Pages

Friday, December 31, 2010

Semuanya untuk Anak-anak

Minggu lalu, semua persiapan persekolahan anak-anak telah dilengkapkan. Tiada lagi istilah tertinggal atau terlupa. Lengkap! Daripada buku-buku sekolah, alat tulis, uniform, kasut...semuanya beres! Dalam kepayahan membawa perut, saya masih lagi kuat dan bersemangat melayan kerenah mereka.

Namun begitu, persiapan persekolahan pada tahun 2011 akan datang, bukan semuanya baru. Saya sama sekali tidak menggalakkan anak-anak membeli atau mengganti semuanya dengan yang baru. Selagi kasut lama masih elok, beg sekolah masih tak koyak, alat tulis masih boleh digunakan, mereka disaran menggunakannya untuk tahun 2011. Mujurlah mereka tidak merungut dan mengeluh. Seperti tahun-tahun yang sudah, perbelanjaan paling tinggi ialah bagi bajet buku-buku sekolah. Saya sendiri memperuntukkan beberapa buku rujukan untuk tujuan pembelajaran mereka kerana saya mengambil langkah penjimatan untuk mengajar mereka sendiri di rumah. Baik dari segi melengkapkan kerja rumah, mengulang kaji pelajaran, membuat latihan karangan dan Matematik, serta mengaji al-Quran. Bukan lokek mengeluarkan perbelanjaan untuk kelas tuisyen atau kelas al-Quran untuk anak-anak, cuma saya lebih puas hati jika dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan anak-anak di depan mata sendiri. Jika saya masih mampu mengajar mereka Bahasa Inggeris, Matematik, Quran dan Bahasa Melayu, untuk apa mereka dihantar ke tangan orang lain? Dalam hal ini, saya terpaksa mendisiplinkan diri dengan jadual yang saya sediakan sendiri, supaya mereka mempunyai masa dengan buku-buku, masa bermain dengan kawan-kawan dan masa menziarahi sanak-saudara.

Saya harap, usaha saya ini membuahkan hasil yang lumayan. Dan mereka tidak berjauhan dengan saya. Selamat tahun baru!

Tuesday, December 14, 2010

Kejutan Demi Kejutan

Beberapa minggu ke belakangan ini, saya dikejutkan dengan beberapa berita sedih. Kesemuanya tentang teman-teman yang menghidapi pelbagai penyakit kronik. Teman seangkatan saya rata-rata berusia dalam lingkungan 30-an. Awal 30-an, pertengahan 30-an dan akhir 30-an. Usia 30-an bukanlah tua sangat. Inilah usia yang paling bertenaga, saya kira. Dalam usia inilah banyak pencapaian manis yang terlakar dalam dairi kehidupan seseorang. Saat inilah mereka bertemu jodoh, mendapat kenaikan pangkat, stok anak sudah mencukupi, ekonomi keluarga semakin kukuh, simpanan semakin bertambah, dan kestabilan rumah tangga mula dirasai.

Namun, beberapa rakan rapat saya diberitakan menghidapi pelbagai penyakit kronik. Saya sangat simpati dan terkejut. Ada yang menghidap barah payudara, kanser serviks, barah otak dan barah paru-paru. Yang lelaki pula semakin rancak dengan gout, sakit jantung dan darah tinggi. Seorang kenalan di Pontian, kini sedang tercari-cari penawar darah tinggi. Walhal dia seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat. Joging tak pernah tinggal, hampir pada setiap petang. Kopi dan teh tak pernah disentuhnya. Tapi, semalam dia menghantar pesanan ringkas di telefon bimbit saya, meminta saya mencarikannya daun sambung nyawa untuk mengubati penyakit darah tingginya.

Dan, hari ini saya dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat di Sabah. Dia merupakan mantan staf di pejabat ini. Disahkan meninggal dunia malam tadi akibat sakit jantung dan darah tinggi. Innalillahhhh...(al-Fatihah buat Sitti Melinda). Saya tidak dapat menahan kesedihan ini lantaran usianya baru 31 tahun, dan masih belum sempat berumah tangga. Dia baru saja mengirim mesej dalam kotak FaceBook saya, mengucapkan selamat bersalin dan merancang ke Johor Bahru, untuk bertemu rakan-rakan. Itulah, manusia hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukannya.

