Pages

Showing posts with label Drama Bersiri (9). Show all posts
Showing posts with label Drama Bersiri (9). Show all posts

Thursday, August 6, 2009

Pemuda Balaci dan Gadis Tioghua

Sebaik sahaja memakir kereta di sebelah bangunan pejabat, Maria tidak terus keluar. Pertengkaran antara seorang 'balaci' MBJB dengan seorang gadis Tioghua menarik perhatiaannya. Maria memerhatikan pertengkaran tersebut tanpa mendengar butir bicara mereka. Pertengkaran semakin hebat, apabila gadis Tioghua melemparkan slip saman MBJB ke muka pemuda balaci itu. Maria yakin, gadis tersebut pasti baru disaman balaci itu. Maria mematikan enjin kereta, lalu berniat untuk tidak mempedulikan mereka.

Maria sempat menjeling sekilas lalu sebelum kakinya melangkah ke arah pintu pejabat. Tiba-tiba gadis tersebut memanggilnya. Maria berpaling tanpa senyum.

"Ini tempat boleh parking kah?"
"Boleh," jawab Maria ringkas. Gadis berkulit putih melepak itu memandang wajah pemuda balaci di hadapannya.
"Tengok? Saya punya kereta lu saman, dia punya kereta, tak kena saman, itu belakang punya kereta pun lu tak saman!" gadis tersebut berang. Wajahnya merah akibat terik mentari yang disulami dengan bahang kemarahan. Pemuda balaci tersebut mendekati Maria sambil berbisik.
"Tolong saya kak. Alihkan kereta akak," Maria terkejut. Darahnya menyirap!
"Kenapa pula? Saya memang biasa letak kereta di sini. Tak ada masalah pun. Siap dengan kupon. Sejak bila tempat ni tak boleh letak kereta?"
"Tolonglah kak...nanti boleh alihkan semula," ujarnya lagi separuh berbisik, seolah-olah tidak mahu gadis tersebut mendengarnya. Maria semakin naik darah. Belum pernah seumur hidupnya, dia diarah-arah begitu, untuk melaksanakan kerja sebodoh itu.
"Eh, tak ada masa! Engkau ingat aku ni tak ada kerja lain? Kalau kau betul-betul amanah menjalankan tugas, kau saman ikut peraturan! Bukan ikut sesuka hati! Kenapa kereta sebelah restoran sana kau tak saman? Yang di sana tu, lagi mengganggu lalu lintas! Dapat makan nasi ayam free kah?" Maria semakin mengganas. Sindirannya membuatkan pemuda itu tersentak. Dia melepaskan isi hatinya di hadapan balaci itu dan gadis Tioghua yang sama-sama mendengar hujahnya.
"Sekarang, saya mau lu batalkan ini saman!" bentak gadis tersebut. Gadis tersebut semakin berani.

Pemuda balaci menundukkan wajahnya dan berselindung di sebalik topi unifomnya. Maria bergegas meninggalkan mereka. Pemuda balaci membisu. Maria tidak pasti tentang kebisuan itu. Adakah tindakan pemuda balaci menyaman kereta gadis Tioghua itu betul? Adakah kebisuaan itu kerana memikirkan hujah Maria tadi? Adakah kebisuaan itu kerana memikirkan 'habuan' yang perlu diminta untuk membatalkan saman kereta si gadis di hadapannya? Segala-galanya berkemungkinan.

*Kerja itu ibadah...


bersambung...