Pages

Wednesday, November 14, 2012

Salam 1434

Seluruh umat Muhammad menyambut 1 Muharam 1434 hijrah pada tanggal 14 November 2012 masihi. Saya menyambutnya dengan penuh kesyukuran bersama-sama suami dan anak-anak. Berjemaah membaca doa awal dan akhir tahun, sangat mengujakan kerana kami jarang-jarang dapat berkumpul.

Suami mengambil cuti bagi memperuntukkan masanya bersama-sama saya. Sungguh terharu. Kebanyakan waktu lain kami sibuk dengan urusan duniawi masing-masing. Saya hampir-hampir terlupa tentang amalan sunat tersebut. Mujur ketua keluarga yang satu ini mengingatkan.

Saat saya terlupa hal tersebut, saya terasa betapa teruknya saya. Walhal perkara itu berulang-ulang kali saya tatap dalam wall kawan-kawan di FaceBook. Teruknya saya. Bukan lupa tapi tak ingat...

Saya tidak meletakkan harapan setinggi gunung bagi menempuh tahun baharu. Namun saya tetap meletakkan harapan dan target tertentu dalam hidup. Menjadi yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan sama ada sebagai hamba-Nya mahupun sebagai manusia biasa yang sering berkeliaran di muka bumi ini mencari rezeki yang halal. Saya sentiasa memohon agar Tuhan melindungi kami sekeluarga daripada sebarang musibah yang tak mampu kami pikul. Biarlah rahmat dan reda Allah sentiasa dalam lingkungan kami sekeluarga.

Tak perlulah saya catatkan secara terperinci tentang azam diri saya. Cukuplah hanya diri sendiri dan Tuhan yang mengetahuinya, kerana semua perancangan manusia tetap atas kekuasaan dan ketentuan Allah yang menjadi perancang terbaik. Saya bersyukur berada dalam keadaan sekarang, menjadi diri sendiri seperti hari ini.

Monday, November 12, 2012

Dari Mata Turun ke Hati

Pada 5 November 2012, saya mengalami satu lagi kejutan kesihatan yang di luar jangkaan saya. Pada awalnya saya sangkakan hanya sakit mata biasa, tetapi setelah tiga hari sakit mata tersebut semakin melarat. Mata saya semakin bengkak, kelopak mata hampir-hampir tertutup, air mata sentiasa mengalir dan yang paling sakit apabila terdapat sebiji ketumbuhan di hujung mata putih.

Doktor mengesahkan bahawa biji tersebut merupakan cyst yang tumbuh sejak sekian lama. Ia membesar secara senyap dan mengganggu penglihatan saya. Saya merujuk penyakit tersebut kepada pakar mata dan pada 7 November 2012, doktor telah membuat sedikit pembedahan kecil yang memakan masa lebih kurang dua jam setengah bagi membuang cyst tersebut. Sakit dan pedihnya tidak terkata. Saya melaluinya sendirian. Ketika saya melalui saat cemas itu, suami saya berada di luar kawasan, emak pula menemani adindanya ke Kelantan, adik-beradik sibuk dengan urusan masing-masing. Sekadar bertanya khabar dari jauh sahaja. Syukurlah keluarga mentua amat prihatin dengan keadaan saya. Saya diberi cuti sakit selama 8 hari dan saya dinasihatkan mengurangkan kegiatan luar. Memang perit mata memandang cahaya.

Oleh sebab mahu segera sembuh, saya tidak pernah terlupa mengambil ubat mengikut jadual dan sukatan yang ditetapkan. Dan, syukurlah segala-galanya semakin bertambah pulih.

Segala penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Penyakit yang Tuhan kurniakan itu sememangnya menghapus dosa yang sarat, mendekatkan diri kepada Pencipta dan meningkatkan kesabaran. Aset penting bagi seorang editor ialah mata, maka hargailah mata kerana dari mata turun ke hati.

