Pages

Friday, July 31, 2009

Beautiful Maria...

"In the sunlight of your smile. In the summer of our life. In the magic of love. Storms above scattered away. Lovers dreaming in the night. Reaching for paradise. But as the dark shadows fade. Love slips away. On an empty stretch of beach. In the pattern of the waves. Drawing pictures with my hand. In the sand, I see your face. Skipping pebbles on the sea. Wishing for paradise. Sand castles crumble below. The restless tides ebb and flow. Listening to a shell. Hoping for your voice. Beautiful Maria of my soul. Though we'll always be apart. Locked forever in a dream. If I ever love again. Even then, nothing will changeAnd the taste of you remains. Clinging to paradise. But as the distance from you grows. All that my heart ever knows. Hunger for your kiss. Longing for your touch. Beautiful Maria of my soul. Filling all my nights. Haunting all my days. Beautiful Maria of my soul..."

Maria tersenyum sendiri. Perasan. Lagu nyanyian Mambo Kings dalam rangkaian radio Singapura - Ria, membuai-buai perasaannya. Puitisnya seni kata lagu itu menjadikan Maria bagai berada di awang-awangan. Perasan sungguh.

Maria memakir keretanya di sebuah bank. Dia ingin membatalkan salah satu kad kreditnya yang belum pernah digunakan. Borang pembatalan kad kredit diisi dengan lengkap. Pegawai bank di hadapannya tekun memerhati.

"Kenapa nak batalkan?" ujarnya tiba-tiba.

"Saya tak memerlukannya," jawab Maria selamba. Pegawai bank tersebut mengambil kad tersebut dan menyemak transaksi penggunaan kad itu melalui komputer di hadapannya.

"Puan duduk dulu, nanti saya panggil semula," ujarnya lagi. Maria akur setelah menyerahkan borang pembatalan tersebut. Sambil menunggu pegawai bank tadi, Maria membelek-belek brosur-brosur tentang perkhidmatan yang disediakan bank tersebut. Pinjaman kewangan, insurans, tabungan, pinjaman korporat, ubah suai rumah, dan bermacam-macam lagi. Dahsyat!

"Maria Sharapova!" Maria tersentak apabila namanya dipanggil. Dia menuju ke arah pegawai bank yang menguruskan kadnya tadi. Pegawai bank tersebut senyum panjang.

"Sedap dan cantik nama puan...," puji pegawai bank tersebut. Tidak pasti, ikhlas atau ampu.

"Terima kasih," jawab Maria ringkas.

"Keturunan apa?" tanyanya penuh minat. Maria rimas. Perlukah pegawai itu mengetahui keturunannya untuk membatalkan kredit kad tersebut?

"Jawa!!!" pegawai bank di hadapannya tersengih-sengih mendengar jawaban Maria. Tanpa memandang pegawai tersebut, Maria mengambil salinan borang pembatalan dan bingkas berlalu dari situ. Malas dia berlengah-lengah. Maria bosan dengan masyarakat sekeliling yang sering kali memuji-muji namanya. Dia tahu, namanya memang cantik dan sedap disebut. Perasan lagi... Antonio Banderas pun suka namanya...kerana itu Beautiful Maria of My Soul popular seluruh dunia!

Wednesday, July 29, 2009

Beban Itu Tanggungjawab

Maria sengaja mengambil cuti sehari untuk menyelesaikan beberapa perkara. Sekalipun bercuti, dia tetap bangun seawal 5.30 pagi untuk menyiapkan sarapan dan hal-hal persekolahan anak-anaknya.

Maria singgah di pejabat untuk mengambil manuskrip yang tertinggal. Sekalipun bercuti, kerja hakiki perlu diberi perhatian juga. Pada masa-masa terluang, dia akan duduk menghadap manuskrip tersebut. Sempat juga dia menyemak kotak e-melnya. Lima e-mel yang terbaharu semuanya tentang urusan rasmi, kiriman daripada Jabatan Penerbitan di ibu pejabat. Ada yang sempat dibalas, ada juga yang dibiarkan untuk tindakannya kemudian.

Selesai tugas menjawab e-mel, dia bergegas keluar daripada bangunan tiga tingkat itu untuk menuju ke UiTM, yang hanya mengambil masa 10-15 minit untuk sampai.

"Saya ada appoitment dengan Prof. Zainal," Maria menerangkan tujuan kedatangannya kepada salah seorang staf di tingkat bawah bangunan akademik tersebut.

"Puan Maria kah?" tanya gadis bertudung hijau muda itu dengan sopan. Maria angguk dan senyum. "Prof. sedang menunggu puan di dalam biliknya. Sila ke bilik 343, di hujung sana," gadis itu mengarahkan Maria untuk masuk. Setelah mengucapkan terima kasih, Maria bingkas maju dengan beg sandangnya.

"Mariaaaa!!!" Prof. Zainal nampak begitu gembira dengan kehadiran Maria. "Masuk...duduk...Saya tunggu awak sejak 7.00 pagi!"

"Aik??? Awat pagi sangatttt??? Saya dah habaq, saya mai sini pukui 9.00," sengaja Maria menggunakan loghat dan lenggok utara, agar mereka lebih mesra. Dia tahu Prof. Zainal anak kelahiran Pulau Mutiara.

