Pages

Friday, September 11, 2009

Semuanya di Hujung Jari

Kepenatan pulang dari Singapura kerana menziarahi keluarga di sana belum pun reda. Bil-bil elektrik dan air bersepah di atas meja konsol menambah lagi kepenatan yang sedia ada. Setelah meletakkan kain baju di dalam bilik, Maria kembali membelek bil-bil tersebut. Suaminya Hadi, seperti biasa tekun dengan kerja-kerja IT. Menghadap komputer hampir 24 jam. PAID - tulisan tangan Hadi tertera di setiap bil. Biasanya bil-bil dibayar secara dalam talian sahaja.

"Abang, jom kita shopping raya," ajak Maria sambil memasukkan semua bil ke dalam laci.

"Apa shopping? Jalan sesak, orang ramai, puasa lagi...," jawab Hadi tidak bersetuju dengan ajakkan Maria.

"Alaaa...jomlah, cuci-cuci mata," Maria masih mengajak tanpa memikirkan alasan Hadi.

"Nak beli apa? Semua abang dah belikan," balas Hadi sambil merenung komputernya.

"Aik? Bila pergi? Dengan siapa? Dekat mana? Tak ajak pun?" bertalu-talu soalan Maria. Hadi mengalihkan pandangannya ke arah Maria. Tersengih sedikit. Dia tahu Maria cemburu apabila dia keluar membeli-belah seorang diri.

"Sekarang ni zaman orang mengejar masa. Saya mana ada masa nak keluar beli-beli barang? Awak orang perempuan ni...suka benar berpenat lelah ke shopping complex. Sudahlah penuh dengan manusia, nak parking pun susah, H1N1 lagi, kita nak kejar waktu berbuka lagi. Penat shopping, malam dah malas nak terawih pula! Lain yang dicari, lain pula yang dibelinya. Tak pasal-pasal bajet boleh lari," Hadi membebel memandang tajam ke arah Maria. Maria mengerutkan wajahnya. Mendengar bicara Hadi dengan perasaan tidak puas hati.

"Abang dah beli semua keperluan raya, secara online!" sambung Hadi lagi.

"Hah??? Apa? Online? Semuanya kah?" terkejut Maria dengan jawaban suaminya. Bimbang citarasa Hadi tidak sama dengan kehendaknya. "Apa yang abang dah beli? Takkanlah semuanya beli kat internet? Tak syoklah macam ni?" balasnya lagi.

"Syok tak syok, soal ke-44! Apa pun yang abang dah beli, kena terima. Pakaian anak-anak semua dah tempah. Esok sampai. Keperluan rumah, mana-mana yang boleh guna tak payahlah beli lagi. Langsir baru yang awak nak, esok sampai. Baju Melayu saya, jangan bimbang, pakai yang empat tahun lepas punya. Baju kasual saya pun, esok sampai. Saya beli jenama kegemaran awak, POLO. Kalau saya beli jenama PLAYBOY nanti awak kata saya 'gatal', kalau saya beli jenama CROCODILE nanti awak kata saya 'miang'. Kuih raya, saya order online juga. Ikut selera saya tahun ni! Tak payahlah beli lagi. Baju kurung awak, lima pasang saya dah order. Siap dengan tudungnya. Ada hijau, oren, merah, biru, pink. Kalau 'bising' juga, tak tahulah nak kata apa! " Maria terkebil-kebil mendengar patah-patah ayat yang keluar dari mulut Hadi. Memang tidak terkata. Alangkah bahagianya ada pasangan yang sanggup melakukan semuanya untuk dirinya. Memang bahagia. Duit poket selamat, masa tidak terbuang, kepala tidak penat memikir.

'Mudahnya hidup...,' hati Maria bersuara sendiri. 'Bukan semudah itu, abang...,' mahu tak mahu, Hadi mesti keluar juga dengannya ke pasar. Tidak mungkin daging batang pinang hendak dibeli secara online? Maria tersenyum sendiri.

Friday, September 4, 2009

Bahan Kajian?

Seperti biasa, setiap dua minggu sekali Maria akan memeriksa beg sekolah anak-anaknya. Beg si sulung yang beru berusia 8 tahun dibuka. Dua minggu yang lepas Maria terjumpa artikel tentang Datuk Ahmad Kemin, tauke Mutiara Motors Sdn. Bhd. Apabila ditanya kepada Zaiqel, kenapa dia menyimpan artikel tersebut, jawapannya "I'm going to be a ferrari's big bos, like this man." Tergamam jugak Maria dibuatnya. Tidak disangka Zaiqel menyimpan impian sebegitu.

