Pages

Monday, September 29, 2008

Selamat Tinggal Ramadan...

Lagi sehari sahaja umat Islam akan menyambut Syawal. Persiapan menyambut Aidilfitri sudah 99% beres. Cuma perkara-perkara kecil sahaja yang belum selesai. Semalam aku menemani emak last 'kopek' shopping di Plaza Angsana. Mujur kami sampai seawal 10.30 pagi. Parking masih banyak yang kosong. Tapi, apabila selesai membeli belah, keluar sahaja daripada Plaza Angsana, sekitar Angsana dibanjiri kenderaan dan orang awam yang penuh sesak. Sampai aku tak boleh bernafas. Semput! Dalam diam aku terfikir, masih mantap lagi rupa-rupanya ekonomi orang Johor. Masih berkemampuan berbelanja sekalipun diasak dengan kenaikan harga barang! Siapa kata ekonomi meleset? Tak nampak bukti pun. Siapa kata orang Johor hidup dalam kesempitan? Siapa kata orang Melayu miskin? Peniaga di Angsana, boleh mengaut keuntungan RM20,000.00 lebih dalam sehari berniaga! Lepas juga duit sewa bulanan. Jual barang 'cikai-cikai' pun masih boleh hidup senang! Adat berniaga memang ada untung rugi! Tapi, kalau selalu rugi, mana ada orang nak terus menerus berniaga?

Warga Singapura juga 'menyibuk' shopping sakan di Johor. Mungkin kerana faktor pertukaran mata wang. Johor sentiasa membuka peluang kepada warga asing untuk berbelanja. Peniaga di Johor pun senang hati dengan kehadiran warga Singapura yang berbelanja tanpa sempat memikirkan mahal murah sesuatu barang. Kebanjiran warga Singapura di Johor Bahru semakin merancakkan perkembangan ekonomi Johor. Orang Johor saja yang tak sudi nak berbelanja di Singapura!

Dalam kesibukan menyambut Syawal, hati sebenarnya terasa pilu dan hiba. Pertama-tama sekali kerana akan berakhirnya Ramadan yang penuh berkat. Rasa tak puas beribadat dalam bulan Ramadan tahun ini. Hampir setiap kali solat, air mata pasti akan gugur mengenangkan Ramadan yang akan meninggalkan aku...dan seluruh umat Islam. Sayu mengenangkan...mungkinkah Ramadan 1430 akan kutemui? Atau mungkinkah...Ramadan tahun ini menjadi Ramadan terakhir bagiku? Itulah yang paling menyayat hati! Sebak sangat kerana tahun ini aku tak sempat menyempurnakan terawih sepenuhnya. Aku tak sempat khatam Quran seperti tahun-tahun yang lepas. Kepenatan bekerja, melaksanakan tugas di rumah dalam keadaan berbadan dua, sering kali menghalang aku mengerjakan ibadat-ibadat sunat itu secara konsisten. Namun, aku bersyukur kerana masih berupaya bangkit malam untuk kiamulail pada malam-malam tertentu. Itu sahaja yang mampu aku laksanakan. Semoga Allah memudahkan jalanku mengerjakan ibadat pada masa-masa akan datang. Amin...

Tahun ini juga aku tidak berhasrat untuk pulang ke kampung di Rengit. TIDAK! Sekian lama aku tidak berhari raya di kampung. Duka lama masih belum pulih. Luka lama masih basah berdarah. Kesedihan masih bersarang di hati, sekalipun tidak bersulam dendam kesumat. Mak Ngah dan Pak Uda sering mengajak aku pulang ke kampung, tapi hati aku masih berbaki pedih. Maaf...belum terbuka pintu hati untuk menjejakkan kakiku ke sana. Belum tergerak sanubariku untuk meraikan hari raya bersama-sama sanak saudara di kampung. Aku harap mereka faham. Apapun, hubungan kekeluargaan yang terjalin sekian lama akan tetap aku pelihara. Setitis darah yang gugur ke bumi ini pun tidak akan memutuskan silaraturahim kami. Percayalah...

