Pages

Friday, December 31, 2010

Semuanya untuk Anak-anak

Minggu lalu, semua persiapan persekolahan anak-anak telah dilengkapkan. Tiada lagi istilah tertinggal atau terlupa. Lengkap! Daripada buku-buku sekolah, alat tulis, uniform, kasut...semuanya beres! Dalam kepayahan membawa perut, saya masih lagi kuat dan bersemangat melayan kerenah mereka.

Namun begitu, persiapan persekolahan pada tahun 2011 akan datang, bukan semuanya baru. Saya sama sekali tidak menggalakkan anak-anak membeli atau mengganti semuanya dengan yang baru. Selagi kasut lama masih elok, beg sekolah masih tak koyak, alat tulis masih boleh digunakan, mereka disaran menggunakannya untuk tahun 2011. Mujurlah mereka tidak merungut dan mengeluh. Seperti tahun-tahun yang sudah, perbelanjaan paling tinggi ialah bagi bajet buku-buku sekolah. Saya sendiri memperuntukkan beberapa buku rujukan untuk tujuan pembelajaran mereka kerana saya mengambil langkah penjimatan untuk mengajar mereka sendiri di rumah. Baik dari segi melengkapkan kerja rumah, mengulang kaji pelajaran, membuat latihan karangan dan Matematik, serta mengaji al-Quran. Bukan lokek mengeluarkan perbelanjaan untuk kelas tuisyen atau kelas al-Quran untuk anak-anak, cuma saya lebih puas hati jika dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan anak-anak di depan mata sendiri. Jika saya masih mampu mengajar mereka Bahasa Inggeris, Matematik, Quran dan Bahasa Melayu, untuk apa mereka dihantar ke tangan orang lain? Dalam hal ini, saya terpaksa mendisiplinkan diri dengan jadual yang saya sediakan sendiri, supaya mereka mempunyai masa dengan buku-buku, masa bermain dengan kawan-kawan dan masa menziarahi sanak-saudara.

Saya harap, usaha saya ini membuahkan hasil yang lumayan. Dan mereka tidak berjauhan dengan saya. Selamat tahun baru!

Tuesday, December 14, 2010

Kejutan Demi Kejutan

Beberapa minggu ke belakangan ini, saya dikejutkan dengan beberapa berita sedih. Kesemuanya tentang teman-teman yang menghidapi pelbagai penyakit kronik. Teman seangkatan saya rata-rata berusia dalam lingkungan 30-an. Awal 30-an, pertengahan 30-an dan akhir 30-an. Usia 30-an bukanlah tua sangat. Inilah usia yang paling bertenaga, saya kira. Dalam usia inilah banyak pencapaian manis yang terlakar dalam dairi kehidupan seseorang. Saat inilah mereka bertemu jodoh, mendapat kenaikan pangkat, stok anak sudah mencukupi, ekonomi keluarga semakin kukuh, simpanan semakin bertambah, dan kestabilan rumah tangga mula dirasai.

Namun, beberapa rakan rapat saya diberitakan menghidapi pelbagai penyakit kronik. Saya sangat simpati dan terkejut. Ada yang menghidap barah payudara, kanser serviks, barah otak dan barah paru-paru. Yang lelaki pula semakin rancak dengan gout, sakit jantung dan darah tinggi. Seorang kenalan di Pontian, kini sedang tercari-cari penawar darah tinggi. Walhal dia seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat. Joging tak pernah tinggal, hampir pada setiap petang. Kopi dan teh tak pernah disentuhnya. Tapi, semalam dia menghantar pesanan ringkas di telefon bimbit saya, meminta saya mencarikannya daun sambung nyawa untuk mengubati penyakit darah tingginya.

Dan, hari ini saya dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat di Sabah. Dia merupakan mantan staf di pejabat ini. Disahkan meninggal dunia malam tadi akibat sakit jantung dan darah tinggi. Innalillahhhh...(al-Fatihah buat Sitti Melinda). Saya tidak dapat menahan kesedihan ini lantaran usianya baru 31 tahun, dan masih belum sempat berumah tangga. Dia baru saja mengirim mesej dalam kotak FaceBook saya, mengucapkan selamat bersalin dan merancang ke Johor Bahru, untuk bertemu rakan-rakan. Itulah, manusia hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukannya.

Kepada teman-teman yang masih sihat, amalkanlah gaya hidup cergas. Jagalah pemakanan. Yang sudah disahkan sakit, berubatlah kerana setiap penyakit ada penawarnya, kecuali mati. Saya percaya kepada teknik kesedaran minda. Jika kita sentiasa berdoa untuk sihat, kita akan sihat kerana aura sihat sentiasa bersama-sama kita, walaupun kita tahu kita mempunyai penyakit. Waallahualam...

Friday, November 19, 2010

Jagaan Orang Luar vs Jagaan Ahli Keluarga

Tanggal 15 November 2010 yang lalu, saya dikejutkan dengan kematian anak jiran saya yang baru berusia 4 bulan 10 hari. Bayi malang itu anak pasangan Ayu dan Azhar (nama sebenar), jiran di hadapan rumah saya. Dia meninggal dalam jagaan pusat asuhan kanak-kanak. Yang tragisnya, itulah hari pertama Ayu menghantar anaknya di pusat tersebut. Dan hari yang sama juga, kejadian malang menimpanya.

Menurut pengasuh yang menjaga bayi tersebut, anak Ayu tidak jatuh, tidak tersedak susu, tidak meragam, tidak sakit...tetapi sebaik sahaja selesai dimandikan awal pagi itu, bayi tersebut kebiru-biruan seluruh badan sehingga tidak bernafas. Terus dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di ICU, Hospital Sultanah Aminah, JB. Hasil imbasan mendapati tempurung kepalanya retak. Namun, pihak pusat jagaan tersebut menafikan sekeras-kerasnya tentang sebarang kemalangan yang menimpa anak Ayu. Lima hari di ICU, akhirnya nadi sekecil itu berhenti berdenyut setelah pihak hospital mencabut wayar-wayar yang menjalar di seluruh tubuh monggel itu. Sangat tragis! Apatah lagi anak tersebut masih menyusu badan.

Inilah masalah pusat jagaan kanak-kanak yang tidak dapat dipastikan sejauh mana kemahiran mereka mengendalikan hal ehwal bayi dalam satu-satu masa dengan bilangan bayi yang ramai. Apabila berlaku kemalangan sama ada kecil atau besar, mereka sering lepas tangan. Dan pihak kerajaan sendiri kurang memantau kewujudan pusat-pusat ini.

Saya dan suami memang tidak pernah mempercayai orang luar dalam hal ehwal penjagaan anak-anak. Anak-anak saya diletakkan dalam jagaan ibu bapa mentua selama saya keluar bekerja. Biarlah apa orang nak kata. Sesetengah orang berpendapat, kami menyusahkan ibu bapa, kami menggaji ibu bapa, kami membebankan ibu bapa. Hakikatnya, kami sahaja yang tahu. Anak-anak yang dijagai ahli keluarga lebih selamat daripada jagaan tangan luar. Sekurang-kurangnya, makan pakai dan pergerakan anak-anak dalam keadaan kondusif. Persekitarannya dijamin selamat. Apatah lagi mereka dalam lindungan orang tua yang sentiasa peka dengan persekitaran anak kecil.

Kepada keluarga Azhar dan Ayu, semoga roh Arif dicucuri rahmat. Kalian pasti bertemunya di syurga. Redalah dengan pemergiaannya.

Wednesday, October 13, 2010

BEKERJA DARI RUMAH

Sejak kebelakangan ini saya dapati beberapa orang rakan saya telah memulakan kerja di rumah. Budaya ini sebenarnya sudah lama diamalkan di negara-negara maju, dan kini menular ke bumi bertuah ini. Rakan-rakan saya kebanyakannya bekerja sepenuh masa, namun ramai dalam kalangan mereka 'cuba-cuba' menjalankan bisnes dari rumah. Ada juga yang masih lagi bekerja namun mendapat kepercayaan majikan untuk melaksanakan kerja-kerja pejabat di rumah. Tidak perlu lagi bergegas ke tempat kerja dan menempuh kesesakan lalu lintas.

Seorang teman, yang menjawat jawatan sebagai Pelukis Pelan di sebuah jabatan kerajaan, telah menempuh sebulan lamanya bekerja dari rumah. Setiap lukisan kejuruteraan yang telah sukses, die-mel sahaja kepada penyelianya untuk semakan. Sekiranya hasil tugasan tersebut perlu pembetulan, beliau sekadar menerima arahan melalui telefon atau pun e-mel. Seorang lagi teman saya merupakan jurufoto (swasta). Beliau juga melaksanakan kerja-kerja penyuntingan gambar dan perekodan di rumah. Hanya memerlukan komputer yang lengkap dengan perisian grafik, pengaksesan internet, dan talian telefon. Hasil kerjanya akan dihantar kepada majikannya melalui e-mel sahaja. Seminggu hanya sekali sahaja beliau hadir ke pejabat untuk menghantar hard copy yang diperlukan pelanggan sekali gus mengambil surat-surat rasmi yang berkaitan dengan kerjanya.

Ada juga sesetengah teman saya yang sudah berhenti kerja kerana menjalankan bisnes dari rumah. Pendapatan bulanan mereka sudah tentu tidak tetap, tetapi lebih lumayan daripada kerja makan gaji. Yang mahir menjahit, bukan sekadar mengambil upah menjahit baju, malahan menggerakkan bisnes menjahit langsir dan cadar. Pendapatan mereka mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Dan angka tersebut naik mendadak apabila tiba musim perayaan dan perkahwinan. Kini, kemahiran menjahit baju, langsir dan cadar diperluas dengan menjahit beg. Pelbagai jenis beg beraneka fabrik dihasilkan dengan harga yang berpatutan. Bukan setakat menjualnya dalam kalangan rakan-rakan terdekat, malahan sudah menjangkau ke luar negara kerana pandai memasarkannya melalui internet. Yang mahir membuat kek, sudah mula menjual kek mengikut tempahan. Kek bukan sahaja ditempah pada musim perayaan dan perkahwinan, bahkan permintaannya hampir setiap hari kerana majlis-majlis tertentu seperti perpisahan, hari jadi, pertunangan, khatam quran dan sebagainya.