Kepada teman-teman yang masih sihat, amalkanlah gaya hidup cergas. Jagalah pemakanan. Yang sudah disahkan sakit, berubatlah kerana setiap penyakit ada penawarnya, kecuali mati. Saya percaya kepada teknik kesedaran minda. Jika kita sentiasa berdoa untuk sihat, kita akan sihat kerana aura sihat sentiasa bersama-sama kita, walaupun kita tahu kita mempunyai penyakit. Waallahualam...

Friday, November 19, 2010

Jagaan Orang Luar vs Jagaan Ahli Keluarga

Tanggal 15 November 2010 yang lalu, saya dikejutkan dengan kematian anak jiran saya yang baru berusia 4 bulan 10 hari. Bayi malang itu anak pasangan Ayu dan Azhar (nama sebenar), jiran di hadapan rumah saya. Dia meninggal dalam jagaan pusat asuhan kanak-kanak. Yang tragisnya, itulah hari pertama Ayu menghantar anaknya di pusat tersebut. Dan hari yang sama juga, kejadian malang menimpanya.

Menurut pengasuh yang menjaga bayi tersebut, anak Ayu tidak jatuh, tidak tersedak susu, tidak meragam, tidak sakit...tetapi sebaik sahaja selesai dimandikan awal pagi itu, bayi tersebut kebiru-biruan seluruh badan sehingga tidak bernafas. Terus dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di ICU, Hospital Sultanah Aminah, JB. Hasil imbasan mendapati tempurung kepalanya retak. Namun, pihak pusat jagaan tersebut menafikan sekeras-kerasnya tentang sebarang kemalangan yang menimpa anak Ayu. Lima hari di ICU, akhirnya nadi sekecil itu berhenti berdenyut setelah pihak hospital mencabut wayar-wayar yang menjalar di seluruh tubuh monggel itu. Sangat tragis! Apatah lagi anak tersebut masih menyusu badan.

Inilah masalah pusat jagaan kanak-kanak yang tidak dapat dipastikan sejauh mana kemahiran mereka mengendalikan hal ehwal bayi dalam satu-satu masa dengan bilangan bayi yang ramai. Apabila berlaku kemalangan sama ada kecil atau besar, mereka sering lepas tangan. Dan pihak kerajaan sendiri kurang memantau kewujudan pusat-pusat ini.

Saya dan suami memang tidak pernah mempercayai orang luar dalam hal ehwal penjagaan anak-anak. Anak-anak saya diletakkan dalam jagaan ibu bapa mentua selama saya keluar bekerja. Biarlah apa orang nak kata. Sesetengah orang berpendapat, kami menyusahkan ibu bapa, kami menggaji ibu bapa, kami membebankan ibu bapa. Hakikatnya, kami sahaja yang tahu. Anak-anak yang dijagai ahli keluarga lebih selamat daripada jagaan tangan luar. Sekurang-kurangnya, makan pakai dan pergerakan anak-anak dalam keadaan kondusif. Persekitarannya dijamin selamat. Apatah lagi mereka dalam lindungan orang tua yang sentiasa peka dengan persekitaran anak kecil.

Kepada keluarga Azhar dan Ayu, semoga roh Arif dicucuri rahmat. Kalian pasti bertemunya di syurga. Redalah dengan pemergiaannya.

Wednesday, October 13, 2010

BEKERJA DARI RUMAH

Sejak kebelakangan ini saya dapati beberapa orang rakan saya telah memulakan kerja di rumah. Budaya ini sebenarnya sudah lama diamalkan di negara-negara maju, dan kini menular ke bumi bertuah ini. Rakan-rakan saya kebanyakannya bekerja sepenuh masa, namun ramai dalam kalangan mereka 'cuba-cuba' menjalankan bisnes dari rumah. Ada juga yang masih lagi bekerja namun mendapat kepercayaan majikan untuk melaksanakan kerja-kerja pejabat di rumah. Tidak perlu lagi bergegas ke tempat kerja dan menempuh kesesakan lalu lintas.

