Pages

Wednesday, March 27, 2013

Kasih Ayah

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Penyakit buah pinggangnya semakin kronik. Kedua-dua belah matanya mulai kuning dan kabur. Kaki kanannya bengkak dan keras. Sebahagian badan ayah kekuning-kuningan dan sebahagiannya menjadi gelap. Sedih mengenangkan ayah yang sakit. Semalaman aku tak bisa melelapkan mata. Menangis dan berdoa agar kesakitan yang dirasainya semakin surut dan sembuh.

Ayah...kenangan bersama-sama ayah sangat manis. Ayah seorang yang kelakar, suka berjenaka tetapi pada masa yang sama ayah sangat sensitif orangnya. Mudah mengalirkan air mata apabila dalam keadaan sedih. Ayah cuba menyembunyikan kesakitan dan kesedihannya dengan buat-buat kuat dan buat-buat gembira.

Hari ini aku sempat meloloskan diri ke HSA walaupun bukan pada waktu melawat lantaran rindu terhadap ayah yang semakin sarat. Aku peluk dan cium pipinya semahu-mahunya. Ayah nampak gembira dengan kedatangan aku, apatah lagi aku mebawa biskut kegemarannya - biskut Marrie (biskut kahwin katanya). Menurut doktor bacaan diabetis dan darah tingginya masih terkawal. Cuma kadang-kadang ayah teringin hendak makan yang dia tak boleh makan. Itulah yang menyebabkan sakit ayah lambat sembuh.

Aku menghabiskan masa dengannya sehingga tengah hari. Sempat aku suapkan ayah makan. Sebaknya dada. Teringat masa kecil, ayah suapkan aku makan. Ayah tak pergi kerja kalau aku demam. Ayah datang melawat aku di asrama setiap hujung minggu. Kasih sayang ayah tiada galang gantinya. Aku cuba menahan air mata daripada terus gugur. Aku tak mahu menangis di hadapannya.

Ayah...cepatlah sembuh. Setiap hari aku panjatkan doa dan al-Fatihah buatnya. Sayang ayah...

Thursday, January 3, 2013

Segamat Dalam Kenangan

Pada 27 Disember 2012 yang lalu, saya berpeluang melaksanakan tugas rasmi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Cawangan Segamat. Satu taklimat tentang penulisan dan penerbitan diadakan di sana bagi memberi pendedahan kepada para pensyarah UiTM untuk berkarya dan menulis dalam bidang penulisan buku umum.

Usai melaksanakan tanggungjawab tersebut, saya mengambil kesempatan berlegar-legar di sekitar bandar Segamat. Tempat pertama yang ditujui pastinya kediaman rasmi kami sekeluarga semasa tinggal di Segamat sekitar tahun 80-an. Kebetulan emak meminta saya ke sana kerana ingin menyampaikan hadiah kepada teman lamanya, makcik Rahmah. Saya disambut mesra oleh makcik Rahmah dan anak-anaknya Nadia dan Nabila. Makcik Rahmah merupakan teman akrab emak semasa di Segamat. Suaminya (arwah) merupakan guruku semasa aku bersekolah di Sek. Temenggong Abdul Rahman (STAR), Segamat. Siap makan minum barulah saya beralih ke haluan lain.  

Sebelum bertolak balik ke Johor Bahru, saya sempat menghubungi seorang rakan sekolah rendah yang masih mesra dengan saya. Rohaizaa Leman, teman sekelas semasa di STAR begitu sudi menemani malam saya dengan cerita-cerita menarik, gelak-gelak santai, kisah-kisah lucu, fakta-fakta suprise! Wow!!! Tak sangka ya...kami bertemu kembali setelah 24 tahun terpisah. Masing-masing sudah berkahwin dan beranak-pinak. Keseronokan bertemu Rohaizaa saya anggap sebagai tuah yang selepas ini entah bila lagi kami akan berjumpa. Terima kasih sekalung budi buatnya.

Segamat, meninggalkan kenangan yang sangat indah kepada saya dan pastinya kepada keluarga saya keseluruhannya. Di situlah saya bersekolah, bermain, bersantai dengan kawan-kawan sepanjang tempoh tumbesaran kanak-kanak. Memang indah zaman kanak-kanak lantaran kami masih suci tanpa hasad dengki, pangkat dan harta. 