"Hal-hal penting macam ni, mana boleh tunggu lamaaaaa...,"

"Apa yang penting sangat Prof.?" Maria bertanya sambil mengambil tempat duduk di hadapan Prof. Zainal. Sejak empat hari lepas Prof. Zainal berhajat berjumpa dengannya untuk berbincang hal penting itu. Cuma Maria sahaja yang tidak berkesempatan.

Prof. Zainal mengeluarkan sebeban manuskrip yang baru dicetak, bersaiz A4 daripada almari kayu di belakangnya. Almari tersebut sesak dengan pelbagai buku. Di satu sudut lain, beberapa rak kayu sendat dengan susunan fail. Serabut! Di lantai pula, bersepah tugasan pelajar-pelajarnya. Bilik sederhana besar itu, jika tiada pendingin hawa mungkin tidak bernafas manusia di dalamnya. Maria menarik nafas.

"Maria, manuskrip ini saya berhajat nak terbitkan menjadi buku," Prof. Zainal mencipta ayat demi ayat. Maria tekun mendengar.

"Ini tesis saya, ketika saya buat Ph.D di UK dulu,"

"Judul dan teksnya saya sudah terjemahkan ke bahasa Melayu. Masalahnya, belum convert ke bentuk manuskrip. Saya mohon jasa baik Maria, untuk bantu saya." Maria tergamam. Dibeleknya ala kadar tesis yang dimaksudkan itu. Tebalnya 895 halaman, tidak termasuk lampiran. Maria menelan air liur. Diam sejenak. Mindanya ligat berfikir.

"Prof., adakah tesis ini hendak diterbitkan oleh DBP?" tanya Maria, telus. Prof. Zainal angguk. Senyum lebar.

"Saya tak boleh terima. Ini bukan kerja saya. Biasanya saya terima yang sudah convert. Kerja convert tesis sepatutnya Prof. yang buat," Maria meletakkan semula tesis yang dibelek-belek tadi.

"Saya tahu, tapi saya tak ada masa...," kedua-duanya diam sejenak. Berfikir.

"Maaflah Prof. Saya tak sanggup...,"

"Maria...awak saja yang boleh bantu saya. Saya boleh saja suruh orang lain buat, tapi saya tak percaya sejauh mana mereka boleh melakukannya dengan kaedah yang betul, seperti mana yang awak buat," Prof. Zainal cuba memancing. Maria masih membisu.

"Kalau saya buat, saya tak boleh janji bila akan siap. Saya terpaksa lakukan kerja-kerja convert, di luar waktu pejabat. Luar waktu pejabat, masanya agak terbatas. Kalau tebal macam ni, enam bulan pun belum tentu siap."

"Ok, saya serahkan soft copy kepada awak. Awak ambillah berapa lama masa pun. Saya tak kisah, asalkan awak sanggup bantu saya," Prof. Zainal menyerahkan sekeping CD kepada Maria. Masih mengharapkan Maria menerima bahan tersebut.

"Please...Maria. Saya hanya percayakan awak untuk bantu saya," Maria masih diam. Memikirkan sama ada untuk menerimanya atau tidak.

"Saya tak janji boleh menyiapkannya dalam tempoh yang singkat," Maria berterus-terang.

"Tak mengapa. Ambillah seberapa lama masa yang awak perlukan. Janji, tesis ini dikembalikan kepada saya dalam bentuk manuskrip."

"Baiklah, kalau begitu perjanjiannya. Insya-Allah." Prof. Zainal nampak ceria kerana hajatnya untuk menyerahkan tesis tersebut kepada Maria sudah tercapai. Maria menyimpan salinan lembut tesis tersebut di dalam beg galasnya, sambil mencatat sesuatu pada buku catatan kerjanya. Tesis asal juga diserahkan sebagai bahan semakan. Maria senyum seadanya. Seberat-berat tesis itu, berat lagi tanggungjawabnya. Namun dek kepercayaan yang diberi, digalasnya dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

Prof. Zainal berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kesudiaan Maria itu. Dia sendiri tidak pasti kenapa Maria yang sangat dipercayainya dalam misi pentingnya itu.

Maria memandu perlahan keluar dari kawasan UiTM. Satu perkara sudah selesai. Pemanduaannya dihalakan ke arah utara. Kereta yang dipacu terus ke Plaza Angsana...


bersambung...

Monday, July 27, 2009

Katak Lebih Ceria...

Maria membungkam. Wajahnya sedikit sugul. Peti televisyen 32 inci di hadapannya tidak mampu bersuara dengan lebih jelas. Anak-anak mulai bosan. Mereka telah keluar bermain dengan anak-anak jiran lain sejak sejam yang lalu. Anak kecilnya lena dalam buaian.

"Katak di luar pun, lebih kuat suaranya, bang," Maria mendekati suaminya Hadi sambil meletakkan alat kawalan jauh di hadapan Hadi. Hadi sedang leka dengan kerja-kerja IT yang tidak berpenghujung. Suasana petang minggu itu agak mendung. Sama mendung dengan nubari Maria. Angin sepoi-sepoi bahasa membuai lembut langsir di hujung tangga rumahnya. Tanda-tanda hujan akan turun beberapa minit sahaja lagi.

"Sabarlah. Nanti abang belikan TV baru," Hadi seolah-olah faham dengan kebosanan Maria. Maria mengecilkan anak matanya. Keliru dengan kata-kata suaminya. Hadi, bukan seorang kaki televisyen, mana mungkin dia galak hendak membeli sesuatu yang tidak digemarinya.