Saya sangat kagum dengan wanita seperti ini. Lebih mengutamakan keluarga daripada keperluan diri sendiri. Mereka yang bekerja dari rumah ini boleh memantau pergerakan anak-anak (sekali gus pergerakan suami....heheheh). Hal persekolahan anak-anak, keluar masuk mereka di rumah, sentiasa di depan mata. Soal keuntungan atau pendapatan bulanan jatuh di tangga kedua. Yang diutamakan ialah anak-anak dan rumahtangga.

Saya pernah juga terfikir melaksanakan kerja dari rumah. Dan saya yakin boleh melakukannya jika pihak majikan memikirkannya secara mendalam dan memberi peluang percubaan. Bukan sahaja boleh duduk di kerusi yang lebih empuk dan selesa daripada yang ada di pejabat, malahan saya boleh melakukan kerja pejabat serentak dengan kerja-kerja memasak, mengemas rumah dan memantau persekolahan anak-anak.

Suami saya sendiri telah membuktikan, betapa kerja dari rumah juga boleh menjana pendapatan keluarga. Beliau hanya keluar rumah jika ada sebarang temu janji atau perbincangan dengan customer. Kadang-kadang costumer sendiri selesa datang ke rumah untuk berbincang hal-hal bisnes. Sudahlah kos sewa pejabat tidak wujud, kos petrol boleh dikurangkan, bekerja pula mengikut selera sendiri kerana dialah bos dialah kuli.

Saya kira, sudah tiba masanya kita mengamalkan cara kerja dari rumah. Pihak kerajaan juga harus memikirkannya kerana dunia semakin global, langit semakin terbuka. Sebarang kekangan yang wujud, boleh diselesaikan. Kita semua punya akal yang sangat berharga. Gunakanlah akal semaksimanya untuk kepentingan sejagat. Bak kata seorang warga Jepun kepada saya, negara Jepun tidak mempunyai sebarang hasil bumi yang boleh dibanggakan, tetapi setiap rakyatnya mempunyai akal yang sangat cerdik. Itulah yang digunakan sebaik-baiknya. Tidak ada seorang manusia pun yang hidup melarat di Jepun.

Tuesday, September 28, 2010

BENGKEL PELAN TINDAKAN WANITA NEGERI JOHOR

Pada 23-24 September 2010, saya berkesempatan menghadiri Bengkel Pelan Tindakan Wanita Negeri Johor, di Hotel M-Suites, Johor Bahru. Bengkel berlangsung dari pagi hingga 10.30 malam. Hari pertama, sebaik selesai pendaftaran, peserta diberi taklimat tentang program ini. Kami dibahagi-bahagikan kepada lima kumpulan iaitu Wanita Sektor Awam, Waniita Sektor Swasta, Wanita dan Keusahawanan, Wanita Industri Asas Tani, dan Wanita Terpinggir.

Bengkel dirasmikan oleh YB Dr. Robiah Dato' Haji Kosai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Wanita Johor. Ucaptama disampaikan oleh Datin Paduka Profesor Jamilah Ariffin, isteri Menteri Besar Johor, juga penasihat bengkel ini. Beliau yang juga seorang penulis, pengkaji dan pensyarah, telah memaklumkan tentang perkembangan pembangunan wanita Johor yang selari dengan pembangunan holistik kerajaan negeri. Wanita Johor telah diiktiraf sebagai antara yang teramai berkerjaya dan berjaya. Kemajuan wanita Johor mengatasi wanita di negeri-negeri lain termasuk Selangor.

Dalam bengkel tersebut, kami berbincang dan mengutarakan pelbagai cadangan yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan lagi taraf hidup, status, kemudahan dan kesejahteraan wanita Johor. Antara usul yang diutarakan ialah:
a) Penyediaan pusat asuhan kanak-kanak, ibu bapa yang uzur, dan anak-anak selepas waktu persekolahan.
b) Meningkatkan kemudahan rekreasi.
c) Memperuntukkan 'cuti khas' atau 'cuti tanpa rekod' bagi wanita untuk menjaga anak yang sakit -- cuti yang tidak ditolak daripada cuti rehat.
d) Memberi peluang kepada ibu tunggal untuk mendedahkan diri dengan kemahiran IT.
e) Memberi peluang yang setara kepada usahawan wanita untuk memasarkan produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
f) Memberi pendedahan pendidikan kepada wanita desa dan wanita orang Asli agar lebih mengutamakan pelajaran diri dan anak-anak.
g) Mewajibkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap wanita berusia 40 tahun.

Banyak lagi resolusi yang dibentangkan dan didengar sendiri oleh YB dan Datin Paduka. Para pembentang telah menyerahkan resolusi pada malam terakhir kepada Datin Paduka dan hal tersebut akan dipanjangkan kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya.

Semoga usaha murni ini diredai Allah dan wanita Johor terus cemerlang dalam pelbagai segi. Sebagai anak jati Johor, saya turut rasa kagum dengan usaha pihak YPK mengendalikan bengkel ini.

Thursday, September 2, 2010

Keluhan-Kebosanan-Kepenatan

Semalam saya ke Pejabat Imigeren, Pekan Rabu, Johor Bahru untuk memohon pasport antarabangsa anak kecil yang baru berusia setahun sembilan bulan. Saya sampai di Pekan Rabu kira-kira pukul 11.10 pagi dan terus mendapatkan borang di kaunter. Setelah melengkapkannya saya terus mendapatkan nombor giliran. Angka giliran saya ialah 418 manakala angka yang sedang tertera di skrin 353. Jadi, saya harus menunggu kurang lebih 65 giliran lagi.

Nombor giliran saya dipanggil pada pukul 2.00 petang. Bayangkan betapa lamanya saya menunggu. Sehingga saya bosan dan mengantuk. Bahan bacaan yang saya pegang juga tidak mampu menghilangkan kebosanan saya. Berurusan di kaunter sekadar lima minit sahaja (untuk tandatangan pengesahan penjaga, cap jari, dan bayaran tunai). Kemudian saya diminta menunggu sehingga 2.35 petang untuk mengambil pasport yang telah siap. Malangnya pukul 3.14 petang barulah nombor saya disebut semula.

Menunggu begitu lama untuk menguruskan satu (satu sahaja) pasport, amat memenatkan. Pejabat Imigeresen menyediakan 12 kaunter urusan. Dua daripadanya merupakan kaunter penyerahan manakala selebihnya (10 kaunter) merupakan urusan permohonan. Malang sekali, semasa saya datang hanya lima kaunter sahaja yang beroperasi.

Dalam kita mengejar kemajuan dan masa, masih ada lagi jabatan kerajaan yang tidak efisyen. Terpapar di dinding pejabat tersebut 5 Integrasi Harmoni (Pandang, Senyum, Ucap, Khidmat, Terima kasih). Saya dapati pegawai yang bertugas di kaunter hanya memandang dan memberi perkhidmatan sahaja. Mereka tidak senyum dengan pelanggan (lagi-lagi pelanggan yang stress menunggu macam saya), mereka langsung tidak memberi ucap selamat (mungkin mengejar masa kerana ramai lagi yang menunggu), dan mereka langsung tidak berterima kasih (malahan saya yang berterima kasih dengan mereka).

Saya suka cadangkan agar pejabat kerajaan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai mengamalkan sikap ramah yang melebihi orang lain. Sekurang-kurangnya kaedah ini boleh meleraikan ketegangan. Negara telah pun 53 tahun merdeka. Seharusnya permohonan pasport secara dalam talian telah lama digunakan. Pemohon boleh mengisi borang dari rumah atau di mana-mana tempat yang mempunyai akses internet dan terus menghantar permohonan dalam talian. Pemohon boleh terus hadir ke Pejabat Imigeresen untuk mengambil pasport yang telah siap. Mudah, tidak membuang masa dan jimat tenaga dan petrol! Jika unsur-unsur keselamatan negara dijadikan alasan untuk membuat pasport, saya kira ada kaedah lain yang lebih selamat. Bukankah kita yang membuat teknologi tersebut. Manusia yang mengendalikan teknologi, bukan teknologi yang mengendali manusia.

Sudahlah saya terpaksa membawa si kecil yang renyah. Berdepan pula dengan birokrasi. Saya bertanya kepada pegawai kaunter, boleh tak kalau si kecil ini tidak bersama saya semasa permohonan dibuat? Jawapannya tidak boleh, kerana pihak berkuasa perlu melihat 'kewujudan' anak tersebut. Saya kira 'kewujudan' anak itu boleh dibuktikan dengan sijil kelahiran atau mykad yang dibawa bersama-sama penjaga. Terdapat seorang ibu yang masih dalam pantang membawa bayinya untuk membuat pasport. Saya sangat sedih melihat ibu itu menunggu lama sambil memangku bayinya, sesekali terpaksa menyusukannya di khalayak ramai. Dia lebih malang daripada saya!

Jika hal ini berlaku di hospital kerajaan, sekurang-kurangnya saya mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Saya boleh ke klinik swasta, ke farmasi sahaja atau terus ke hospital swasta. Tetapi untuk melayakkan saya mendapatkan pasport anak saya, mana mungkin saya ke tempat lain...