Wednesday, November 14, 2012

Salam 1434

Seluruh umat Muhammad menyambut 1 Muharam 1434 hijrah pada tanggal 14 November 2012 masihi. Saya menyambutnya dengan penuh kesyukuran bersama-sama suami dan anak-anak. Berjemaah membaca doa awal dan akhir tahun, sangat mengujakan kerana kami jarang-jarang dapat berkumpul.

Suami mengambil cuti bagi memperuntukkan masanya bersama-sama saya. Sungguh terharu. Kebanyakan waktu lain kami sibuk dengan urusan duniawi masing-masing. Saya hampir-hampir terlupa tentang amalan sunat tersebut. Mujur ketua keluarga yang satu ini mengingatkan.

Saat saya terlupa hal tersebut, saya terasa betapa teruknya saya. Walhal perkara itu berulang-ulang kali saya tatap dalam wall kawan-kawan di FaceBook. Teruknya saya. Bukan lupa tapi tak ingat...

Saya tidak meletakkan harapan setinggi gunung bagi menempuh tahun baharu. Namun saya tetap meletakkan harapan dan target tertentu dalam hidup. Menjadi yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan sama ada sebagai hamba-Nya mahupun sebagai manusia biasa yang sering berkeliaran di muka bumi ini mencari rezeki yang halal. Saya sentiasa memohon agar Tuhan melindungi kami sekeluarga daripada sebarang musibah yang tak mampu kami pikul. Biarlah rahmat dan reda Allah sentiasa dalam lingkungan kami sekeluarga.

Tak perlulah saya catatkan secara terperinci tentang azam diri saya. Cukuplah hanya diri sendiri dan Tuhan yang mengetahuinya, kerana semua perancangan manusia tetap atas kekuasaan dan ketentuan Allah yang menjadi perancang terbaik. Saya bersyukur berada dalam keadaan sekarang, menjadi diri sendiri seperti hari ini.

Monday, November 12, 2012

Dari Mata Turun ke Hati

Pada 5 November 2012, saya mengalami satu lagi kejutan kesihatan yang di luar jangkaan saya. Pada awalnya saya sangkakan hanya sakit mata biasa, tetapi setelah tiga hari sakit mata tersebut semakin melarat. Mata saya semakin bengkak, kelopak mata hampir-hampir tertutup, air mata sentiasa mengalir dan yang paling sakit apabila terdapat sebiji ketumbuhan di hujung mata putih.

Doktor mengesahkan bahawa biji tersebut merupakan cyst yang tumbuh sejak sekian lama. Ia membesar secara senyap dan mengganggu penglihatan saya. Saya merujuk penyakit tersebut kepada pakar mata dan pada 7 November 2012, doktor telah membuat sedikit pembedahan kecil yang memakan masa lebih kurang dua jam setengah bagi membuang cyst tersebut. Sakit dan pedihnya tidak terkata. Saya melaluinya sendirian. Ketika saya melalui saat cemas itu, suami saya berada di luar kawasan, emak pula menemani adindanya ke Kelantan, adik-beradik sibuk dengan urusan masing-masing. Sekadar bertanya khabar dari jauh sahaja. Syukurlah keluarga mentua amat prihatin dengan keadaan saya. Saya diberi cuti sakit selama 8 hari dan saya dinasihatkan mengurangkan kegiatan luar. Memang perit mata memandang cahaya.

Oleh sebab mahu segera sembuh, saya tidak pernah terlupa mengambil ubat mengikut jadual dan sukatan yang ditetapkan. Dan, syukurlah segala-galanya semakin bertambah pulih.

Segala penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Penyakit yang Tuhan kurniakan itu sememangnya menghapus dosa yang sarat, mendekatkan diri kepada Pencipta dan meningkatkan kesabaran. Aset penting bagi seorang editor ialah mata, maka hargailah mata kerana dari mata turun ke hati.

Sudah Ketentuan Tuhan

Kisah ini sudah berlaku semasa umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan terbesar pada Syawal 1413 lalu. Namun sehingga kini masih memberi kesan. 

