Pages

Wednesday, November 14, 2012

Salam 1434

Seluruh umat Muhammad menyambut 1 Muharam 1434 hijrah pada tanggal 14 November 2012 masihi. Saya menyambutnya dengan penuh kesyukuran bersama-sama suami dan anak-anak. Berjemaah membaca doa awal dan akhir tahun, sangat mengujakan kerana kami jarang-jarang dapat berkumpul.

Suami mengambil cuti bagi memperuntukkan masanya bersama-sama saya. Sungguh terharu. Kebanyakan waktu lain kami sibuk dengan urusan duniawi masing-masing. Saya hampir-hampir terlupa tentang amalan sunat tersebut. Mujur ketua keluarga yang satu ini mengingatkan.

Saat saya terlupa hal tersebut, saya terasa betapa teruknya saya. Walhal perkara itu berulang-ulang kali saya tatap dalam wall kawan-kawan di FaceBook. Teruknya saya. Bukan lupa tapi tak ingat...

Saya tidak meletakkan harapan setinggi gunung bagi menempuh tahun baharu. Namun saya tetap meletakkan harapan dan target tertentu dalam hidup. Menjadi yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan sama ada sebagai hamba-Nya mahupun sebagai manusia biasa yang sering berkeliaran di muka bumi ini mencari rezeki yang halal. Saya sentiasa memohon agar Tuhan melindungi kami sekeluarga daripada sebarang musibah yang tak mampu kami pikul. Biarlah rahmat dan reda Allah sentiasa dalam lingkungan kami sekeluarga.

Tak perlulah saya catatkan secara terperinci tentang azam diri saya. Cukuplah hanya diri sendiri dan Tuhan yang mengetahuinya, kerana semua perancangan manusia tetap atas kekuasaan dan ketentuan Allah yang menjadi perancang terbaik. Saya bersyukur berada dalam keadaan sekarang, menjadi diri sendiri seperti hari ini.

Monday, November 12, 2012

Dari Mata Turun ke Hati

Pada 5 November 2012, saya mengalami satu lagi kejutan kesihatan yang di luar jangkaan saya. Pada awalnya saya sangkakan hanya sakit mata biasa, tetapi setelah tiga hari sakit mata tersebut semakin melarat. Mata saya semakin bengkak, kelopak mata hampir-hampir tertutup, air mata sentiasa mengalir dan yang paling sakit apabila terdapat sebiji ketumbuhan di hujung mata putih.

Doktor mengesahkan bahawa biji tersebut merupakan cyst yang tumbuh sejak sekian lama. Ia membesar secara senyap dan mengganggu penglihatan saya. Saya merujuk penyakit tersebut kepada pakar mata dan pada 7 November 2012, doktor telah membuat sedikit pembedahan kecil yang memakan masa lebih kurang dua jam setengah bagi membuang cyst tersebut. Sakit dan pedihnya tidak terkata. Saya melaluinya sendirian. Ketika saya melalui saat cemas itu, suami saya berada di luar kawasan, emak pula menemani adindanya ke Kelantan, adik-beradik sibuk dengan urusan masing-masing. Sekadar bertanya khabar dari jauh sahaja. Syukurlah keluarga mentua amat prihatin dengan keadaan saya. Saya diberi cuti sakit selama 8 hari dan saya dinasihatkan mengurangkan kegiatan luar. Memang perit mata memandang cahaya.

Oleh sebab mahu segera sembuh, saya tidak pernah terlupa mengambil ubat mengikut jadual dan sukatan yang ditetapkan. Dan, syukurlah segala-galanya semakin bertambah pulih.

Segala penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Penyakit yang Tuhan kurniakan itu sememangnya menghapus dosa yang sarat, mendekatkan diri kepada Pencipta dan meningkatkan kesabaran. Aset penting bagi seorang editor ialah mata, maka hargailah mata kerana dari mata turun ke hati.

Sudah Ketentuan Tuhan

Kisah ini sudah berlaku semasa umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan terbesar pada Syawal 1413 lalu. Namun sehingga kini masih memberi kesan. 

Saya disahkan hamil anak kelima sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri. Perkhabaran itu saya sambut dengan kesyukuran walaupun agak terkejut (sendiri terkejut!). Inilah yang dinamakan rezeki. Saya beritakan hal tersebut tentukan kepada suami tercinta. Suami amat teruja dengan harapan cahaya mata kali kelima ini biarlah seorang putera bagi menemani putera sulung. Kegembiraan tersebut juga dikongsikan bersama-sama dengan adik-beradik, keluarga mentua dan emak. Mereka yang lebih teruja berbanding saya sendiri. 

Sebenarnya, dalam diam saya belum bersedia menerima kehadiran cahaya mata baharu, maklumlah Raja Zahra baru mencecah usia setahun setengah. Masih menyusu badan dan masih ingin bermanja-manja di bawah ketiak ibunya.Namun, suara hati ini saya bisikan hanya kepada Tuhan yang maha Pencipta. Saya pasti rintihan saya yang tidak bersedia ketika itu didengari-Nya. Sehinggalah, pada malam hari raya itu berlaku pendarahan yang agak mengejutkan. Saat saudara-mara berkumpul memeriahkan malam hari raya (ketika itu di rumah mentua), saya menahan kesakitan yang teramat. Lebih memilukan apabila saya merasakan betapa Allah itu amat hampir dengan saya, mendengar suara hati saya, mendengar isi hati saya, mendengar rayuan saya. Oh, Tuhan! Air mata saya gugur jua walaupun ditahan-tahan.

Saya dan suami tidak terus ke hospital memandangkan keesokannya kami ingin berhari raya, meraikan lebaran, hari kebesaran sementelaah saya sudah pun berpuasa penuh sebulan! Suami pula masih mengharapkan pendarahan tersebut perkara biasa kerana memang terdapat kes pendarahan semasa awal kehamilan namun embrio masih bernyawa dan terus hidup di dalam rahim. Pada hari raya kelima barulah saya menyerah diri ke Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru setelah berasa tidak selesa dan sakit. 

Setelah melalui proses imbasan, doktor mendapati yang rahim saya telah pun kosong. Terdapat serpihan darah di dinding rahim dan doktor menasihati saya supaya membuat DNC agar tidak berlaku jangkitan kuman. Saya lalui saat getir itu bersama suami yang setia menemani, memberi ketenangan dan semangat. Doktor Kevin yang merawat saya juga memberi motivasi kepada saya yang bukan sedikit nilainya. Katanya, sebagai manusia yang percaya akan Tuhannya, kita mesti reda dengan ketentuan takdir. Mungkin yang gugur itu bayi yang tidak sihat, yang tidak layak saya terima kehadirannya. Walaupun Dr. Kevin beragama kristian, beliau tetap percaya akan kadak dan kadar.

Saya berpantang selama 2 minggu seperti mana orang bersalin. Syukur saya masih punya emak yang sudi menemani hari-hari murung saya. Syukur saya punya suami yang prihatin dengan kesihatan saya.

Ya, Allah! Jika kandungan yang Kau anugerahkan kepadaku ini bakal menjadi benih yang tumbuh subur menjadi legasi beriman dan sempurna, Kau kekalkanlah dia di dalam rahim yang penuh kasih sayang ini. Jika kandungan ini Kau ciptakan untuk menguji kesabaranku, melenyapkan kegembiraanku dan seluruh ahli keluargaku serta menjauhkan aku daripada rahmat-Mu yang berpanjangan....Kau lepaskanlah dia daripada meresap keseluruh urat nadiku. Amin, ya Allah....