daripada seorang teman yang sangat akrab dengannya suatu waktu dahulu, membuatkan dia tersenyum. Girang.

'Maria...sememangnya aku berazam untuk menamatkan zaman bujangku pada tahun ini. Aku nekad. Aku berdoa. Tapi, aku tidak tahu dengan siapa? Allah menentukan jalanku, Maria. Seperti yang pernah kau katakan, reda dan bersyukurlah dengan ketentuan-Nya. Aku terima lamarannya Ramadan yang lalu. Kami bertunang, sebulan kemudian. Dan sempena Aidiladha yang lalu, kami diijabkabulkan. Cuti Krismas nanti, kami akan mengadakan walimatul urus serentak dengan saudara lelakiku. Maria, terima kasih atas semangat dan doa-doa kau. Aku bahagia. Salam untuk teman-teman di sana. LEENA.'

Leena, sahabat karib Maria sudah selamat menjadi isteri orang. Sekalipun agak lewat, namun jodohnya sampai jua. Tuhan lebih tahu. Maria menaip satu persatu aksara di kekunci komputer ribanya. Membalas e-mel tersebut dengan doa dan harapan. Leena yang dikenalinya, seorang gadis periang. Hatinya penuh dengan kasih sayang. Jiwa wanitanya lembut. Leena seorang yang puitis dan kreatif. Sering membantu dan sangat peramah.

Maria menekan butang 'send' lalu menutup komputernya. Tiada yang lebih menggembirakannya pada hari itu melainkan apabila membaca berita perkahwinan Leena. Selamat berbahagia!