Pages

Saturday, November 10, 2018

Anugerah Inovasi: Citra DBP

Khamis (8 November 2018), aku dikhabarkan satu berita gembira. Surat dari ibu pejabat menjulang sekali lagi nama aku dalam menyantuni kerjaya sebagai Perancang Bahasa. Kali ini Anugerah Inovasi: Citra DBP 2018 menjadi milik aku, sempena sambutan Hari Inovasi. Mutlak! Syukur sangat. Memang gembira tidak terkata! Kejayaan ini bukan kejayaan aku seorang, kerana aku selesa kerja berkumpulan. Namun seperti biasa, apabila melaksanakan satu-satu tugasan, aku tak pernah memikirkan tentang ganjaran apatah lagi anugerah prestij seperti ini yang tidak semua pegawai akan merasainya. Ada yang sehingga saat hendak bersara pun tidak merasainya. 

Aku tidak menyangka idea melaksanakan Pertandingan Puisi Kompang mendapat sambutan menggalakkan dan diberi sokongan sehingga ke pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah. Pelaksanaannya memang mencabar kerana program ini julung-julung kali dilaksanakan dan sebenarnya tidak pernah dilaksanakan langsung sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahu pun kebangsaan. Cadangan aku untuk mengangkat karya-karya puisi tradisional ke wadah yang lebih menarik dan diterima oleh generasi gajet, membuahkan hasil. Sokongan daripada pihak sekolah amat menggalakkan. Sasaran aku tercapai pada peringkat awal. Objektif berjaya dilaksanakan. 

Dan apabila Pengarah bersetuju untuk aku menghantar proposal tentang program ini ke pihak penilaian Anugerah Inovasi, aku tidak berfikir panjang. Segala dokumen aku himpunkan bagi menyokong proposal yang bakal aku submit. Allah memudahkan segala tugas dan perancangan. Aku perkukuhkan dengan kepelbagaian rakaman semasa berlangsungnya program tersebut. Selebihnya aku serahkan kepada rezeki Allah, sebab aku tahu persaingan dengan pegawai-pegawai lain bukan calang-calang. Aku tahu proposal aku sangat padu dan kuat untuk diangkat sebagai 'top 5'. 

Sebenarnya, inilah kali pertama aku memberanikan diri menyertai pencalonan Anugerah Inovasi, lantaran persaingan yang hebat saban tahun. Tahun 2018 akhirnya menyebelahi tuah aku. Anugerah ini umpama rangsangan untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dan berfikiran kreatif dan inovatif. Sesungguhnya kerja itu ibadah dan dilaksanakan kerana Allah. Kerja itu amanah yang harus dipikul sebaik mungkin demi organisasi tercinta. 

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah yang meluluskan peruntukan dan projek. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang memberi kerjasama dan sokongan padu (Shark, Shahrur, Rosa, Ajid dan Nadia). Rakan sinergi dari institusi lain, Puan Zety Natamulia dari UiTM Segamat, Encik Nizam Atan dari UTHM dan Encik Azrin Zainal jurulatih kompang profesional Johor. Kenangan terindah - Semarak Buku dan Penulis Februari 2018, UTHM, Batu Pahat.

Tunggu masa naik pentas... :)  

