Pages

Monday, January 30, 2012

Setahun Berlalu...

29 Januari yang lalu genap usia si kecilku, setahun. Sambutan hari lahirnya kami sambut sekadarnya. Tiada majlis, tiada hadiah, malahan tiada sambutan apa-apa. Yang ada sekadar doa dan sujud syukur kepada Allah yang mencipta si kecil ini untuk kami sekeluarga mensyukuri kewujudannya.

Raja Zahra Raja Zuraidi anak yang keempat ini agar 'cepat' membesar berbanding tiga yang lain. Kusedari, seawal usia empat bulan, Zahra sudah mula menampakkan bayang-bayang hendak tumbuh gigi. Sebulan kemudian, gigi bawah dan atasnya tumbuh serentak. Seusia 6 bulan, dia sudah pandai mengangkat punggung dan berdiri tegak. Sebulan kemudia, dia sudah berjalan jatuh. Pada usia 8 bulan Zahra sudah berjalan laju, malah sudah mula menyebut beberapa perkataan ringkas seperti 'dah' dan 'nak'. Dia rajin berlatih bercakap dan setelah setahun usianya dia sudah pandai menyebut 'kak', 'bang', 'ayah', 'opah'. Dia sudah mula memahami apa yang dicakapkan kepadanya. Huuuhhh...cepatnya masa berlalu.

Kini, tahun berganti lagi. Aku pun dah menjangkau usia 36 tahun. Sebagai wanita, kukira hidupku agak lengkap. Punya keluarga yang harmoni, anak-anak yang riuh, kerjaya yang tetap, dan masa depan yang masih boleh dirancang. Sangat bersyukur dengan apa-apa yang kumiliki. Apabila melihat kerenah anak-anak, aku teringat kepada teman-teman seusia yang masih solo. Terkenang teman-teman yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendapat zuriat. Terimbas masalah sosial tentang kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, penderitaan kanak-kanak terbuang, kesempitan hidup anak-anak yatim... aduhai...semuanya menginsafkan. Betapa beruntungnya aku, betapa bertuahnya anak-anak aku ~ itupun mereka masih nakal... haiii, anak..anak...kaulah racun, kaulah penawar.

Thursday, January 19, 2012

Semalam Dalam Kenangan Hari Ini Tercipta Sejarah

Dia tak diam, sudah hampir 8 bulan aku meninggalkan bumi daksina bagi melengkapkan kehidupan di kota besar, Kuala Lumpur. Dia tak diam juga, sudah 8 bulan aku memikul tugas dan tanggungjawab sebagai staf DBP di Kuala Lumpur ini. Kukenang kembali detik meninggalkan pejabat Wilayah Selatan, hati terasa hiba. Tujuh tahun aku berkhidmat di sana dengan penuh rasa cinta dan sayang tak berbelah bahagi terhadap kerjaya; membantu penulis menghasilkan karya-karya mampu terbit, memberi ruang dan peluang karya mereka tersiar, sehingga hubungan kami terjalin dengan penuh mesra dan harmoni. Projek Jendela Selatan yang pernah aku tangani saban tahun dahulu, kini tinggal kenangan semata-mata. Kutinggalkan Jendela yang terbuka itu untuk diteruskan penerbitannya oleh tangan-tangan seni yang lain. Bukan hendak mendabik dada dengan kehebatan penerbitan Jendela yang amat aku sayangi, tetapi aku berbangga dengan penerbitan Jendela yang terbit tepat pada masanya, terbit dalam suasana yang memuaskan hati kebanyakan pihak, terbit seiring dengan perasaan cinta dan kasih aku terhadap bahasa, sastera dan penerbitan. Walaupun aku melalui cuti bersalin yang panjang, Jendela tetap terbit tanpa ada satu pun keluaran yang tertinggal.