Monday, August 30, 2010

Kenangan Raya

Semasa saya melalui zaman kanak-kanak, sambutan hari raya merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu, walaupun puasa tak pernah cukup. Semasa menyambut Ramadan, waktu bersahur menjadi waktu yang paling memberatkan. Apa tidaknya, terpaksa mencelikkan mata yang sedang sedap terpejam. Biasanya kami bersahur seawal 4.30 pagi. Mak akan paksa kami minum air panas supaya perut tidak terkejut dengan makanan yang akan masuk ke perut (itulah alasan mak waktu itu). Kami akan makan semeja dengan ayah menjadi ketua membaca doa. Selesai sahur, ayah juga yang akan memastikan kami adik beradik membaca niat puasa dengan maksudnya sekali dalam bahasa Melayu, supaya kami lebih faham dan menghayati erti berpuasa.

Waktu berbuka pula, merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu. Saya dan adik-adik lain membuat pelbagai macam permintaan semasa berbuka puasa. Dan ayah tak pernah menghampakan permintaan kami.

Apabila hari raya semakin hampir, ayah dan mak akan membawa anak-anaknya yang seramai empat orang untuk membeli-belah. Tapi, waktu itu kami tinggal di bandar Segamat. Segamat pada tahun 80-an bukanlah sebuah bandar yang gah dengan megapura. Paling canggih pun pasar raya Great Wall (saya tak pasti, masih wujud lagi atau tidak pasar raya tersebut). Kami membeli-belah di kedai-kedai biasa sahaja. Tetapi, keperluan kami cukup lengkap. Pendek kata serba baru dari atas sampai ke bawah! Itulah ayah...sanggup berhabis-habisan untuk anak-anak. Hal ini berlanjutan sehingga kami meningkat remaja. Ayah memberi kebebasan membeli keperluan sendiri setelah kami berusia 18 tahun. Itu pun masih dipantau keperluan-keperluan lain yang maha penting.

Setiap kali menyambut hari raya, kami akan pulang ke Batu Pahat (kampung halaman ayah). Seawal pagi kami akan menziarah kubur. Sebaik selesai solat Aidilfitri, ayah akan membawa kami ke merata pelesok kampung sehingga ke Muar untuk menziarah sanak saudara, supaya kami kenal saudara-mara. Yang penting kata ayah, supaya kami tak terkahwin dengan saudara sendiri. Ayah sangat tidak menggalakkan kami berkahwin dengan saudara terdekat. Kesannya sehingga kini saya amat mengenali saudara-mara yang jauh sekalipun amat jarang bersua muka. Itulah kepentingan ziarah.

Selepas beberapa hari di Batu Pahat, barulah kami bertolak ke kampung mak di Kebun Teh, Johor Bahru. Mak juga mengamalkan ziarah dengan membawa kami adik-beradik ke rumah saudara-maranya. Hubungan kami sekeluarga sangat erat sungguhpun masing-masing sudah membawa haluan sendiri kini. Yang menyeronokkan pada musim hari raya ini ialah, collection duit raya. Nila ringgit bukanlah sesuatu yang penting bagi kami, tapi terasa seronok apabila ada orang yang memberi kami wang walaupun jumlahnya sekadar 20 sen. Betapa besarnya nilai 20 sen ketika itu!

Dan amat menyeronokan apabila musim Syawal diraikan dengan kehadiran kumpulan marhaban. Kumpulan marhaban ini hadir ke rumah-rumah dengan iringan doa dan selawat nabi. Dan disudahi dengan sedikit jamuan ringan. Kami sekali lagi berkumpul untuk bergotong-royong menyediakan juadah jamuan. Sibuknya bukan kepalang, kerana yang hadir itu terdiri daripada penduduk setempat hampir 100 orang termasuk yang tua dan yang muda. Meriah!!!

Kini, saya dan adik-adik yang lain telah dewasa malah sudah beranak-pinak. Beberapa subjek yang ditegaskan ayah semasa zaman kanak-kanak saya terapkan dalam kehidupan saya sekeluarga. Sesekali mengenang kenangan manis ini, terasa juga sendunya, apatah lagi ayah saya kini sedang sakit. Semakin lanjut usianya, semakin sensitif pula dia. Namun, ayah tetap seperti dulu...suka betul memberi duit raya untuk anak-anaknya walaupun ayah sudah lama bersara. Ayah tak pernah kata "ayah tak ada duit", sekalipun ayah sudah tidak bekerja.

Thursday, August 26, 2010

Penghinaan Institusi Diraja

Sejak kebelakangan ini isu mempersenda institusi diraja sering tersiar di media. Ada di antaranya yang menjadi kes polis. Pihak berkuasa nampaknya bersungguh-sungguh cuba membenteras masalah ini daripada terus menjadi-jadi. Tetapi semakin dibenteras, semakin membiak kumannya.

Bermula dengan isu penghinaan Aduka Taruna terhadap Almarhum Sultan Johor, penyamaran seorang remaja yang mengaku anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, paparan wajah Sultan Johor di kain rentang sebuah parti politik, penggunaan nama seorang Ketua Menteri dalam khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang Dipertuan Agong, dan yang terbaharu penyamaran seorang lelaki sebagai Tengku Mahkota Johor dalam laman Face Book. Sedihnya tindakan tidak bermoral ini dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri, malahan oleh bangsa Melayu sendiri! Sedangkan yang dihina itu merupakan institusi diraja yang berbangsa Melayu juga.

Secara peribadi, walaupun saya bukan kerabat diraja namun disebabkan raja yang berdaulat itu merupakan rumpun bangsa Melayu, saya rasa begitu sedih. Raja/Sultan walaupun tidak mempunya kuasa eksekutif tetapi masih mempunyai hak atas beberapa perkara terutamanya yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat orang Melayu. Kedudukan mereka wajar dipelihara. Apa lagi yang bangsa Melayu ada jika raja sendiri dipersenda-senda?

Saya sangat khuatir sejarah institusi diraja Singapura berlaku di Malaysia. Sangat sedih apabila Sultan Singapura kehilangan kuasa. Lebih malang lagi kehilangan istana! Bangsa Melayu harus sedar, bahawa peranan institusi diraja itu masih penting dalam beberapa sistem perundangan negara ini.

Monday, August 23, 2010

Untung Jodoh Orang Dekat

Beberapa minggu saja lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut aidilfitri. Persiapan menyambut Syawal pasti sedang meriah. Tahun ini saya belum berkesempatan meninjau pusat beli-belah untuk persiapan hari raya. Beberapa keperluan hari raya saya dapatkan melalui pembelian dalam talian dan melalui telefon dengan saudara-mara dan rakan-taulan terdekat. Saya cukup 'rimas' menerjah pusat beli-belah untuk membeli keperluan hari raya. Cukup tidak tahan dengan kesesakan lalu lintas, pencarian parkir yang merumitkan, dan kesesakan ribuan manusia yang membanjiri plaza-plaza popular di sekita Johor Bahru.

Sehingga kini pun, saya tidak terfikir lagi untuk menghias rumah. Jiran tetangga sudah ada yang mengecat rumah. Saya pula buat tak kisah. Sudah ada yang memborong perhiasan rumah. Karpet baharu, langsir baharu, pinggan mangkuk baharu...serba-serbi baharu. Saya pula masih tidak berganjak dengan perhiasan lama. Selagi boleh digunakan selagi itu saya tidak menyimpan niat untuk menukar dengan yang baharu.

Dalam sibuk meneruskan ibadat dalam bulan Ramadan, emak dan adik-adik yang lain sudah sibuk bertanya tentang cuti hari raya. Seperti tahun-tahun yang sudah, setelah bermesyuarat dengan suami, kami akan pulang ke rumah keluarga saya pada malam hari raya. Pagi hari raya selepas solat sunat aidilfitri, kami akan bergerak ke rumah keluarga sebelah suami yang jaraknya hanya kurang 10 kilometer daripada rumah keluarga saya. Betapa bersyukurnya saya kerana dijodohkan dengan 'rakyat tempatan'. Kami tidak pernah bergaduh untuk menentukan giliran pulang berhari raya di kampung sesiapa. Tak perlu mengeluarkan belanja petrol dan tol yang tinggi. Tidak perlu menempuh kesesakan pulang ke kampung atau tersekat berjam-jam di plaza tol. Suami pula tidak perlu kepenatan memandu lama. Itu penting bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Paling jauh pun, kami akan ke Singapura menziarahi keluarga di sana.

Kepada pengunjung blog ini, saya ucapakan selamat menempuh sisa-sisa Ramadan dan selamat pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing. Mohon maaf zahir dan batin.

Tuesday, August 17, 2010

Himpunan Novel RAM


Kalau saya mengangkat diri saya sebagai peminat nombor satu novelis Ramlee Awang Mursyid (RAM), pasti ada yang tidak berpuas hati. Tetapi, itulah hakikatnya. Saya mula mengenali karya beliau sejak membaca 'Ingauan Maut' terbitan DBP. Sejak itu, setiap karyanya akan saya miliki. Novel Melayu jarang sekali bercorak thriller. Inilah satu-satunya novelis Malaysia yang sanggup menulis karya thriller. Novel berbahasa Inggeris yang bersifat sebegini sudah muak menjadi tatapan saya.

Semalaman berkemas, rupa-rupanya saya memiliki ke semua karya RAM. Ada di antaranya yang dipinjam oleh teman-teman sehingga sekarang tidak dikembalikan, namun saya mengambil inisiatif untuk membelinya kali kedua. Sekadar mengulang baca dan dijadikan koleksi. Setiap kali selesai membaca karya terbaru RAM, saya akan menantikan karyanya yang akan datang. Dengan penerbit Alaf 21, RAM mencipta nama yang gah dalam industri novel popular. Sekalipun beliau bermula dengan DBP dan pernah memenangi sayembara anjuran Utusan, namun namanya lebih sinonim dengan Alaf 21.