Sunday, June 24, 2018

Posting Status di FB

Aku akui semakin hari semakin tawar hati untuk menulis di Facebook (FB). Macam sesuatu yang 'rendah' martabatnya apabila bersuara tentang isu semasa di FB. Seolah-olah isu yang 'mahal' dan 'eksklusif' itu menjadi bodoh dan tidak bermaruah apabila dipost di laman FB. Sebab apa? Sebab yang menghantar komen pun yang entah apa-apa sifatnya. Laman sosial itu sesuai untuk kisah-kisah eceran dan picisan. Yang tidak memaksa manusia berfikir di luar kota pemikiran dan tidak memaksa manusia-manusia di FB mengerah tenaga otak kanan dan kiri untuk memanfaatkan komen yang bernas. Contohnya posting "Off to Klang. Jalan jem gila babi, macam anak babi keluar kandang ramai-ramai masuk highway!" Ini contoh posting rakan FB yang nak balik beraya di kampung. Seorang guru yang berstatus guru pakar! Kau fikir kau nak komen apa? Kau nak LIKE? Apa yang menyebabkan kau akan LIKE posting begini? Sebab dia kawan kau? Sebab dia seorang guru? Hai, entahlah. Kadang-kadang aku tercari-cari juga isu yang boleh dimanfaatkan. Kalau pun tidak berat, tetapi membuka mata dan minda untuk difikirkan. Gunakan bahasa yang santai, tetapi 'smash' tepat kena pada sasaran, itu lebih mengghairahkan aku untuk membacanya.

Apabila tiba musim perayaan seperti sambutan Syawal, semua nak posting gambar raya. Raya sedondon, raya di kampung, raya masak dan makan, raya dan duit raya, keletah anak-anak..bla...bla..bla... (hampir semua manusia di FB muat naik cerita dan gambar yang sama tema dan konsepnya). Aku cuma LIKE sesuatu yang menakjubkan, contohnya "Berhari Raya di Jerman kerana Tugas Untuk Negara!" atau "Kami Rejimen Askar Melayu Diraja Beraya dalam Hutan" (siap gambar sedih nangis berjemaah sebab tak dapat balik beraya). WIN!

Kadang-kadang menyampah juga bila isu kesesakan lebuh raya dijadikan isu pada musim perayaan. Posting yang ala-ala sengal, "Apa PLUS buat nak atasi kesesakan pada musim raya?" Eh, dia sengaja bangkitkan isu nasional untuk menarik perhatian manusia-manusia di FB untuk hentam PLUS. Eh, kau dah tahu memang lebuh raya tu saiznya begitu, kau nak suruh PLUS lebarkan lagi saiz jalan untuk atasi kesesakan? Kau dah tahu semua orang balik kampung ikut lebuh raya, lagi kau nak memekak nak salahkan PLUS tak upgrade RnR? Kau tu yang sepatutnya ubah perancangan balik kampung kalau tak nak hadap sesak di PLUS! Kau boleh balik naik keretapi kan? Naik kapal terbang kan? Rancang perjalanan lebih awal atau pulang semula lebih lewat! Kerja nak salahkan orang tak sudah-sudah. Kau seronoklah bila yang komen tu memihak pada kau! Hawaaauuu!!! :-P

Begitulah dunia FB. Penuh dengan sampah-sarap. Pernah juga aku deactived akaun FB aku supaya aku lebih tenang dan aman. Aku beralih arah ke laman sosial lain seperti Instgram dan Twitter. Ya, di situ lebih aman dan damai, kerana aku memilih follower dalam kalangan teman rapat, sopan dan sekepala. Untuk kembali aktif di FB, aku akan fikir 100 kali. Biarlah aku menjadi pemerhati. Memerhati dari jauh dengan komen 'geleng' atau 'angguk' (memang tak ada emoji geleng dan angguk), jadi tak ada sesiapa pun yang nampak, aku geleng atau angguk. Begitulah aku...sekarang! Peace No War!

Tuesday, June 19, 2018

Berubahlah dik...

Aku dah penat memandang kekerasan jiwa kau, dik. Aku tahu kau OKU. Aku tahu kau kurang upaya! Aku tahu kau cacat! Tapi...kau cuma tak boleh berjalan! Itu sahaja. Kau bukan lemah, tapi kau yg melemahkan diri kau sendiri. Kau sempurna pada pandangan mata aku, tapi kau mencacatkan diri kau sendiri apabila kau enggan berusaha memajukan diri. Sedih aku, dik!

