Pages

Tuesday, October 28, 2008

Kerenah Klinik Kerajaan

Hari ini ada pemeriksaan kesihatan ibu mengandung. Oleh sebab bulan lepas aku tak sempat datang, jadi minggu ini aku dipaksa datang berjumpa doktor. Ahad lepas seorang jururawat masyarakat menghubungi aku, dan mengarahkan pertemuaan dengan doktor pada hari ini.

Inilah detik yang paling aku tak suka. Bukan tak suka diperiksa atau membuat pemeriksaan kesihatan. Aku tak suka menunggu lama. Penat dan bosan. Aku mula mendaftar pada pukul 8.00 pagi. No. giliran aku yang ke-027. Aduhai...letihnya! Pukul 9.00 barulah nama aku dipanggil. Check urin, berat, hp darah, tekanan darah, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Kemudian aku diarah masuk ke dalam bilik pemeriksaan untuk berjumpa doktor. Tunggu lagi sekitar 20 minit, barulah namaku dipanggil. Doktor periksa denyutan jantung baby dan kedudukan baby sahaja. Selebihnya dia banyak nasihat itu dan ini. Lepas tu aku ambil ubat/vitamin (yang tak pernah aku makan), sebab adik ipar aku dah bekalkan vitamin yang lebih ringkas dan mudah daripada vitamin yang klinik kerajaan beri. Mujurlah ada adik ipar yang bertugas sebagai doktor. Sudahnya, aku selesai berada di situ sekitar pukul 10.00. Huh!!! Jenuh!

Selama menanti nama dipanggil, aku selesai membaca The Star dan KOSMO. Novel yang aku baca sementara menanti nama dipanggil, genap 8 bab aku selesaikan. Sebelum ini aku pernah membuat pembacaan pruf sementara menunggu di klinik. Kira selesai juga kerja pejabat di klinik.

Bulan depan aku diarah hadir lagi. Aku tak sanggup nak datang lagi sebenarnya. Tapi...belum ada pilihan lain untuk aku elak.

Kadang-kadang aku terfikir, tak adakah cara lain yang lebih efisyen yang boleh diamalkan di klinik kerajaan agar masalah menunggu lama dapat dielakkan? Mungkin boleh ditambah jururawat dan doktor yang memeriksa. Kementerian Kesihatan sepatutnya lebih peka hal-hal begini. Sudahlah sarat mengandung, sakit pinggang, sakit kaki, pening kepala, ditambah lagi dengan kepenatan dan kebosanan menunggu lama. Kuperhatikan, kebanyakan ibu-ibu yang datang, hanya membawa beg tangan. Tiada bahan bacaan untuk dibaca, padahal waktu menunggu boleh digunakan dengan membaca. Pihak klinik sepatutnya boleh sahaja menyediakan sudut bacaan yang bersesuaian dengan situasi tersebut. Taklah mereka yang datang asyik termenung dan berborak kosong sahaja.

Thursday, October 23, 2008

Asal-usul Istilah 'CASANOVA'

Istilah 'casanova' sering kali digunakan bagi merujuk lelaki yang kaki perempuan. Istilah 'casanova' berasal daripada nama seorang lelaki - Giacomo Casanova - lelaki yang berasal dari Venice, Itali ini mempunyai ketinggian 5 kaki 9 inci, berwajah tampan, berkulit agak gelap dan dikatakan pernah meniduri 122 orang wanita sepanjang hayatnya. Semasa zaman sebelum terciptanya kondom, Casanova telah melakukan puluhan kerja seksual dengan pelbagai wanita sehingga dirinya dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Namun begitu, kisah penyakitnya tidak pernah disiarkan di mana-mana media. Tetapi namanya terus unggul sehingga kini apatah lagi di kalangan lelaki hidung belang!

Wednesday, October 22, 2008

Menghitung Hari

Hari yang dinanti semakin dekat. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi kami sekeluarga akan menyambut insan baru dalam keluarga kami.

Aku dijangka bersalin pada akhir November ini. Teman-teman yang sama-sama mengandung pada tahun ini dah pun selamat bersalin. Kebanyakannya bersalin awal dari jangkaan asal. Terdahulu, Faizah yang melahirkan anak ke-2, bersalin awal sebulan. Rohaida temanku di KL juga bersalin awal (tahniah atas kelahiran si kembar). Rosmaini juga dikhabarkan bersalin seminggu lebih awal. Yang terbaru, Kak Nisah Haron, menghantar sms kepadaku menyatakan bahawa dia telah selamat melahirkan anak lelaki. Tahniah untuk semua. Kini, tiba giliran aku menghitung detik-detik mendebarkan. Maklumlah, kelahiran kali ini merupakan yang ke-3 buatku, tetapi disebabkan jarak anak ke-2 dengan ke-3 lebih kurang 6 tahun, terasa seolah-olah aku mengandung anak sulung.

