Pages

Monday, July 27, 2009

Katak Lebih Ceria...

Maria membungkam. Wajahnya sedikit sugul. Peti televisyen 32 inci di hadapannya tidak mampu bersuara dengan lebih jelas. Anak-anak mulai bosan. Mereka telah keluar bermain dengan anak-anak jiran lain sejak sejam yang lalu. Anak kecilnya lena dalam buaian.

"Katak di luar pun, lebih kuat suaranya, bang," Maria mendekati suaminya Hadi sambil meletakkan alat kawalan jauh di hadapan Hadi. Hadi sedang leka dengan kerja-kerja IT yang tidak berpenghujung. Suasana petang minggu itu agak mendung. Sama mendung dengan nubari Maria. Angin sepoi-sepoi bahasa membuai lembut langsir di hujung tangga rumahnya. Tanda-tanda hujan akan turun beberapa minit sahaja lagi.

"Sabarlah. Nanti abang belikan TV baru," Hadi seolah-olah faham dengan kebosanan Maria. Maria mengecilkan anak matanya. Keliru dengan kata-kata suaminya. Hadi, bukan seorang kaki televisyen, mana mungkin dia galak hendak membeli sesuatu yang tidak digemarinya.

"Apa bang? TV baru? Bagus juga. Beli TV plasma ya, bang?" Maria teruja dengan perubahan sikap Hadi.

"Kita beli LCD, mahu?" cadang Hadi sambil tangan kanannya ligat mengawal tetikus komputer.

"Apa??? LCD? Huh...mahunya tak nak?!" hati Maria berbunga. Wajahnya ceria. Sempat memasang angan-angan.

"Beli yang boleh lekat kat dinding ya, bang," ujar Maria selamba. Macam budak-budak. Hadi tersengih lebar membariskan giginya yang putih bersih.

"Jangan kata yang lekat kat dinding...untuk awak, yang lekat kat siling pun boleh!" berderai mereka ketawa. Maria tergelak sakan dengan gurauan suaminya. Tidak padan dengan pendiam, sesekali melawak, boleh tahan juga.

"Lagi best, kan? Awak pun suka tengok TV sambil baring...," tambah Hadi lagi. Bertambah senak perut Maria menahan hilainya.

"Ni dah melampauuuu ni!" Maria memukul lembut Hadi dengan kusyen sofa berbunga ungu. Hadi tidak sempat mengelak, tetapi sempat membalas semula dengan lontaran kusyen yang sama besar. Mereka ketawa ceria. Sudah lama mereka tidak bergurau-gurau seperti itu. Ketiadaan anak-anak di rumah membuka ruang yang luas untuk mereka suami isteri bergurau senda. Nampak sangat mereka sibuk dengan urusan masing-masing.

Suara katak di luar sana, semakin tenggelam dengan hilai tawa mereka...


bersambung...

1 comment:

Halil Ali said...

Untungnya Maria, dapat TV melekat atas ceiling.....

Tentu cerita ini, mempunyai sambungan yang hebat. Saya akan terus menanti...