Banyak OKU yg berjaya di luar sana, yg lebih daif dan teruk kecacatannya berbanding engkau. Yg tak ada tangan pun ada yg mampu pandu kereta sendiri. Yg tak ada kaki pun masih mampu bekerja. Yang gila jeee yg terlantar di Tampoi! Kau nak ikut yang mana satu? Aku tak nak kau jadi gila sebab duduk kat rumah tanpa sebarang kerja, terkangkang hadap TV setiap hari. Badan kau makin berat dik! Duduk rumah kalau kau rajin kemas rumah, aku dah cukup syukur, dik. Masalah makin besar bila kau tak mahu nak bergerak! Kau menyusahkan mak! Kau buat ayah susah hati!

Pernah tak kau terfikir, siapa yg nak urus makan pakai kau kalau mak ayah dah tak ada? Kau nak harapkan siapa? Abang dan kakak-kakak kau dah habis ikhtiar nak majukan kau. Tapi kau degil! Ikut hati dan kepala kau sendiri. Tak akan berubah nasib kau dik, kalau kau sendiri tak ubah diri kau! Jgn jadi bodoh! Bangunlaaahhhh!!!! Sedarlah!!!!

Aku nak kau sedar diri sementara kau belum gila! Maaf cakap kalau apa yg aku cakap ni kasar dan tak sopan! Ya, sebelum kau gila, sebelum kau hilang ingatan...kau perlu bangkit! Belum terlambat utk kau urus diri sendiri. Belajarlah berdikari. Setiap kali aku kenangkan nasib kau dan diri kau...hati aku menangis, dik! Sehingga akhirnya aku hilang kasihan dan simpati atas diri kau sebab kedegilan kau!

Bangkitlah dik!!! Sedarlah dik!!!

Tuesday, June 12, 2018

Salam Qabliyah Subuhi

Terlalu luas rezeki Allah buat aku dan keluarga. Amalan bersedekah setiap hari dan solat qabliyah subuh setakat hari ini belum pernah gagal. Dengan niat pintu rezekiku terbuka luas seluas langit dan bumi Allah. Rezeki aku bermakna rezeki anak-anak dan seluruh keluarga.

Hari ini Allah khabarkan bisikan gembira pada awal pagi. Pertama, projek buku syair diraja yg bakal aku usahakan akan ditaja sepenuhnya oleh pihak istana. Team projek buku syair ini menjadi satu tanda aras kegemilangan dlm kerjaya aku.
Kedua, e-mel yang kuterima drpd HQ mengkhabarkan ttg kenaikan pangkat. Allahuakhbar! Sungguh, Allah berikan yg terbaik utk hambanya. Dan selayaknya! Syukur sgt pada Ramadan yg mulia ini yang masih berbaki-baki aku diberi kemuliaan sebegini, walaupun terkadang aku lalai dgn ajaran-Nya. Moga aku dlm keampunan-Nya jua.

Sesungguhnya solat dua rakaat sebelum subuh itu membawa seribu manfaat dan rahmat. Syukur ya Rabb!

Tuesday, May 22, 2018

Ramadan Datang Lagi 2018

Syukur, masih dilanjutkan usia oleh Sang Pencipta untuk menghirup wangian Ramadan 2018/1439. Dalam usia 42 tahun, Ramadan masih sudi bertemankan aku yang kadang kala culas dengan perintah-Nya. Agak berbeza Ramadan dalam jangkauan usia 42 tahun ini. Anak-anak semakin membesar dan keupayaan kudrat mengerjakan tarawih sehingga 20 rakaat agak terbatas. Namun sehingga hari ini aku masih lagi dalam keadaan mampu melaksanakan ibadah itu.