Maria membelek setiap buku satu persatu. Buku teks sudah lunyai. Buku latihan sudah separa hancur. Buku tulis sudah hilang sampul. Maria mengeluh. Kepalanya yang tidak pening berpusing-pusing memikirkan 'keganasan' yang dilakukan oleh anak lelakinya itu. 'Tak apalah, asalkan kerja sekolah dibereskan,' naluri hati seorang ibu berbisik kecil.
Maria membuka pula blok lukisan Zaiqel. Anak itu memang gemar melukis. Satu persatu lukisan yang dihasilkan dibelek Maria. Pelbagai tajuk - ITALINO FERRARI'S INNOVATION, HIDUPAN LAUT, MENARA IMPIAN, BERLIAN MOTORS...

Tiba-tiba sekeping poster bersaiz sebesar buku teks, jatuh di pangkuan Maria. Poster gambar seorang PM tersergam. TAK NAK BN. SETIAP UNDI MEMBAWA PADAH. Maria terkejut, walaupun hatinya bagai digeletek. Maria ketawa perlahan.

"Zaiqel, mana abang dapat poster ni?" tanya Maria kepada anaknya yang sedang tekun melukis-Ferrari lagi...

"Kawan di sekolah bagi," sekilas dia memandang, selamba menjawab tanpa perasaan.

"Mana kawan abang dapat?"

"Bapak kawan abang bagi,"

"Mana bapak kawan abang dapat?"

"Kawan bapak dia bagi,"

"Mana kawan bapak kawan abang dapat?" Maria seperti tidak puas hati dengan jawapan Zaiqel. Zaiqel berhenti melukis. Wajah Maria dipandang tajam. Tangan kanan menggaru-garu kepalanya dengan pensil 5B yang setia di tangan. Maria membalas renungan tajam itu sambil mengangkat-angkatkan keningnya menanti jawapan.

"Ibu, ibu tak layak jadi editor. Sepatutnya ibu kerja jadi peguam!" spontan Zaiqel memberi jawapan di luar jangkaan. Tanpa perasaan...Zaiqel meneruskan kerja-kerja melukisnya.

'Bertuah punya anak!' Maria mengemas semula isi beg sekolah Zaiqel. Poster tersebut diambil dan diletakkan di atas katil bujang Zaiqel. Sempat Maria menitipkan sebaris ayat di belakang poster tersebut buat tatapan si anak - SIMPAN POSTER INI SEBAGAI BAHAN KAJIAN!


bersambung...

Wednesday, September 2, 2009

Slogan Baru...

Maria menjengah bilik tidur adik iparnya Asha. Bilik itu telah dicat baru. Merah jambu. Sesuai dengan Asha yang bakal menjadi raja sehari tidak lama lagi.

'Bakal pengantin baru...semuanya baru...,' sukmanya berbisik. Senyumnya berbunga. Teringat set katil pengantinnya yang telah mencecah usia sembilan tahun. Senyum lagi. Sehingga kini katil pengantinnya masih utuh!

Hadi memasuki ruang yang sama. Tangannya mesra merangkul bahu Maria yang sedang membelek-belek set katil kayu jati. Kurang-kurang tiga ribu juga harganya.

"Jom kita ganti katil baru. Kita beli yang ada tiang!" ujar Maria secara tiba-tiba tatkala Hadi melemparkan tubuhnya ke tilam empuk seperti hendak menguji kelasakan katil baru adiknya.

"Awak ni Yang...mintak yang pelik-pelik. Nak TV yang lekat di dindinglah, nak katil bertianglah, nak peti sejuk melintanglah!" Hadi mengomel.

"Aik, apa salahnya?" Maria masih membelek-belek keunikan kayu jati.

"Salah tu tidaklah...Kalau saya nak beli katil, tak payah tunggu awak mintak....Nanti bila saya nak kahwin, saya belilah...,"

"Hah???Apa??? Ulang lagi!!!" Maria spontan mencapai sekaki payung di sebalik pintu. Mahu sahaja rasanya direjam ke dada suaminya. Hadi ketawa mengelekek, cuba mengelak payung di tangan Maria. Takut juga dia kalau-kalau gurauan itu memutuskan kepalanya daripada badan! Maria agak alergi apabila mendengar ungkapan 'kahwin lagi', 'bini muda', 'poligami', dan yang seangkatan dengannya.

"Sorry, Yang...sorry...," Hadi mengelak-ngelak payung yang masih di tangan Maria.

"Abang jangan macam-macam...dah lupa slogan saya?"

"Apa dia?"

"Satu Bini: Isteri Didahulukan Anak-anak Diutamakan!" Hadi tergelak memanjang. Maria turut memburaikan ketawanya. Tidak tertahan melihat Hadi yang sakan mengelak rejaman payung di tangannya.


bersambung...