Pages

Thursday, December 29, 2016

Ada Cinta di dalam Gelas II

Ada cinta di dalam gelas
Penuh kasih sekilas
Ada cinta di dalam gelas
Untuk kita saling berbalas

Bahasa Bangsa

"Jika mahu membunuh sesuatu bangsa, bunuhlah bahasanya"

Tuesday, December 20, 2016

REZEKI DI MANA-MANA

Benarlah kata mak, rezeki itu bukan sahaja berupa wang ringgit. Kesihatan yang baik juga rezeki. Sahabat yang setia juga rezeki. Anak-anak cemerlang juga rezeki. Suami yang penyayang juga rezeki. Alhamdulillah. Nikmat-Nya yang mana satu yang nak kau dustakan?

SIHAT
Dalam meniti usia yang semakin meningkat, angka 40 bukan lagi muda untuk berangan jelita ala-ala model nak 'cat walk' atas pentas peragaan. Anak pun dah enam berderet. Malahan sudah ada yang meningkat remaja. Cabarannya satu macam! Nak kukuhkan keimanan bukan perkara mudah. Dugaan Allah bukan sedikit untuk seorang wanita yang berkerjaya dan mengurus rumahtangga sekali gus. Apatah lagi apabila suami jarang-jarang berada di depan mata. Tapi, syukurlah. Kesihatan yang sentiasa segar membuatkan segala urusan harian yang dirancang dan tidak dirancang berjalan lancar. Allah sentiasa ada untuk aku. Sebelah malam, sungguh pun sering diganggu dengan kepenatan melayan kerenah anak kecil, aku masih berkesempatan menghadap-Nya, berbicara dengan Maha Pencipta dan meneliti setiap surahnya.

SAHABAT
Baru-baru ini seorang sahabat jauh (dekat dalam hati) datang 'balik kampung' katanya. Kesempatan itu kami bersua, menjamu selera, menonton wayang, bercerita, gosip seadanya. Manis! Terasa betapa indahnya persahabatan yang terjalin sejak darjah satu bertali-arus ke usia 'kilauan emas'. Siapa sangka? Tiada kata secantik bahasa hendak aku berikan kepadanya. Buku-buku yang dia hadiahkan kepada aku menajdi simbolik persahabatan kami yang luhur. Sahabat yang ada untuk aku, saat sakit dan ceria, gembira dan duka. So sweet!

SAYANG
Anugerah terindah dalam hidup seorang ibu ialah anak-anak. Tahun ini tahun cabaran bagi Zarin, anak ketiga aku yang enggan ke sekolah gara-gara cikgu garang. Dia disaran bertukar sekolah. Sementara menanti sekolah kemasukan ke sekolah lain, Zarin terpaksa 'homeschooling'. Aku dikecam kerana anak homeschooling. Tiga bulan lamanya aku bersabar dengan tingkah Zarin sehinggalah dia diterima di sekolah lain yang agak jauh dari lokasi kediaman kami. Benar, aku bersyukur. Aku tangani sendiri tanpa suami yang ketika itu berjauhan kerana sering ke luar negeri. Sungguh, Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditempuh. Sehinggalah saat sesi persekolahan akhir tahun menutup tirai, aku mendapat surat daripada pihak sekolah untuk hadir ke Majlis Anugerah Anak Cemerlang. Ya, Zarin bukan anak yang bermasalah seperti sangkaan guru sekolah lamanya. Dia mampu belajar seperti anak-anak lain. Malahan lebih baik daripada yang aku jangka.
Zafri pula menghadapi peperiksaan besar PT3. 19 Disember keputusannya agak memberangsangkan dengan deretan A. Syukur sangat kerana dia mampu menjadi contoh kepada adinda-adindanya yang lain. Aku...terima seadanya rezeki yang Allah kurniakan. Walaupun tidak kaya harta benda dan wang berbilion, aku masih bahagian dengan apa jua yang ada.

Syukur.



Sunday, October 2, 2016

Ada Cinta Di Dalam Gelas

Ada cinta di dalam gelas
Yang belum pasti dibalas
Yang punya sekeping ikhlas
Yang manis untuk dibias

Thursday, September 8, 2016

Eksklusif

Ada kalanya kita memerlukan privasi dalam ruang dan masa yang terhad. Privasi itu haruslah eksklusif. Eksklusif masa dan eksklusif tempat. Jika ingin berteman...haruslah teman yang juga eksklusif di hati kita.

Demikianlah kehidupan. Dalam memeluk keriuhan suara anak-anak ada masanya aku perlukan keeksklusifan. Tenang. Damai. Persona.

Tuesday, August 23, 2016

Salam Perjuangan Abadi (dedikasi buat Zafri)

Ingatlah wahai anakanda
perjuangan itu terzahir dengan nekad 
bonda iringi dengan doa keramat
berjuanglah demi sisa masa yang singkat 
atas nama dirimu moga beroleh berkat.

Ingatlah wahai anakanda
jika kau mampu ulangi gemilang gempita
susullah syukur kepada Maha Pencipta
kerana Dialah Maha Pemberi yang tiada dusta
Dialah yang menentukan nikmat rezeki hamba-Nya.

Ingatlah wahai anakanda
jika ditakdir rezeki bukan milikmu
usah dipincang suratan hidupmu
kelakkan berganti hikmah tertentu
sudah Dia atur yang terbaik dan berpandu.

Ingatlah wahai anakanda
kuasa doa itu melebihi tajamnya senjata
sujudlah kepada-Nya pada setiap ketika
bermohonlah kepadanya yang menentu segala
syukurlah dengan kurniaan-Nya
itulah tanda dirimu tidak tercela.


#selamatberjuang
#pt3

Monday, August 22, 2016

Cantuman Rasa Terlerai Binasa (buat ipar yang masih leka)

Bukan kehendak fikiran melayan kau yang kesat bicara
cubalah kau hadap diri penuh percaya
bahawa akan ada hati yang sakit dan terluka
miski yang kau caci itu seorang yang lebih tua
jika tidak kerana hormat akan keturunanmu Yang Mulia
sudah lama aku membias hina.

Sedarkah dikau
kerana mulut badan binasa
sejahat-jahat hati dan dan sebenak-benak puaka
tidak sesekali aku menghina
kerana darjat suamiku dan keluarga orang ternama
namun kau tidak pernah mengambil kira
tidak pernah memikir buruk segala petaka
bahawa lidahmu sangat menghiris rasa cinta
antara kita...