Saya disahkan hamil anak kelima sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri. Perkhabaran itu saya sambut dengan kesyukuran walaupun agak terkejut (sendiri terkejut!). Inilah yang dinamakan rezeki. Saya beritakan hal tersebut tentukan kepada suami tercinta. Suami amat teruja dengan harapan cahaya mata kali kelima ini biarlah seorang putera bagi menemani putera sulung. Kegembiraan tersebut juga dikongsikan bersama-sama dengan adik-beradik, keluarga mentua dan emak. Mereka yang lebih teruja berbanding saya sendiri.
Sebenarnya, dalam diam saya belum bersedia menerima kehadiran cahaya mata baharu, maklumlah Raja Zahra baru mencecah usia setahun setengah. Masih menyusu badan dan masih ingin bermanja-manja di bawah ketiak ibunya.Namun, suara hati ini saya bisikan hanya kepada Tuhan yang maha Pencipta. Saya pasti rintihan saya yang tidak bersedia ketika itu didengari-Nya. Sehinggalah, pada malam hari raya itu berlaku pendarahan yang agak mengejutkan. Saat saudara-mara berkumpul memeriahkan malam hari raya (ketika itu di rumah mentua), saya menahan kesakitan yang teramat. Lebih memilukan apabila saya merasakan betapa Allah itu amat hampir dengan saya, mendengar suara hati saya, mendengar isi hati saya, mendengar rayuan saya. Oh, Tuhan! Air mata saya gugur jua walaupun ditahan-tahan.
Saya dan suami tidak terus ke hospital memandangkan keesokannya kami ingin berhari raya, meraikan lebaran, hari kebesaran sementelaah saya sudah pun berpuasa penuh sebulan! Suami pula masih mengharapkan pendarahan tersebut perkara biasa kerana memang terdapat kes pendarahan semasa awal kehamilan namun embrio masih bernyawa dan terus hidup di dalam rahim. Pada hari raya kelima barulah saya menyerah diri ke Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru setelah berasa tidak selesa dan sakit.
Setelah melalui proses imbasan, doktor mendapati yang rahim saya telah pun kosong. Terdapat serpihan darah di dinding rahim dan doktor menasihati saya supaya membuat DNC agar tidak berlaku jangkitan kuman. Saya lalui saat getir itu bersama suami yang setia menemani, memberi ketenangan dan semangat. Doktor Kevin yang merawat saya juga memberi motivasi kepada saya yang bukan sedikit nilainya. Katanya, sebagai manusia yang percaya akan Tuhannya, kita mesti reda dengan ketentuan takdir. Mungkin yang gugur itu bayi yang tidak sihat, yang tidak layak saya terima kehadirannya. Walaupun Dr. Kevin beragama kristian, beliau tetap percaya akan kadak dan kadar.
Saya berpantang selama 2 minggu seperti mana orang bersalin. Syukur saya masih punya emak yang sudi menemani hari-hari murung saya. Syukur saya punya suami yang prihatin dengan kesihatan saya.
Ya, Allah! Jika kandungan yang Kau anugerahkan kepadaku ini bakal menjadi benih yang tumbuh subur menjadi legasi beriman dan sempurna, Kau kekalkanlah dia di dalam rahim yang penuh kasih sayang ini. Jika kandungan ini Kau ciptakan untuk menguji kesabaranku, melenyapkan kegembiraanku dan seluruh ahli keluargaku serta menjauhkan aku daripada rahmat-Mu yang berpanjangan....Kau lepaskanlah dia daripada meresap keseluruh urat nadiku. Amin, ya Allah....
No comments:
Post a Comment