Dalam mengagumi penulisan beliu, sedar tak sedar saya sempat meneliti gaya penulisan beliau. RAM gemar menggunakan watak lelaki sebagai watak utama. Dan hero yang dipamerkan pasti seorang lelaki yang sangat hebat fizikal dan mentalnya. Sekalipun dimulakan hero dengan perlakuan yang melanggar peraturan kehidupan, akhirnya hero itu jugalah yang menjadi penyelamat keadaan. Antara hero yang melekat perwatakannya dalam jiwa saya ialah watak Hilman, Luqman, Mikhail, dan Laksamana Sunan. Dan, RAM sering membawa pembaca berada di luar Malaysia. Latar tempat dalam karya-karya beliau sangat pelbagai. Antaranya Jepun, New York, New Zealand dan Singapura. Pembaca sendiri akan berasa seolah-olah berada di negara-negara tersebut.

Selesai membaca 'Cinta Sufi' kini saya menanti kehadiran 'Rayyan Fantasi'.

Monday, August 2, 2010

ESQ: Antara Pro dan Kontra

Salam hormat,
Kebelakangan ini isu status halal haram ESQ Training Leadership sangat hangat diperkatakan di media cetak dan di kaca TV. Saya pernah dihantar oleh majikan ke kursus ini pada awal tahun 2008 bersama-sama beberapa lagi staf lain.

Pada hemah saya, ESQ sebuah kursus berlandaskan al-Quran dan sunah. Itu pokok utama. Namun modulnya ditokok tambah dengan bahan-bahan dari ilmu motivasi pakar psikologi Barat. Namun, masih relevan untuk diterapkan dalam kehidupan harian kerana pakar motivasi lain juga menggunakan modul yang serupa dalam hal-hal tentang IQ dan EQ.

Fasilitator ESQ semuanya terdiri daripada warga Indonesia yang berilmu. Namun, bahasa dan penyampaian mereka masih boleh difahami oleh audiens. Mereka sangat berjaya membuatkan audiens insaf dan menangis teresak-esak dengan penyampaian mereka yang penuh emosional. Pada hari terakhir training, saya dipanggil menghadap Pak Aminul Rahman (leader fasilitator ketika angkatan ke-9, JB) untuk makan tengah hari bersama-sama. Beberapa orang peserta yang lain turut serta dalam makan tengah hari istimewa itu. Kami ditanya tentang ESQ. Rata-rata mengatakannya bagus, cuma terdapat beberapa ketidakpuasan.

Pak Amirul Rahman bertanya kepada saya, mengapa saya tidak menitiskan air mata seperti peserta lain? Adakah hati saya terlalu keras untuk bertaubat atau insaf? Jawapan sangat ringkas. Saya tidak berasa sedih, kerana itu saya tidak menangis.

Kenapa saya tidak tersentuh hati apabila peserta lain mulai insaf dan menangis teresak-esak? Kerana saya tidak sedih melihat mereka menangis. Saya berasa seolah-olah mereka berlakon untuk mengeluarkan air mata. Keinsafan dan air mata hanya datang apabila saya berdua-dua dengan Allah di satu pertiga malam. Bukan di dalam dewan yang besar, dibingitkan dengan visual audio, dan gangguan daripada alumni ESQ yang lain, yang sibuk menghulurkan mikrofon untuk mendengar tangisan peserta! Saya kecewa tentang hal itu.

ESQ juga mencampur adukkan soal ilmu ketuhanan dengan elemen muzik rancak yang diselang-seli. Bagaimana ilmu Allah itu mahu meresap dalam jiwa sekiranya selepas menangis, peserta diperdengar pula dengan lagu-lagu rancak untuk senaman ringan? Pelik. Kemudian, ada pula beberapa permainan yang seolah-olah melenturkan stres atau tekanan. Walhal permainan seumpama itu sudah lama sebati dalam kursus-kursus yang tidak berteraskan al-Quran dan sunah yang lain yang sebelum ini saya sertai. Lebih dahsyat lagi, apabila dendangan lagu 'Demi Matahari' dilagukan, dinyanyikan sambil diiringi dengan gerak tari. Wajarkah? Sedangkan lirik lagu tersebut 95% diambil daripada maksud surah as-Syam. Cukuplah dilagukan sahaja tanpa tarian. Merepek!

Alumni dan trainer ESQ juga terlalu taksub dengan angka 165. Jangan kata no. pendaftaran kereta, nombor telefon mereka juga mesti terdapat angka 165 (1 ikhsan, 6 rukum iman dan 5 rukun Islam). Ke mana-mana mereka pergi, mereka ingat pemikiran mereka dengan 165.

Apapun, ESQ telah memberi banyak pengajaran kepada saya. Antaranya ilmu asmaul husna telah saya amalkan sehingga kini. Semangat bekerja untuk organisasi saya amalkan dengan teras al-quran dan sunah. Amalan solat berterusan sehingga kini dan bacaan al-Quran tidak pernah terabai.

Saya sangat terharu apabila Pak Ary Ginanjar membaca surah ar-Rahman persis seorang penyair. Beliau sangat menghayati bacaan tersebut sehingga saya terasa getarnya. Itulah surah yang melembutkan jiwa dan dikatakan surah paling cantik dalam al-Quran kerana ayat-ayatnya yang berulang-ulang.

Keseluruhannya, ESQ mungkin dilebal sebagai libralis kerana Islam di Indonesia memang liberal sifatnya. Namun banyak ilmu Islam yang berguna dan wajar diamalkan oleh orang Islam. Dan saya suka bahasa Indonesia yang lebih halus sifatnya berbanding bahasa Melayu yang ditutur oleh orang Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sekian, waallahualam...

Wednesday, June 9, 2010

Tempat Bersanggah

Dari tingkat atas dia menapak lemah. Satu persatu anak tangga dipijak menurun. Penatnya mengemas tiga ruang bilik tidur di bahagian atas menyebabkan pinggangnya terasa sengal. Bilik si bujang dipasang karpet biru, sesuai dengan nuansa biru bilik tersebut. Bilik si anak dara, dipadan suai dengan meja dan kerusi baru. Biar selesa si anak membaca. Rona merah jambu penyeri ruang itu. Bilik utama juga dikemas rapi. Bilik air disental berkilat. Ruang tamu di bahagian atas tidak mampu disusun atur lantaran terlalu banyak barang keperluan kerja suaminya yang hanya suaminya sahaja yang tahu kedudukan dan keperluannya. Inilah rutinnya apabila si kecil lena dalam buaian.

Maria ke ruang tamu tingkat bawah pula. Langsir lama ditukar dengan yang baru. Warna merah bertukar coklat. Sengaja dia memilih rona coklat yang digabungkan dengan lining coklat cair untuk memadankannya dengan warna perabot. Puas hatinya apabila melihat ruang rumahnya ceria dengan warna-warna baru.

Beberapa hari sahaja lagi, adik iparnya akan melangsungkan perkahwinan. Dan rumahnya akan menjadi tempat bersanggah keluarga pengantin lelaki. Kerana itu dia bertungkus-lumus mengemas dan melengkapkan kemudahan seisi rumah. Harap-harap tetamu yang datang nanti, berpuas hati tinggal di rumahnya.

Selamat pengantin baru -- Aishah dan Rafity.

Thursday, May 13, 2010

Kroni Yang Kronik

Menara 30 tingkat megah berdiri
di sana terhimpun pahlawan dan srikandi
pejuang bahasa menegak panji
pewaris sastera teguh kendiri.

Warga menara berjuang separuh mati
jiran seberang jalan mencalit lumpur tanpa henti
jiran itu sebenarnya kroni
kroni yang kini semakin kronik
lemah jantung, darah tinggi, diabetis semakin sebati.

Kata orang menara akan tetap tinggi
walau semangat warganya kadang kala tidak menjadi
kroni akan tetap meraih simpati
kerana asal usulnya dari rahim ibu yang suci.

Kroni kata menara macam keluarga sendiri
tanpa kroni sedari
kroni sebenarnya adik-beradik tiri
pastilah wasiatnya tidak boleh dikongsi.

Semakin warga menara menunding jari
semakin kroninya melibas silat mengajak bermain api
jika api dilawan dengan api
khuatir suatu hari nanti menara sendiri yang gigit jari.

Monday, May 10, 2010

"Mana kerongsang terbesar?"




Seharian berjalan-jalan dan mencuci mata di Plaza Kotaraya. Mencari-cari mana kerongsang terbesar di Johor? Kerongsang yang besar atau kain rentang sahaja yang besar? Atau karnivalnya yang besar? Yang pasti, bayaran tempat letak kereta paling besar nilainya.
Maria menggeluarkan tiga keping not merah, ngam-ngam untuk tangan yang terjulur di pondok Metro Parking, Plaza Kotaraya.

Sunday, May 9, 2010

"Can I take your order, sir?"



Apalah masalahnya restoran ni...

Saturday, May 8, 2010

Cari Jodoh



Maria ketawa sendirian membaca iklan murahan di hadapannya. Zaman berteknologi tinggi pun masih ada yang buat iklan cara konvensional. Jimat kos sungguh!

Thursday, April 22, 2010

Takut Bini?

"Kadang-kadang aku terfikir,macam mana kau boleh kerja sampai larut malam dan balik rumah pukul dua, tiga pagi," ujar Shah teman baik Hadi.

"Kenapa tidak? Aku cari makan, nak tanggung anak bini. Bukan poya-poya," suara Hadi agak serius.

"Bini aku lain sikitlah, Hadi. Pantang aku balik lewat sikit...mulalah dia nak membebel. Aku buat part time job ni pun, senyap-senyap saja. Dia selalu curiga pada aku. Dia selalu ingat aku ada simpan perempuan lain," Shah meneguk secawan kopi O panas di hadapannya. Perbincangannya dengan Hadi tentang Projek Kulim terhenti seketika. Maria datang lagi menatang sepinggan kuih bakar pula. Setelah mempelawa Shah menjamah kuih bakar, Maria meninggalkan kedua-duanya.

