Pages

Monday, July 27, 2009

Komputer, oh Komputer!

Artikel nukilan Budiwa merupakan artikel yang terakhir disunting Maria sebelum komputer peribadinya di pejabat bikin kacau. Artikel itu untuk keluaran JS bulan Ogos akan datang. Maria mengeluh lagi. Sejak pukul 7.24 pagi hingga 11.40 pagi, sudah enam kali komputer di meja kerjanya buat hal. Tinggal belum meletup sahaja lagi. Kali ini, komputer 'tua lagi nazak' itu tidak mampu dinyalakan semula. Hati Maria semakin bengkak.

"Hey, Leman! Kau tolong tengok balik PC akak tu." Maria ke stesen kerja Leman. Pengawai Hal Ehwal Pejabat itu memandang tepat wajah Maria.
"Apa lagi kak? Asyik penggil saya saja...," Leman mengeluh.
"Kalau tak ada hal, aku tak cari engkau,"
"Apa penyakit PC akak tu?" tanya Leman sambil berjalan menuju ke arah komputer Maria.
"Kalau aku tahu penyakitnya, aku terus ke farmasi, aku tak cari kau," sindir Maria sambil membetulkan kerongsang di tudungnya yang longgar. Leman tersenyum. Dia tahu Maria menyindirnya.
"Semakin di update, semakin sewel pula PC ni, ya...," sindir Maria lagi.
"Aik, kak...mengata saya kah?"
"Tak...aku cakap dengan dinding," Leman tersenyum lagi mendengar sindirian Maria, sambil tangannya rancak melakukan sesuatu dengan komputer Maria. Maria tekun melihatnya.
"Apa penyakitnya?"
"Tak pasti. Nanti saya buat report dulu, kemudian vendor akan datang tengok PC akak ni,"
"Berapa tahun aku kena tunggu?"
"Alaaa, kak. Sabar ya. Tak hari ni, esok dia akan datang." Leman memberi jaminan yang belum pasti. Maria semakin kesal. Minggu lepas seorang pegawai IT daripada syarikat komputer luar datang melihat-lihat komputernya, tetapi sekadar melihat sahaja, tanpa sebarang penambahbaikan. Maria kesal. Pegawai tersebut datang dengan tangan kosong - mungkin kepalanya juga kosong. Maria mengeluh berat. Dia langsung tidak dapat meneruskan kerja-kerja hakikinya. Leman terus berlalu meninggalkan Maria. Maria termenung sejenak. Kerja-kerja penyuntingannya tertangguh lagi.

Pening kepalanya dengan kerenah komputer di pejabatnya. Terlalu kerap komputer itu memberi ruang masalah kepadanya. Setiap kali rosak, setiap kali itu jugalah dia membuat laporan. Tetapi, tiada sebarang tindakan drastik diambil oleh pihak yang bertanggung jawab. Maria bosan. Kerja-kerja penyuntingan perlu disiapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sudahlah telefon bimbitnya rosak, kabel mesin basuh di rumah meletup, kini komputernya pula buat hal.

Kepala Maria ligat memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalahnya.
"Leman, kau bagi aku pinjam lap top pejabat boleh tak, sementara tunggu vendor," Maria memberi cadangan.
"Boleh...boleh," ujar Leman seraya mengeluarkan komputer riba pejabat dari almari besinya. Kalau Maria tidak mencadangkan, mungkin Leman tidak teringat.

"Tolong connect sekali dengan server,"
"Boleh...boleh," Leman menurut sahaja kehendak Maria tanpa banyak bicara. Dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Maria. Maria melihat Leman melakukan kerja-kerja penyambungan komputer riba di meja kerjanya.

Jam di dinding pejabat tepat pukul 12.30 tengah hari. Leman masih belum siap membuat penyambungan komputer riba. Lambat! Maria mencapai akhbar harian untuk dibaca sementara menunggu Leman.


bersambung...

3 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Azura,
Komputer lama dan 'buruk' selayaknya untuk kita yang 'tiada kerja', kerja kita hanya riuh rendah tapi belum dapat mengatasi riuh rendahnya tingkat 1 (Azura faham kan... hehehe...)

Citra Wangsa said...

Heheheee....apalah malang nasib kita ni kan, En. Rusdi. Minta kabinet buku, kabinet fail yg sampai, minta komputer baru, orang lain yang pakai...(maklumlah...kita ni tak banyak kerja...)

Rusdi Abd Rahman said...

Azura,
Nasib kita masih belum malang..., maaf cakap mungkin agak ekstrem klasifikasi ini... cuma kita dapat 'Mamat Hanyut' yang kita cakap A dibuatnya B!
Itulah sebab 'Mamat' sering kena 'sinis dan sinikal' pabila silap sikit dan kecil sahaja (apatah lagi jika besar) dalam urusan rasmi!
Hahaha....