Seorang teman, yang menjawat jawatan sebagai Pelukis Pelan di sebuah jabatan kerajaan, telah menempuh sebulan lamanya bekerja dari rumah. Setiap lukisan kejuruteraan yang telah sukses, die-mel sahaja kepada penyelianya untuk semakan. Sekiranya hasil tugasan tersebut perlu pembetulan, beliau sekadar menerima arahan melalui telefon atau pun e-mel. Seorang lagi teman saya merupakan jurufoto (swasta). Beliau juga melaksanakan kerja-kerja penyuntingan gambar dan perekodan di rumah. Hanya memerlukan komputer yang lengkap dengan perisian grafik, pengaksesan internet, dan talian telefon. Hasil kerjanya akan dihantar kepada majikannya melalui e-mel sahaja. Seminggu hanya sekali sahaja beliau hadir ke pejabat untuk menghantar hard copy yang diperlukan pelanggan sekali gus mengambil surat-surat rasmi yang berkaitan dengan kerjanya.

Ada juga sesetengah teman saya yang sudah berhenti kerja kerana menjalankan bisnes dari rumah. Pendapatan bulanan mereka sudah tentu tidak tetap, tetapi lebih lumayan daripada kerja makan gaji. Yang mahir menjahit, bukan sekadar mengambil upah menjahit baju, malahan menggerakkan bisnes menjahit langsir dan cadar. Pendapatan mereka mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Dan angka tersebut naik mendadak apabila tiba musim perayaan dan perkahwinan. Kini, kemahiran menjahit baju, langsir dan cadar diperluas dengan menjahit beg. Pelbagai jenis beg beraneka fabrik dihasilkan dengan harga yang berpatutan. Bukan setakat menjualnya dalam kalangan rakan-rakan terdekat, malahan sudah menjangkau ke luar negara kerana pandai memasarkannya melalui internet. Yang mahir membuat kek, sudah mula menjual kek mengikut tempahan. Kek bukan sahaja ditempah pada musim perayaan dan perkahwinan, bahkan permintaannya hampir setiap hari kerana majlis-majlis tertentu seperti perpisahan, hari jadi, pertunangan, khatam quran dan sebagainya.

Saya sangat kagum dengan wanita seperti ini. Lebih mengutamakan keluarga daripada keperluan diri sendiri. Mereka yang bekerja dari rumah ini boleh memantau pergerakan anak-anak (sekali gus pergerakan suami....heheheh). Hal persekolahan anak-anak, keluar masuk mereka di rumah, sentiasa di depan mata. Soal keuntungan atau pendapatan bulanan jatuh di tangga kedua. Yang diutamakan ialah anak-anak dan rumahtangga.

Saya pernah juga terfikir melaksanakan kerja dari rumah. Dan saya yakin boleh melakukannya jika pihak majikan memikirkannya secara mendalam dan memberi peluang percubaan. Bukan sahaja boleh duduk di kerusi yang lebih empuk dan selesa daripada yang ada di pejabat, malahan saya boleh melakukan kerja pejabat serentak dengan kerja-kerja memasak, mengemas rumah dan memantau persekolahan anak-anak.

Suami saya sendiri telah membuktikan, betapa kerja dari rumah juga boleh menjana pendapatan keluarga. Beliau hanya keluar rumah jika ada sebarang temu janji atau perbincangan dengan customer. Kadang-kadang costumer sendiri selesa datang ke rumah untuk berbincang hal-hal bisnes. Sudahlah kos sewa pejabat tidak wujud, kos petrol boleh dikurangkan, bekerja pula mengikut selera sendiri kerana dialah bos dialah kuli.