Cabaran Sahur.
Waktu sahur merupakan cabaran paling getir bagi seorang ibu yang bertugas di dapur seawal 4.00 pagi. Memasak untuk sahur sesuatu yang wajib bagi aku. Aku mahu suami dan anak-anak menikmati hidangan sahur daripada air tangan sendiri, dengan menu yang sihat dan berkhasiat serta tak membazir. Kadang-kadang termenung di awal pagi untuk memasak hidangan yang mampu dinikmati dalam waktu-waktu kronik untuk tidur. Tapi biasanya aku dah prepare untuk sediakan lauk sahur sebelum menghempas badan ke tilam. Tidur mesti awal bagi memastikan aku mampu masak untuk sahur, bertenaga ke pejabat dan tidak mengantuk semasa memandu. Sungguh mencabar!
Kalau nak masak sebelum tidur pun boleh, sebenarnya. Tapi aku tak suka simpan makanan dan panaskan semula. Pastinya khasiatnya berkurangan. Biasanya yang simple saja untuk seisi keluarga.

Cabaran kedua terbesar ialah cabaran mengejutkan anak-anak bangun sahur. Kadang-kadang dekat 10 kali kejut pun tak bangun-bangun. Nak kena angkat dari katil...tolak keluar bilik...paksa duduk di meja makan...haaaa...baru dia nak hadap sahur. Yang remaja pun dua kali lima! Kena kejutkan baru nak bangun, walhal masing-masing punya alarm sendiri! Lebih mencabar, apabila sekecil turut terjaga. Yang ini pun cabaran juga! Lain yang aku kejut, lain yang bangun. Melayan karenah si kecil pada waktu sahur menyebabkan gangguan pemakanan dan kujatan perut menjadi-jadi. Dia pun nak bersahur jugaakkkk....habis berkecah meja dan lantai. Namun, ada kemanisan di situ - kesabaran dan nilai kasih sayang.

Cabaran Tarawih.
Zaman remaja semasa tinggal di asrama, aku mampu laksanakan tarawih sehingga 20 rakaat. Selagi imam tak habis, selagi itulah aku setia menjadi makmum. Hadir ke masjid yang berdekatan dengan asrama bersama-sama rakan seasrama, ala-ala konvoi jalan kaki menuju ke masjid siap dengan wuduk dan telekong solat. Biasanya selepas berbuka puasa, kami akan solat magrib berjamaah di asrama. Usai salam bergegas ke masjid menanti waktu isyak dan seterusnya tarawih dan witir. Pukul 10.00 sudah kembali semula ke asrama. Ada keseronokan pada usia remajaku di situ. Sudah dilatih berdisiplin dengan waktu solat sepanjang Ramadan. Maklumlah dikawal selia oleh kakak-kakak senior dan warden! Hahaha...
Apabila pulang bercuti ke kampung, rutin yang sama kuulangi tetapi dengan emak, ayah dan adik-adik. Tetap juga bertarawih di masjid. Kadang-kadang berbuka di masjid terus berada di masjid sehingga tarawih.
Hari ni, aku terpaksa akur dengan keadaan. Bertarawih di rumah sekadar empat hingga lapan rakaat. Bukan boleh berlama-lama, kerana anak-anak perlukan perhatian, suami perlukan layanan. Begitulah kehidupan yang telah diatur Allah. Setelah aku manfaatkan usia remajaku dengan ibadah kepada-Nya, Dia simpangkan aku untuk menabur budi dan menggali pahala pada usia 40-an dengan cara yang lebih santai. Aku tidak pernah rasa kesal punya anak yang ramai. Memang waktu ibadahku agak terhad, tetapi mencari pahala dan jalan ke syurga, bukan hanya dengan solat semata-mata.

Cabaran Praraya
Inilah cabaran terakhir pada bulan Ramadan. Persediaan menjelang Syawal. Aku bukan mahukan kesempurnaan. Ala kadar sahaja mengikut kemampuan. Yang pasti kelengkapan raya anak-anak tersedia dan kebersihan rumah untuk menyambut tetamu sudah lengkap. Selebihnya tak perlu difikirkan sangat. Dalam hal ini yang paling mencabar ialah peruntukan dan kos! Dalam ekonomi yang so-so ni, tidak semua permintaan dapat dilunaskan. Yang penting sajalah. langkah penjimatan sangat perlu, sebab lepas raya pun duit masih punya nilai. Maka berdikit-dikitlah dalam berbelanja. Tak perlu tiru orang. Ikut kemampuan diri sendiri. Waallahualam.