Friday, September 26, 2008

Rumah Baru

Dalam kesibukan menyediakan kelengkapan menyambut hari raya Aidilfitri, aku tak terlepas memikirkan tentang hiasan dalaman rumah baru. Banyak juga wang dilaburkan untuk ubah suai rumah baru, apatah lagi dengan hiasan dalamannya. Pening juga kepala apabila memikirkan konsepnya. Mahu tak pening, mungkin kerana citarasa aku dan suami kadang kala bercanggah. Tapi aku ambil keputusan untuk mendengar katanya. Mana yang elok baginya, eloklah bagi aku.

Ruang di bawah tangga, aku cadangkan untuk meletakkan rak buku dan boleh dijadikan sudut bacaan. Segera suami mengeluh...'buku...buku...buku...Macam tak ada aset lain yang boleh diketengahkan!' Hehehhee...'Ok pee..buku'. Suami kata, di office aku dikelilingi buku, bertugas hari-hari menghadap buku, tak kan rumah pun nak dijadikan gedung buku? Salah memang tak salah...tapi rumah akan nampak 'ilmiah'. Buku juga sebenarnya 'perangkap habuk'. Ahhh...peningnya nak fikir. Eric Leong kalau datang rumah aku, mesti dia pun pening jugak!

Satu perkara lagi, aku ni paling tak suka pada bunga. Baik bunga hidup mahupun bunga mati. Maka, rumah ini juga gagal aku hiasi dengan bunga. Sampaikan corak langsir pun tak berbunga! Tapi...sesekali aku teruja juga bila suami bagi aku bunga...

Bicara Jerayawara

Sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang sepatutnya berlangsung pada setiap September, DBP Wilayah Selatan (Unit Penerbitan) telah diamanahkan untuk melaksanakan satu program berkonsepkan 'Pemimpin Bersama Rakyat'. Oleh sebab sepanjang September umat Islam menyambut Ramadan, maka BBSN 2008 dipinda ke bulan Oktober.

Ingin sekali diuar-uarkan tentang Bicara Jerayawara yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:
Tarikh: 30 Oktober 2008
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Larkin, Johor Bahru.
Tajuk: Jati Diri Bangsa Melayu dalam Arus Globalisasi

Bicara jerayawara ini akan dibicarakan oleh 3 orang ahli panel iaitu:
YB Datuk Haji Ahmad Zahri Jamil, Y.Bhg. Dato' A. Aziz Deraman dan Tuan Haji Ismail Zamzam. Majlis ini akan dipengerusikan oleh Sdr. Abd. Ghapar Abdullah (Editor majalah Dewan Budaya, DBP KL).

Kepada teman-teman yang berminat dan berkelapangan, dijemput hadir mendengar bual bicara ini. Banyak manfaatnya menghadiri majlis ilmu, apatah lagi untuk mendengar exco berbicara tentang topik yang bukan dalam bidangnya (politik).

Thursday, September 25, 2008

Kisah Seorang Teman

Minggu lalu aku dihubungi seorang teman. Kami bercerita panjang lebar tentang dunia penulisan novel. Biarlah aku namakan temanku itu sebagai S. S seorang ibu tunggal. Umurnya muda setahun daripada aku. Aku mengenalinya sejak 3 tahun lalu kerana S sering menghantar karyanya ke mejaku. Aku sangat tertarik dengan tema yang sering dilontarkan dalam setiap cerpen-cerpennya. Tema 'feminisme'. Semasa aku mengenalinya dulu, dia masih lagi seorang isteri kepada seorang lelaki yang berkhidmat sebagai seorang guru. Cerpen-cerpen S biasanya berkisahkan tentang kejayaan kaum wanita, kepincangan hidup rumahtangga, isu wanita global dan kisah-kisah berunsur kekeluargaan.

Aku tidak pernah mendesak S untuk menghasilkan novel walaupun dia berpotensi besar dalam dunia penulisan. Sering kali S mengadu yang dia tiada masa yang banyak untuk menghasilkan sebuah novel, lantaran kesibukan sebagai seorang suri rumah yang rutin hariannya asyik menguruskan suami dan anak-anak. Penulisan cerpen dan puisi sekadar mengisi waktu-waktu lapang sahaja.