Sayang sekali, baru-baru ini aku memperoleh 2 naskhah Jendela yang terbit agak lewat daripada sasarannya. Sudahlah lewat kudapati banyak kesalahan yang terdapat dalam keluaran tersebut. Dari segi reka bentuk, suntingan, ejaan jawi dan rumi...semuanya meletihkan pembacaan. Terus terang sahaja, bahawa aku sangat malu dengan hasil tersebut. Ada sesuatu yang menyakitkan apabila Ruangan Jawi kudapati 99% berlaku kesilapan. Terkilan, kecewa, sedih dan pelbagai perasaan yang seangkatan dengannya menggamit jiwa. Sebab utamanya, aku orang JOHOR. Belum pernah aku membaca artikel dalam tulisan jawi yang seteruk itu. Artikelnya seolah-olah tidak disunting semula, bahkan sebenarnya aku sangat yakin EDITORNYA TIDAK MEMBACA. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, EDITOR TAK PANDAI JAWI. Ohhh, Tuhan! Kebimbangan mula menular dalam sanubariku, apabila aku bayangkan masyarakat akan mengutuk penerbitan Jendela kerana rata-rata orang Johor mahir jawi. Walaupun Jendela bukan terbitan arus perdana, namun impaknya terhadap orang Johor sangat besar. Malu sungguh seandainya Jendela sampai ke Istana Besar! Malu andai kata edaran tersebut sampai di Majlis Agama Islam Johor yang sememangnya merupakan rakan kerjasama. Lebih memalukan andai kata keluaran tersebut disimpan di perpustakaan-perpustakaan negeri atau Perpustakaan Negara.

Aku cuma bisa mengeluh. Untuk menyangkal kebijaksanaan tangan-tangan seni yang menangani projek tersebut tidak sama sekali. Pandai-pandai berfikir. Biarlah aku di sini meneruskan tugas hakiki yang tak pernah putus dengan kebijaksanaan sendiri. Sesungguhnya aku amat gembira dengan penghijrahan ini. Belum tiba masanya aku menjengah ruang dan peluang untuk menempatkan diri di sana lagi. Biarlah kucipta sejarah lain yang lebih bermakna di sini, dengan harapan sejarah yang bakal tercipta kelak menjadi impak yang menguntungkan aku juga. Aku yakin dan percaya dengan ketentuan qada dan qadar Allah.

Buat rakan-rakan sepejuangan yang telah kutinggalkan, teruskanlah pejuangan harmoni itu demi bangsa, agama, negara, dan keluarga. Berdirilah selagi mampu berdiri dengan dua kaki dan dua tangan serta satu kepala.

Tuesday, January 3, 2012

Salam 2012

Baru saya sedari, saya semakin menyepi dalam sisipan blog. Tahun 2011 cuma sempat menitipkan empat entri. Banyak masa dihabiskan dengan membaca kerana memang itulah target 2011 dengan 100 judul. Dan buku terakhir yang menutup tirai 2011 ialah novel Ramlee Awang Murshid iaitu 'Fiksyen 302'.

Tahun 2011 meninggal banyak nostalgia pahit manis. Antara yang manis; kelahiran anak keempat, peningkatan dalam kerjaya, dan kejayaan cemerlang anak-anak dalam peperiksaan akhir tahun. Semua itu rezeki. Namun, dalam melalui hari-hari yang membahagiakan, emak pula jatuh sakit sehingga terpaksa menjalani pembedahan sehingga saya mengambil banyak cuti bagi menguruskannya. Sangat menyedihkan apatah lagi kesakitan emak itu ditanggung sepanjang Ramadan dan Syawal. Tetapi, itulah dugaan.

Tahun ini saya membuka tirai 2012 dengan pembukaan syarikat baharu. Sekadar beroperasi di rumah, pejabat dan di dalam kereta. Nama syarikat lama terpaksa ditukar kerana SSM 'mengharamkan' perkataan RATU, RAJA, PUTERA dan PUTERI dalam pendaftaran syarikat. Maka, Pesona Ratu terpaska dijumudkan dan digantikan dengan CITRA AZURA RESOURCES. Syarikat masih membekal barangan kesihatan dan kecantikan dengan fokus jualan terhadap jamu-jamu terpilih sahaja. Syukur, pelanggan semakin bertambah dan jualan masih berterusan walaupun saya tidak mempunyai kedai. Tahun ini syarikat menambah produk jualan dengan jualan aksesori dan busana wanita. Fokus pada penjualan busana Muslim terutamanya jubah. Eksklusifnya jubah CITRA dibekalkan dari negara-negara Timur Tengah. Saya memilih Timur Tengah kerana mahukan kelainan dengan jubah-jubah Malaysia dan Indonesia. Jubah Timur Tengah bersaiz lebih besar, tidak menonjolkan potongan badan dan pemilihan warna-warna gelap sebagai citra utama. Saya kira itulah citra wanita Islam yang sebenar.

