Pages

Tuesday, July 26, 2016

Slot Memanjakan Diri

Semalam sengaja aku mengambil cuti. Ada masanya terasa sangat bosan mengurus kerja-kerja pejabat. dari pagi santak ke petang. Berbelas tahun melakukan perkara yang hampir serupa. Jika ada perubahan pun sekadar 20%. Selebihnya, sama sahaja. Dunia penerbitan buku memerlukan kerja-kerja yang teliti. Kesalahan penulis merupakan tanggungjawab editor. Kesalahan editor pula tetap salah editor. Itu lumrah dalam kerja-kerja penerbitan.

Usai melaksanakan rutin rumah dan anak-anak aku berkunjung ke spa milik seorang teman. Spa Azizah di Larkin. Memanjakan diri setelah berbulan-bulan tidak dibelai. Merehatkan minda, melepaskan lelah dan stres. Sebagai wanita bekerja dan ibu yang punya anak ramai untuk dikendalikan, adakalanya aku tak punya masa untuk diri sendiri. Meningkat usia 40 tahun lebih banyak tumpuan terhadap diri sendiri perlu diambil berat. Sedaya mungkin aku mahu mengelakkan diri daripada kepenatan dan kesakitan. Kalau sering penat dan sakit bimbang rumah, suami dan anak-anak terabai. Apatah lagi dengan kerja-kerja bisnes yang rencam yang membuatkan aku bertambah lelah. Syukurlah suami memahami. 

Berjam-jam mengisi masa di spa aku rasa segala urat yang tersimpul sedikit demi sedikit terlerai. Hilang segala tekanan dan kekusutan. Sebenarnya boleh saja aku duduk bersantai di rumah, mengaji al-Quran atau melakukan ibadah sendirinya. Tetapi apabila berada di rumah, tetap juga mahu melakukan kerja-kerja rumah. Seolah-olah ada saja sudut yang belum sempurna. Itulah perempuan. Itulah isteri. Itulah ibu. Seboleh mungkin mahu semuanya sempurna pada pandangan matanya.

Sebenarnya wanita sama ada bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa, memerlukan masa untuk diri sendiri. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jika aku tidak ke spa, aku mungkin ke perpustakaan membaca bahan bacaan ringan yang santai sambil mencari ilham. Bacaan berat akan menambahkan lagi beban tekanan. Sesekali santai itu penting! Sangat penting.

Sunday, July 17, 2016

Letak Jawatan vs Bersara Awal

Sebenarnya istilah letak jawatan dan bersara awal sangat berkait rapat. sekali imbas, tiada beza antara kedua-dua istilah ini. Tak perlulah saya mendefinisikan kedua-duanya.

Lewat minggu ini kisah Britain dan Brexit tersebar luas. Negara Sang Ratu itu sudah keluar dari blok Kesatuan Eropah, biarpun Perdana Menterinya David Cameron dilihat tidak begitu setuju. Namun undian majoriti rakyat Britain tidak menyebelahinya. Sungguh peratusan yang menyokongnya dengan peratusan yang membantah tidak jauh beza. Disebabkan jiwa lelaki Inggeris ini yang saya lihat sangat budiman, Cameron akhirnya berundur daripada arena politik sekali gus meletakkan jawatan sebagai pembesar negara! Beliau dilihat sangat gentelmen!

Kisah empat pemain skuad bola sepak negara dan juga pemain JDT, iaitu Syafiq Rahim, Adil Zafuan, S. Kunalan dan Amirul Hadi bersara awal daripada skuad bola sepak negara menjadi isu panas arena bola sepak Malaysia. Bola sepak di Malaysia tidaklah segah dan sematang bola sepak antarabangsa yang mengkormesialkan pemain dengan bidaan jutaan dolar. Kekuatan dam ketangkasan fizikal meraka juga bak langit dan bumi. Mentaliti dan gaji mereka juga tidak setanding dengan senario di luar negara. Status piala yang dipertandingan juga sangat jauh prestijnya. Tetapi isu empat pemain ini sangat panas sehingga melibatkan pak menteri, persatuan bola sepak dan orang istana yang terjerumus dalam kendalian bola sepak negara. Apalah sangat isu bersara awal ini? Ini isu remeh. ramai penjawat awam yang bersara awal daripada usia pesaraan yang dihadkan atas sebab-sebab tersendiri. Persaraan awal empat pemain bola ini lebih tepat dikatakan sebagai 'menarik diri' atau sama saja istilah dengan 'letak jawatan'.

Apabila kita merasakan segala usaha menjayakan sesuatu tidak kesampaian sama ada kerana diri sendiri atau faktor pihak lain, kita sering mengambil keputusan untuk melepaskannya. Bukan kerana tidak mahu bertanggungjawab tetapi kerana rasa bersalah kerana 'gagal' memberi yang terbaik.
Dua contoh di atas merupakan contoh terbaik yang saya anggap sebagai teladan kepada diri sendiri dan orang lain. Ketidakberadaan kita itu nanti pasti akan diisi oleh individu lain yang mungkin lebih menyerlah daripada apa jua yang kita tawarkan semasa khidmat kita. Jadi, menarik diri atau letak jawatan atau bersara awal itu sebenarnya tindakan yang wajar dan berani!

Namun, tidak semua di antara kita yang sanggup melakukannya. Mungkin kerana ego, tamak dan perasan bagus. Jika selalu sangat memegang kanta pembesar, pasti kesalahan orang lain melebihi kesalahan diri sendiri. Jadi, cermin-cerminlah diri selalu untuk melihat kekurangan diri.