Saya kira, sudah tiba masanya kita mengamalkan cara kerja dari rumah. Pihak kerajaan juga harus memikirkannya kerana dunia semakin global, langit semakin terbuka. Sebarang kekangan yang wujud, boleh diselesaikan. Kita semua punya akal yang sangat berharga. Gunakanlah akal semaksimanya untuk kepentingan sejagat. Bak kata seorang warga Jepun kepada saya, negara Jepun tidak mempunyai sebarang hasil bumi yang boleh dibanggakan, tetapi setiap rakyatnya mempunyai akal yang sangat cerdik. Itulah yang digunakan sebaik-baiknya. Tidak ada seorang manusia pun yang hidup melarat di Jepun.

Tuesday, September 28, 2010

BENGKEL PELAN TINDAKAN WANITA NEGERI JOHOR

Pada 23-24 September 2010, saya berkesempatan menghadiri Bengkel Pelan Tindakan Wanita Negeri Johor, di Hotel M-Suites, Johor Bahru. Bengkel berlangsung dari pagi hingga 10.30 malam. Hari pertama, sebaik selesai pendaftaran, peserta diberi taklimat tentang program ini. Kami dibahagi-bahagikan kepada lima kumpulan iaitu Wanita Sektor Awam, Waniita Sektor Swasta, Wanita dan Keusahawanan, Wanita Industri Asas Tani, dan Wanita Terpinggir.

Bengkel dirasmikan oleh YB Dr. Robiah Dato' Haji Kosai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Wanita Johor. Ucaptama disampaikan oleh Datin Paduka Profesor Jamilah Ariffin, isteri Menteri Besar Johor, juga penasihat bengkel ini. Beliau yang juga seorang penulis, pengkaji dan pensyarah, telah memaklumkan tentang perkembangan pembangunan wanita Johor yang selari dengan pembangunan holistik kerajaan negeri. Wanita Johor telah diiktiraf sebagai antara yang teramai berkerjaya dan berjaya. Kemajuan wanita Johor mengatasi wanita di negeri-negeri lain termasuk Selangor.

Dalam bengkel tersebut, kami berbincang dan mengutarakan pelbagai cadangan yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan lagi taraf hidup, status, kemudahan dan kesejahteraan wanita Johor. Antara usul yang diutarakan ialah:
a) Penyediaan pusat asuhan kanak-kanak, ibu bapa yang uzur, dan anak-anak selepas waktu persekolahan.
b) Meningkatkan kemudahan rekreasi.
c) Memperuntukkan 'cuti khas' atau 'cuti tanpa rekod' bagi wanita untuk menjaga anak yang sakit -- cuti yang tidak ditolak daripada cuti rehat.
d) Memberi peluang kepada ibu tunggal untuk mendedahkan diri dengan kemahiran IT.
e) Memberi peluang yang setara kepada usahawan wanita untuk memasarkan produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
f) Memberi pendedahan pendidikan kepada wanita desa dan wanita orang Asli agar lebih mengutamakan pelajaran diri dan anak-anak.
g) Mewajibkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap wanita berusia 40 tahun.

Banyak lagi resolusi yang dibentangkan dan didengar sendiri oleh YB dan Datin Paduka. Para pembentang telah menyerahkan resolusi pada malam terakhir kepada Datin Paduka dan hal tersebut akan dipanjangkan kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya.

Semoga usaha murni ini diredai Allah dan wanita Johor terus cemerlang dalam pelbagai segi. Sebagai anak jati Johor, saya turut rasa kagum dengan usaha pihak YPK mengendalikan bengkel ini.

Thursday, September 2, 2010

Keluhan-Kebosanan-Kepenatan

Semalam saya ke Pejabat Imigeren, Pekan Rabu, Johor Bahru untuk memohon pasport antarabangsa anak kecil yang baru berusia setahun sembilan bulan. Saya sampai di Pekan Rabu kira-kira pukul 11.10 pagi dan terus mendapatkan borang di kaunter. Setelah melengkapkannya saya terus mendapatkan nombor giliran. Angka giliran saya ialah 418 manakala angka yang sedang tertera di skrin 353. Jadi, saya harus menunggu kurang lebih 65 giliran lagi.