Beberapa tahun kemudian, S memaklumkan kepadaku rumahtangganya berantakan lantaran si suami (yang kutahu seorang yang alim dan patuh pada agama) telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis di sekolah yang sama. Setiap kali S mengadu kepadaku, aku tidak dapat memberi respon atau nasihat yang terbaik buatnya. Mungkin kerana aku sendiri tak ada pengalaman seperti mana yang S lalui. Kehidupan rumahtanggaku berjalan secara tipikal (setakat ini). Tapi aku berjaya menjadi pendengar yang terbaik. S sebenarnya seorang yang ceria, suka bergurau, happy go lucky, suka ketawa namun dalam masa yang sama dia dihimpit masalah yang bukan calang-calang masalah.

S dah terlalu banyak berkorban demi sang suami. Sanggup meninggalkan pekerjaan lama untuk berkhidmat sepenuhnya dengan rumahtangga. Sanggup meninggalkan hasrat untuk menyambung pelajaran semata-mata menanggung perbelanjaan pelajaran suami di peringkat tinggi di universiti. Sanggup duduk terperuk di rumah untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil. Aduhai...sayangnya S dengan suami dan anak-anaknya. Tentu S tertekan apabila mengetahui yang suaminya 'curang'. Ah, lelaki... (nak cakap lebih pun tak boleh sebab aku pun ada suami...).

Satu hari, S menghubungiku dan memaklumkan kepadaku yang dia telah ditalakkan! Bukan 1, bukan 2 tapi 3 sekali gus! Ya, Allahhhh!!! Aku pula yang terasa nak pitam! Kejamnya sang suami itu! Beberapa hari kemudian, S kata, suaminya mula gila talak. Pada masa yang sama, masih sibuk dengan kekasihnya itu. S yang tiada pendapatan tetap sudah seperti orang hilang arah. Cerpennya selepas diceraikan 'Masjid yang Roboh' memberi gambaran betapa seksanya bergelar seorang ibu tunggal yang diceraikan kerana suami ingin berkahwin lain. Kebahagiaanya diragut oleh kaum sejenisnya juga. Hanya doa yang mampu aku hulurkan kepadanya agar S terus tabah mengharungi masalahnya.

S akhirnya mendapat pekerjaan di KL. Kini beliau hidup bahagia dengan kerjaya tetapnya dan lebih bahagia apabila anak-anaknya kekal bersama-samanya. Mahkamah Syariah memutuskan bahawa beliau layak mendapat nafkhah edah, nafkhah mutaah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak, nafkhah anak sehingga anak-anak boleh berdikari sendiri dan hak-hak lain. Pada masa yang sama, S semakin rancak menulis. Dan terbaharu, beliau hadir di pejabatku membawa senaskhah novel untuk direalisasikan. S...tabahnya engkau mengharungi kehidupan ini dengan semangat dan keyakinan diri yang tinggi.

Kini, genap setahun S menjadi ibu tunggal. S kini mampu menghulurkan wang ringgit untuk ibu bapanya sempena hari raya ini. Sesuatu yang tak mampu dilakukan semasa bergelar isteri. S mampu menguruskan anak-anaknya dengan baik. Pelajaran mereka juga memberangsangkan. Yang sulung masih bersekolah rendah, tapi telah fasih membaca dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Yang paling menggembirakan aku, S dah mampu membuktikan bahawa dia kini semakin bersemangat menulis apatah lagi setelah berjaya menghasilkan sebuah novel. Sesuatu yang tak mampu dilakukannya semasa bergelar isteri. Perceraian yang berlaku ada hikmahnya. Sekalipun bekas suami S sering berdolak-dalih dengan nafkhah anak-anak, S tetap berjuang mendapatkannya. Kata S, kalau tidak dituntut di dunia, di akhirat kelak pasti dia akan menuntut juga haknya.

Semoga kisah S ini menjadi teladan kepada insan lain terutamanya kaum wanita. Jangan cepat mengalah dan jangan sesekali 'lembik' dengan urusan seharian. Secara peribadi pun, aku tak suka dengan wanita yang lemah longlai dan 'slow'.