"Isteri aku pula, paling curiga kalau aku duduk rumah. Apatah lagi kalau aku tak keluar-keluar rumah. Mulalah dia ingat aku ada hutang dengan ah long lah, dia sangka aku tak bayar ansuran keretalah, dia fikir aku malas kerjalah...," suara Hadi sedikit berbisik.

"Pelik! Macam-macamlah perangai orang perempuan ni...," bukan main rancak kedua-duanya mengumpat isteri masing-masing. Hadi ketawa kecil.

"Engkau yang takut bini, kot?" Hadi menguji. Shah tersenyum lebar.

"Taklahhh...bini aku yang tak takut dengan aku!!!" kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.

Begitu rupa-rupanya orang lelaki kalau berjumpa! Hebat juga mereka 'menganyam ketupat'.

Monday, April 19, 2010

Kasihnya ayah...

Maria, Zaman dan Didy berkampung di rumah Haji Khairi. Keadaan ayah mereka masih lemah. Masing-masing enggan keluar rumah. Hajah Salmah diam membisu sejak semalam. Tidak banyak yang dibicarakan. Dia lebih banyak bersolat daripada berbual-bual. Anak-anak Maria dan Zaman di luar rumah. Gembira berjumpa dan bermain. Isteri Zaman berkursus selama seminggu di Ayer Keroh. Hadi pula menghadiri seminar keusahawanan di Singapura. Didy masih keletihan. Sebaik tiba dari Puket, dia bergegas ke rumah ayahnya. Mujurlah segala kerjanya dapat dibereskan mengikut tempoh.

"Didy, buat masa ni tak payahlah ke luar negara lagi. Susah kalau apa-apa jadi pada ayah," Didy tidak segera menjawab ujaran Maria. Mungkin kepalanya ligat berfikir hal pejabat dan hal Haji Khairi.

"Biarlah...kerja tetap kerja. Itu tanggungjawab. Tempat dia cari makan," Haji Khairi menyampuk tiba-tiba. Entah bila Haji Khairi tercegat di belakang Maria, tidak pula Maria sedari. Maria menoleh ke belakang, bingkas bangun lalu memberi ruang ayahnya untuk duduk.

Zaman yang senyap sejak tadi menarik nafas panjang. Risau dengan adiknya yang selalu tiada di tanah air. "Lepas ni ke mana?" tanya Zaman ringkas.

"Bali!" ringkas jawapan Didy, namun mengundang kejutan di dada Zaman dan Maria. "Kau berdua tengok-tengokkan ayahlah. Balik dari Bali aku cuti panjang, nanti aku take over jaga ayah. Zaman dan Maria berpandangan sesama mereka. Tidak terkata.

"Sudahlah...tak payah susah-susah hal ayah. Makcik kamu pun ada. Kalau dia tak boleh handle, baru dia hubungi kamu semua. Jangan risau!" Haji Khairi cuba memujuk anak-anaknya. Maria yang duduk di sebelah Haji Khairi memandang sayu wajah tua itu. Lantas memeluk dan menciumnya. Kepalanya dilentukkan ke bahu ayah tersayang. Manja. Memang dia manja dengan ayahnya sejak kecil. Zaman dan Didy memandang sambil mencebikkan muka masing-masing.

"Huh! Dah tua pun nak manja-manja! Pergi masak, aku lapar!" Didy bangkit sambil membaling sebiji bantal ke arah Maria. Maria dan Haji Khairi ketawa geli hati. 'Cemburulah tuuu...' bisik hati Maria.

Friday, April 16, 2010

Ayah!!!

Sedang Maria bersiap-siap untuk keluar semula ke pejabat, telefon bimbitnya berbunyi mohon dijawab. Talian terputus sebaik telefon bimbitnya dalam genggaman. Maria mengeluh. Panggilan daripada ibu tirinya--tentu sahaja perihal ayahnya. Hati Maria tidak keruan. Jam di dinding tepat pukul 2.17 petang. Maria sedikit gelisah. Fikirannya tidak menentu. Maria segera membuat panggilan pada nombor yang tertera di skrin telefonnya.

"Makcik, maaf tadi tak sempat jawab panggilan," mohon Maria penuh santun. Sekali pun wanita di hujung talian itu hanya ibu tirinya, wanita itu tetap sebahagian daripada keluarga dan kehidupannya.

"Maria, ayah tiba-tiba sesak nafas. Makcik call adik-adik kau yang lain tapi tak berjawab...," nada di hujung sana sedikit panik dan cemas. Maria segera mencapai kunci kereta. Hajat untuk ke pejabat dibatalkan. Hanya sempat menghantar pesanan ringkas kepada salah seorang teman sekerjanya menyatakan kelewatannya ke pejabat. Maria bergegas ke Taman Johor Jaya. Mujurlah juga lebuh raya tidak sesak dengan kenderaan. Dua puluh lima minit kemudian dia sudah berada di hadapan rumah Haji Khairi. Pintu pagar automatik terbuka, mengundang Maria masuk.

"Ayah...!" Maria menerpa Haji Khairi yang kelihatan lemah.

"Lepas solat tadi, ayah terus mengah. Tak mampu makcik nak bawa ke hospital...,"

"Ayah...kita ke hospital, ye...," Maria memujuk Haji Khairi yang memegang kuat dadanya. Nafasnya turun naik. Air mata begitu murah mengalir, walau cuba ditahan-tahan. Haji Khairi menggeleng-gelengkan kepalanya. Enggan.

"Makcik, kita bawa ayah ke klinik yang dekat dulu. Cepat!" tanpa menunggu lama dan tanpa mempedulikan keadaan Haji Khairi, Maria bingkas memapah Haji Khairi ke kereta. Peluh mula membasahi wajah tua itu. Maria tahu ayahnya sedang melawan segala kesakitan yang menyerang. Kereta dipandu cermat walaupun dia amat cemas ketika itu. Haji Khairi ditemani Hajah Salmah duduk di bahagian belakang. Maria terus ke Klinik Bakti untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sejurus tiba di klinik, pihak klinik memberi bantuan oksigen kepada Haji Khairi. Mujur pesakit tidak terlalu ramai dan mereka tidak menunggu begitu lama. Rawatan mengambil masa agak panjang kerana Haji Khairi mempunyai komplikasi buah pinggang yang serius. Bukan semua rawatan dan ubat kecemasan sesuai untuknya. Tambahan pula, diabetis dan penyakit darah tingginya masih belum stabil.

"Ayah kamu mengalami sesak nafas kerana masalah jantungnya yang semakin lemah. Paru-parunya sedikit basah. Ini keputusan ultrasound dan ECG yang kami buat. Dapatkan rawatan susulan esok, untuk saya pastikan sama ada jantungnya kembali normal atau bagaimana...," Maria sedikit lega mendengar penerangan doktor. Hatinya terus berdoa agar penyakit Haji Khairi tidak bertambah teruk. Dia tidak mahu ayahnya menanggung sakit demi sakit. Cukuplah dengan apa yang menyakitkan sekarang ini.

Monday, April 5, 2010

Hijrah Itu Pengorbanan

Maria menatap laman facebook.

Selepas penat memasak, dia menidurkan anaknya yang kecil. Hujung minggu terasa bosan apabila tidak diisi dengan aktiviti riadah di luar rumah. Kesibukan suaminya menghalang dia melaksanakan aktiviti luar. Sementara si kecil sedang lena dan anak-anak yang lain bertandang ke rumah jiran sebelah, Maria mencuri masa menghadap laman facebooknya.

Sedikit catatan ringkas di Dinding facebook ditinggalkan untuk tatapan teman facebook yang lain:

"Teman facebook yang dihormati. Dimaklumkan bahawa saya tidak lagi mengendali urusan penerbitan di DBPWS. Segala urusan penerbitan telah diserahkan sepenuhnya kepada Puan Roslin Majid. Kini saya membantu urusan Unit Sastera yang diketuai sifu RAR. Kepada rakan editor, sila beri kerjasama kepada pegawai penerbitan yang baru. Kepada rakan penulis yang dikasihi, harap berpuas hati dengan air tangan editor baru. Terima kasih kpd semua yang pernah bekerjasama dengan saya sepanjang saya berkhidmat di Penerbitan. Penerbitan di DBPWS masih relevan. Dan penghijrahan ini satu pengorbanan. Sekian, salam hijrah."

Maria memandang sekilas manuskrip di sebelah meja komputernya. Manuskrip terakhir!

Monday, March 29, 2010

Siakap Tak Ada Rasa

Maria merenung tajam wajah Haji Khairi. Wajah tua itu tampak letih dan tidak bermaya. Namun, lenanya bagai semalaman tidak tidur. Kehadiran Maria tengah hari itu bersama-sama ikan siakap tiga rasa kegemaran Haji Khairi. Haji Khairi teringin benar merasai air tangan Maria. Katanya sudah sekian lama tidak merasai makanan yang sedap-sedap.

Tiga minggu sudah, dia dibenarkan pulang ke rumah kerana kesihatannya semakin baik. Namun, baru semalam dia dimasukkan semula ke wad kerana sesak nafas dan kesihatannya semakin merosot. Maria termenung. Sedih melihat keadaan yang ditanggung Haji Khairi. Oleh sebab itu, sedaya mungkin Maria akan menurut semua hajat Haji Khairi. Dia khuatir, mungkin itu hajat ayahandanya yang terakhir.

Haji Khairi terjaga tepat pukul 12.00 tengah hari. Melihat Maria di depan matanya membuatkan dia bingkas bangun. Lebar senyumannya melihat Maria.

"Kau datang dengan siapa?" tanya Haji Khairi semasa Maria menyalami dan mencium pipinya.

"Seorang saja. Anak-anak dengan Hadi di rumah," jawab Maria sambil meletakkan barang-barang yang dibawanya.