"Apa bang? TV baru? Bagus juga. Beli TV plasma ya, bang?" Maria teruja dengan perubahan sikap Hadi.

"Kita beli LCD, mahu?" cadang Hadi sambil tangan kanannya ligat mengawal tetikus komputer.

"Apa??? LCD? Huh...mahunya tak nak?!" hati Maria berbunga. Wajahnya ceria. Sempat memasang angan-angan.

"Beli yang boleh lekat kat dinding ya, bang," ujar Maria selamba. Macam budak-budak. Hadi tersengih lebar membariskan giginya yang putih bersih.

"Jangan kata yang lekat kat dinding...untuk awak, yang lekat kat siling pun boleh!" berderai mereka ketawa. Maria tergelak sakan dengan gurauan suaminya. Tidak padan dengan pendiam, sesekali melawak, boleh tahan juga.

"Lagi best, kan? Awak pun suka tengok TV sambil baring...," tambah Hadi lagi. Bertambah senak perut Maria menahan hilainya.

"Ni dah melampauuuu ni!" Maria memukul lembut Hadi dengan kusyen sofa berbunga ungu. Hadi tidak sempat mengelak, tetapi sempat membalas semula dengan lontaran kusyen yang sama besar. Mereka ketawa ceria. Sudah lama mereka tidak bergurau-gurau seperti itu. Ketiadaan anak-anak di rumah membuka ruang yang luas untuk mereka suami isteri bergurau senda. Nampak sangat mereka sibuk dengan urusan masing-masing.

Suara katak di luar sana, semakin tenggelam dengan hilai tawa mereka...


bersambung...

Komputer, oh Komputer!

Artikel nukilan Budiwa merupakan artikel yang terakhir disunting Maria sebelum komputer peribadinya di pejabat bikin kacau. Artikel itu untuk keluaran JS bulan Ogos akan datang. Maria mengeluh lagi. Sejak pukul 7.24 pagi hingga 11.40 pagi, sudah enam kali komputer di meja kerjanya buat hal. Tinggal belum meletup sahaja lagi. Kali ini, komputer 'tua lagi nazak' itu tidak mampu dinyalakan semula. Hati Maria semakin bengkak.

"Hey, Leman! Kau tolong tengok balik PC akak tu." Maria ke stesen kerja Leman. Pengawai Hal Ehwal Pejabat itu memandang tepat wajah Maria.
"Apa lagi kak? Asyik penggil saya saja...," Leman mengeluh.
"Kalau tak ada hal, aku tak cari engkau,"
"Apa penyakit PC akak tu?" tanya Leman sambil berjalan menuju ke arah komputer Maria.
"Kalau aku tahu penyakitnya, aku terus ke farmasi, aku tak cari kau," sindir Maria sambil membetulkan kerongsang di tudungnya yang longgar. Leman tersenyum. Dia tahu Maria menyindirnya.
"Semakin di update, semakin sewel pula PC ni, ya...," sindir Maria lagi.
"Aik, kak...mengata saya kah?"
"Tak...aku cakap dengan dinding," Leman tersenyum lagi mendengar sindirian Maria, sambil tangannya rancak melakukan sesuatu dengan komputer Maria. Maria tekun melihatnya.
"Apa penyakitnya?"
"Tak pasti. Nanti saya buat report dulu, kemudian vendor akan datang tengok PC akak ni,"
"Berapa tahun aku kena tunggu?"
"Alaaa, kak. Sabar ya. Tak hari ni, esok dia akan datang." Leman memberi jaminan yang belum pasti. Maria semakin kesal. Minggu lepas seorang pegawai IT daripada syarikat komputer luar datang melihat-lihat komputernya, tetapi sekadar melihat sahaja, tanpa sebarang penambahbaikan. Maria kesal. Pegawai tersebut datang dengan tangan kosong - mungkin kepalanya juga kosong. Maria mengeluh berat. Dia langsung tidak dapat meneruskan kerja-kerja hakikinya. Leman terus berlalu meninggalkan Maria. Maria termenung sejenak. Kerja-kerja penyuntingannya tertangguh lagi.

Pening kepalanya dengan kerenah komputer di pejabatnya. Terlalu kerap komputer itu memberi ruang masalah kepadanya. Setiap kali rosak, setiap kali itu jugalah dia membuat laporan. Tetapi, tiada sebarang tindakan drastik diambil oleh pihak yang bertanggung jawab. Maria bosan. Kerja-kerja penyuntingan perlu disiapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sudahlah telefon bimbitnya rosak, kabel mesin basuh di rumah meletup, kini komputernya pula buat hal.

Kepala Maria ligat memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalahnya.
"Leman, kau bagi aku pinjam lap top pejabat boleh tak, sementara tunggu vendor," Maria memberi cadangan.
"Boleh...boleh," ujar Leman seraya mengeluarkan komputer riba pejabat dari almari besinya. Kalau Maria tidak mencadangkan, mungkin Leman tidak teringat.

"Tolong connect sekali dengan server,"
"Boleh...boleh," Leman menurut sahaja kehendak Maria tanpa banyak bicara. Dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Maria. Maria melihat Leman melakukan kerja-kerja penyambungan komputer riba di meja kerjanya.