Sudah Ketentuan Tuhan

Kisah ini sudah berlaku semasa umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan terbesar pada Syawal 1413 lalu. Namun sehingga kini masih memberi kesan. 

Saya disahkan hamil anak kelima sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri. Perkhabaran itu saya sambut dengan kesyukuran walaupun agak terkejut (sendiri terkejut!). Inilah yang dinamakan rezeki. Saya beritakan hal tersebut tentukan kepada suami tercinta. Suami amat teruja dengan harapan cahaya mata kali kelima ini biarlah seorang putera bagi menemani putera sulung. Kegembiraan tersebut juga dikongsikan bersama-sama dengan adik-beradik, keluarga mentua dan emak. Mereka yang lebih teruja berbanding saya sendiri. 

Sebenarnya, dalam diam saya belum bersedia menerima kehadiran cahaya mata baharu, maklumlah Raja Zahra baru mencecah usia setahun setengah. Masih menyusu badan dan masih ingin bermanja-manja di bawah ketiak ibunya.Namun, suara hati ini saya bisikan hanya kepada Tuhan yang maha Pencipta. Saya pasti rintihan saya yang tidak bersedia ketika itu didengari-Nya. Sehinggalah, pada malam hari raya itu berlaku pendarahan yang agak mengejutkan. Saat saudara-mara berkumpul memeriahkan malam hari raya (ketika itu di rumah mentua), saya menahan kesakitan yang teramat. Lebih memilukan apabila saya merasakan betapa Allah itu amat hampir dengan saya, mendengar suara hati saya, mendengar isi hati saya, mendengar rayuan saya. Oh, Tuhan! Air mata saya gugur jua walaupun ditahan-tahan.

Saya dan suami tidak terus ke hospital memandangkan keesokannya kami ingin berhari raya, meraikan lebaran, hari kebesaran sementelaah saya sudah pun berpuasa penuh sebulan! Suami pula masih mengharapkan pendarahan tersebut perkara biasa kerana memang terdapat kes pendarahan semasa awal kehamilan namun embrio masih bernyawa dan terus hidup di dalam rahim. Pada hari raya kelima barulah saya menyerah diri ke Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru setelah berasa tidak selesa dan sakit. 

Setelah melalui proses imbasan, doktor mendapati yang rahim saya telah pun kosong. Terdapat serpihan darah di dinding rahim dan doktor menasihati saya supaya membuat DNC agar tidak berlaku jangkitan kuman. Saya lalui saat getir itu bersama suami yang setia menemani, memberi ketenangan dan semangat. Doktor Kevin yang merawat saya juga memberi motivasi kepada saya yang bukan sedikit nilainya. Katanya, sebagai manusia yang percaya akan Tuhannya, kita mesti reda dengan ketentuan takdir. Mungkin yang gugur itu bayi yang tidak sihat, yang tidak layak saya terima kehadirannya. Walaupun Dr. Kevin beragama kristian, beliau tetap percaya akan kadak dan kadar.

Saya berpantang selama 2 minggu seperti mana orang bersalin. Syukur saya masih punya emak yang sudi menemani hari-hari murung saya. Syukur saya punya suami yang prihatin dengan kesihatan saya.

Ya, Allah! Jika kandungan yang Kau anugerahkan kepadaku ini bakal menjadi benih yang tumbuh subur menjadi legasi beriman dan sempurna, Kau kekalkanlah dia di dalam rahim yang penuh kasih sayang ini. Jika kandungan ini Kau ciptakan untuk menguji kesabaranku, melenyapkan kegembiraanku dan seluruh ahli keluargaku serta menjauhkan aku daripada rahmat-Mu yang berpanjangan....Kau lepaskanlah dia daripada meresap keseluruh urat nadiku. Amin, ya Allah....

Tuesday, July 24, 2012

Pindah Lagi...

Benarlah janji Allah itu penuh hikmah. Dia menarik sesuatu pemberian, Dia juga yang menganugerahkan kesaktian. Semua yang berlaku sememangnya tidak diduga. Perancangan Allah maha cantik dan bijaksana. 

Setelah genap setahun berkhidmat di DBP Kuala Lumpur, saya mendapat surat penempatan di DBP Wilayah Selatan semula. Saban hari saya mengadu pada Allah betapa penatnya saya berada di bumi yang berlembah dan berlumpur. Saya penat mengejar masa, penat mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk, penat menanggung rindu terhadap ayahanda yang sedang gering, penat bekerja dalam suasana tidak kondusif. Kadang-kala tekanan datang bertimpa-timpa. Memang sahlah, bahawa saya tidak layak berada dalam kekalutan Kuala Lumpur. Demi ayahanda, demi bonda, demi suami tercinta (yang setia menemani saya), saya berazam setinggi-tingginya untuk keluar dari kepompong kepenatan ini dengan apa jua cara. Saya tidak mahu mengalah. Saya akan berjuang untuk berada dalam cinta dan kasih saya kepada tanah Darul Takzim yang sering mendekati saya. 

Keluhan saya didengari Allah. Dan, akhirnya tanggal 23 Julai 2012 saya kembali semula ke tanah daksina bagi meneruskan kerjaya saya, menyuburkan bahasa dan persuratan di hujung tanah. Bonda merupakan orang yang paling bersyukur dan gembira. Ayahanda sebak mendengar berita. Kekanda suami tercinta berterima kasih tak terkira. Aku...paling meruntun rasa. Tuhan maha adil. Dia telah membuka ruang dan peluang untuk saya kembali menjengok ayah dan menjaga emak yang semakin berganjak usia.  

Salam perkasihan. 

Thursday, June 14, 2012

PENGANTIN ZAMAN SEKARANG

Tahun ini sahaja 3 orang ahli keluarga saya menempuh alam rumah tangga. Adik bongsu saya dan dua orang adik ipar yang melangsungkan perkahwinan serentak. Nampaknya zaman semakin maju dan suasana kenduri kahwin tidak sama dengan zaman saya dahulu. Dan pastinya zaman kenduri kahwin saya tidak sama dengan zaman mak-mak saudara saya yang lain.

Saya perhatikan, di mana-mana pun majlis perkahwinan yang saya hadiri, pasangan pengantin boleh dikatakan kahwin 'syok sendiri'. Ada beberapa perkara yang saya tak gemar. Pertama, bunyi muzik yang membingitkan telinga sehingga sukar tetamu hendak berbual semasa sendiri. Sanak-saudara pengantin sibuk berkareoke melalak-lalak 'menyumbang' suara. Perlukah itu semua? Sebaik pengantin diijab kabul, akan ada majlis persandingan. Ketika itu mak bapak pengantin sibuk menyambut tetamu. Tetapi pengantin sibuk berpossing di pelamin tak sudah-sudah. Jurugambar hanya mengambil gambar pengantin semata-mata. Agak kurang memberi perhatian kepada kehadiran tetamu. Sedangkan sebahagian besar tetamu yang hadir itu merupakan sanak-saudara, sahabat-handai dan jiran tetangga yang jarang-jarang dapat bersua muka. Apalah salah kiranya jurugambar menghalakan lensa kamera mereka untuk merakam kehadiran para tetamu? Sekurang-kurangnya kita tahu siapa yang hadir.

Lepas selesai berpossing di pelamin, pengantin cari lokasi di bilik tidur pula. Mentang-mentanglah masa itu bilik pengantin dihias cantik....segala sudut menjadi tatapan kamera. Tak puas dengan itu, jurugambar bersama-sama pengantin bergambar sakan di lokasi luar pula! Haaaiii...macam budaya orang Cina pula! Santak ke petang baru nampak muka pengantin! Bila masa pengantin nak menyambut tetamu, bersalaman dan beramah mesra dengan para jemputan? Jawapannya TIADA MASA!

Saya tidak hairan mengapa suami saya tidak suka menghadiri kenduri kahwin. Selain kena ambil makanan sendiri (ala bufet), dia juga tidak berkesempatan bersalaman dengan mempelai, apatah lagi nak beramah-mesra. Jika hal-hal tersebut terhalang kerana kesibukan mempelai melayan tetamu lain, hal tersebut boleh lagi dimaafkan. Tetapi, kalau sampai rumah pengantin, tapi pengantin sudah keluar ke 'lokasi pengambaran', apatah ertinya kehadiran kami?

Saya tidak juga mahu menyalahkan pengantin sendiri. Ibu bapa pengantin sendiri tidak mahu menegur tingkah laku pengantin. Mentang-mentanglah si anak sudah ada pasangan sendiri.... Tetamu lebih rasa dihargai jika kehadiran mereka dilayan pengantin sendiri.

Selamat pengantin baru...

Saturday, April 14, 2012

Menginjak Kematangan Usia

11 April yang lepas genap tercatat di kalendar peribadi saya, yang saya telah dilanjutkan usia ke 36 tahun. Syukur, kerana masih lagi diberi peluang mencari rezeki, beribadah, menongkah dunia dan merancang masa hadapan. Dalam usia yang semakin lanjut, saya hanya memikirkan tentang 'simpanan' masa depan saya. Simpanan yang dimaksudkan ialah pahala yang akan dibawa untuk alam di sebelah saya.

Mengingati mati itu sunat hukumnya. Setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran, kematian yang sering terlintas dalam benak saya. Entah berapa lama lagi nyawa ini dipinjamkan oleh Allah swt untuk saya kecapi nikmat dunia dan membuat pelaburan untuk akhirat.

Emak saya pernah berpesan, tarikh mati kita sebenarnya hampir-hampir dengan tarikh lahir kita. Sebagaimana Rasulallah saw yang lahir dan wafat pada 12 Rabiulawal. Saya sentiasa ingat pesan emak. Sekurang-kurangnya, saya berusaha menghindarkan perkara buruk walaupun mungkin tidak berkesempatan mendekati yang baik. Waallahualam.

Monday, March 26, 2012

Bakat itu Duit

Ramai yang tidak menyedari bahawa bakat yang ada dalam diri seseorang tu sebenarnya wang! Semenjak karya-karya saya mendapat tempat di majalah tempatan, saya berusaha untuk terus melabur dalam penghasilan karya. Serendah-rendah bayaran yang diperoleh ialah RM100.00.

Anak sulung saya pernah menghantar komik untuk sebuah majalah kanak-kanak. Dan dia telah menerima honorarium sebanyak RM240.00. Sudah saya kira lumayan untuk seorang kanak-kanak seusia 10 tahun.

Kawan baik saya yang pernah bekerja sebagai jurutera di Petronas, kini berhenti kerja kerana mengambil upah menjahit langsir. Pendapatannya sebulan melebihi gaji juruteranya dahulu, hanya kerana bakat menjahitnya!

Ada ibu bapa yang tidak sedar kehebatan anak-anak mereka. Ada juga yang merendah-rendahkan bakat anak-anak. Gilaplah, agar mereka menjadi sebutir permata yang bersinar.

Wednesday, March 14, 2012

LCCT vs TERMINAL BAS LARKIN

Semalam menghantar mak dan bapa mentua ke LCCT. Mereka berangkat ke Jepun kerana Majlis Graduasi anakanda mereka. Masih ramai rakyat Malaysia yang suka melanggar peraturan. Memakir kenderaan di bahu-bahu jalan walaupun kawasan tempat letak kereta telah disediakan. Sesuka hati menurunkan penumpang di ruang OKU, sedangkan ramai OKU yang menunggu di tempat itu. Serabut kepala melihat senario itu. LCCT tak ubah seperti Terminal Bas Larkin! Atau, Terminal Bas Alor Setar sekitar tahun 90-an.

Janganlah kerana menaiki penerbangan tambang murah, minda dan sikap juga kelihatan murah.

