Dah lama rasanya tak menulis di blog sendiri. Sekalipun berpuasa, kerja-kerja di pejabat terlalu banyak untuk diuruskan. Sepanjang Ramadan ini, tiada program luar pejabat yang perlu aku tangani. Semua kerja tertumpu di meja, depan PC dan berdepan dengan fail dan laporan. Kesempatan ini juga aku ambil untuk merangka kerja/tugasan bagi tahun 2009. Banyak buku yang perlu ditangani dan banyak bengkel luar yang perlu dirancang.
Ramadan tahun ini, agak berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. Allah memberi dua pilihan kepadaku untuk meneruskan puasa sehingga sebulan ATAU tidak meneruskan puasa selama sebulan. Aaaahhh...alangkah bertuahnya badan menjadi seorang wanita, ibu dan isteri. Bahagianya berganda-ganda. Harap-harap pahala yang diperoleh juga berganda-ganda. Aku sememangnya berazam meneruskan puasa Ramadan ini sehingga ke hari terakhir. Insya-Allah.
Anak-anak aku juga telah menunjukkan prestasi puasa yang sangat memberangsangkan. Mereka sanggup bangun sahur untuk sama-sama mengalas perut untuk berpuasa. Mereka diajar niat berpuasa dan niat berbuka puasa. Hari ke-8 Ramadan, mereka telah pun lancar menghafalnya. Seingat aku, semasa aku kecil, aku juga diasuh berpuasa seawal usia tujuh tahun. Tapi yang menggelikan hati aku, bila dah dekat nak berbuka puasa, pasti Zafri sibuk bertanya..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak lama kemudian, dia akan tanya lagi..."Lagi berapa jam, ibu?" Tak sampai 15 minit, dia akan tanya lagi soalan yang sama, sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 7.00 malam - Soalan terakhirnya..."Lagi berapa minit, ibu?". Aduhaaaiii...anak...Nak dimarah, tak sampai hati. Nak dilayan aku juga yang letih menghitung waktu!
Untuk memberikan mereka motivasi bagi meneruskan puasa seterusnya, segala permintaan mereka sepanjang bulan Ramadan ini akan aku tunaikan. Nak kuih lapis, aku belikan. Nak air mata kucing, aku carikan. Nak biskut tu, nak roti ni, nak tu nak ni...Haa...pendek kata, memang tak sampai hati nak menghampakan permintaan anak-anak kecil yang berpuasa ini. Mungkin sebab, masa aku kecil dulu ayah tak pernah menghampakan permintaan aku. Apa sahaja kehendakku akan ayah tunaikan. Sikap tersebut, rupa-rupanya berjangkit pada aku. Kadang-kadang suami aku 'bising' juga sebab duit banyak dihabiskan untuk melayan kehendak anak-anak. Tapi nak buat macam mana? Hati seorang ibu, memang sentiasa mahukan anak-anaknya gembira. Zafri, terutamanya...Kalau merajuk...ya, Allah....runtuh hati dan jantung aku tengok wajahnya (dia memang pandai buat muka kesiannnnnnn!!!!!!).
No comments:
Post a Comment