Usai melaksanakan rutin rumah dan anak-anak aku berkunjung ke spa milik seorang teman. Spa Azizah di Larkin. Memanjakan diri setelah berbulan-bulan tidak dibelai. Merehatkan minda, melepaskan lelah dan stres. Sebagai wanita bekerja dan ibu yang punya anak ramai untuk dikendalikan, adakalanya aku tak punya masa untuk diri sendiri. Meningkat usia 40 tahun lebih banyak tumpuan terhadap diri sendiri perlu diambil berat. Sedaya mungkin aku mahu mengelakkan diri daripada kepenatan dan kesakitan. Kalau sering penat dan sakit bimbang rumah, suami dan anak-anak terabai. Apatah lagi dengan kerja-kerja bisnes yang rencam yang membuatkan aku bertambah lelah. Syukurlah suami memahami.
Berjam-jam mengisi masa di spa aku rasa segala urat yang tersimpul sedikit demi sedikit terlerai. Hilang segala tekanan dan kekusutan. Sebenarnya boleh saja aku duduk bersantai di rumah, mengaji al-Quran atau melakukan ibadah sendirinya. Tetapi apabila berada di rumah, tetap juga mahu melakukan kerja-kerja rumah. Seolah-olah ada saja sudut yang belum sempurna. Itulah perempuan. Itulah isteri. Itulah ibu. Seboleh mungkin mahu semuanya sempurna pada pandangan matanya.
Sebenarnya wanita sama ada bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa, memerlukan masa untuk diri sendiri. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jika aku tidak ke spa, aku mungkin ke perpustakaan membaca bahan bacaan ringan yang santai sambil mencari ilham. Bacaan berat akan menambahkan lagi beban tekanan. Sesekali santai itu penting! Sangat penting.
No comments:
Post a Comment