Pages

Tuesday, August 13, 2013

Sesak Raya

Asal tiba musim perayaan besar seperti Aidilfitri, jalan raya pastinya akan mengalami kesesakan melampau. Kebanyakan mereka mengambil peluang menyambut hari raya bersama-sama keluarga di kampung dan yang paling pasti selain bas, kereta menjadi pilihan utama. Itulah faktor utama yang menyumbang ke arah kesesakan. 

Tahun ini, adik-adik dan adik-adik  ipar aku pulang ke kampung mentua masing-masing. Destinasi mereka Kuala Lumpur, Pontian, Melaka, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak. Amboi...semua kahwin dengan orang jauh! Aku juga yang masih selamat dan jimat. Berkahwin dengan orang setempat tidak memaksa aku berbelanja besar untuk mengadakan peruntukan minyak kereta, bajet tol, servis kenderaan dan lain-lain kos yang berkaitan dengan perjalanan jauh. Suami pula bukan suka meredah jalan raya saat perayaan besar begini. Jadi, kami mengunjungi saudara-mara yang terdekat sahaja. Yang menjadi keutamaan kami ialah saudara-mara yang berpangkat bapa dan mak saudara, datuk dan nenek saudara dan sepupu sepapat. Sekurang-kurangnya pertemuan setahun sekali ini mengeratkan persaudaraan kami. 

Mengharungi kesesakan lalu lintas boleh mendatangkan stres bukan sahaja kepada pemandu, tetapi juga kepada para penumpang. Aku sendiri tak kuasa nak menempuh sesak di jalan raya terutamanya di laluan keluar setiap tol. Stres pula menyumbang kepada pelbagai penyakit. Itu yang sebenarnya nak aku elakkan. Sekali lagi aku bersyukur sebab berjodoh dengan orang dekat. Dengan anak-anak pun aku dah pesan 'kahwin dengan orang dekat jeee...'. Boleh gituuu??? Hahaha...

'Orang dekat' dalam erti kata jarak rumah orang tua masing-masing. Walaupun aku dan suami senegeri, tetapi hubungan keturunan kami amat berjarak. Aku berketurunan Jawa manakala suami pula panglima Bugis. Haaa...jauhhh tuuu susur galur keturunan kami. Itulah juga yang disarankan oleh agama. 

Suasana raya masih terasa walaupun sesetengahnya dah mula bekerja. Aku masih lagi bercuti. Masih ada lagi rumah yang teringin aku ziarahi. Salam lebaran 1434!

Monday, August 5, 2013

JPJ KERJA LEBIH MASA?

Semakin hampir umat Islam menanti kedatangan Syawal, semakin galak petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi besar-besaran. Aku perhatikan semakin kerap mereka mengadakan sekatan jalan raya di tempat-tempat dan pada waktu-waktu yang tidak munasabah.

Kalau pasukan trafik atau PDRM melakukan Ops Sikap untuk memantau pemandu yang melebihi had laju dan mencegah kemalangan yang meragut jiwa, aku tak kisah sangat. Itu salah satu usaha mereka menurunkan kadar statistik kemalangan jalan raya. Yang aku kisah sangat apabila JPJ 'sibuk' membuat sekatan jalan raya hanya kerana nak saman kenderaan yang melakukan kesalahan nombor plat tidak menepati spesifikasi, masalah cermin gelap, penggunaan lampu putih dan yang paling mengejutkan baru-baru ini seorang teman disaman kerana rim tayarnya yang diklasfikasikan sebagai tidak mengikut kesesuaian kenderaannya.

Aku pernah ditahan kerana nombor plat diperbuat daripada material kaca/cermin. Kononnya hal tersebut tidak dibenarkan kerana mengundang silau kepada pemandu lain. Wajarkan aku disaman? Tidak ada satu garis panduan pun yang dihebahkan oleh pihak JPJ tentang spesifikasi nombor plat, peratusan pemasangan cermin gelap, klasfikasi spot rim, dan penggunaan lampu putih (HID). Laman web JPJ agak tidak mesra pengguna. Sukar untuk mencari maklumat tentang perkara-perkara tersebut (apa yang boleh, apa yang tak boleh). Apabila pemandu memasang cermin gelap dikatakan peratusannya tidak dibenarkan kerana terlalu gelap. Sebenarnya banyak kenderaan yang memasang cermin gelap ala-ala kenderaan Yakuza Jepun terutamanya bagi kenderaan mewah dan kepunyaan VVIP/VIP. Pernahkah JPJ mengambil tindakan terhadap spesis ini? Saya percaya mereka bertindak 'pilih kasih' dalam melaksanakan tugas rasmi mereka (tolonglah ketepikan agenda politik dalam hal yang melibatkan undang-undang).

Laman web JPJ popular kerana orang ramai mudah menyemak jumlah saman. Sebelum kena saman (atas apa juga kesalahan) tidak ada maklumat terperinci tentang Garis Panduan Nombor Plat/Cermin Gelap/Tayar Spot Rim dan Lampu HID. Aku lebih suka JPJ 'menyerbu' permis perniagaan kedai aksesori kenderaan yang menjual dan memasang aksesori kenderaan sesuka hati mereka. Mungkin mereka pun tidak dimaklumkan dengan garis panduan JPJ, jadi sewenang-wenangnya mereka menjual dan memasangnya. Mereka terima untung, pemilik kenderaan terima bencana.

Masa nak raya inilah petugas JPJ semakin galak mencari 'side income' bagi mengisi Tabung Kecemasan mereka kerana pada hari-hari lain mereka nampaknya sekadar memeriksa dan memantau cukai jalan 'hidup atau mati'. Apa kata, mereka (penguat kuasa) JPJ diberi cuti raya yang lebih panjang daripada petugas JPJ di bahagian kaunter dan pentadbiran? Biarkan mereka bergembira bersama-sama ahli keluarga. Mereka pun manusia biasa yang sebenarnya bukan suka pun dikerah bekerja pada hari raya.

Salam Aidilfitri...maaf zahir dan batin JPJ!




Seketika di Pusaramu

Sebak mutiara jernih menghiasi sukma
berlagu dalam sendu dan pilu
moga tenang rohmu di sana
dihimpun bersama para solihin
anakanda tetap di sisi ayahanda
dalam doa dan solat

Redup awan memayungi umul kitab
saat kasih dan pahala diperturun
renyai hujan membasahi pusara
saat kaki melangkah meninggalkan alammu
salam Aidilfitri...