Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) juga tidak ketinggalan menyelitkan sebuah teater hebat yang mengetengahkan tentang kesenian tarian reyok atau lebih dikenali sebagai kuda kepang. Teater tersebut bertajuk 'Roh Semberani'. Menelusuri sejarah awal reyok di Tanah Jawa yang mengisahkan tentang Bujang Ganong dan Joko Kelono yang merantau dari Negeri Kediri dan Ponorogo untuk menuntut ilmu persilatan. Daripada kegagahan dan kesaktian dua orang putera raja yang menyamar sebagai rakyat biasa inilah dikatakan bermulanya permainan kuda kepang. Perlakuan kuda kepang ditiru daripada aksi Bujang Ganong, putera Raja Ponorogo dari Jawa Timur yang mengalahkan Singo Barongan. Singo Barongan merupakan haiwan ganas yang mendiami hutan Roban di pinggir Negeri Kediri yang banyak membaham rakyat jelata negeri itu.
Malaysia sangat bertuah kerana memiliki pelbagai khazanah seni dan budaya. Antara yang unik tentang Malaysia ialah keindahan, kelembutan dan warna-warni seni tarinya. Tarian kuda kepang, barongan dan zapin begitu sinonim dengan Hujung Tanah, walaupun asal-usul tarian tersebut bukanlah dari negeri Johor. Disebabkan penghijrahan masyarakat Jawa dan Arah ke sini, lama-kelamaan tarian tersebut semakin dekat dengan jiwa masyarakat setempat.
Sekalipun DBPWS cuba mengangkat budaya mencintai seni dan budaya, masih ada segelintir masyarakat setempat yang enggan memberi sokongan apatah lagi memperjuangkan seni ini. Generasi muda tidak melihat perkara ini sebagai satu warisan yang harus dipelihara daripada terus pudar ditelan zaman. Sekalipun arus teknologi moden semakin menguasai jiwa mereka, tidak sepatutnya legasi nenek moyang ini dilupakan. Inilah yang dilakukan oleh DBPWS dalam usaha memelihara sekali gus memartabatkan seni budaya Melayu.
Jika Nikaragua terkenal dengan tarian baile folklovico, Brazil dengan tarian samba, Turki pula dengan tarian cakalele, dan China dengan tarian singa, bangsa Melayu juga harus berani mempertahankan seni budayanya yang unik dan tersendiri. Seni budaya ini harus dipertahankan oleh bangsanya sendiri. Tiada bangsa lain yang akan mengambil inisiatif memperteguh kesenian bangsa lain.
No comments:
Post a Comment