Saya masih mengekalkan sistem pemasaran dengan bergerak sendirian. Saya kira itu lebih memudahkan saya memantau keluar masuk aliran tunai. Bukan tidak mempercayai orang lain, sekadar menyibukkan masa dengan berniaga. Jika ada pembeli yang membuat pembelian secara online, saya sendiri yang akan menguruskan pengeposannya.

Dalam masa yang sama, saya juga berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Sekadar menggilap bakat yang Allah kurniakan kepada saya. Sesekali saya tidak mahu otak saya beku. Saya akan berusaha menyiapkan sekurang-kurangnya satu buku pada tahun ini. Ada beberapa genre novel yang telah dirangka. Saya sedang meninjau pasaran yang paling menguntungkan. Jika saya tidak menjadi sasterawan pun sekurang-kurangnya sastera saya lahir bersama-sama wang ~ Sasterawang! Beberapa cerpen yang tersiar pada tahun ini; 'Tat Nanas untuk Ayah', 'Awang Sulung Merah Jambu', dan 'Janji Tok Bijan' saya kira belum begitu 'kuat' untuk menjadikan saya seorang penulis yang baik. Laluan saya masih jauh dan masih memerlukan banyak sokongan dan ilmu bantu.

Sebaik menamatkan kuliah Zakaria Arifin bersama-sama teman pena Rahimah Muda, Halil Ali, Filzah Ibrahim, dan beberapa mana hebat dalam penulisan skrip, akhirnya saya bertekad menulis skrip filem. Namun saya masih 'remaja' dalam aliran ini. Banyak kajian dan pembacaan yang perlu saya dasari untuk menjadi Penulis Lakon Layar!

Semoga 2012 fokus kerjaya dan rutin harian lebih sistematik dan lumayan!

Wednesday, September 21, 2011

Kasihnya Ibu Membawa ke Syurga

Sekian lama menyepi, hari ini aku kembali menulis dalam laman blog ini. Bukan sudah melupakan destinasi ini, cuma sibuk dengan pelbagai rencam dunia.

Sejak Jun 2011, aku bertukar tempat kerja dari Wilayah Selatan ke ibu pejabat Kuala Lumpur. Urusan perpindahan besar-besaran ini menyebabkan aku kurang tumpuan terhadap hal-hal penulisan. Kini sudah tiga bulan aku dan keluarga berada di bandar raya Kuala Lumpur. Kami mula serasi menjadi warga kota. Anak-anak mula gembira bersekolah di sini. Kerja di pejabat sudah mula menimbun. Sehari demi sehari tak menang tangan dibuatnya.

Pertengahan Ogos lalu, emak yang tinggal bersama-sama aku, jatuh sakit. Aku mengambil cuti panjang untuk menjaga emak. Sehinggalah emak selesai menjalani pembedahan akibat ketumbuhan tumor dalam ovari. Kini emak beransur segar. Sudah boleh berjalan dan melakukan aktiviti ringan. Namun, masih perlu pemantauan dan kendalian yang baik. Aku sungguh bersyukur kerana doktor mengesahkan kini mak bebas daripada sebarang penyakit termasuk sel kanser. Bimbang juga jika tumor tersebut menjadi kanser. Walau bagaimanapun doktor menyarankan agar emak menjalani pemeriksaan berkala yang ditetapkan pihak hospital.

Tinggal serumah dengan emak kurasa selamat lebih-lebih lagi apabila suami keluar bekerja di lur kawasan. Sekurang-kurangnya aku punya teman berbicara. Syukur sangat kerana saat dan detik ini aku masih punya emak di depan mata. Lebih mengembirakan apabila emak sendiri sudi tinggal bersama-sama aku. Sesungguhnya Allah maha mendengar keluh resah dan permohonan hambanya.

Aku nekad menjaga emak sebaik-baiknya seperti mana dia menjaga aku semasa kecilku. Aku berazam untuk terus bersamanya selagi hayat dikandung badan, selagi emak sudi sebumbung, selagi nadi emak masih berdenyut, selagi itulah sanggup kukorbankan jiwa raga. Sayang emak.