"Janji semalam nak bawakan ayah siakap tiga rasa? Ayah dah bau ni. Nak makan sekarang juga!" Maria tersenyum melihat gelagat ayahandanya. 'Nafsu macam orang tak sakit!' bisik hati Maria. Tanpa berlengah Maria menghidangkan siakap tiga rasa - menu khas orang sakit-untuk santapan ayahnya. Maria menyuap mesra sedikit demi sedikit nasi berlauk siakap tiga rasa ke mulut Haji Khairi.

"Kenapa rasanya tak sama macam yang selalu kau masak?" Haji Khairi merungut setelah tiga suapan ke mulutnya.

"Apa yang tak kena, ayah? Ikan ni fresh tau. Maria beli di pasar tani,"

"Bukan masalah ikan. Tak cukup rencah!"

"Apa pulak, ayahhh...semua cukup. Masam, manis, manis, semua ada. Tekak ayah tu yang kena adjust balik!"

"Ayah tak rasa pun tiga rasa...,"

"Habis, ayah rasa berapa rasa?"

"Tak ada rasa!" jawab Haji Khairi, sambil tersenyum. Maria tergelak dengan jawapan Haji Khairi. Tekak orang sakit...

"Merepek je ayah ni. Hadi makan tadi kat rumah...sampai licin! Lauk ni juga!" seboleh-boleh Maria hendak menegakkan kebenaran.

"Hadi tu makan sampai licin, pasal nak jaga hati kau!" gelak Maria semakin berlarutan. Ayahnya tak mahu kalah. "Lain kali bubuh garam lebih sikit...,"

"Tak boleh...nanti darah tinggi ayah naik lagi," pintas Maria.

"Bubuh gula, kasi rasa manis sikit...," balas Haji Khairi.

"Tak boleh...nanti kencing manis tinggi balik!" cantas Maria.

"Aik? Semuanya tak boleh...patutlah siakap ni tak ada rasa!" Haji Khairi dan Maria sama-sama tergelak. Pecah tembelang Maria dengan menu khas orang sakit.

Wednesday, March 3, 2010

Separuh Jiwaku Hilang

Sejak Haji Khairi dimasukkan ke hospital, seminggu genap Maria berumah tangga di hospital. Berulang-alik dari rumah ke hospital menjadi rutin sehariannya sementelaah adik-adik yang lain sibuk dengan tugas rasmi dan tanggungjawab sosial yang harus dibereskan. Urusan rumah tangga diserahkan sementara kepada Hadi. Mujur Hadi bekerja sendiri dan sanggup memikul tugas tersebut. Minggu depan adik-adik yang lain pula akan menggantikannya, menjaga dan mengurus Haji Khairi.

"Puan, bapa puan akan melalui peritoneal dialysis. We call that a PD treatment. Please sign down this letter as a permission," Dr. Hiew, doktor pakar buah pinggang memberi serba sedikit penjelasan tentang rawatan yang akan dilakukan terhadap bapanya. Maria tahu, rawatan tersebut berisiko, namun terpaksa dilakukan daripada ayahnya terus menerus menanggung derita.

"Please, do the best doctor!" Maria menaruh harapan yang sangat tinggi. Haji Khairi akan melalui peritoneal dialysis sebanyak 40 pusingan untuk mengeluarkan air dalam badan dan mencuci buang pinggang yang sudah rosak. 40 jam rawatan merupakan jangka masa yang amat panjang. Memeritkan. Doa yang tidak putus-putus dipanjatkan agar Haji Khairi diberi kekuatan iman dan semangat. Moga cepat sembuh. Separuh jiwa Maria terasa melayang-layang. Hilang!

Thursday, February 18, 2010

Leteran Maria...

"Aku bukan marah sangat fasal kereta aku dilanggar!" suara Maria sedikit kuat kerana melawan suara kenderaan yang lalu lalang. Temannya di hujung talian melayan rungutan Maria dengan sabar. Sesabar-sabarnya!

"Nyonya ni pun dah janji nak tanggung semua kos. Butir diri dia pun aku dah ambil," nafas ditarik dalam-dalam. Wajah wanita tua di sebelahnya dikerling sekejap-sekejap.

"Yang aku angin sangat...fasal, nyonya ni...haram sepatah bahasa Melayu pun dia tak faham! Aku ni mati-mati ingat dia ketakutan sebab langgar kereta aku. Rupa-rupanya, dia cakap 'sorry, amoi... I can not speak Malay,'," geram Maria bukan kepalang. Temannya di hujung talian tergelak sakan mendengar leteran Maria, apatah lagi apabila mendengar ajukkan Maria.

"Aku pun, dengan confidentnya speaking lah...terpaksalah cakap orang putih! Terkebil-kebil pulak nyonya tu. Dengan muka sedih, dia panggil seorang budak lelaki, suruh terjemahkan apa yang aku cakap! Aku sangkakan aku cakap laju sangat, rupa-rupanya dia tak faham butir bicara aku!" teman Maria tidak henti-henti ketawa.

"Aku pelik tengok nyonya ni...pakai Mercedes C 200, cakap Melayu tak faham, cakap Inggeris tak pandai! Aku yang kena langgar, aku yang solve the problem. Mujurlah dia bertanggungjawab. Kalau tak...eemmm...see you in court!" Maria mengakhiri perbualan tersebut dengan suhu bahan yang semakin menurun. Angin sepoi-sepoi sedikit sebanyak menyejukkan hatinya yang sedang hangat. Dia berterima kasih juga kepada Nana temannya yang sudi mendengar bebelannya. Sekurang-kurangnya bebelan itu tidak dibawa ke pejabat dan ke rumah.

Tahun harimau memang kena garang lebih! Jangan sampai diinjak-injak. Maria mengingatkan dirinya sendiri.

Friday, February 12, 2010

Besar Punyaaa!!!

"Suprise!!!!" suara Hadi bergema satu rumah. Anak-anak melompat-lompat kegirangan. Maria separuh menjerit. Mulutnya dikatup supaya tidak terus menjerit. Anak-anak memeluk Hadi. Sukanya bukan kepalang!

"Bestlah..bestlah...," Zaiqel, si anak sulung, meluru ke arah TV Plasma 50' yang baru dibeli Hadi.

"Bila sampai benda ni?" tanya Maria separuh keliru. Setahunya dia belum lagi menyetujui cadangan Hadi untuk membeli televisyen baru. Bukan kerana tidak menyokong usul Hadi, cuma dia tidak mahu wang simpanan mereka dihabiskan untuk material semata-mata.

"Nak tunggu awak istiharah...alamat tak merasalah kita TV baru!" ujar Hadi tanpa menjawab soalan Maria. "Lepas ni, jangan mintak tengok wayang lagi. Semuanya ayah dah sediakan di rumah. Puas hati? Atau...kau orang semua nak yang lebih besar lagi?" anak-anak ketawa kecil mendengar sindiran si ayah.

"Yeehhh!!! Besaaarrr punyaaa!" si adik melompat-lompat. "Kenapa ayah beli TV besar?" tanyanya pula.

"Sebab...ayah dah malas nak dengar ibu berleter...sakit mata tv keciklah, warna tak bright laaa, tv berjerubulah...nak tv lekat kat dindinglah. Ni hah..ambik!" mereka tergelak sakan mendengar Hadi menyindir Maria. Cukuplah sekali ini mereka merasai televisyen yang amat selesa untuk tontonan seisi keluarga. Akhirnya hajat hati Maria untuk membeli televisyen yang melekat di dinding tercapai jua!

Thursday, February 11, 2010

Kehilangan Kelahiran

Maria mendakap Azlin seerat-eratnya. Air mata tertumpah jua setelah sekian lama ditahan.Esakkan Azlin terus berlarutan. Tanpa suara tanpa bicara Azlin terus terusan mengongoi bagai anak kecil. Maria mencium kedua-dua belah pipi Azlin. Air mata yang semakin deras disekang perlahan-lahan. Wad bersalin kelas pertama hanya menempatkan dua katil dalam satu bilik. Pun begitu tiada penghuni di katil sebelah.

Ishak meluru ke Maria. Matanya juga merah berbekas dek sisa air mata. Mereka bersalaman. Erat. "Sabar, Ishak," Maria cuba memujuk kedua-dua suami isteri itu.

"Maria, aku tak sangka sejarah berulang kembali," Ishak membuka bicara. Kenangan dengan arwah anak sulungnya kembali bermain di minda. Nur Aiman Ishak pergi setelah 12 hari nazak bertarung nyawa. Gagal diselamatkan kerana komplikasi organ akibat tidak cukup bulan. Sepuluh tahun kemudian Azlin dikhabarkan mengandung lagi. Ishak mengkhabarkan berita gembira itu kepada Maria semasa meraikan aidilfitri yang lalu. Lebih menggembirakannya apabila kandungan Azlin diberitakan mempunyai dua uri. Ini bermakna Ishak akan menimang cahaya mata kembar. Seluruh keluarga mendoakan mereka dan berkongsi kegembiraan tersebut.

"Maria, anak aku tinggalkan aku, Mariaaaa!!!" Azlin meluahkan perasaannya. Jari-jemari Maria digenggam erat. Dua saudara sepupu yang memang rapat sejak kecil kembali berpelukan. "Dia belum jamah susu badan aku, Mariaaaa!!!" tangisan Azlin mencurah-curah. Air mata Maria mengalir perlahan. Dia berkongsi kesedihan. Kehilangan kelahiran dalam tempoh yang singkat amat memilukan.

"Banyakkan bersabar, Lin. Ini semua dugaan. Tabahkan hati. Kau bukan tak ada anak. Anak-anak kau semuanya menanti kau di syurga. Mereka menunggu kau di 'sana'," Maria cuba memujuk. Tangisan Azlin sedikit reda.

