Panggilan telefon dari Prof. Syukri seawal 8.00 pagi sedikit mengejutkan Maria. Dia baru memasukkan roti bakar yang disiapkan dari rumah ke mulutnya. 'Apa saja pagi-pagi buta ni,' gerutu hatinya. Namun, panggilan tetap disambut memandangkan Prof. Syukri merupakan salah seorang penulis yang sedang berurusan dengannya semenjak tahun lepas. Pembinaan manuskrip yang diusahakan oleh Prof. Syukri sedang rancak berjalan.
Maria menyambung kunyahan yang terbantut seketika tadi, sebaik sahaja selesai berbual dengan Prof. Syukri. Dia mencapai buku perancangannya, terus menyelak ke halaman 'bulan Julai'. 'Sepatutnya dah siap!' bisik hati kecilnya. Maria bangun dan mencapai pula kad keluar masuk. Kad tersebut perlu diisi dan ditandatangani Pengarah sebelum dia perlu keluar ke mana-mana. Sedang Maria mencatat sesuatu di kad keluar masuk, telefon pejabatnya pula berdering. Tangan kanan menulis, tangan kiri menyambut panggilan.
"Ha, siap dami! Hantar sekarang," arahan dikeluarkan kepada seseorang di hujung talian. Akhirnya, dami JS yang tertanggung siap juga. 'Cepat juga...' hatinya berbisik ceria. Maria menjengah bilik Puan Pengarah. Puan Pengarah kelihatan sedang sibuk menyemak surat-surat sebelum ditanda tangan. Maria menerpa masuk, mohon izin ke UTM untuk bertemu Prof. Syukri.
"Manuskrip yang mana?" soal Puan Pengarah sambil menurunkan keizinan keluar.
"AUTOCAD," jawab Maria ringkas.
"Ada masalah?" tanyanya lagi, mengambil berat.
"Penulisnya dua orang. Masing-masing dengan kepala masing-masing. Ada dua bab yang terakhir bermasalah. Seorang nak tambah bab, seorang lagi kata tak perlu sebab nak masukkan dalam edisi kedua. Saya terpaksa jadi orang tengah. Nak tengok pembinaan tu. Tengok mana yang sesuai," jelasnya panjang lebar. Puan Pengarah angguk. Faham. Setuju.
9.30 pagi Maria sampai di Fakulti Pendidikan, UTM. Tanpa lengah dia terus meluru ke bilik Prof. Syukri. Prof. Syukri dan Dr. Ahmad setia menanti. Maria memberi salam dan terus duduk tanpa disuruh. Mereka berbincang hampir satu jam. Letih. Manusia terpelajar di hadapannya ini, rupa-rupanya bukanlah manusia yang berupaya membuat keputusan. Lagi-lagi tentang manuskrip yang sedang dibina itu. Hendak harapkan editor cabuk juga! Maria menjeling jam Boston Polo di tangan kirinya. 10.26 pagi! Keputusan muktamad! Pendapat editor cabuk juga yang mereka terima akhirnya. Tempoh pembinaan ditambah lagi. Mereka tidak dapat menyiapkannya dalam masa yang terdekat. "Sebulan lagi Maria," Dr. Ahmad mohon simpati. 'Bulan lepas mohon tangguh sebulan, bulan ini mohon tangguh lagi! Lama-lama buku tak terbit! Aku juga yang salah nanti. Editor lambat buat kerjalah, editor mengularlah, editor tidurlah! Yang salah semua editor...!'
Maria tidak membuat keputusan segera. Buku perancangan kerjanya ditelek-telek. "Dua minggu dari sekarang!" tegas Maria. Mata Prof. Syukri mengecil memandang tepat pada wajah Maria. 'Ah, apa aku kisah!' nubarinya berbisik.
"Sebulanlah...Kami kena siapkan laporan budak-budak master minggu ni," Prof. Syukri merayu.
"Dah terlalu lama Prof...," Maria tidak mahu mengalah.
"Eeeemmm...Maria punya hal...dua minggu pun, dua minggulah!" Dr. Ahmad memandang wajah Prof. Syukri sambil tersenyum kelat.
'Hahahahaaa...besarnya kuasa seorang editor!' bisik Maria nakal.
Dalam perjalanan pulang ke pejabat, Maria berhenti di sebuah stesyen minyak untuk mengisi petrol keretanya. Satu pesanan ringkas daripada telefon bimbitnya memberi isyarat. Sambil pump tender mengisikan petrol, dia membaca pesanan ringkas tersebut. 'Tahniah atas penerbitan JS yang terkini. Cantik dan kemas. Sayangnya karya saya tidak tersiar.' Maria tersenyum lalu mencebik.
"Ingat, semua karya boleh sumbat dalam JS kah???" Maria bermonolog. Penulis yang menghantar karya ke mejanya, seboleh-boleh mahu karya mereka tersiar. Maria cuba berlaku adil kepada semua penulis. Mana mungkin dia dapat memuaskan hati semua pihak? Mana mungkin semua karya disiarkan dalam satu-satu masa? Mana mungkin karya yang tiada estetika sastera dan falsafah dan moral diterbitkan? Namun, pesanan ringkas itu dibalas ringkas. 'Transformasi!' sejak akhir-akhir ini negara ini sering bercakap tentang transformasi. Dia juga tidak ketinggalan untuk bertransformasi. Maria tersenyum dan ketawa sendiri.
Sampai di pejabat, kurang lebih pukul 11.20 pagi. Dami JS di atas meja bagi keluaran seterusnya ditatap dengan senyuman manis. Perancangannya untuk ke pantri membuat secawan milo dibatalkan. Berkobar-kobar hatinya untuk menyemak dami JS. Banyak juga pembetulan. Lusa mesti buat filem. Maria nekad. Sedar tidak sedar sudah pukul 1.00. 'Hari ini tak payah lunch!'
Setelah menyemak dami JS, Maria menghubungi pembekal JS untuk memaklumkan tentang terbitan JS. Pembekal akur dengan cadangannya untuk membuat filem selewat-lewatnya lusa. Kemudian dia bangkit mencapai surat khabar. Hal ehwal semasa perlu juga diambil tahu. Baca. Selak. Baca. Selak. Akhirnya sampai ke halaman terakhir. Maria bangkit dari kerusinya untuk menyerahkan dami JS kepada rakan sekerja yang lebih senior. "1 PEJABAT: PENGARAH DIDAHULUKAN, PEGAWAI DIUTAMAKAN."
bersambung...
2 comments:
Azura,
Boleh jadi novel ni...luhan hati seorang Editor. Saya pun ada pengalaman paling mengesankan apabila ada pengarang yang marah-marah kerana bukunya lambat terbit.
Tn. Haji,
mungkinkah editor akan terus menjadi editor, dan penulis pula terus menerus menulis???
Post a Comment