Jam di dinding pejabat tepat pukul 12.30 tengah hari. Leman masih belum siap membuat penyambungan komputer riba. Lambat! Maria mencapai akhbar harian untuk dibaca sementara menunggu Leman.


bersambung...

Thursday, July 23, 2009

Amal Jariah?

Seorang teman sekerja dari tingkat satu menyergah Maria. Maria yang sedang khusyuk melakukan kerja-kerja penyuntingan novel Young Rahimah terkejut. Anak matanya merenung tepat ke wajah Hadah.

"Anak dara ni...main terjah saja!" Maria menjengkel.
"Kenapa kak? Pucat saja muka? Penat?"
"Mahu tak penat? Novel ni, plotnya mengelirukan!"
"Cerita tentang apa?" Hadah bertanya sekadar berbasi-basi. Punggungnya diletak kemas di atas kerusi di hadapan meja kerja Maria.
"Bagin!"
"Hah??? Bagin? Binatang apa tu?"
"Buayalah!"
"Laaa...ya kah? Tak pernah pula dengar orang panggil buaya tu 'bagin'," kali ini nampaknya Hadah lebih berminat.
"Bagin tu, bahasa orang Asli," jelas Maria ringkas.
"Sekalipun menyunting kisah bagin, tak kanlah sampai muka pun tak sempat nak make up?Dah macam bagin," Maria memandang wajahnya sekilas lalu pada cermin kecil di hadapannya. Mereka ketawa.
"Tak sempat nak jaga kecantikan," mereka berdua bergelak lagi.
"Kata semalam baru beli lipstik L'Oreal?"
"Beli saja...pakainya tidak,"
"Pulak???"
"Pakai untuk suami...," mereka bergelak sakan. Alasan. Pada hal Maria terlewat bangun pagi tadi, sehingga langsung tidak berkesempatan menyolek wajah 30-annya. Mujurlah kad perakam waktunya tidak merah.
"Kak, buku ni best. Buatlah ulasan," ujar Hadah penuh sopan, sambil menghulur senaskhah buku kulit keras setebal 727 halaman. Itulah tujuan sebenar kedatangannya.
"Tak sempatlah bulan ni. Banyak benda nak dikejar. Kau bukan boleh tolong aku,"
"Alaaa kak...buatlah. Boleh siar dalam DS lagi,"
"Ah, malaslah. Tak dengar Dato' cakap apa minggu lepas? Semua kerja luar tidak dibayar!"
"Alaaa kak...amal jariah,"
"Amboi...kalau semua nak dijadikan amal jariah, kita kerja ni pun tak payahlah bergaji!" Maria membulatkan biji matanya. Hadah ketawa. Geli hati sungguh dengan ungkapan Maria. 'Tahu marah juga perempuan ni....' bisik hatinya nakal.
"Jangan naik angin kak. Nanti nampak lebih tua," nasihat Hadah.
"Editor mesti tampak muda, supaya penulis suka jumpa akak!" sambung Hadah sambil berlalu meninggalkan Maria yang masih memegang manuskrip yang sedang ditangani.
'Ah, tampak muda pun, kalau kerja cincai boncai nak buat apa?' Maria bermonolog, sambil tangan kanannya menyapu gincu di bibirnya yang tampak kusam. Rugi juga gincu baru disimpan sahaja tanpa digunakan. Sebatang gincu juga hasil titik peluh kerja-kerja editorialnya.

bersambung...

Mata Disengkang

Jam digital di dinding rumah tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Suami Maria, Hadi masih bersengkang mata menghadap komputer riba. Komputer cari makan. Sungguh pun kecil, harganya mencecah RM4,000.00. Itulah punca rezekinya. Maria memandang wajah lesu Hadi tanpa sebarang bicara. Kerja pembinaan sistem IT yang dilaksanakan oleh Hadi memerlukan ketekunan. Tarikh akhir penyerahan perlu ditepati. Jika tidak pelanggan akan hilang kepercayaan.

Maria sebenarnya merancang tidur awal. Anak kecilnya yang berusia lapan bulan sudah dibuai mimpi. Dua orang lagi anaknya yang akan bangun awal pagi keesokan harinya sudah pun terlentang di perbaringan masing-masing. Maria ke dapur membuat secawan milo untuk Hadi. 'Lepas minum milo, boleh cepat tidur,' hati Maria berbisik. Dia bukan suka Hadi tidur lewat.

Suaminya sudah setahun setengah mengabdikan diri dengan perniagaan sendiri yang berteraskan IT. Kerana itu, hidup matinya dengan komputer. Tengah-tengah malam begitu, memang tiada perasaan untuk berbual-bual. Lagi-lagi mata sudah semakin layu. Maria meletakkan milo suam di sebelah meja kerja suaminya.

"Dah nak tidur kah?" tanya Hadi. Maria mengangguk malas.
"Kejap lagilah...," tegas Hadi. Maria mengambil tempat duduk. Dia akur. Beg galasnya dibuka. Sementara menanti Hadi mengantuk, dia mengambil manuskrip novel terbaharu Young Rahimah. Novel itu baru diluluskan penerbitannya. Dia mengambil masa tiga hari untuk membacanya sepintas lalu untuk mengetahui jalan ceritanya sebelum diedit. Petang semalam di pejabat, dia telah mula mengeditnya. Boleh tahan celaru juga novel ini. Perlu suntingan substantif!

Maria mencapai pen biru yang biasa digunakan untuk membuat suntingan. Sambil bersandar di sofa berbentuk L berwarna hitam, dia memulakan kerja-kerja penyuntingan. Kerja pejabat sekarang terpaksa dibuat di rumah, memandangkan waktu pejabat bagai tidak mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut. Apatah lagi kerja-kerja penyuntingan memerlukan konsentrasi yang tajam. Barulah hasilnya memuaskan.

Suasana sepi. Sesekali kedengaran bunyi motorsikal pengawal keselamatan yang membuat rondaan di taman perumahan itu. Jiran-jiran di sekitaran pasti sudah lena. Kebanyakan mereka bekerja makan gaji. Jiran warga Jepun yang tinggal di sebelah kiri rumahnya sahaja yang tidak bekerja. Mereka orang kaya. Wang simpanan boleh digunakan sampai tujuh keturunan! Dia dan suaminya masih bersengkang mata. Bersengkang mata kerana kerja. Kerjaya juga perlu diutamakan. Inilah rezeki. Inilah yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan. Maria membuat suntingan sehingga bab 10. Matanya mula berair. Suntingan tidak boleh diteruskan dalam keadaan mengantuk.

Maria menjeling milo di meja suaminya. Tinggal separuh. Dia mencapai cawan tersebut lalu meneguknya.
"Aik, buatkan orang, dia pula yang licinkan...," Hadi mengomel.
"Dahaga...," jawab Maria sepatah. Tersenyum dengan perangainya yang tidak senonoh. Hadi menggeleng. Senyum juga.
"One more glass," ujar Hadi. Maria menurut tanpa banyak soal. Setelah meletakkan secawan lagi milo suam di atas meja kerja Hadi, Maria terus menapak ke tingkat atas. Tilam empuknya setia menanti...


bersambung...

Tuesday, July 21, 2009

Kerja, Kerja, Kerja

Panggilan telefon dari Prof. Syukri seawal 8.00 pagi sedikit mengejutkan Maria. Dia baru memasukkan roti bakar yang disiapkan dari rumah ke mulutnya. 'Apa saja pagi-pagi buta ni,' gerutu hatinya. Namun, panggilan tetap disambut memandangkan Prof. Syukri merupakan salah seorang penulis yang sedang berurusan dengannya semenjak tahun lepas. Pembinaan manuskrip yang diusahakan oleh Prof. Syukri sedang rancak berjalan.

Maria menyambung kunyahan yang terbantut seketika tadi, sebaik sahaja selesai berbual dengan Prof. Syukri. Dia mencapai buku perancangannya, terus menyelak ke halaman 'bulan Julai'. 'Sepatutnya dah siap!' bisik hati kecilnya. Maria bangun dan mencapai pula kad keluar masuk. Kad tersebut perlu diisi dan ditandatangani Pengarah sebelum dia perlu keluar ke mana-mana. Sedang Maria mencatat sesuatu di kad keluar masuk, telefon pejabatnya pula berdering. Tangan kanan menulis, tangan kiri menyambut panggilan.

"Ha, siap dami! Hantar sekarang," arahan dikeluarkan kepada seseorang di hujung talian. Akhirnya, dami JS yang tertanggung siap juga. 'Cepat juga...' hatinya berbisik ceria. Maria menjengah bilik Puan Pengarah. Puan Pengarah kelihatan sedang sibuk menyemak surat-surat sebelum ditanda tangan. Maria menerpa masuk, mohon izin ke UTM untuk bertemu Prof. Syukri.

"Manuskrip yang mana?" soal Puan Pengarah sambil menurunkan keizinan keluar.
"AUTOCAD," jawab Maria ringkas.
"Ada masalah?" tanyanya lagi, mengambil berat.
"Penulisnya dua orang. Masing-masing dengan kepala masing-masing. Ada dua bab yang terakhir bermasalah. Seorang nak tambah bab, seorang lagi kata tak perlu sebab nak masukkan dalam edisi kedua. Saya terpaksa jadi orang tengah. Nak tengok pembinaan tu. Tengok mana yang sesuai," jelasnya panjang lebar. Puan Pengarah angguk. Faham. Setuju.

9.30 pagi Maria sampai di Fakulti Pendidikan, UTM. Tanpa lengah dia terus meluru ke bilik Prof. Syukri. Prof. Syukri dan Dr. Ahmad setia menanti. Maria memberi salam dan terus duduk tanpa disuruh. Mereka berbincang hampir satu jam. Letih. Manusia terpelajar di hadapannya ini, rupa-rupanya bukanlah manusia yang berupaya membuat keputusan. Lagi-lagi tentang manuskrip yang sedang dibina itu. Hendak harapkan editor cabuk juga! Maria menjeling jam Boston Polo di tangan kirinya. 10.26 pagi! Keputusan muktamad! Pendapat editor cabuk juga yang mereka terima akhirnya. Tempoh pembinaan ditambah lagi. Mereka tidak dapat menyiapkannya dalam masa yang terdekat. "Sebulan lagi Maria," Dr. Ahmad mohon simpati. 'Bulan lepas mohon tangguh sebulan, bulan ini mohon tangguh lagi! Lama-lama buku tak terbit! Aku juga yang salah nanti. Editor lambat buat kerjalah, editor mengularlah, editor tidurlah! Yang salah semua editor...!'