Thursday, May 5, 2011

Pembaharuan Tidak Mengesankan

Sebaik sahaja saya melahirkan anak keempat, saya dan suami merancang membuat pasport si kecil. Genap usianya tiga bulan, saya ke Kompleks Imigresen Setia Tropika (pejabat imegresen baharu) pada 29 April 2011. Saya tidak keseorangan untuk membuat pasport bayi saya kerana kebetulan ibu mentua dan adik ipar yang berstatus OKU juga ingin memperbaharui pasport masing-masing.

Kompleks Imigresen yang baharu menyediakan kemudahan yang optimistik! Maklumlah, mungkin peruntukannya besar. Disebabkan saya membawa bayi, warga emas dan seorang OKU, saya diberi kelonggaran untuk memasuki ruang parkir kenderaan yang berhampiran dengan bangunan tersebut.

Setelah selesai mengambil gambar dan membuat salinan dokumen yang sepatutnya, kami terus ke kaunter borang bagi mendapatkan borang dan angka giliran. Saya bersyukur kerana kami (bayi, warga tua dan OKU) diberi laluan mudah dengan menempatkan kami di Kaunter Khas. Kami tidak perlu menunggu lama. Sekitar 15 minit urusan di Kaunter Khas pun selesai. Kami diarah tunggu sehingga dipanggil semula untuk mendapatkan pasport.

Malangnya, kami sama seperti orang lain yang terpaksa menunggu sehingga satu jam 45 minit untuk mendapatkan pasport di Kaunter Serahan (sama seperti orang lain yang menunggu sehingga sejam lebih).

Pihak Imigresen sewajarnya memikirkan semula kemudahan yang diberikan kepada golongan istimewa ini (bayi, warga tua, OKU dan ibu sarat mengandung). Jika mereka telah ditempatkan di Kaunter Khas, sudah tentu mereka tidak perlu disamakan dengan orang lain yang menunggu lama sementara menanti pasport tersebut siap. Jika dicongak balik, golongan ini hanya diberi kemudahan di Kaunter Khas sahaja, sedangkan hal-hal lain setaraf dengan orang awam lain. Mujurlah bayi saya tidak meragam dan ibu mentua juga sanggup menunggu. Saya simpati dengan mereka yang membawa warga tua yang bertongkat dan berkerusi roda. Sekejap-sekejap hendak ke tandas, sekejap-sekejap bayi melalak perlukan susu atau mungkin tidak selesa dengan suasana dan kebisingan.

Pembaharuan yang dilaksanakan oleh pihak imigresen perlu diteliti semula. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

Sunday, April 10, 2011

Manfaat Cuti 90 Hari

Saya telah selamat menjalani rejim berpantang selama 44 hari. Waktu bersama si kecil dimanfaatkan sepenuhnya sehingga si kecil membesar dengan sihat. Dilahirkan dengan berat 2.84kg dan naik mendadak sehingga 4.7kg setelah genap sebulan.

Cuti bersalin 90 hari saya sentiasa berada di rumah. Menguruskan anak-anak yang bersekolah dan rumahtangga. Penat sangat rupa-rupanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Jika waktu bekerja saya jarang-jarang berkesempatan menyediakan sarapan, juadah tengah hari dan malam, namun sepanjang berada di rumah, saya telah berjaya melaksanakannya. Sebelum tidur mesti merancang menu untuk hari esok yang pastinya tidak sama dengan hari ini.

Sambil-sambil mengurus anak, suami dan rumahtangga, akhirnya saya terjebak dalam pengurusan perniagaan secara kecil-kecilan. Semuanya bermula apabila teman-teman di laman FB galak berniaga. Kebetulan, saya berkenalan dengan pengusaha dan pembekalan produk kesihatan dan kecantikan. Selepas bertemu dan berbincang, saya mohon pendapat suami. Suami pula menyokong perancangan saya. Secara perlahan-lahan, bermodalkan wang simpanan akhirnya saya berjaya membuat 'marketing'. Jualan dan promosi bermula di rumah. Pejabat di rumah, barang dalam kereta, tempahan melalui e-mel, telefon dan sms. Saya bergerak dengan kereta setelah semua urusan anak-anak selesai.

