Pages

Monday, July 21, 2014

Raya 2014

Aidilfitri semakin mendekat. Ramadan sudah mula beransur meninggalkan umat. Malam Lailatulqadar masih terus dinanti. Berjaga malam setiap hari bukan jaminan bertemu dengan malam yang istimewa itu. Hanya Allah yang tahu segala rahsianya.

Semakin dekat dengan Syawal semakin hati tambah galau. Pertama, perasaan sayu mengenang insan-insan yang telah pergi membuatkan hati jadi gelisah dan sayu. Ayah, tahun sudah dia tiada bersama kami. Maka kesedihan tahun lalu berterusan ke tahun ini. Nenek dan atuk, sepupu tersayang Norhaida, bapa saudara Sanusi Aziz, mereka juga dalam doa dan ingatan. Pergi dan tak kembali. Giliran aku juga akan menyusul. Pasti!

Kedua, kenangan dosa. Tiada manusia yang bersih daripada dosa. Saban hari memohon keampunan daripada Allah pun belum tentu terhapus segala dosa dan noda sepanjang 38 tahun menjadi hamba-Nya. Tiada manusia yang sempurna namun aku berikhtihar menuju kesempurnaan. Dosa dengan Maha Pencipta, dosa dengan suami, dosa dengan anak-anak, dosa dengan mak dan adik-beradik, dosa dengan sahabat taulan... terhimpun dosa menyedarkan aku betapa singkatnya hidup ini. Semoga ratapan aku setiap malam bertemankan air mata bisa menghapuskan segala dosa. Aminnnn...

Ketiga, bekal amalan. Sebagai isteri, Allah menjanjikan kakinya ke mana-mana saja pintu syurga yang diingini JIKA taat perintah Allah, akur perintah suami. Jaga solat dan puasa, tidak nusyuz dengan suami maka masuklah mana-mana pintu syurga yang diingini. Oh, Tuhan...layakkah aku? Setiap kali melangkah ke luar rumah pasti aku mohon izin terlebih dahulu daripada suami. Pun begitu aku masih bimbang dengan noda-noda yang terpalit di luar rumah. Banyak sangat iblis yang menggoda. Aurat, pergaulan, tertib santun, bicara mulus, semuanya dalam lindungan Allah - mudah-mudahan. Itulah yang paling aku jaga. Semua itu maruah (diri dan keluarga, suami dan anak-anak). Pun begitu masih aku akui pahala yang aku pikul masih ringan sifatnya. Setiap amalan yang Allah beri ganjarannya tak terlihat nyata di depan mata, kerana itu aku masih mengharap syurga setiap masa. Mudah-mudahan jalan itu Allah mudahkan sehingga penghujung nyawa.

Akhir kalam, salam Syawal 1435 daripada saya buat semua pembaca blog ini. Susun sepuluh jari mohon ampun dan maaf zahir dan batin. Semoga kita bertemu lagi dengan Ramadan 1436.