Saya disahkan hamil anak kelima sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri. Perkhabaran itu saya sambut dengan kesyukuran walaupun agak terkejut (sendiri terkejut!). Inilah yang dinamakan rezeki. Saya beritakan hal tersebut tentukan kepada suami tercinta. Suami amat teruja dengan harapan cahaya mata kali kelima ini biarlah seorang putera bagi menemani putera sulung. Kegembiraan tersebut juga dikongsikan bersama-sama dengan adik-beradik, keluarga mentua dan emak. Mereka yang lebih teruja berbanding saya sendiri. 

Sebenarnya, dalam diam saya belum bersedia menerima kehadiran cahaya mata baharu, maklumlah Raja Zahra baru mencecah usia setahun setengah. Masih menyusu badan dan masih ingin bermanja-manja di bawah ketiak ibunya.Namun, suara hati ini saya bisikan hanya kepada Tuhan yang maha Pencipta. Saya pasti rintihan saya yang tidak bersedia ketika itu didengari-Nya. Sehinggalah, pada malam hari raya itu berlaku pendarahan yang agak mengejutkan. Saat saudara-mara berkumpul memeriahkan malam hari raya (ketika itu di rumah mentua), saya menahan kesakitan yang teramat. Lebih memilukan apabila saya merasakan betapa Allah itu amat hampir dengan saya, mendengar suara hati saya, mendengar isi hati saya, mendengar rayuan saya. Oh, Tuhan! Air mata saya gugur jua walaupun ditahan-tahan.

Saya dan suami tidak terus ke hospital memandangkan keesokannya kami ingin berhari raya, meraikan lebaran, hari kebesaran sementelaah saya sudah pun berpuasa penuh sebulan! Suami pula masih mengharapkan pendarahan tersebut perkara biasa kerana memang terdapat kes pendarahan semasa awal kehamilan namun embrio masih bernyawa dan terus hidup di dalam rahim. Pada hari raya kelima barulah saya menyerah diri ke Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru setelah berasa tidak selesa dan sakit. 

Setelah melalui proses imbasan, doktor mendapati yang rahim saya telah pun kosong. Terdapat serpihan darah di dinding rahim dan doktor menasihati saya supaya membuat DNC agar tidak berlaku jangkitan kuman. Saya lalui saat getir itu bersama suami yang setia menemani, memberi ketenangan dan semangat. Doktor Kevin yang merawat saya juga memberi motivasi kepada saya yang bukan sedikit nilainya. Katanya, sebagai manusia yang percaya akan Tuhannya, kita mesti reda dengan ketentuan takdir. Mungkin yang gugur itu bayi yang tidak sihat, yang tidak layak saya terima kehadirannya. Walaupun Dr. Kevin beragama kristian, beliau tetap percaya akan kadak dan kadar.

Saya berpantang selama 2 minggu seperti mana orang bersalin. Syukur saya masih punya emak yang sudi menemani hari-hari murung saya. Syukur saya punya suami yang prihatin dengan kesihatan saya.

Ya, Allah! Jika kandungan yang Kau anugerahkan kepadaku ini bakal menjadi benih yang tumbuh subur menjadi legasi beriman dan sempurna, Kau kekalkanlah dia di dalam rahim yang penuh kasih sayang ini. Jika kandungan ini Kau ciptakan untuk menguji kesabaranku, melenyapkan kegembiraanku dan seluruh ahli keluargaku serta menjauhkan aku daripada rahmat-Mu yang berpanjangan....Kau lepaskanlah dia daripada meresap keseluruh urat nadiku. Amin, ya Allah....

Tuesday, July 24, 2012

Pindah Lagi...

Benarlah janji Allah itu penuh hikmah. Dia menarik sesuatu pemberian, Dia juga yang menganugerahkan kesaktian. Semua yang berlaku sememangnya tidak diduga. Perancangan Allah maha cantik dan bijaksana. 