Ramai rakan yang tertanya-tanya kenapa saya tidak menjual buku sedangkan saya bekerja dalam industri tersebut. Saya merasakan menjual produk kesihatan dan kecantikan wanita merupakan sesuatu yang sangat menguntungkan berbanding jika saya menjual buku. Bukannya saya mengejar wang semata-mata, tetapi saya melihat sesuatu yang dekat dengan saya. Sebagai wanita, isteri dan ibu, saya perlu kekal sihat untuk menguruskan macam-macam hal. Saya perlu tahu produk yang bagus untuk saya dan keluarga.

Kini, saya telah mendaftarkan syarikat sendiri dengan jenama PESONA RATU ENTERPRISE. Saya mahu wanita di luar sana kekal sihat juga. Antara jenama yang berada dalam senarai produk saya ialah Nona Roguy, Leesa Formula, Jamu Mak Dara, Dr. Azimuth, Sri Mawar, pad herba dan produk utama ialah jamu anggun bestari khusus untuk ibu-ibu yang merancang keluarga secara tradisional. Itulah produk paling laris! Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu rezeki untuk saya sehingga saya mempunyai rangkaian pelanggan tetap dlm tempoh saya cuti bersalin.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan produk saya dengan harga istimewa, sila 'add' Azura Halid dalam laman Face Book saya.

Wednesday, February 16, 2011

Cahaya Mata ke-4

Pada 29 Januari 2011 yang lalu, saya selamat melahirkan seorang lagi puteri penyeri hidup kami sekeluarga. Bayi seberat 2.84 kg lahir pada pukul 19.19 malam. Saya sangat bersyukur kerana dipermudahkan Allah untuk melahirkan anak ini tanpa sebarang luka. Syukur sangat-sangat.

Saya mula berasa sakit sejak 28 Januari akibat induce kerana tiada resa hendak bersalin. Lagi pula, tarikh dijangka bersalin telah terlewat lapan hari. Agar bayi dan ibu tidak menanggung pelbagai risiko jangkitan atau lemas dalam kandungan dan sebagainya, doktor mengambil keputusan untuk induce saya. Saya tetap juga tiada resa untuk bersalin, walaupun kesakitan mulai terasa sedikit demi sedikit. Pada pagi 29 Januari, sekali lagi ubat dimasukkan dan tepat pukul 4.00 petang saya disorong ke bilik bersalin. Prosedur biasa di bilik bersalin diurus tiga orang doktor, seorang jururawat terlatih dan dua orang jururawat pelatih. Ketika azan magrib berkumandang, ketika itulah saya selamat melahirkan bayi perempuan ketiga.

Ramai yang bertanya kepada saya, adakah saya akan mengandung dan melahirkan lagi? Segala-galanya bergantung pada keadaan dan rezeki Allah. Sebagai wanita, inilah fitrah yang Allah tetapkan. Tidak boleh saya katakan TIDAK, jika Allah mengkehendaki. Tidak boleh juga saya katakan YA, jika Allah tidak mengizinkan. Namun, dalam peningkatan usia saya fikir berehat untuk seketika adalah lebih afdal bagi membaik pulih sistem peranakan dan badan. Banyak perkara perlu diambil kira termasuklah tumpuan kepada anak-anak yang sedang membesar.

Saya berterima kasih kepada layanan pihak hospital, teman-teman dan saudara mara yang mendoakan kesejahteraan saya dan bayi. Terima kasih juga atas ucapan tahniah dan hadiah-hadiah yang terlalu banyak saya terima. Rezeki anak! Alhamdulillah.

Kini, saya sedang melalui tempoh berpantang. Seperti tahun-tahun yang lepas, saya setia berpantang selama 44 hari. Entah kenapa 44 hari saya sendiri kurang pasti. Yang saya tahu, dalam tempoh tersebut segala-galanya akan pulih seperti sedia kala. Seperti mana yang disarankan kerajaan, kini wanita bekerja boleh mengambil cuti bersalin sehingga 90 hari. Inilah peluang yang saya gunakan untuk berdampingan dengan si kecil kerana bayi saya menyusu badan sepenuhnya. Saya berusaha gigih untuk memberikan yang terbaik buatnya. Semoga dia membesar dengan sihat dan bijak. Amin.