Monday, September 22, 2008

Buku: Medium Informasi dan Kepengarangan yang Jitu

Penerbitan buku merupakan suatu industri yang menggabungkan elemen seni dan sains. Penulis buku 'The Art and Science in Publishing', Herbert S. Bailey menegaskan bahawa kedua-dua elemen tersebut perlu seimbang. Seni berkait rapat dengan editor, pereka bentuk, penerbit dan penjual buku. Sains pula berhubung rapat dengan persoalan teknikal dalam setiap tugas itu.

Di Malaysia, kerja mengarang belum menjadi profesion, sehinggakan profesionalisme dalam kepengarangan sentiasa berada pada tahap yang rendah. Namun, kita bernasib baik kerana masih berupaya menjadi pengguna terhadap penerbitan negara-negara maju. Pada masa yang sama, banyak usaha dilakukan untuk membantu perusahaan penerbitan supaya bergerak seiring dengan industri lain. Organisasi penerbitan buku seperti DBP sentiasa memberi peluang kepada individu yang berbakat dan berminat dalam bidang penulisan untuk menonjolkan bakat masing-masing, tidak kira dalam apa jua genre karya.

Seorang sarjana barat, Marshall McLuhan pernah meramalkan bahawa buku akan mati pada suatu hari kelak, lantar munculnya medium informasi lain sebagai medium penghantaran maklumat seperti internet. Ramalan McLuhan itu, sehingga kini masih belum menampakkan sebarang tanda akan kebenarannya. Buku masih bernyawa sehingga kini, malahan menjadi semakin penting. Sedangkan McLuhan sendiri sudah lama mati!

Kejayaan J.K. Rowling


Penulis terkenal, J.K. Rowling baru-baru ini menerima anugerah tertinggi, Edinburgh Award kerana menjadikan bandar Edinburgh sebagai tempat beliau menulis novel kisah budak sihir. Kisah Harry Potter kini dijual lebih 400 juta naskhah di seluruh dunia. Sangat menakjubkan. Rowling 43 tahun, juga telah menaikan nama ibu kota Scotland itu di mata dunia kerana mengambil keputusan untuk menetap di situ, 15 tahun dahulu. Novel beliau telah diterjemah dalam 67 bahasa termasuk bahasa Melayu.

Penulis Baru - Halil Ali



Seorang penulis yang agak berumur, telah datang ke pejabatku tanpa diundang, tanpa temu janji dan tanpa surat rasmi, dua tahun yang lalu. Beliau hadir membawa sebuah naskhah genre novel untuk diterbitkan. Daripada maklumat yang terisi dalam Borang Biodata Penulis, beliau dikesan merupakan seorang penulis yang tidak berpengalaman (tak pernah menulis, tak pernah menghasilkan sebarang karya besar, tak pernah tahu sepak terajang dalam dunia penulisan). Menurut beliau, naskhah yang dibawanya itu merupakan novel kisah benar hidupnya dan keluarganya dalam era 50-an. Cerita tentang semangat patriotisme orang Melayu dalam menentang penjajahan British dan Jepun.

Halil Ali, bukan nama gah dalam dunia penulisan di Johor. Beliau sendiri agak tidak yakin dengan kebolehan dan keupayaan diri sendiri dalam menghasilkan novel, apatah lagi dengan usianya yang telah mencecah angka 40-an. Aku tersenyum mendengar keluhannya. Aku nyatakan kepadanya tentang Frances Trollope yang menghasilkan karya pertamanya ketika berusia 50 tahun. Permulaan yang sangat lewat...tapi tidak pada semangatnya. Ya, kini Halil Ali bakal sebaris dengan penulis-penulis ternama yang lain, atau sekurang-kurangnya mendapat perhatian daripada karyawan DBPWS sendiri. Novel sulung beliau akan terbit hanya beberapa bulan sahaja lagi. Mungkin beliau tak sabar menanti Berlabuh di Hujung Senja berada di pasaran buku Malaysia.