Nombor giliran saya dipanggil pada pukul 2.00 petang. Bayangkan betapa lamanya saya menunggu. Sehingga saya bosan dan mengantuk. Bahan bacaan yang saya pegang juga tidak mampu menghilangkan kebosanan saya. Berurusan di kaunter sekadar lima minit sahaja (untuk tandatangan pengesahan penjaga, cap jari, dan bayaran tunai). Kemudian saya diminta menunggu sehingga 2.35 petang untuk mengambil pasport yang telah siap. Malangnya pukul 3.14 petang barulah nombor saya disebut semula.

Menunggu begitu lama untuk menguruskan satu (satu sahaja) pasport, amat memenatkan. Pejabat Imigeresen menyediakan 12 kaunter urusan. Dua daripadanya merupakan kaunter penyerahan manakala selebihnya (10 kaunter) merupakan urusan permohonan. Malang sekali, semasa saya datang hanya lima kaunter sahaja yang beroperasi.

Dalam kita mengejar kemajuan dan masa, masih ada lagi jabatan kerajaan yang tidak efisyen. Terpapar di dinding pejabat tersebut 5 Integrasi Harmoni (Pandang, Senyum, Ucap, Khidmat, Terima kasih). Saya dapati pegawai yang bertugas di kaunter hanya memandang dan memberi perkhidmatan sahaja. Mereka tidak senyum dengan pelanggan (lagi-lagi pelanggan yang stress menunggu macam saya), mereka langsung tidak memberi ucap selamat (mungkin mengejar masa kerana ramai lagi yang menunggu), dan mereka langsung tidak berterima kasih (malahan saya yang berterima kasih dengan mereka).

Saya suka cadangkan agar pejabat kerajaan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai mengamalkan sikap ramah yang melebihi orang lain. Sekurang-kurangnya kaedah ini boleh meleraikan ketegangan. Negara telah pun 53 tahun merdeka. Seharusnya permohonan pasport secara dalam talian telah lama digunakan. Pemohon boleh mengisi borang dari rumah atau di mana-mana tempat yang mempunyai akses internet dan terus menghantar permohonan dalam talian. Pemohon boleh terus hadir ke Pejabat Imigeresen untuk mengambil pasport yang telah siap. Mudah, tidak membuang masa dan jimat tenaga dan petrol! Jika unsur-unsur keselamatan negara dijadikan alasan untuk membuat pasport, saya kira ada kaedah lain yang lebih selamat. Bukankah kita yang membuat teknologi tersebut. Manusia yang mengendalikan teknologi, bukan teknologi yang mengendali manusia.

Sudahlah saya terpaksa membawa si kecil yang renyah. Berdepan pula dengan birokrasi. Saya bertanya kepada pegawai kaunter, boleh tak kalau si kecil ini tidak bersama saya semasa permohonan dibuat? Jawapannya tidak boleh, kerana pihak berkuasa perlu melihat 'kewujudan' anak tersebut. Saya kira 'kewujudan' anak itu boleh dibuktikan dengan sijil kelahiran atau mykad yang dibawa bersama-sama penjaga. Terdapat seorang ibu yang masih dalam pantang membawa bayinya untuk membuat pasport. Saya sangat sedih melihat ibu itu menunggu lama sambil memangku bayinya, sesekali terpaksa menyusukannya di khalayak ramai. Dia lebih malang daripada saya!

Jika hal ini berlaku di hospital kerajaan, sekurang-kurangnya saya mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Saya boleh ke klinik swasta, ke farmasi sahaja atau terus ke hospital swasta. Tetapi untuk melayakkan saya mendapatkan pasport anak saya, mana mungkin saya ke tempat lain...