Pada zaman ekonomi tak menentu ni, semuanya kena 'cut cost'. Barang-barang baby, semuanya dikitar semula. Mana-mana yang masih elok, aku guna semula, termasuk pakaian yang masih boleh dipakai. Untuk kelahiran kali ini, aku dan suami tidak merancang untuk mendapatkan perkhidmatan di Hospital Pakar Puteri seperti kelahiran yang lepas-lepas. Semuanya kerana 'under bajet'. Aku merancang untuk bersalin di HSI. Yang aku lebihkan sedikit, ialah maintainent aku sendiri...hehehehe...Maklumlah, semakin umur meningkat semakin banyak pelaburan kesihatan yang diperlukan. Aku tak teragak-agak untuk membeli supliment kesihatan yang terbaik untuk diri sendiri. Wanita berkerjaya dan pada masa yang sama perlu menguruskan anak, suami dan rumahtangga, memerlukan perhatian lebih dalam aspek kesihatan.

Dan untuk kelahiran kali ini, aku berazam menyusukan bayi selama yang boleh. Kalau sebelum ini aku terlalu sibuk dengan kerja dan terpaksa berulang-alik dari KL ke JB hampir saban minggu, sehingga penyusuan susu ibu kepada anak-anak sedikit terabai, kali ini aku akan pastikan si kecil mendapat khasiat terbaik susu ibu selama yang boleh. Tak sabar rasanya hendak melalui detik-detik bersalin lagi.

Thursday, October 16, 2008

Harga Minyak Turun...?

Semalam (15 Oktober) kerajaan Malaysia mengisytiharkan tentang penurunan harga minyak. Tak perlu diulas peratusannya, kerana di dada akhbar, semuanya telah tertera. Apa yang hendak dikongsikan di sini ialah tentang kesannya kepada pengguna, terutama golongan marhain...(macam aku nilah!).

Sama ada harga minyak turun, mahupun naik...aku tetap berulang-alik ke pejabat dan ke tempat-tempat lain dengan menggunakan kereta sendiri. Kereta persendirian tetap menjadi pilihan utama keluarga, tanpa mengambil kira tentang kenaikan dan penurunan harga bahan mentah itu. Ketika kerajaan Malaysia mengisytiharkan tentang kenaikan harga minyak petrol sedikit masa dahulu, harga barang keperluan turut naik mendadak. Sangat terasa 'kemahalan' harga barang di pasaran terutama ketika membeli belah di pasar raya. Penat kepala saja memikirkan dan membeza-bezakan harga barang tertentu dari sebuah pasar raya dengan pasar raya yang lain. Kalau harga telur di Giant mahal, harga MILOnya pula murah sikit. Harga telur di TESCO pula murah, tapi harga berasnya lebih mahal daripada di GIANT. Alahaaii...sudahnya semua tempat terasa sama saja, apatah lagi kalau di kedai-kedai runcit.

Semalam bila harga minyak dah turun, harga barang masih lagi kekal pada harga lama. Santan di Pasar Borong masih kekal RM7.00 (sebiji kelapa). Pada bulan Ramadan kelmarin harganya RM6.00, tapi naik RM1.00 menjelang Syawal! Kini harga itu masih kekal RM7.00 walaupun harga minyak sudah turun. Barang makanan lain, tak usah cakaplah! Nak makan ayam pun kena fikir dua tiga kali! Pemimpin tertinggi meminta rakyat ubah cara hidup sihat! Maknanya makan kena catu, kurangkan makanan berminyak dan berlemak. Kalau dipaksa secara drastik...memang susah. Cuma yang boleh dilakukan sekarang ialah, beringat-ingat ketika makan!

Itu baru kisah bab makan dan makanan. Belum lagi keperluan lain! Nak beli penyidai baju pun kena fikir dua tiga kali. Penyidai baju pun dah naik harga! Apa hal??? Tauke kedai perabot kata, sebab harga besi dah naik! Pelik ek??? Serta merta harga besi naik bila harga minyak naik. Tak pula harga besi turun bila harga minyak turun! Harga kain ela pun dah naik melambung! Alasannya...harga kapas naik! Aduhai... Tailor pun dah berani naikkan harga perkhidmatan dengan alasan, harga benang dan peralatan lain semakin mahal. Kaki ini dah tak mampu nak melangkah ke butik-butik! Sekarang ni, pakai saja apa yang ada. Makan saja apa yang boleh.