Beberapa hari lepas, beliau menghubungi aku dan menyatakan hasratnya untuk menjadi penulis sepenuh masa. Ah! Seorang yang berpangkat, berjawatan pengurus, bergaji tinggi, berpendidikan luar negara... berhasrat menjadi penulis sepenuh masa? Aku tercengang seketika. Halil Ali belum setaraf dengan Pak Samad, belum mencapai kejayaan seperti Faisal Tehrani, belum sepopular Nisah Haron, atau sekurang-kurangnya belum mempunyai pemikiran seperti Rahimah Muda! Sanggupkah beliau meninggalkan kesenangan dan segala kemudahan di depan mata demi menjadi seorang penulis? Namun, aku sangat positif dengan hasratnya itu. Aku teringat akan Stephen King. Sejarah telah membuktikan bahawa Stephen King telah mengambil keputusan berhenti kerja sebagai seorang guru, bagi menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap bidang penulisan. Keputusan tersebut akhirnya membawa kepada kepopularannya sehingga ke hari ini, selain keuntungan demi keuntungan yang diraih hasil karya-karyanya. Jika Halil Ali seorang yang berkeyakinan tinggi dan seorang yang fokus dengan apa jua yang dilaksanakannya, tidak mustahil beliau akan berjaya.

Wednesday, September 10, 2008

Ramadan

Dah lama rasanya tak menulis di blog sendiri. Sekalipun berpuasa, kerja-kerja di pejabat terlalu banyak untuk diuruskan. Sepanjang Ramadan ini, tiada program luar pejabat yang perlu aku tangani. Semua kerja tertumpu di meja, depan PC dan berdepan dengan fail dan laporan. Kesempatan ini juga aku ambil untuk merangka kerja/tugasan bagi tahun 2009. Banyak buku yang perlu ditangani dan banyak bengkel luar yang perlu dirancang.

Ramadan tahun ini, agak berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. Allah memberi dua pilihan kepadaku untuk meneruskan puasa sehingga sebulan ATAU tidak meneruskan puasa selama sebulan. Aaaahhh...alangkah bertuahnya badan menjadi seorang wanita, ibu dan isteri. Bahagianya berganda-ganda. Harap-harap pahala yang diperoleh juga berganda-ganda. Aku sememangnya berazam meneruskan puasa Ramadan ini sehingga ke hari terakhir. Insya-Allah.

Anak-anak aku juga telah menunjukkan prestasi puasa yang sangat memberangsangkan. Mereka sanggup bangun sahur untuk sama-sama mengalas perut untuk berpuasa. Mereka diajar niat berpuasa dan niat berbuka puasa. Hari ke-8 Ramadan, mereka telah pun lancar menghafalnya. Seingat aku, semasa aku kecil, aku juga diasuh berpuasa seawal usia tujuh tahun. Tapi yang menggelikan hati aku, bila dah dekat nak berbuka puasa, pasti Zafri sibuk bertanya..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak lama kemudian, dia akan tanya lagi..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak sampai 15 minit, dia akan tanya lagi soalan yang sama, sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 7.00 malam - Soalan terakhirnya..."Lagi berapa minit, ibu?". Aduhaaaiii...anak...Nak dimarah, tak sampai hati. Nak dilayan aku juga yang letih menghitung waktu!

Untuk memberikan mereka motivasi bagi meneruskan puasa seterusnya, segala permintaan mereka sepanjang bulan Ramadan ini akan aku tunaikan. Nak kuih lapis, aku belikan. Nak air mata kucing, aku carikan. Nak biskut tu, nak roti ni, nak tu nak ni...Haa...pendek kata, memang tak sampai hati nak menghampakan permintaan anak-anak kecil yang berpuasa ini. Mungkin sebab, masa aku kecil dulu ayah tak pernah menghampakan permintaan aku. Apa sahaja kehendakku akan ayah tunaikan. Sikap tersebut, rupa-rupanya berjangkit pada aku. Kadang-kadang suami aku 'bising' juga sebab duit banyak dihabiskan untuk melayan kehendak anak-anak. Tapi nak buat macam mana? Hati seorang ibu, memang sentiasa mahukan anak-anaknya gembira. Zafri, terutamanya...Kalau merajuk...ya, Allah....runtuh hati dan jantung aku tengok wajahnya (dia memang pandai buat muka kesiannnnnnn!!!!!!).