Sunday, March 11, 2012

Akad Terakhir

Tanggal 10 Mac 2012, adinda bongsu selamat bergelar suami kepada cinta hatinya. Akad nikah berjalan lancar walaupun romobongan lelaki menanti agak lama daripada waktu yang dijanjikan.

Usai majlis pernikahan, hari ini diadakan majlis persandingan. Penuh adat istiadat dan budaya kontemporari. Adinda bongsu segak bak pahlawan Melayu kontemporari. Dia dan pasangannya dalam kelas yang tersendiri. Rombongan keluarga lelaki mendapat layanan yang sangat istimewa. Kami pulang bersama-sama cenderamata eksklusif! Dan yang paling aku suka, apabila mendapat bunga telur.

Sejak kebelakangan ini, majlis perkahwinan yang aku hadiri jarang-jarang sekali kuterima telur atau bunga telur. Lagi-lagi di Kuala Lumpur. Keluarga pengantin perempuan nampaknya berbelanja besar untuk majlis ini. Tetamu yang datang juga amat menggalakkan!

Kepada Hardy Anwar dan Fairuz Mohamad, selamat pengantin baru. Semoga vila cinta yang dibina utuh buat selama-lamanya. Tangisan kami, tangisan gembira. Doa kami agar kalian bahagia.

Monday, January 30, 2012

Setahun Berlalu...

29 Januari yang lalu genap usia si kecilku, setahun. Sambutan hari lahirnya kami sambut sekadarnya. Tiada majlis, tiada hadiah, malahan tiada sambutan apa-apa. Yang ada sekadar doa dan sujud syukur kepada Allah yang mencipta si kecil ini untuk kami sekeluarga mensyukuri kewujudannya.

Raja Zahra Raja Zuraidi anak yang keempat ini agar 'cepat' membesar berbanding tiga yang lain. Kusedari, seawal usia empat bulan, Zahra sudah mula menampakkan bayang-bayang hendak tumbuh gigi. Sebulan kemudian, gigi bawah dan atasnya tumbuh serentak. Seusia 6 bulan, dia sudah pandai mengangkat punggung dan berdiri tegak. Sebulan kemudia, dia sudah berjalan jatuh. Pada usia 8 bulan Zahra sudah berjalan laju, malah sudah mula menyebut beberapa perkataan ringkas seperti 'dah' dan 'nak'. Dia rajin berlatih bercakap dan setelah setahun usianya dia sudah pandai menyebut 'kak', 'bang', 'ayah', 'opah'. Dia sudah mula memahami apa yang dicakapkan kepadanya. Huuuhhh...cepatnya masa berlalu.

Kini, tahun berganti lagi. Aku pun dah menjangkau usia 36 tahun. Sebagai wanita, kukira hidupku agak lengkap. Punya keluarga yang harmoni, anak-anak yang riuh, kerjaya yang tetap, dan masa depan yang masih boleh dirancang. Sangat bersyukur dengan apa-apa yang kumiliki. Apabila melihat kerenah anak-anak, aku teringat kepada teman-teman seusia yang masih solo. Terkenang teman-teman yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendapat zuriat. Terimbas masalah sosial tentang kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, penderitaan kanak-kanak terbuang, kesempitan hidup anak-anak yatim... aduhai...semuanya menginsafkan. Betapa beruntungnya aku, betapa bertuahnya anak-anak aku ~ itupun mereka masih nakal... haiii, anak..anak...kaulah racun, kaulah penawar.