Maria tidak membuat keputusan segera. Buku perancangan kerjanya ditelek-telek. "Dua minggu dari sekarang!" tegas Maria. Mata Prof. Syukri mengecil memandang tepat pada wajah Maria. 'Ah, apa aku kisah!' nubarinya berbisik.
"Sebulanlah...Kami kena siapkan laporan budak-budak master minggu ni," Prof. Syukri merayu.
"Dah terlalu lama Prof...," Maria tidak mahu mengalah.
"Eeeemmm...Maria punya hal...dua minggu pun, dua minggulah!" Dr. Ahmad memandang wajah Prof. Syukri sambil tersenyum kelat.
'Hahahahaaa...besarnya kuasa seorang editor!' bisik Maria nakal.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, Maria berhenti di sebuah stesyen minyak untuk mengisi petrol keretanya. Satu pesanan ringkas daripada telefon bimbitnya memberi isyarat. Sambil pump tender mengisikan petrol, dia membaca pesanan ringkas tersebut. 'Tahniah atas penerbitan JS yang terkini. Cantik dan kemas. Sayangnya karya saya tidak tersiar.' Maria tersenyum lalu mencebik.
"Ingat, semua karya boleh sumbat dalam JS kah???" Maria bermonolog. Penulis yang menghantar karya ke mejanya, seboleh-boleh mahu karya mereka tersiar. Maria cuba berlaku adil kepada semua penulis. Mana mungkin dia dapat memuaskan hati semua pihak? Mana mungkin semua karya disiarkan dalam satu-satu masa? Mana mungkin karya yang tiada estetika sastera dan falsafah dan moral diterbitkan? Namun, pesanan ringkas itu dibalas ringkas. 'Transformasi!' sejak akhir-akhir ini negara ini sering bercakap tentang transformasi. Dia juga tidak ketinggalan untuk bertransformasi. Maria tersenyum dan ketawa sendiri.

Sampai di pejabat, kurang lebih pukul 11.20 pagi. Dami JS di atas meja bagi keluaran seterusnya ditatap dengan senyuman manis. Perancangannya untuk ke pantri membuat secawan milo dibatalkan. Berkobar-kobar hatinya untuk menyemak dami JS. Banyak juga pembetulan. Lusa mesti buat filem. Maria nekad. Sedar tidak sedar sudah pukul 1.00. 'Hari ini tak payah lunch!'

Setelah menyemak dami JS, Maria menghubungi pembekal JS untuk memaklumkan tentang terbitan JS. Pembekal akur dengan cadangannya untuk membuat filem selewat-lewatnya lusa. Kemudian dia bangkit mencapai surat khabar. Hal ehwal semasa perlu juga diambil tahu. Baca. Selak. Baca. Selak. Akhirnya sampai ke halaman terakhir. Maria bangkit dari kerusinya untuk menyerahkan dami JS kepada rakan sekerja yang lebih senior. "1 PEJABAT: PENGARAH DIDAHULUKAN, PEGAWAI DIUTAMAKAN."

bersambung...

Friday, July 17, 2009

Bicara Herba: Sukun Ubati Santau

Santau sering dikaitkan dengan ilmu hitam. Menurut kepercayaan pengamal perubatan tradisional, santau ada beberapa jenis antaranya santau angin, santau kaca, santau paku dan bermacam-macam lagi. Apa pun jenisnya, perkara ini tidak seharusnya dipandang sepi. Masyarakat Melayu sangat percaya dengan penyakit santau ini.

Baru-baru ini, seorang ustaz (kawan lama ayah saya) bercerita tentang buah sukun yang dipercayai boleh mengubati penyakit santau. Caranya ialah dengan menoreh sebiji buah sukun sehingga keluar getahnya. Tadah getahnya dengan kain putih yang bersih. Biarkan beberapa ketika untuk dikeringkan. Apabila kain yang bergetah itu kering, rendam kain tersebut ke dalam air suam. Baca al-Fatihah, ayat 3 Qul, surah al-Hasyr ayat 21-24 dan bismilah 6 kali-kemudian minum.

Kaedah ini juga boleh digunakan untuk mengatasi penyakit-penyakit ringan seperti panas dalam, muntah darah dan keracunan. Insya-Allah akan pulih.

Wednesday, July 15, 2009

Tragis: Hondaku Cedera

Inilah yang berlaku pada minggu lepas. Kereta kami dipecah masuk. Berlaku di Taman Kempas pada hari Jumaat yang mulia. Suspek utama, 'mat gian'. Namun, saya bersyukur kerana beberapa barang berharga tidak dikebasnya (mungkin suspek tidak bijak menilai harta). Suspek hanya berjaya merompak semangkuk duit syiling yang nilainya sama sekali tidak sama dengan harga cermin yang terpaksa diganti.

Kereta yang mempunyai alat penggera keselamatan tercanggih pun, tidak terkecuali menerima nasib yang sama seperti kereta kesayangan kami sekeluarga ini. Beberapa hari kami bermuhasabah diri. Insaf...(tapi dalam menginsafi diri, berguni-guni juga caci maki yang dikeluarkan kepada suspek). Semoga Tuhan membalas 'budi baik' suspek, dan diberi hidayah kepadanya.

