Pages

Friday, June 28, 2013

Rindu 'Home Sweet Home'

Bukan seronok pun tinggal di hospital. Kalau tak kerana sakit tak terimpi nak tinggal di sini. Mujurlah doktor dan jururawat sangat dedikasi melayan pesakit. Perkhidmatan hospital semakin cekap dan memuaskan. Apatah lagi ditempatkan di dalam bilik yang agak selesa. Pengalaman menarik sekadar berkongsi kesakitan dan penyakit dgn pesakit lain. Aku bersyukur sebab penyakit yg aku alami bukanlah penyakit kronik dan masih ada penawarnya. Pesakit lain di Wad Sakit Puan ini lebih tragis. Ada yang masih muda tetapi terpaksa menjalani pembuangan rahim. Ada yang melahirkan anak secara pembedahan dan masalah anak jaundis sehingga tak surut-surut. Ada yang keguguran anak kembar. Lagi tragis ada yg mengalami rahim terbalik. Pengalaman mendengar kisah sedih pesakit seperti ini tidak mungkin mudah aku peroleh kalau bukan krn ditahan di wad. Semua ini menginsafkan.

Rindu sebenarnya dengan rumah dan kerenah anak-anak. Mujur suami bercuti dan menjaga mereka. Hanya video call saja cara kami berinteraksi melepaskan kerinduan.

Wednesday, June 26, 2013

Sakit Itu Penghapus Dosa

Sudah berminggu-minggu lamanya aku menahan sakit perut, muntah dan loya. Ditambah lagi dengan tekanan darah yang rendah. Sering rasa nak pitam dan berpinar-pinar. Anak-anak sedikit terabai mujurlah ada keluarga mentua yang membantu. Suami pun dah pening kepala dengan keadaan aku. Aku bertahan kerana semangatnya dan keprihatinan kawan-kawan rapat. Aku cuba bertahan selagi mampu. Hari ini aku 'menyerah' diri di hospital besar. Mudah-mudahan segalanya dipermudah Allah. Amin.

Saturday, June 1, 2013

Positif

Jika anda sentiasa berfikiran positif, pasti hasilnya juga positif. 

Aku percaya dengan ketentuan-Nya. Dia menarik apa saja yang dikehendakinya dan menggantikannya dengan yang lebih baik bagi-Nya. 

Aku percaya kuasa doa. Terutamanya doa Dhuha dan waktu mustajab doa. Dan Allah maha mendengar setiap doa hamba-Nya. 

Ini kalilahhhh!!! 

Friday, May 31, 2013

Sendiri

Sesekali bersendirian...mengumpul ilham...menyiapkan sebuah perlukisan alam.

Tuesday, May 14, 2013

Bicara Duit

Sedikit ruang telah Allah tetapkan untuk aku dan seorang teman merancang hal-hal kewangan yang bersifat peribadi. Dalam tempoh lebih kurang sejam setengah kami berbincang meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Dalam sedikit masa itulah pelbagai idea timbul yang sebenarnya sudah lama wujud di depan mata. 

Kami merancang tentang pelaburan saham dan hartanah. Aset ada depan mata tapi gagal dimanfaatkan dan dikembangkan menjadi pemangkin ekonomi keluarga dan diri. Dalam kiraan peribadi disasarkan pada usia 48 tahun akan selesai semua hutang piutang (tidak termasuk pinjaman perumahan). Tanah yang ada akan dikaji kesesuaian faedahnya. Modal peribadi akan digunakan untuk membangunkan tanah berstatus tanah pertanian itu. Kata orang berbudi pada tanah besar manfaatnya. Pelaburan saham amanah yang dijamin oleh kerajaan perlu dimulakan secepat mungkin. Dalam kiraan peribadi pelaburan saham wajib dimulakan dengan sasaran 'jutawan' sebelum umur persaraan. 

Aku tak tahulah kenapa kesedaran tentang pelaburan ini lambat datang dalam kehidupan aku. Tapi syukur jugalah sebab belum terlambat memulakannya. Mudah-mudahan langkah awal ini satu tindakan bijak. 


Sunday, May 12, 2013

Hari Baru Semangat Baru

Hampir 10 hari lamanya tidak menjengah pejabat dan melupakan urusan pejabat buat seketika semenjak pemergian ayahanda. Esok aku akan mulakan hari baharu dengan semangat yang baharu. Kenyataan kehilangan ayahanda perlahan-lahan kuterima dengan kewarasan dan kepasrahan. Tidak mungkin selamanya aku harus berendam air mata dengan kehilangannya. Pelukan hangat, sentuhan mesra dan ciuman kasih ayah tidak mungkin berulang. Tetapi cinta kami anak-beranak akan mekar selamanya selagi ada hayatku.

Esok pagi aku perlu satu kebangkitan semangat yang sebelum ini hampir pudar. Kuhargai kasih sayang keluarga dan motivasi kawan-kawan yang memerlukan perhatian aku. Aku perlu meneruskan kehidupan seperti mana biasa. Rutin berulang-alik ke hospital kerana menjaga ayahanda akan kuganti dengan rutin menziarahi pusara ayahanda. Sekurang-kurangnya untuk melepaskan rindu kepadanya. 

Dalam kesedihan yang mencengkam aku dikhabarkan telah lulus peperiksaan jabatan yang baru-baru ini kududuki. Syukur kepada Allah kerana tidak perlu mengulanginya seperti beberapa rakan sekerja yang lain. Selepas ini pastinya perancangan kerjaya akan lebih tersusun. Allah maha berkuasa, pengasih dan penyayang. Mungin berkat menjaga ayahanda sepanjang beliau terlantar sakit membuatkan keputusan peperiksaan menyebelahi aku. 

Saturday, May 11, 2013

Rindu Bertandang Lagi

Seminggu sudah pemergian ayahanda, namun kehangatan pelukannya masih terasa. Selepas zuhur tadi kami sekeluarga mengadakan majlis tahlil untuk ayah. Syukur sangat kerana ramai saudara-mara, rakan taulan dan anak murid ayah yang hadir. Sungguh pun emak masih berada di bumi anbia' majlis tetap diteruskan seadanya.

Sesekali tersentuh juga hati ini apabila nama ayah disebut-sebut dalam doa kami. Sebak sangat apabila teringatkan ayah. Memang aku tak mampu menahan tangisan. Mak Ngah, Busu, Mak Anjang juga kulihat gagal menahan air mata. Memang rindu sangat dengan ayah. Mereka juga seperti aku yang merasai kehilangan insan tersayang.

Ayah,
Damaikan dikau di sana. Kami sentiasa mengiringimu dengan doa setiap hari. Aku tak pernah gagal menyedekahkan sekurang-kurangnya al-Fatihah buat ayah. Semenjak hayatnya masih ada lagi sehinggalah ayah pergi buat selama-lamanya.

Ayah,
Uya sayang ayah...tak mungkin melupakanmu walau sengketa pernah mengguris hati suatu waktu dahulu, kau tetap ayah yang satu, tiada galang ganti.