Thursday, January 19, 2012

Semalam Dalam Kenangan Hari Ini Tercipta Sejarah

Dia tak diam, sudah hampir 8 bulan aku meninggalkan bumi daksina bagi melengkapkan kehidupan di kota besar, Kuala Lumpur. Dia tak diam juga, sudah 8 bulan aku memikul tugas dan tanggungjawab sebagai staf DBP di Kuala Lumpur ini. Kukenang kembali detik meninggalkan pejabat Wilayah Selatan, hati terasa hiba. Tujuh tahun aku berkhidmat di sana dengan penuh rasa cinta dan sayang tak berbelah bahagi terhadap kerjaya; membantu penulis menghasilkan karya-karya mampu terbit, memberi ruang dan peluang karya mereka tersiar, sehingga hubungan kami terjalin dengan penuh mesra dan harmoni. Projek Jendela Selatan yang pernah aku tangani saban tahun dahulu, kini tinggal kenangan semata-mata. Kutinggalkan Jendela yang terbuka itu untuk diteruskan penerbitannya oleh tangan-tangan seni yang lain. Bukan hendak mendabik dada dengan kehebatan penerbitan Jendela yang amat aku sayangi, tetapi aku berbangga dengan penerbitan Jendela yang terbit tepat pada masanya, terbit dalam suasana yang memuaskan hati kebanyakan pihak, terbit seiring dengan perasaan cinta dan kasih aku terhadap bahasa, sastera dan penerbitan. Walaupun aku melalui cuti bersalin yang panjang, Jendela tetap terbit tanpa ada satu pun keluaran yang tertinggal.

Sayang sekali, baru-baru ini aku memperoleh 2 naskhah Jendela yang terbit agak lewat daripada sasarannya. Sudahlah lewat kudapati banyak kesalahan yang terdapat dalam keluaran tersebut. Dari segi reka bentuk, suntingan, ejaan jawi dan rumi...semuanya meletihkan pembacaan. Terus terang sahaja, bahawa aku sangat malu dengan hasil tersebut. Ada sesuatu yang menyakitkan apabila Ruangan Jawi kudapati 99% berlaku kesilapan. Terkilan, kecewa, sedih dan pelbagai perasaan yang seangkatan dengannya menggamit jiwa. Sebab utamanya, aku orang JOHOR. Belum pernah aku membaca artikel dalam tulisan jawi yang seteruk itu. Artikelnya seolah-olah tidak disunting semula, bahkan sebenarnya aku sangat yakin EDITORNYA TIDAK MEMBACA. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, EDITOR TAK PANDAI JAWI. Ohhh, Tuhan! Kebimbangan mula menular dalam sanubariku, apabila aku bayangkan masyarakat akan mengutuk penerbitan Jendela kerana rata-rata orang Johor mahir jawi. Walaupun Jendela bukan terbitan arus perdana, namun impaknya terhadap orang Johor sangat besar. Malu sungguh seandainya Jendela sampai ke Istana Besar! Malu andai kata edaran tersebut sampai di Majlis Agama Islam Johor yang sememangnya merupakan rakan kerjasama. Lebih memalukan andai kata keluaran tersebut disimpan di perpustakaan-perpustakaan negeri atau Perpustakaan Negara.

Aku cuma bisa mengeluh. Untuk menyangkal kebijaksanaan tangan-tangan seni yang menangani projek tersebut tidak sama sekali. Pandai-pandai berfikir. Biarlah aku di sini meneruskan tugas hakiki yang tak pernah putus dengan kebijaksanaan sendiri. Sesungguhnya aku amat gembira dengan penghijrahan ini. Belum tiba masanya aku menjengah ruang dan peluang untuk menempatkan diri di sana lagi. Biarlah kucipta sejarah lain yang lebih bermakna di sini, dengan harapan sejarah yang bakal tercipta kelak menjadi impak yang menguntungkan aku juga. Aku yakin dan percaya dengan ketentuan qada dan qadar Allah.

Buat rakan-rakan sepejuangan yang telah kutinggalkan, teruskanlah pejuangan harmoni itu demi bangsa, agama, negara, dan keluarga. Berdirilah selagi mampu berdiri dengan dua kaki dan dua tangan serta satu kepala.

