Pages

Friday, March 29, 2013

Penat

Berkejaran ke sana ke mari dalam cuaca panas dan kadang-kala hujan lebat pada sebelah petang amat memenatkan. Bukan hendak salahkan cuaca, cuma sedikit sebanyak keadaan cuaca yang terlalu panas dan hujan lebat menambah keletihan.

Ayah masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor. Setiap kali terlintas bayangannya dalam benakku, bergegas aku datang menghadapnya. Kesibukan rutin kerja setiap lima hari, tidak aku pedulikan demi seorang bapa yang amat disayangi. Ya, Tuhan...sembuhkanlah ayah. Penat melihat ayah yang sering resah menunggu hari untuk keluar dari hospital.


Wednesday, March 27, 2013

Kasih Ayah

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Penyakit buah pinggangnya semakin kronik. Kedua-dua belah matanya mulai kuning dan kabur. Kaki kanannya bengkak dan keras. Sebahagian badan ayah kekuning-kuningan dan sebahagiannya menjadi gelap. Sedih mengenangkan ayah yang sakit. Semalaman aku tak bisa melelapkan mata. Menangis dan berdoa agar kesakitan yang dirasainya semakin surut dan sembuh.

Ayah...kenangan bersama-sama ayah sangat manis. Ayah seorang yang kelakar, suka berjenaka tetapi pada masa yang sama ayah sangat sensitif orangnya. Mudah mengalirkan air mata apabila dalam keadaan sedih. Ayah cuba menyembunyikan kesakitan dan kesedihannya dengan buat-buat kuat dan buat-buat gembira.

Hari ini aku sempat meloloskan diri ke HSA walaupun bukan pada waktu melawat lantaran rindu terhadap ayah yang semakin sarat. Aku peluk dan cium pipinya semahu-mahunya. Ayah nampak gembira dengan kedatangan aku, apatah lagi aku mebawa biskut kegemarannya - biskut Marrie (biskut kahwin katanya). Menurut doktor bacaan diabetis dan darah tingginya masih terkawal. Cuma kadang-kadang ayah teringin hendak makan yang dia tak boleh makan. Itulah yang menyebabkan sakit ayah lambat sembuh.

Aku menghabiskan masa dengannya sehingga tengah hari. Sempat aku suapkan ayah makan. Sebaknya dada. Teringat masa kecil, ayah suapkan aku makan. Ayah tak pergi kerja kalau aku demam. Ayah datang melawat aku di asrama setiap hujung minggu. Kasih sayang ayah tiada galang gantinya. Aku cuba menahan air mata daripada terus gugur. Aku tak mahu menangis di hadapannya.

Ayah...cepatlah sembuh. Setiap hari aku panjatkan doa dan al-Fatihah buatnya. Sayang ayah...