"Maria, aku beredar dulu. Ada panggilan daripada Rumah Mayat. Nak selesaikan jenazah, kemudian kami akan terus pulang ke Kota," ujar Ishak tergesa-gesa. Maria angguk. "Tolong temankan Lin, sehingga aku datang semula," Ishak meninggalkan mereka untuk menguruskan jenazah kedua-dua anaknya. Maria masih setia di sisi Azlin. Segelas air suam dihulurkan kepada Azlin bagi mententeramkan emosi Azlin yang sedang kacau. Azlin meluahkan segala kedukaannya. Sedih, pilu, hiba sebati dalam sukmanya. Penantian 15 tahun berakhir dengan kematian. Sangat menyayat hati. Apatah lagi apabila Azlin mengenangkan usianya yang semakin meningkat dan kemungkinan untuk mendapat cahaya mata lagi bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih menyedihkan, Azlin hanya sempat bersama-sama kembarnya itu dalam tempoh kurang 48 jam. Saat mula melahirkan, doktor menasihatinya agar tidak banyak bergerak kerana kelahiran ceaserean tidak seperti kelahiran normal. Azlin hanya dapat menatap wajah anak-anaknya sebaik 24 jam kelahiran mereka.

Masalah organ dalaman yang tidak kuat dikatakan punca kematian dua-duanya, walaupun salah seorang daripadanya didapati stabil. Namun, kuasa Allah tiada siapa pun yang boleh menghalang. Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika hamba-Nya itu tidak mampu menanggung ujian itu. Ishak dan Azlin harus kuat dan tabah. Reda dengan ketentuan-Nya.

Maria memahami perasaan Azlin. Dia juga ibu yang pernah melalui saat-saat kelahiran. Dan dia juga melalui kegembiraan mendapat zuriat. Gusarnya hati jika anak-anak demam. Bimbangnya jiwa raga jika anak-anak sakit. Inikan pula menghadap kehilangan anak buat selama-lamanya. Al-fatihah buat Nur Imran Ishak dan Nur Irman Ishak.

Friday, February 5, 2010

Nak ke Tak Nak?

"Nak ke tak nak?" Hadi bertanya untuk kesekian kalinya. Maria senyum. Panjang senyumannya. Wajah serius Hadi memandang isterinya dengan riak yang pelik. Kening Hadi terjungkit sedikit. Maria senyum lagi. Mulutnya tetap terkunci.

"Nak ke tak?" tanya hadi lagi. Bibir Maria mengukir senyum. Tersengih membariskan gigi putihnya.

"Nak tak? Asyik senyum memanjang. Saya dah tak sabar ni!" Hadi mula menayang ketidaksabarannya.

"Sabarlah...Nak fikir dulu,"

"Fikir lagi? Dah sebulan berlalu...masih nak fikir lagi?" Hadi merenung wajah isterinya. Tenungan yang tajam.

"Lu mau kaaa tak mau? Lu mau wa kasi angkat. Lu tak mau...wa kasi tolak!" gurauan Hadi membuatkan Maria ketawa berdekah-dekah.

"Nantilah... Nak buat istiharah dulu," ujaran Maria membuatkan dahi Hadi berkerut seribu. Maria membalas kerutan itu dengan senyuman paling manis.

"Senyum lagi!"

Monday, February 1, 2010

Bengkel Punya Hal

"Ayah mana?"
"Bengkel," Zaiqel menjawab sepatah. Basikal yang dikayuh laju, berhenti perlahan-lahan di hadapan rumah jiran selang sebuah dari rumahnya. Encik Nazri sibuk mencuci kereta. Anak-anaknya yang lain bersiap sedia mengeluarkan basikal masing-masing untuk menuruti Zaiqel.

"Ibu mana?" isteri Encik Nazri menyampuk.
"Bengkel," jawabnya sepatah juga.

"Siapa ada di rumah?"
"Kosong. Saya tinggal seorang hari ni,"

"Adik-adik mana?"
"Adik baby ibu hantar ke nursery. Adik Kakak ke bengkel juga,"

"Aik??? Sampai tiga orang ikut ayah ke bengkel?"
"Taklah. Ayah hantar kereta servis kat bengkel. Ibu pergi bengkel make up-make up. Adik pergi bengkel motivasi kat sekolah,"

"Laaaa....banyaknyaaa bengkel...," Encik Nazri mengerutkan mukanya.

"Zaiqel tanya ibu, nak join tak bengkel mak cik?"
"Bengkel apa pulak?"
"Bengkel gubahan pengantin...,"
"Oooo...mesti ibu suka! Nanti ibu balik, saya sampaikan. Bab-bab bengkel ni, memang ibu terror. Kerja ibu pun banyak bengkel-bengkel. Bengkel tulis bukulah, bengkel buat rencanalah, bengkel bina penulislah...Macam-macam lagi bengkel...,"

Zaiqel meninggalkan rumah jiran selang sebuah itu dengan kayuhan ligatnya...seligat kepalanya yang berfikir...betapa banyaknya bengkel dalam dunia ni...

Wednesday, January 27, 2010

Berdiri di Tangga Dewan

Saat aku berdiri di tangga Dewan
mata meliar mencari sahabat
janji terpesong suku jam pertama
sahabat entah di mana...

Saat aku berdiri di tangga Dewan
mata tajam tertancap seseorang
tangga didaki tangan bertongkat
walhal usianya belum nak mangkat.

Saat aku berdiri di tangga Dewan
disapa seorang karyawan mapan
Pak Malim datang dengan beg sandang
ramah menyapa rindu bersarang
galak bercerita gejolak jiwanya.

Saat aku berdiri di tangga Dewan
seorang ketua bercekak pinggang
memandang awan bergerak perlahan
berat gelap mendung mengundang
kupandang jam di tangan
bukan masanya ke warung seberang
ketua tetap menapak menuju ruang.

Saat aku berdiri di tangga Dewan
DBP 1956 melintas di hadapan
hentakkan tumit tinggi melangkah perkasa
mesyuarat Cik Puan di Putrajaya.

Saat aku berdiri di tangga Dewan
hati berbisik sayup suara
gahnya menara tinggi melampai
masihkah relevan dalam kontroversi yang mengundang?
Masihkah ada jiwa pejuang silam
yang menegak panji cinta bahasa
yang meniup api dari satu zaman
yang menyusung keranda 152.

Saat aku berdiri di tangga Dewan
bahu disentuh senyum mengundang
sahabat datang meghulur maaf
"KP minta fail buku cetak ulang...,"

Kasihnya Ayah Membawa ke Syurga

Maria tergamam. Kerut wajah kuning langsatnya bertukar pucat. Cuak. Gusar. Mesej pesanan ringkas daripada sepupunya di Kota Tinggi benar-benar menekan jiwanya.

'Ayah tenat. Doktor cadang buat dialisis.'

Maria memandang Menara Kuala Lumpur. Malam pekat kota raya itu sedikit sebanyak mengingatkan dia kepada Haji Khairi, ayahandanya yang tercinta. Hatinya melonjak-lonjak ingin pulang segera ke Johor Bahru. Keadaan Haji Khairi tidak dapat diduga. Perbualan dengan Haida sepupunya, pada lewat petang tadi menjadikannya semakin tidak keruan. Maria cuba bertenang sekalipun fikirannya tetap teringat akan Haji Khairi. Gusar lagi. Namun, urusan rasmi di Kuala Lumpur wajib dibereskan. Tanggungjawab. Kerjanya itu juga sebahagian daripada ibadahnya.

Malam itu tahajudnya sedikit terganggu. Rembesan air mata tidak terbendung. Suara Haji Khairi terngiang-ngiang di telinganya. 'Ayah masih kuat. Ayah akan sihat. Jangan risau.' Maria memanjatkan doanya yang berpanjangan. Mohon ayahandanya dilindungi Allah, jauh daripada kesakitan.

Friday, January 8, 2010

E-mel dari Perth

Maria, aku, suami dan anak-anak semakin serasi di Perth.Mudah juga untuk mendapatkan makanan halal kerana terdapat beberapa warga Singapura yang bermastautin di sini dan membuka restoran makanan halal. Kelompok Melayu boleh dikatakan ramailah juga kerana beberapa pelajar Malaysia dan Brunei tinggal berdekatan dengan kawasan rumah kami. Anak-anak aku telah memulakan persekolahan mereka. Sistem pendidikan di negara maju ini sangat jauh berbeza dengan Malaysia. Mereka wajib membawa bekalan makanan sendiri dari rumah dan wajib membawa makanan yang berkhasiat dan seimbang. Mereka tidak dibenarkan membawa wang saku kerana sekolah tidak menjual makanan. Aku pernah dipanggil guru kelas Sania kerana membekalkan nasi goreng dan air kordial kepadanya. Makanan bergoreng dan kordial tidak sesuai untuk pembesaran anak-anak. Terkejut juga aku kerana di Malaysia hal ini 'biasa-biasa' saja bagi kita, kan?

Paling menggembirakan anak-anak aku ialah, mereka tidak perlu membawa beg yang sarat dengan buku teks dan buku tulis seperti dulu semasa bersekolah di Johor. Bukan kerana mereka dibekalkan dengan bahan elektronik lain namun sebenarnya semua bahan pembelajaran disediakan pihak sekolah. Dan yang paling seronok, mereka tidak lagi membuat kerja rumah yang berat-berat. Tidak ada lagi istilah menyalin...menyalin...menyalin. Setiap kali anak-anak aku pulang dari sekolah, mereka dibekalkan dengan buku-buku bacaan yang sesuai dengan peringkat umur masing-masing. Mereka digalakkan membaca...membaca...dan membaca. Aku pula akan menurunkan tandatangan di buku-buku tersebut sebagai tanda pembacaan mereka dipantau ibu bapa. Ahhh...memang seronok menjadi ibu bapa di sini. Persekitaran pembesaran anak-anak juga menyeronokkan. Alangkah cantiknya jika sistem pendidikan kita di Malaysia seperti ini, Maria. Aku perhatikan, kanak-kanak di sini sangat rajin membaca. Di mana-mana mereka membaca. Tinggi ilmu pengetahuan mereka, Maria. Sania yang berusia tujuh tahun sudah faham tentang cakerawala, tenaga solar dan galaksi.