Tuesday, January 3, 2012

Salam 2012

Baru saya sedari, saya semakin menyepi dalam sisipan blog. Tahun 2011 cuma sempat menitipkan empat entri. Banyak masa dihabiskan dengan membaca kerana memang itulah target 2011 dengan 100 judul. Dan buku terakhir yang menutup tirai 2011 ialah novel Ramlee Awang Murshid iaitu 'Fiksyen 302'.

Tahun 2011 meninggal banyak nostalgia pahit manis. Antara yang manis; kelahiran anak keempat, peningkatan dalam kerjaya, dan kejayaan cemerlang anak-anak dalam peperiksaan akhir tahun. Semua itu rezeki. Namun, dalam melalui hari-hari yang membahagiakan, emak pula jatuh sakit sehingga terpaksa menjalani pembedahan sehingga saya mengambil banyak cuti bagi menguruskannya. Sangat menyedihkan apatah lagi kesakitan emak itu ditanggung sepanjang Ramadan dan Syawal. Tetapi, itulah dugaan.

Tahun ini saya membuka tirai 2012 dengan pembukaan syarikat baharu. Sekadar beroperasi di rumah, pejabat dan di dalam kereta. Nama syarikat lama terpaksa ditukar kerana SSM 'mengharamkan' perkataan RATU, RAJA, PUTERA dan PUTERI dalam pendaftaran syarikat. Maka, Pesona Ratu terpaska dijumudkan dan digantikan dengan CITRA AZURA RESOURCES. Syarikat masih membekal barangan kesihatan dan kecantikan dengan fokus jualan terhadap jamu-jamu terpilih sahaja. Syukur, pelanggan semakin bertambah dan jualan masih berterusan walaupun saya tidak mempunyai kedai. Tahun ini syarikat menambah produk jualan dengan jualan aksesori dan busana wanita. Fokus pada penjualan busana Muslim terutamanya jubah. Eksklusifnya jubah CITRA dibekalkan dari negara-negara Timur Tengah. Saya memilih Timur Tengah kerana mahukan kelainan dengan jubah-jubah Malaysia dan Indonesia. Jubah Timur Tengah bersaiz lebih besar, tidak menonjolkan potongan badan dan pemilihan warna-warna gelap sebagai citra utama. Saya kira itulah citra wanita Islam yang sebenar.

Saya masih mengekalkan sistem pemasaran dengan bergerak sendirian. Saya kira itu lebih memudahkan saya memantau keluar masuk aliran tunai. Bukan tidak mempercayai orang lain, sekadar menyibukkan masa dengan berniaga. Jika ada pembeli yang membuat pembelian secara online, saya sendiri yang akan menguruskan pengeposannya.

Dalam masa yang sama, saya juga berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Sekadar menggilap bakat yang Allah kurniakan kepada saya. Sesekali saya tidak mahu otak saya beku. Saya akan berusaha menyiapkan sekurang-kurangnya satu buku pada tahun ini. Ada beberapa genre novel yang telah dirangka. Saya sedang meninjau pasaran yang paling menguntungkan. Jika saya tidak menjadi sasterawan pun sekurang-kurangnya sastera saya lahir bersama-sama wang ~ Sasterawang! Beberapa cerpen yang tersiar pada tahun ini; 'Tat Nanas untuk Ayah', 'Awang Sulung Merah Jambu', dan 'Janji Tok Bijan' saya kira belum begitu 'kuat' untuk menjadikan saya seorang penulis yang baik. Laluan saya masih jauh dan masih memerlukan banyak sokongan dan ilmu bantu.

Sebaik menamatkan kuliah Zakaria Arifin bersama-sama teman pena Rahimah Muda, Halil Ali, Filzah Ibrahim, dan beberapa mana hebat dalam penulisan skrip, akhirnya saya bertekad menulis skrip filem. Namun saya masih 'remaja' dalam aliran ini. Banyak kajian dan pembacaan yang perlu saya dasari untuk menjadi Penulis Lakon Layar!

Semoga 2012 fokus kerjaya dan rutin harian lebih sistematik dan lumayan!