Setelah genap setahun berkhidmat di DBP Kuala Lumpur, saya mendapat surat penempatan di DBP Wilayah Selatan semula. Saban hari saya mengadu pada Allah betapa penatnya saya berada di bumi yang berlembah dan berlumpur. Saya penat mengejar masa, penat mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk, penat menanggung rindu terhadap ayahanda yang sedang gering, penat bekerja dalam suasana tidak kondusif. Kadang-kala tekanan datang bertimpa-timpa. Memang sahlah, bahawa saya tidak layak berada dalam kekalutan Kuala Lumpur. Demi ayahanda, demi bonda, demi suami tercinta (yang setia menemani saya), saya berazam setinggi-tingginya untuk keluar dari kepompong kepenatan ini dengan apa jua cara. Saya tidak mahu mengalah. Saya akan berjuang untuk berada dalam cinta dan kasih saya kepada tanah Darul Takzim yang sering mendekati saya. 

Keluhan saya didengari Allah. Dan, akhirnya tanggal 23 Julai 2012 saya kembali semula ke tanah daksina bagi meneruskan kerjaya saya, menyuburkan bahasa dan persuratan di hujung tanah. Bonda merupakan orang yang paling bersyukur dan gembira. Ayahanda sebak mendengar berita. Kekanda suami tercinta berterima kasih tak terkira. Aku...paling meruntun rasa. Tuhan maha adil. Dia telah membuka ruang dan peluang untuk saya kembali menjengok ayah dan menjaga emak yang semakin berganjak usia.  

Salam perkasihan. 

Thursday, June 14, 2012

PENGANTIN ZAMAN SEKARANG

Tahun ini sahaja 3 orang ahli keluarga saya menempuh alam rumah tangga. Adik bongsu saya dan dua orang adik ipar yang melangsungkan perkahwinan serentak. Nampaknya zaman semakin maju dan suasana kenduri kahwin tidak sama dengan zaman saya dahulu. Dan pastinya zaman kenduri kahwin saya tidak sama dengan zaman mak-mak saudara saya yang lain.

Saya perhatikan, di mana-mana pun majlis perkahwinan yang saya hadiri, pasangan pengantin boleh dikatakan kahwin 'syok sendiri'. Ada beberapa perkara yang saya tak gemar. Pertama, bunyi muzik yang membingitkan telinga sehingga sukar tetamu hendak berbual semasa sendiri. Sanak-saudara pengantin sibuk berkareoke melalak-lalak 'menyumbang' suara. Perlukah itu semua? Sebaik pengantin diijab kabul, akan ada majlis persandingan. Ketika itu mak bapak pengantin sibuk menyambut tetamu. Tetapi pengantin sibuk berpossing di pelamin tak sudah-sudah. Jurugambar hanya mengambil gambar pengantin semata-mata. Agak kurang memberi perhatian kepada kehadiran tetamu. Sedangkan sebahagian besar tetamu yang hadir itu merupakan sanak-saudara, sahabat-handai dan jiran tetangga yang jarang-jarang dapat bersua muka. Apalah salah kiranya jurugambar menghalakan lensa kamera mereka untuk merakam kehadiran para tetamu? Sekurang-kurangnya kita tahu siapa yang hadir.

Lepas selesai berpossing di pelamin, pengantin cari lokasi di bilik tidur pula. Mentang-mentanglah masa itu bilik pengantin dihias cantik....segala sudut menjadi tatapan kamera. Tak puas dengan itu, jurugambar bersama-sama pengantin bergambar sakan di lokasi luar pula! Haaaiii...macam budaya orang Cina pula! Santak ke petang baru nampak muka pengantin! Bila masa pengantin nak menyambut tetamu, bersalaman dan beramah mesra dengan para jemputan? Jawapannya TIADA MASA!

Saya tidak hairan mengapa suami saya tidak suka menghadiri kenduri kahwin. Selain kena ambil makanan sendiri (ala bufet), dia juga tidak berkesempatan bersalaman dengan mempelai, apatah lagi nak beramah-mesra. Jika hal-hal tersebut terhalang kerana kesibukan mempelai melayan tetamu lain, hal tersebut boleh lagi dimaafkan. Tetapi, kalau sampai rumah pengantin, tapi pengantin sudah keluar ke 'lokasi pengambaran', apatah ertinya kehadiran kami?

Saya tidak juga mahu menyalahkan pengantin sendiri. Ibu bapa pengantin sendiri tidak mahu menegur tingkah laku pengantin. Mentang-mentanglah si anak sudah ada pasangan sendiri.... Tetamu lebih rasa dihargai jika kehadiran mereka dilayan pengantin sendiri.

Selamat pengantin baru...