Maria, banyak lagi yang ingin aku kongsikan dengan kau. Tapi, aku harus berhenti di sini dahulu kerana anak-anak perlu ke sekolah. Sekolah bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Waktu ini juga sangat sesuai kerana tidak bertembung dengan waktu bekerja (7.00 pagi hingga 5.00 petang). Bukan macam kita di Malaysia yang hampir semua manusia keluar serentak pada awal pagi dan pulang juga hampir serentak pada sebelah petang. Akibatnya jalan raya sesak!

Salam untuk keluarga di Johor. Zazana.


Maria merenung beg-beg sekolah anak-anaknya. Setiap hari mereka membawa beg sekolah yang sarat dengan buku walaupun mereka menyusunnya mengikut jadual yang diberi. Satu subjek hampir empat buah buku (buku teks, buku aktiviti, buku tulis dan buku rampaian). Kalau sudah lima subjek (atau lebih), hampir 20 buah buku mereka kendong setiap hari. Badan pun sudah bongkok udang! Tulang belakang sering lenguh-lenguh. Kesiannn....Hari-hari mereka membuat kerja rumah yang tak ubah seperti membuat tesis! Menyalin soalan...menulis jawapan...menyalin soalan...menulis jawapan. Masa untuk membaca buku-buku yang dipinjam di PSI dan yang dibeli Maria agak terbatas. Inilah dilema yang mereka alami. Namun, mereka masih terlalu kecil untuk bersuara.

Thursday, January 7, 2010

Pertemuan Maya di Laman FB dan YM

Maria menghadap laman sosial FaceBook (FB). Jari jemarinya ligat menekan kekunci komputer memasukkan kata laluannya. Teman-teman di FB sedia menanti. Beberapa informasi terkini diperoleh dengan cepat. Penerbit PTS mengadakan bengkel penyuntingan dalam talian untuk kakitangannya. Menarik! Buku-buku terlaris di pasaran diterokai dengan mudah. Penjualan buku berbahasa Melayu melonjak naik sejak sesi persekolahan dibuka. Lagi menarik!

Forum sesama editor di syarikat penerbitan lain ditemui satu persatu. Dr. Hamedi Adnan memberi komen tentang koleksi gambar-gambar di FB Maria. Maria tersenyum sendiri. Teman-teman sepejabat juga ditemui dalam laman maya itu. Ada yang mengadu keletihan bekerja sepanjang akhir bulan kerana mengejar tarikh akhir penutupan akaun. Ada juga yang kebosanan kerana server di pejabat membingit tak henti-henti. Ada juga yang mengadu, tentang kedatangan pegawai sistem maklumat beberapa minggu yang lalu tidak memberi sebarang makna! Dan yang agak menarik perhatiannya, sahabatnya Zamri Idrus telah mendapat anak pertama pada 1 Januari 2010 (010110) pada pukul 1.10 pagi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur! Wow! Berbaloi-baloi! Menurut Zamri, beberapa orang wartawan mengerumuni isterinya sebaik bayi tersebut dilahirkan. Berita tersebut mendapat tempat dalam The Star dan KOSMO! keesokan harinya. 'Tahniah, Zam!' Beberapa komen ditinggalkan Maria sebelum menutup laman sosialnya itu.

Dalam kerenyaian hujan pagi, banyak juga maklumat berguna yang diperoleh. Dia membuka buku perancangan tahunan. Temujanji dengan Puan Aminah di Dawama Kuala Lumpur pada pukul 2.00 petang melalui Yahoo! Messenger (YM), untuk menghantar tiga bab terakhir novel 'Bagin'. Forum dengan beberapa orang editor di Cawangan Sarawak pada pukul 3.00 petang, juga melalui YM. Apa sajalah yang hendak dibincangkan? Mungkin tentang peruntukan tahunan yang diterima untuk Unit Penerbitan dan perancangan-perancangan lain?

Temujanji dengan Dr. Norman di UTM pukul 10.30 pagi! Di bilik pensyarah 303. Sekilas Maria memandang jam tangannya. Kurang 20 minit ke pukul 10.30 pagi. Maria mengeluarkan buku catatannya. Mencatat beberapa perkara penting tentang perolehan manuskrip untuk dibincangkan dengan Dr. Norman. Dia harus keluar segera untuk sampai tepat pada masanya.

Tuesday, January 5, 2010

Santai Hujung Minggu

Ucapan salam daripada seseorang di luar rumah mematikan gelak tawa Maria dan adik-beradik yang lain. Kediaman Haji Khair senyap seketika. Masing-masing menjengok ke luar meninjau tetamu yang datang.

"Tuan ada kah?" tanya lelaki tersebut sambil kepalanya menjengah-jengah ke dalam. Maria memanggil ibu tirinya, Hajah Salamah yang sedang sibuk di dapur menyiapkan minum petang. Haji Khair pula di tingkat atas menunaikan solat asar.

"Makcik! Ada Bangla nak jumpa ayah,"

"Emm...mesti si Ali tu," Hajah Salamah meninggalkan dapur lalu meluru ke depan. Haji Khair menapak satu persatu dari tangga tingkat atas. Rumah teres lot tepi hanya didiami pasangan suami isteri itu sejak awal perkahwinan mereka. Kedatangan Maria dan adik-beradik yang lain pada hujung minggu itu sekadar memenuhi undangan Haji Khair yang sekian lama tidak bertemu anak-anaknya. Enam orang cucunya riuh-rendah berkejaran di luar rumah.

"Tuan, mahu potong rumputkah?" lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Ali itu menyoal Haji Khair yang mengekori isterinya.

"Lain kali sajalah, Ali. Cucu-cucu saya ramai ini hari,"

"Tak apa-apa. Cuci simen pun boleh, tuan...,"

"Lain kalilah, Ali. Rumah saya ramai orang ini hari,"

"Tuan...kasihan saya, tuan...Dari pagi sampai petang, satu rumah tak ada angkat potong rumput...," lelaki Bangla itu masih meraih simpati. Fasih berbahasa Melayu walaupun nahunya salah. Haji Khair mengeluarkan not 50.00 ringgit dari saku seluarnya, lalu dihulur kepada lelaki Bangla itu.

"Ini sedekah saya. Minggu depan boleh datang potong, ya,"

"Tak apa-apa, tuan. Saya tak biasa dapat duit tanpa kerja, tuan," lelaki Bangla itu mula menapak ke motosikalnya yang sarat dengan mesin rumput, penyapu tua dan pongkis. Haji Khair dan isterinya mula berasa serba salah. Maria hanya memerhati dari ruang tamu.

"Bangla pun pandai cari duit. Orang kita, ada yang masih menganggur tak nak kerja, memilih kerja," Maria memerhati lelaki Bangla dan Haji Khair yang masih berdiri di hadapan pagar utama.

"Rumput rumah aku pun, Bangla juga yang potong. Aku upah 30.00 ringgit sekali potong. Siap sapu! Sebulan sekali je...," ujar Zaman adik kedua Maria. "Ini baru Bangla potong rumput. Tak masuk lagi Bangla yang jual karpet, jual ais krim...," Zaman menyambung bicara.

"Ni yang bagusnya budak Bangla ni...rajin, tak kisah, cari rezeki halal...," Maria menyampuk.

"Tapi yang aku tak tahan...dia orang ni suka mengurat anak dara orang! 'Potong jalan' aku!" Didy adik bongsu Maria yang masih bujang pula bersuara.

"Ah, kau yang tak pandai 'usha' anak orang!Nak salahkan Bangla pulak!" usik Maria. Tawa mereka sekali lagi berderai. Didy yang sudah berusia hampir 28 tahun masih lagi membujang. Belum ada tanda-tanda awal untuknya menamatkan zaman bujangnya. Masih lagi meneropong anak-anak dara orang untuk disunting menjadi suri hatinya. Diberi anak imam, ditolak, takut bakal bapa mentua minta mengimami solat. Dikenalkan dengan anak pengetua sekolah, juga ditolak. Takut garang sangat. Pilihan hatinya wanita yang berkulit putih gebu ala-ala Zizie Izzete, berambut panjang ala-ala rebonding, bermata bundar ala-ala Karisma Kapoor. Alamat...sampai tua pun belum tentu kehendaknya menepati.

Haji Khair dan Hajah Salamah beriringan memasuki rumah. Kelibat Ali sudah tidak kelihatan lagi.

"Mana perginya lelaki Bangla tadi, ayah?" tanya Didy sambil menjamah pisang sejoli yang dibuat Maria. Ais krim berperisa vanila dilebihkan. Dia tahu kegemaran adiknya. Semangkuk lagi dibuatkan untuk Hadi, suaminya yang sedang tekun menyelak-nyelak majalah Motor Cross. Taburan kacang tumbuk di atas pisang sejoli dilebihkan untuk Hadi.

"Ayah suruh dia bersihkan longkang depan. Upah 50.00 ringgit buta-buta, dia tak mahu. Itu sebab ayah suruh dia bersihkan longkang. Baru dia ambil upahnya," anak-anak yang lain mengangguk faham. Maria membuat semangkuk lagi pisang sejoli untuk Haji Khair.

"Pandai kau buat banana split ni, Maria. Sedap pisangnya!"

"Tengok oranglah...! Kalau buka kedai banana split, pasti laku!" gurau Maria.

"Mana tak laku? Muka kau tu memang muka banana!" ujar Zaman, sambil meletakkan gelas minumannya yang telah kosong.

"Daripada empat orang anak ayah, engkaulah yang paling kuat makan pisang. Dulu, masa kecik-kecik selalu bergaduh dengan Zaman, berebut pisang!" sekali lagi tawa mereka berderai mendengar cerita Haji Khair. Maria tunduk menahan ketawa. Hadi yang senyap sejak tadi sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Tidak disangka, si isteri suka makan pisang sejak kecil.