Friday, March 23, 2018

Kasih Ibu Kasih Kekasih

Dia berkongsi isi hatinya dengan aku, ibunya. Aku tahu sang arjuna itu tak pernah menyorokkan sesuatu tentang dirinya dan keperibadiannya dgn aku, ibunya.
Semalam 22 Mac 2018 dia membuat pengakuan seikhlas mungkin yang dia punya teman istimewa. Dia tunjukkan gambarnya dan namanya. Ya...sekilas pandang, gadis itu molek pekertinya, cantik sifat fizikalnya. Itu pandangan luaran aku sebagai wanita yg juga punya anak perempuan. Namun, bagi aku mereka terlalu awal untuk berpacaran. Ya, Tuhan...hati seorang ibu...Engkau yang maha tahu.
Bergenang juga air mata ini apabila sang arjuna terus menerus berkisah tentang gadis istimewa itu. Adakah aku takut kehilangannya? Hilangkah ciuman dan pelukkan sang arjuna yang membawa sakti dalam hidup aku dan suami? Hilangkah kasih sayang dan ingatannya terhadap aku? 😢
Aku sekadar menasihatinya. Utamakan pelajaran. Perjalanan masih jauh...berkawan itu boleh tapi jangan keterlaluan sehingga menjejaskan prestasi akademik. Sebenarnya...jauh di lubuk hati ini...aku enggan menerima gadis itu. Jauh di sudut hati ini aku menolak sekeras-kerasnya perhubungan mereka. Bukan benci bukan tak suka, tetapi mereka terlalu mentah dan muda. Apatah lagi pada zaman jari jemari yang berbicara.
Zalimkah aku?

"Ya Raabbb...jika gadis itu membawa kebaikan kpd sang arjunaku, kekalkanlah persahabatan mereka. Jika sebaliknya kau pisahkanlah mereka. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mengetahui dan sebaik-baik perancang dan pemberi takdir. Aminnn."

Friday, November 3, 2017

Hanya Kepada-Mu

Sudah puas menahan sakit
Air mata bukan sedikit
Sudah lelah menahan suratan
Akhirnya diri hilang kekuatan.

Demi sebuah perjalanan
Hanya Engkau tempat mengadu
Segala kelelahan dan kesakitan
Biarlah Engkau yang Maha Tahu.

Aku mahu terus berjuang
Demi anak-anak yang tersayang
Biar diri terabai dek bayang
Aku yakin ada syurga dunia yang terbentang.

Hanya kepada-Mu, ya Rabbul Izati
Kumohon perlindungan hakiki
Rahmati perjuanganku ini
Atas nama cinta nan abadi.

Monday, October 16, 2017

Seagung Kasihmu

Sekilas mentafsir mimpi
Penghujungnya air mata
Sekelumit kulayarkan sakti
Yg menitis tangisan jua.

Bisakah aku berdiri
Pada sebelah kaki?
Bisakah aku terbang tinggi
Tanpa sayap yang melepasi?

Jangan pernah hilang lagi
Setelah kau jejak kasih abadi
Kau sendiri mengakui
Pada seisi langit dan bumi
Bahawa janji tetap janji!

Bawalah aku ke sana
Dalam fana yang Tuhan cipta
Jika tidak di dunia
Pastikan ketemu di syurga!

AMH
Setia Tropika

Sebutir Mutiara

Kesakitan itu kekuatan untuk kau terus bangkit!

Thursday, December 29, 2016

Ada Cinta di dalam Gelas II

Ada cinta di dalam gelas
Penuh kasih sekilas
Ada cinta di dalam gelas
Untuk kita saling berbalas

Bahasa Bangsa

"Jika mahu membunuh sesuatu bangsa, bunuhlah bahasanya"

Tuesday, December 20, 2016

REZEKI DI MANA-MANA

Benarlah kata mak, rezeki itu bukan sahaja berupa wang ringgit. Kesihatan yang baik juga rezeki. Sahabat yang setia juga rezeki. Anak-anak cemerlang juga rezeki. Suami yang penyayang juga rezeki. Alhamdulillah. Nikmat-Nya yang mana satu yang nak kau dustakan?

SIHAT
Dalam meniti usia yang semakin meningkat, angka 40 bukan lagi muda untuk berangan jelita ala-ala model nak 'cat walk' atas pentas peragaan. Anak pun dah enam berderet. Malahan sudah ada yang meningkat remaja. Cabarannya satu macam! Nak kukuhkan keimanan bukan perkara mudah. Dugaan Allah bukan sedikit untuk seorang wanita yang berkerjaya dan mengurus rumahtangga sekali gus. Apatah lagi apabila suami jarang-jarang berada di depan mata. Tapi, syukurlah. Kesihatan yang sentiasa segar membuatkan segala urusan harian yang dirancang dan tidak dirancang berjalan lancar. Allah sentiasa ada untuk aku. Sebelah malam, sungguh pun sering diganggu dengan kepenatan melayan kerenah anak kecil, aku masih berkesempatan menghadap-Nya, berbicara dengan Maha Pencipta dan meneliti setiap surahnya.

SAHABAT
Baru-baru ini seorang sahabat jauh (dekat dalam hati) datang 'balik kampung' katanya. Kesempatan itu kami bersua, menjamu selera, menonton wayang, bercerita, gosip seadanya. Manis! Terasa betapa indahnya persahabatan yang terjalin sejak darjah satu bertali-arus ke usia 'kilauan emas'. Siapa sangka? Tiada kata secantik bahasa hendak aku berikan kepadanya. Buku-buku yang dia hadiahkan kepada aku menajdi simbolik persahabatan kami yang luhur. Sahabat yang ada untuk aku, saat sakit dan ceria, gembira dan duka. So sweet!

SAYANG
Anugerah terindah dalam hidup seorang ibu ialah anak-anak. Tahun ini tahun cabaran bagi Zarin, anak ketiga aku yang enggan ke sekolah gara-gara cikgu garang. Dia disaran bertukar sekolah. Sementara menanti sekolah kemasukan ke sekolah lain, Zarin terpaksa 'homeschooling'. Aku dikecam kerana anak homeschooling. Tiga bulan lamanya aku bersabar dengan tingkah Zarin sehinggalah dia diterima di sekolah lain yang agak jauh dari lokasi kediaman kami. Benar, aku bersyukur. Aku tangani sendiri tanpa suami yang ketika itu berjauhan kerana sering ke luar negeri. Sungguh, Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditempuh. Sehinggalah saat sesi persekolahan akhir tahun menutup tirai, aku mendapat surat daripada pihak sekolah untuk hadir ke Majlis Anugerah Anak Cemerlang. Ya, Zarin bukan anak yang bermasalah seperti sangkaan guru sekolah lamanya. Dia mampu belajar seperti anak-anak lain. Malahan lebih baik daripada yang aku jangka.
Zafri pula menghadapi peperiksaan besar PT3. 19 Disember keputusannya agak memberangsangkan dengan deretan A. Syukur sangat kerana dia mampu menjadi contoh kepada adinda-adindanya yang lain. Aku...terima seadanya rezeki yang Allah kurniakan. Walaupun tidak kaya harta benda dan wang berbilion, aku masih bahagian dengan apa jua yang ada.

Syukur.



Sunday, October 2, 2016

Ada Cinta Di Dalam Gelas

Ada cinta di dalam gelas
Yang belum pasti dibalas
Yang punya sekeping ikhlas
Yang manis untuk dibias

Thursday, September 8, 2016

Eksklusif

Ada kalanya kita memerlukan privasi dalam ruang dan masa yang terhad. Privasi itu haruslah eksklusif. Eksklusif masa dan eksklusif tempat. Jika ingin berteman...haruslah teman yang juga eksklusif di hati kita.

Demikianlah kehidupan. Dalam memeluk keriuhan suara anak-anak ada masanya aku perlukan keeksklusifan. Tenang. Damai. Persona.

Tuesday, August 23, 2016

Salam Perjuangan Abadi (dedikasi buat Zafri)

Ingatlah wahai anakanda
perjuangan itu terzahir dengan nekad 
bonda iringi dengan doa keramat
berjuanglah demi sisa masa yang singkat 
atas nama dirimu moga beroleh berkat.

Ingatlah wahai anakanda
jika kau mampu ulangi gemilang gempita
susullah syukur kepada Maha Pencipta
kerana Dialah Maha Pemberi yang tiada dusta
Dialah yang menentukan nikmat rezeki hamba-Nya.

Ingatlah wahai anakanda
jika ditakdir rezeki bukan milikmu
usah dipincang suratan hidupmu
kelakkan berganti hikmah tertentu
sudah Dia atur yang terbaik dan berpandu.

Ingatlah wahai anakanda
kuasa doa itu melebihi tajamnya senjata
sujudlah kepada-Nya pada setiap ketika
bermohonlah kepadanya yang menentu segala
syukurlah dengan kurniaan-Nya
itulah tanda dirimu tidak tercela.


#selamatberjuang
#pt3

Monday, August 22, 2016

Cantuman Rasa Terlerai Binasa (buat ipar yang masih leka)

Bukan kehendak fikiran melayan kau yang kesat bicara
cubalah kau hadap diri penuh percaya
bahawa akan ada hati yang sakit dan terluka
miski yang kau caci itu seorang yang lebih tua
jika tidak kerana hormat akan keturunanmu Yang Mulia
sudah lama aku membias hina.

Sedarkah dikau
kerana mulut badan binasa
sejahat-jahat hati dan dan sebenak-benak puaka
tidak sesekali aku menghina
kerana darjat suamiku dan keluarga orang ternama
namun kau tidak pernah mengambil kira
tidak pernah memikir buruk segala petaka
bahawa lidahmu sangat menghiris rasa cinta
antara kita...

Saturday, August 20, 2016

Lihat Dengan Mata Hati, Dengar Dengan Telinga Tuli

Kau kejar darjat dan pangkat
Kau tebak pidato berdegar
Kau raih undi berbau sampah
Kau abdikan tanah yang kau pijak.

Kau tabur janji yang mungkir
Kau rasa kami tak punya fikir
Kau binasakan kepercayaan si fakir
Kau megah bak ahli sihir!

Kau lihatlah dengan mata hati
Bukan mendengar dengan telinga tuli
Kau insaflah sebelum dipanggil Ilahi
Jangan tunggu kami halau kau pergi!

Friday, August 19, 2016

Tuah

Tuah,
Demi kasih seorang saudara aku dituduh penderhaka.
Demi sayang seorang sahabat aku dianggap penjahat.

Tuah,
Kau mungkin benar dalam melayar onar.
Kau disanjung sultan yang menjunjung.

Tuah,
Sungguh kau bertuah.
Memiliki bukan sekadar nama, pangkat dan Taming Sari.
Tetapi kedudukanmu di mata sultan waimah baginda menitahkan kau dibunuh.
Kau rela dirimu dihukum atas dasar kesetiaan terhadap baginda. Tetapi kau rela pula menghukum kasih sayang kita yang lahir sejak telapak kaki masih sebesar ibu jari.

Tuah,
Aku menderhaka kerana menegakkan keadilan, memperkukuh persahabatan.
Kau pada zamanmu dianggap pahlawan. Aku pada zamanmu seorang penderhaka sultan.

Tuah,
Waris yang kita tinggalkan...rupa-rupanya lebih ramai yang rela menderhaka menegak kedaulatan daripada menabur budi setia menebak kecurangan! Kau pilihlah...legasi mana satu untuk telus dalam perjuangan!

Tuah,
Aku Jebat penderhaka mulia! Mengagungkan kesetiaan melawan kemungkaran!

Monday, August 15, 2016

Makan Gaji Makan Hati

Tak ada pekerjaan dalam dunia ni yang tak memenatkan. Kalau tak penat fizikal, mesti penat berfikir. Itulah yang aku alami sekarang ini. Lima belas tahun jadi hamba kepada dunia perbukuan. Jadi kuli kepada dunia penerbitan buku. Lama-lama momentumnya sudah tidak berbisa lagi. Orang kata aku dah pakar, sepakar-pakarnya dalam dunia penerbitan ini. Dah lali dengan sepak terajang penulis. Dah biasa dengan turun naik pasaran buku. Dah boleh buat editing sambil tidur! Tapi, itu semua akhirnya memenatkan kepala otak. Penat yang teramat sangat.

Aku cuba juga memikirkan tentang perubahan angin dalam pekerjaan ini. Tapi tetap tak berganjak. Pusing-pusing hal yang sama. Payah juga kalau banyak sgt fikir tentang kerja makan gaji ni. Fikirkan tentang majikan akhirnya diri sendiri terkorban. Terkorban emosi dan perasaan makan dalam.

Pernah juga terfikir nak keluar dari kepompong ini. Nak lari dari dunia buku. Tak mahu lagi dibayangi kerja-kerja editorial. Tapi, lagi ligat difikir lafi sesak nafas aku.

Pelan-pelan aku cuba merangka masa depan sendiri. Aku nak ubah peribadi ini ke arah yang lebih mencabar. Minta pandangan orang tua, sahabat handai dan orang-orang sekeliling yang sudah berjaya. Bukan apa, masa untuk keluarga dan diri sendiri disedari semakin jauh. Apatah lagi masa dengan maha Pencipta! Allahuakhbar!!!!

Saturday, August 13, 2016

Mak Bukan Orang Gaji

Sudah banyak kali ayat keramat "Sabtu pun mak bapak kau hantar kau kat rmh atuk!"

Nampak? Apa sebenarnya yg orang tua kita rasa? Anak-anak sengaja bikin panas hati mak ayah. Mak ayah tak akan nak cakap ayat tu depan anak-anak? Bangsat-bangsat pun dia akan cakap dpn cucu dia dan telinga org lain mestilah ada yang peka.

Dunia akhir zaman...ramai anak yg buat mak bapak macam orang gaji. Memang aku sedih. Bukan tak mampu nak hantar ke pusat jagaan, rumah pengasuh atau jaga sendiri...tapi mak ayah dia jugak yang dipaksa jaga anak dia. Bukan seorang bukan dua orang. Bukan budak besar...malahan baby lagi. Ingat tak renyah ke nak jaga baby? Mak tu ada kerja lain. Mak tu ada masa nak rehat. Mak tu dah tiba masa nak tumpu ibadah. Tapi semua tu tak terlaksana sebab nak jaga cucu. Dia terpaksa redha dgn keadaan. Paksa rela itu sudah sebati dlm dirinya. Lebih sedih lagi bila anak itu setiap hujung bulan akan cakap "Nak mak...ni duit jaga budak-budak!"

Nampak? Sebijik kau buat mak kau macam bibik Indon.
Sedih aku. Duit tu mak kau leburkan utk makan minum anak-anak kau juga sudahnya. Duit itu jugalah yang mak kau guna beli brg dapur nak sumbat mulut anak-anak kau juga akhirnya. Kau bangga ke? Lagi besar pangkat lagi besar gaji lagi besarrrrr kebodohan kau!

Aku harap anak-anak aku semua tak buat aku macam tu. Aminnnn...