Thursday, July 9, 2009

Tentang PPSMI

Dua hari kebelakangan ini, semua akhbar (lagi-lagi akhbar arus perdana) memaparkan tentang keburukan PPSMI, kelemahan PPSMI, kegagalan PPSMI dan yang seangkatan dengannya. Tujuh tahun yang lalu (semenjak 2003 terutamanya), akhbar-akhbar tempatan (yang sama juga) secara berleluasa memaparkan tentang kebaikan PPSMI, keistimewaan PPSMI, kejayaan PPSMI dan yang seangkatan dengannya. Mengapa propaganda begini berlaku? (jawablah wahai tuan yang arif lagi bijaksana - kerana semua ini tuan punya angkara).

Berita yang disiarkan tentang pembatalan PPSMI sudah diduga (apatah lagi sekarang ini 'mereka' sedang bermanek urai). Sebenarnya, bukan sekarang pembatalannya. Itu sekadar pengumuman sahaja. Kita tunggu dan lihat pada 2012 nanti.

Ketika Dr. M memutuskan PPSMI dilaksanakan, pengumuman dibuat pada 2002 dan pelaksanaan serta-merta pada 2003! Dalam tempoh yang singkat, semua sekolah sudah bersedia dengan buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Mengapa pula pembatalan PPSMI diumumkan pada 2009 dan pelaksanaannya akan dibuat pada 2012? Mengambil masa 3 tahun atau lebih tepat lagi 2 tahun 6 bulan.

Suka saya perturunkan kenyataan Puan Ainon (orang kuat PTS) tentang isu bahasa ini. "Jepun berdaya maju kerana mereka enggan berbahasa Inggeris. India semakin mundur apabila melaksanakan sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris. Empat daripada 12 orang Jepun telah memenangi Hadiah Nobel. Sebahagiannya langsung tidak pandai berbahasa Inggeris."

Wednesday, July 8, 2009

Babi, Oh Babi...

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih yang bukan kerana Allah," (al-Maidah:3).

Apabila anak-anak berkelahi, binatang pertama yang disebut ialah babi. Orang tua pun, bila baran sikit, binatang yang haram dimakan itulah yang jadi sebutan popular. Ustaz di sekolah agama dulu, kalau nak marah pun sebut 'ba, alif, ba, ya'. Babi, memang popular, bukan di kalangan masyarakat Cina sahaja, bahkan di kelompok kaum Melayu juga.

Kesian pada babi yang dihina. Hinakah babi? Babi cuma haram dimakan oleh umat Islam. Antara sebab pengharamannya ialah kerana daging babi mempunyai kuman yang sangat panjang umur dan lasak sifatnya. Ustaz di sekolah agama kata, kalau babi mati, kuman dalam dagingnya tak akan mati. Organ dalaman babi pula mempunyai cacing yang paling banyak! Pendek kata, sangat memudaratkan jika dimakan. Oleh sebab itu, Allah mengharamkan umat Islam daripada memakan babi. Sekalipun babi itu diharamkan kepada umat Islam, Allah tidak pernah menghinanya atau melaknat spesis babi itu. Dia juga binatang. Babi itu najis, tapi tidak ada nas yang mengatakan berdosa jika kita menyentuhnya. Cuma, jika tersentuh hendaklah disamak. Hukum tetap hukum, dan babi tetap babi.

Umat Islam bukanlah umat pertama yang diharamkan untuk memakan babi. Mengikut sejarah, umat Bani Israil pernah ditegah untuk memakan daging babi dan menggunakan lemaknya. Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak pernah diriwayatkan membunuh babi.

Dunia kini dilanda wabak influanza H1N1 yang dikatakan berpunca daripada babi. Pelbagai kaedah perubatan moden dan konvensional digunakan bagi menangani wabak ini. Rata-rata masyarakat dunia sangat berhati-hati dengan penjagaan kesihatan dan kebersihan sekarang ini. Mereka keluar rumah menggunakan 'mask'. Sentiasa membasuh tangan. Menggelak diri daripada bercampur dengan orang ramai di tempat awam. Mengambil suhu badan setiap jam. Mengelak diri daripada ke luar negara. Mendapatkan imunisasi tertentu.

Kita patut bersyukur dengan kewujudan babi. Jisim-jisim babi boleh digunakan dalam tujuan perubatan. Malahan kromosom babi merupakan kromosom yang paling hampir dengan kromosom kita (manusia). Mungkin kerana itu, ramai manusia yang berkelakuan seperti babi. Waallahualam...


Tuesday, July 7, 2009

Erti Sebentuk Cincin

Perempuan memang tak boleh dipisahkan dengan barang kemas terutamanya cincin. Saya bukanlah wanita yang suka membeli dan memakai barang kemas sehingga sarat di tubuh. Malahan seumur hidup, belum pernah saya membeli barang kemas untuk diri sendiri. Tapi, barang kemas terutamanya cincin sangat bererti dalam kehidupan saya dan saudara-saudara perempuan saya yang lain.

