"Eh, Kak Maria baca Halaqah?" Fauziah yang singgah di meja kerja Maria untuk menghantar salinan baucer terkejut melihat Maria membaca akhbar Halaqah. Maria senyum melirik sambil mengangkat keningnya.
"Bulan puasa ni, rasanya lebih baik baca Halaqah daripada baca Berita Hairan," jawab Maria selamba sambil menyelak halaman seterusnya.
"Nyorok-nyorok sikit, nanti orang nampak," ujar Fauziah separuh berbisik.
"Kenapa nak menyorok? Tak ada salahnya baca Halaqah. Akak dah jemu hadap Berita Hairan. Penat baca puji-pujian yang tak kena tempat. Letih nak baca kutuk-mengutuk yang salah tempat...Lagi pun, banyak sangat berita yang menghairankan...memang sesuailah dengan namanya, Berita Hairan," Fauziah ketawa kecil mendengar bicara pagi Maria.
"Betullah, kak. Rasa nak muntah baca Berita Hairan. Nasib baiklah tengah puasa...Utusan Merapu pun sama juga. Merapuuuu...saja. Memang kena dengan namanya!" Fauziah menjawab sambil berlalu meninggalkan Maria yang masih terus menyelak halaman Halaqah.
"Habis baca nak pinjam ya," sempat juga Fauziah meninggalkan pesan sebelum bayangnya hilang dari pandangan Maria.
Begitulah Maria. Hampir setiap pagi sebelum memulakan rutin kerja di pejabat, dia akan membaca akhbar Halaqah. Menambah ilmu pengetahuan dan berita terkini - rasanya inilah sumber yang boleh dipercayai, berbanding sumber-sumber daripada Berita Hairan dan Utusan Merapu.