Jadi...kalau semuanya naik...kenapa gaji tak naik-naik??? Kali terakhir gaji kakitangan kerajaan naik ialah pada tahun lepas. Alahai...naiknya tak seberapa (nak cakap pun malas!). Bukan boleh menampung keperluan lain yang melambung tinggi! Takat jadi 'nasi tambah' bolehlah...

Monday, October 13, 2008

Ada Apa Dengan Shah Rukh Khan?

Jumaat lepas aku terpaku tatkala membaca akhbar perdana yang menyiarkan berita tentang aktor Boolywood si Shah Rukh Khan (SRK) yang bakal dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) iaitu anugerah ke-4 tertinggi kerajaan negeri, sempena sambutan hari lahir Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang ke-70.

Sepanjang-panjang nafas aku tarik...mengeluh! Terus berfikir...apakah kehebatan SRK? Apakah jasanya kepada bangsa kita, apakah sumbangan besarnya kepada negara kita? Adakah kerana penglibatan dan kepopularannya dalam filem-filem hindustan yang stereotaip...maka SRK layak menerima anugerah seumpama ini?

Dalam diam, aku bertambah pelik, kerana tiada bantahan daripada mana-mana pengiat seni dalam hal ini (sehingga artikel ini ditulis). FINAS sendiri berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri. Secara peribadi, aku sama sekali membantah pencalonan SRK. Pencalonannya sahaja aku tak setuju, inikan pula keputusannya. Perbelanjaan untuk menerbangkan SRK ke Melaka semata-mata untuk menyematkan pingat tersebut sahaja, sudah memakan belanja yang besar. Rakyat Melaka main angguk kepala sahaja kah? Orang Melaka setuju kah? SRK bukan tokoh seni yang harus dibangga-banggakan, walaupun dia pernah manjalani pengambaran filem di sini. Ramai lagi penggiat dan tokoh seni di Malaysia yang jauh lebih layak untuk diiktiraf penglibatan mereka.

Ada ramai pelakon, penyanyi, pelukis, pengarah filem dan komposer muzik di Malaysia yang layak menerima anugerah seumpama ini. Mungkin peribasa ini sesuai digunakan dalam konteks ini - kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Kepada 'umat' tertentu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pemilihan ini, fikirlah di luar kotak pemikiran yang sebenar. Wajarkah keputusan ini dibuat? India sendiri tidak/belum memberi sebarang penghargaan dan anugerah tertinggi kerajaannya kepada SRK...kenapa kita yang berada di ceruk rantau, bersungguh-sungguh berbaik budi dengan SRK?

Banyak media hiburan yang menyiarkan tentang peribadi SRK yang dianggap sombong dengan wartawan hiburan. Tak mahu diganggu semasa pengambaran, tak mahu ditemu ramah sepanjang berada di Malaysia...Nak kah dia datang ke Melaka, semata-mata kerana sekeping pingat...tanpa sebarang bayaran!? Apa ada dengan SRK??? (menyanyi pun miming!).

Wednesday, October 8, 2008

Raya Oh, Raya!


Inilah kisah 'tragis' yang aku alami sepanjang Syawal. Bukan tragis yang menyayat hati sanubari, tapi tragis yang memeningkan kepala.

Kawan-kawan sedia maklum yang aku baru sahaja berpindah ke rumah baru. Baik yang di KL mahupun kawan-kawan di pejabat, semuanya sibuk sms dan telefon nak datang beraya. Kadang-kadang sukar menolak hajat kawan-kawan ni, sekalipun badan terasa penat, dan tak larat nak menyambut tetamu. Aku gagahkan juga untuk menyambut kunjungan mereka. Mudah-mudahan kehadiran mereka meluaskan lagi rezeki aku sekeluarga. Tapi, yang lawaknya...ada kawan-kawan yang kata nak datang beraya di rumah aku, bukan betul-betul nak beraya! Nak menjejakkan kaki di Setia Tropika...nak melihat keadaan rumah baru, nak ambil gambar RUMAH aku...(bukan gambar tuan rumah!), nak compare perumahan mana yang 'the best'. Hai...kawan..kawan... Dah hilang konsep ziarah sempena Syawal yang mulia ni.