Sebentuk cincin yang tersarung dijari manis tangan kiri saya sekadar cincin belah rotan. Cincin tersebut bukan cincin risik, bukan cincin pertunangan, bukan juga cincin perkahwinan. Tapi, saya sangat menghargainya dan paling menyayanginya berbanding cincin yang lain yang ada dalam simpanan peribadi saya. Cincin belah rotan itu merupakan cincin emas bersalut selang emas putih. Harganya saya tak begitu pasti kerana bukan saya yang membelinya. Itulah pemberian suami tercinta pada saat saya diberitakan mengandung anak sulung. Dia menyarungkan cincin tersebut sangkeng gembiranya dia apabila mengetahui kandungan sulung itu ialah anak lelaki. Bagi saya, memori 9 tahun lalu terlalu indah. Hanya kami berdua di dalam rumah ketika itu. Hanya Tuhan sebagai saksi kebahagiaan itu. Kerana itu, saya sangat sayangkan cincin belah rotan itu.
Cincin risik, cincin tunang dan cincin kahwin, biasa-biasa saja bagi saya kerana semua wanita akan memilikinya. Paling tidak pun cincin tunang. Saya tidak begitu menggemari cincin tunang. Pertama, cincin tunang tersebut disarungkan oleh orang lain (bukan suami). Kedua, cincin tunang yang saya miliki reka bentuknya biasa saja sedangkan hari pertunangan merupakan salah satu hari yang bersejarah dalam hidup seorang wanita. Ketiga, cincin itu sudah agak ketat untuk disarung (hahahhaaa...itulah sebab utamanya!). Cincin perkahwinan pula bagi saya terlalu 'meriah' bentuknya. Maklumlah cincin itulah yang paling mahal. Apatah lagi dihiasi dengan 7 berlian berkilau! Satu berlian pun sudah cukup menyilaukan mata, apatah lagi jika 7! Kerana itu, cincin kahwin setia dalam bekasnya. Selamatlah kau di situ selamanya...

Friday, July 3, 2009

Bengkel Lanjutan Penulisan Novel

Susulan daripada bengkel yang terdahulu pada 2008, bengkel lanjutan telah dilaksanakan pada 26-28 Jun. Ini juga sebahagian daripada usaha perolehan manuskrip untuk DBPWS.

Kumpulan kecil ini telah dibimbing sepenuhnya oleh Puan Rozninah Ab. Azib; Editor Dewan Sastera dan Sesi Bersama Tokoh mengetengahkan Malim Ghozali PK sebagai undangan istimewa.

Penulis yang komited yang menyertai bengkel ini ialah Halil Ali, W.B. Rendra, Firdaus Ismail, Sasya Zainal dan Rosnita Abu Bakar. Saya mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan bengkel ini terutamanya kepada Kak Ena dan Pak Malim, Rizal dan Sharur. Semoga kita boleh menjalinkan kerjasama yang padu pada masa akan datang. Saya menanti janji-janji penulis. Selamat berkarya!

Thursday, July 2, 2009

Cinta dan Cita-cita: Pak Malim

Saya rasa cukup bertuah apabila dapat bersama-sama Malim Ghozali PK atau lebih senang dipanggil Pak Malim.

Pertemuan dengan beliau di Bengkel Lanjutan Penulisan Novel baru-baru ini telah membuka ruang dan peluang kepada saya dan rakan penulis lain untuk mendekati Pak Malim dan menyingkap kerahsiaan dirinya.

Mengenali puitisnya puisinya, sinisnya cerpennya dan hebatnya novelnya, memberi saya satu inspirasi bahawa beliau bukan calang-calang penulis, sementelah beliau telah menghilangkan diri selama hampir 15 tahun dalam dunia penulisan tanah air untuk mengkaji tentang mukjizat Rasulallah yang ditinggalkan kepada umatnya sehingga kini, iaitu al-Quran nur karim. Teori-teori sains dan matematik yang dikaji telah lebih mendekatkan dirinya dengan Ilahi. Dan saya sangat kagum dengan kajian yang beliau laksanakan. Kehebatannya bercerita tentang dunia penulisan, perjalanan seninya, pengembaraannya ke luar negara, kehidupannya dan impiannya sangat mengujakan. Sedar tak sedar, malam kian larut. Namun hati tetap ingin terus mendengar kisahnya.

Pak Malim sempat berfalsafah; 'Cinta yang paling manis untuk dikenang seumur hidup ialah cinta yang tidak sampai ke jenjang pelamin'.

Dan katanya lagi, 'Teman hidup yang paling membahagiakan ialah apabila kita sering bergaduh dengannya.'

Pak Malim, semoga kita bertemu lagi. Insya-Allah.

Gurindam: Usah Berkira

Usah berkira tentang ibadat,
Kelak pahala susah nak dapat.

Usah berkira tentang ilmu,
Kelak hati tidak menentu.

Usah berkira tentang duit,
Kelak kempis isi poket.

Usah berkira tentang makan,
Kelak mati kebuluran.

Usah berkira tentang harta,
Kelak hidup huru-hara.

Usah berkira dengan kawan,
Kelak kerja tidak keruan.

Usah berkira dengan saudara,
Kelak rumah tangga porak-peranda.

Usah berkira dengan anak,
Kelak ibu bapa yang diahmak.

Usah berkira dengan isteri,
Kelak hari tua akan rugi.

Usah berkira dengan mak bapak,
Kelak tanah kubur bakal menolak.

Usah berkira dengan Ilahi,
Sepanjang hayat akan dimurkai.

Karya Seni:
Azura Halid
Julai 2009

Hak Cipta Terpelihara.