Monday, August 30, 2010

Kenangan Raya

Semasa saya melalui zaman kanak-kanak, sambutan hari raya merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu, walaupun puasa tak pernah cukup. Semasa menyambut Ramadan, waktu bersahur menjadi waktu yang paling memberatkan. Apa tidaknya, terpaksa mencelikkan mata yang sedang sedap terpejam. Biasanya kami bersahur seawal 4.30 pagi. Mak akan paksa kami minum air panas supaya perut tidak terkejut dengan makanan yang akan masuk ke perut (itulah alasan mak waktu itu). Kami akan makan semeja dengan ayah menjadi ketua membaca doa. Selesai sahur, ayah juga yang akan memastikan kami adik beradik membaca niat puasa dengan maksudnya sekali dalam bahasa Melayu, supaya kami lebih faham dan menghayati erti berpuasa.

Waktu berbuka pula, merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu. Saya dan adik-adik lain membuat pelbagai macam permintaan semasa berbuka puasa. Dan ayah tak pernah menghampakan permintaan kami.

Apabila hari raya semakin hampir, ayah dan mak akan membawa anak-anaknya yang seramai empat orang untuk membeli-belah. Tapi, waktu itu kami tinggal di bandar Segamat. Segamat pada tahun 80-an bukanlah sebuah bandar yang gah dengan megapura. Paling canggih pun pasar raya Great Wall (saya tak pasti, masih wujud lagi atau tidak pasar raya tersebut). Kami membeli-belah di kedai-kedai biasa sahaja. Tetapi, keperluan kami cukup lengkap. Pendek kata serba baru dari atas sampai ke bawah! Itulah ayah...sanggup berhabis-habisan untuk anak-anak. Hal ini berlanjutan sehingga kami meningkat remaja. Ayah memberi kebebasan membeli keperluan sendiri setelah kami berusia 18 tahun. Itu pun masih dipantau keperluan-keperluan lain yang maha penting.

Setiap kali menyambut hari raya, kami akan pulang ke Batu Pahat (kampung halaman ayah). Seawal pagi kami akan menziarah kubur. Sebaik selesai solat Aidilfitri, ayah akan membawa kami ke merata pelesok kampung sehingga ke Muar untuk menziarah sanak saudara, supaya kami kenal saudara-mara. Yang penting kata ayah, supaya kami tak terkahwin dengan saudara sendiri. Ayah sangat tidak menggalakkan kami berkahwin dengan saudara terdekat. Kesannya sehingga kini saya amat mengenali saudara-mara yang jauh sekalipun amat jarang bersua muka. Itulah kepentingan ziarah.

Selepas beberapa hari di Batu Pahat, barulah kami bertolak ke kampung mak di Kebun Teh, Johor Bahru. Mak juga mengamalkan ziarah dengan membawa kami adik-beradik ke rumah saudara-maranya. Hubungan kami sekeluarga sangat erat sungguhpun masing-masing sudah membawa haluan sendiri kini. Yang menyeronokkan pada musim hari raya ini ialah, collection duit raya. Nila ringgit bukanlah sesuatu yang penting bagi kami, tapi terasa seronok apabila ada orang yang memberi kami wang walaupun jumlahnya sekadar 20 sen. Betapa besarnya nilai 20 sen ketika itu!

Dan amat menyeronokan apabila musim Syawal diraikan dengan kehadiran kumpulan marhaban. Kumpulan marhaban ini hadir ke rumah-rumah dengan iringan doa dan selawat nabi. Dan disudahi dengan sedikit jamuan ringan. Kami sekali lagi berkumpul untuk bergotong-royong menyediakan juadah jamuan. Sibuknya bukan kepalang, kerana yang hadir itu terdiri daripada penduduk setempat hampir 100 orang termasuk yang tua dan yang muda. Meriah!!!

Kini, saya dan adik-adik yang lain telah dewasa malah sudah beranak-pinak. Beberapa subjek yang ditegaskan ayah semasa zaman kanak-kanak saya terapkan dalam kehidupan saya sekeluarga. Sesekali mengenang kenangan manis ini, terasa juga sendunya, apatah lagi ayah saya kini sedang sakit. Semakin lanjut usianya, semakin sensitif pula dia. Namun, ayah tetap seperti dulu...suka betul memberi duit raya untuk anak-anaknya walaupun ayah sudah lama bersara. Ayah tak pernah kata "ayah tak ada duit", sekalipun ayah sudah tidak bekerja.