Anak sulung Maria, Zaiqel setia menunggu di simpang tiga di sekolahnya. Seperti biasa, Maria akan mengambilnya pulang dari sekolah bersama-sama Zurin, adiknya. Namun petang itu, wajahnya murung dan kelihatan air matanya bergenang di tubir matanya. Hati Maria mula berkecamuk. Bergaduhkah dia di sekolah? Dipukul gurukah?
"Kenapa menangis?" Maria bertanya lembut sebaik sahaja anaknya itu melangkah masuk ke kereta. Zaiqel diam.
"Kenapa?!" gertakan Maria membuatkan Zaiqel tersentak. Namun dia masih tetap membisu.
"Jawablah sayang, ibu tanya...,"
"Sains abang dapat 73 markah saja...," Zaiqel menjawab takut-takut.
"Oooo...dah dapat keputusan ujian?"
"Dah, tapi baru Sains saja. Yang lain-lain tak tahu lagi," Zaiqel menjawab tenang. Riak takut dimarahi masih bersisa. Maria menarik nafas panjang. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dihabisi dengan kata-kata memujuk untuk si anak.
"Kenapa markah teruk sangat?"
"Biasanya bu...soalan Sains ada dwi bahasa. Tapi...yang terbaharu ni, soalan semua dalam English. Ada yang abang tak faham. Cikgu kata, masa ujian tak boleh bertanya. So...what can I do?" Maria menggeleng-gelengkan kepala. Kesal. Masalah PPSMI rupa-rupanya yang melanda si anak. Zurin yang duduk di tempat duduk belakang menyampuk.
"Ibu kata, Sains dan Maths tak guna English lagi. Tipu! Now, you see...I got 70 in Maths!" Zurin menghulurkan kertas ujian bulanan Matematiknya. Merosot! Maria pula yang terdiam. Maria menyelak kertas tersebut semasa kereta berhenti di simpang lampu isyarat. Keseluruhan soalan dalam bahasa Inggeris, tidak seperti sebelum-sebelum ini yang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik. Maria hampa. Mengeluh. Sedih.
Anak-anak Maria bukan tidak boleh bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris. Mereka faham, mereka bijak. Tetapi kefahaman mereka terjejas akibat kebodohan dasar yang dilaksanakan kerajaan. Bila agaknya PPSMI akan benar-benar jumud? 2012? 2014? 2016? 2020??? Adakah pengumuman kerajaan sebelum ini sekadar untuk mengelak demontrasi daripada NGO tertentu berterusan? Adakah sekadar untuk menutup mulut pejuang PPSMI?
Anak-anak Maria dan anak-anak Melayu lain semakin meningkat usianya. Mereka juga sebenarnya tidak suka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa asing. Jiran berbangsa Jepun di sebelah rumah Maria, pernah ketawa berdekah-dekah apabila mereka mengetahui anak-anak bangsa di tanah yang pernah dijajah nenek moyang mereka, mempelajari subjek yang menarik dengan menggunakan bahasa yang asing bagi mereka. Akibatnya mereka kurang jelas, kurang faham, kurang minat dan akan membawa kepada kepupusan pakar-pakar sains dan matematik.
bersambung...