Pages

Thursday, September 25, 2008

Kisah Seorang Teman

Minggu lalu aku dihubungi seorang teman. Kami bercerita panjang lebar tentang dunia penulisan novel. Biarlah aku namakan temanku itu sebagai S. S seorang ibu tunggal. Umurnya muda setahun daripada aku. Aku mengenalinya sejak 3 tahun lalu kerana S sering menghantar karyanya ke mejaku. Aku sangat tertarik dengan tema yang sering dilontarkan dalam setiap cerpen-cerpennya. Tema 'feminisme'. Semasa aku mengenalinya dulu, dia masih lagi seorang isteri kepada seorang lelaki yang berkhidmat sebagai seorang guru. Cerpen-cerpen S biasanya berkisahkan tentang kejayaan kaum wanita, kepincangan hidup rumahtangga, isu wanita global dan kisah-kisah berunsur kekeluargaan.

Aku tidak pernah mendesak S untuk menghasilkan novel walaupun dia berpotensi besar dalam dunia penulisan. Sering kali S mengadu yang dia tiada masa yang banyak untuk menghasilkan sebuah novel, lantaran kesibukan sebagai seorang suri rumah yang rutin hariannya asyik menguruskan suami dan anak-anak. Penulisan cerpen dan puisi sekadar mengisi waktu-waktu lapang sahaja.

Beberapa tahun kemudian, S memaklumkan kepadaku rumahtangganya berantakan lantaran si suami (yang kutahu seorang yang alim dan patuh pada agama) telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis di sekolah yang sama. Setiap kali S mengadu kepadaku, aku tidak dapat memberi respon atau nasihat yang terbaik buatnya. Mungkin kerana aku sendiri tak ada pengalaman seperti mana yang S lalui. Kehidupan rumahtanggaku berjalan secara tipikal (setakat ini). Tapi aku berjaya menjadi pendengar yang terbaik. S sebenarnya seorang yang ceria, suka bergurau, happy go lucky, suka ketawa namun dalam masa yang sama dia dihimpit masalah yang bukan calang-calang masalah.

S dah terlalu banyak berkorban demi sang suami. Sanggup meninggalkan pekerjaan lama untuk berkhidmat sepenuhnya dengan rumahtangga. Sanggup meninggalkan hasrat untuk menyambung pelajaran semata-mata menanggung perbelanjaan pelajaran suami di peringkat tinggi di universiti. Sanggup duduk terperuk di rumah untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil. Aduhai...sayangnya S dengan suami dan anak-anaknya. Tentu S tertekan apabila mengetahui yang suaminya 'curang'. Ah, lelaki... (nak cakap lebih pun tak boleh sebab aku pun ada suami...).

Satu hari, S menghubungiku dan memaklumkan kepadaku yang dia telah ditalakkan! Bukan 1, bukan 2 tapi 3 sekali gus! Ya, Allahhhh!!! Aku pula yang terasa nak pitam! Kejamnya sang suami itu! Beberapa hari kemudian, S kata, suaminya mula gila talak. Pada masa yang sama, masih sibuk dengan kekasihnya itu. S yang tiada pendapatan tetap sudah seperti orang hilang arah. Cerpennya selepas diceraikan 'Masjid yang Roboh' memberi gambaran betapa seksanya bergelar seorang ibu tunggal yang diceraikan kerana suami ingin berkahwin lain. Kebahagiaanya diragut oleh kaum sejenisnya juga. Hanya doa yang mampu aku hulurkan kepadanya agar S terus tabah mengharungi masalahnya.

S akhirnya mendapat pekerjaan di KL. Kini beliau hidup bahagia dengan kerjaya tetapnya dan lebih bahagia apabila anak-anaknya kekal bersama-samanya. Mahkamah Syariah memutuskan bahawa beliau layak mendapat nafkhah edah, nafkhah mutaah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak, nafkhah anak sehingga anak-anak boleh berdikari sendiri dan hak-hak lain. Pada masa yang sama, S semakin rancak menulis. Dan terbaharu, beliau hadir di pejabatku membawa senaskhah novel untuk direalisasikan. S...tabahnya engkau mengharungi kehidupan ini dengan semangat dan keyakinan diri yang tinggi.

Kini, genap setahun S menjadi ibu tunggal. S kini mampu menghulurkan wang ringgit untuk ibu bapanya sempena hari raya ini. Sesuatu yang tak mampu dilakukan semasa bergelar isteri. S mampu menguruskan anak-anaknya dengan baik. Pelajaran mereka juga memberangsangkan. Yang sulung masih bersekolah rendah, tapi telah fasih membaca dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Yang paling menggembirakan aku, S dah mampu membuktikan bahawa dia kini semakin bersemangat menulis apatah lagi setelah berjaya menghasilkan sebuah novel. Sesuatu yang tak mampu dilakukannya semasa bergelar isteri. Perceraian yang berlaku ada hikmahnya. Sekalipun bekas suami S sering berdolak-dalih dengan nafkhah anak-anak, S tetap berjuang mendapatkannya. Kata S, kalau tidak dituntut di dunia, di akhirat kelak pasti dia akan menuntut juga haknya.

Semoga kisah S ini menjadi teladan kepada insan lain terutamanya kaum wanita. Jangan cepat mengalah dan jangan sesekali 'lembik' dengan urusan seharian. Secara peribadi pun, aku tak suka dengan wanita yang lemah longlai dan 'slow'.

No comments: