Pages

Monday, September 29, 2008

Selamat Tinggal Ramadan...

Lagi sehari sahaja umat Islam akan menyambut Syawal. Persiapan menyambut Aidilfitri sudah 99% beres. Cuma perkara-perkara kecil sahaja yang belum selesai. Semalam aku menemani emak last 'kopek' shopping di Plaza Angsana. Mujur kami sampai seawal 10.30 pagi. Parking masih banyak yang kosong. Tapi, apabila selesai membeli belah, keluar sahaja daripada Plaza Angsana, sekitar Angsana dibanjiri kenderaan dan orang awam yang penuh sesak. Sampai aku tak boleh bernafas. Semput! Dalam diam aku terfikir, masih mantap lagi rupa-rupanya ekonomi orang Johor. Masih berkemampuan berbelanja sekalipun diasak dengan kenaikan harga barang! Siapa kata ekonomi meleset? Tak nampak bukti pun. Siapa kata orang Johor hidup dalam kesempitan? Siapa kata orang Melayu miskin? Peniaga di Angsana, boleh mengaut keuntungan RM20,000.00 lebih dalam sehari berniaga! Lepas juga duit sewa bulanan. Jual barang 'cikai-cikai' pun masih boleh hidup senang! Adat berniaga memang ada untung rugi! Tapi, kalau selalu rugi, mana ada orang nak terus menerus berniaga?

Warga Singapura juga 'menyibuk' shopping sakan di Johor. Mungkin kerana faktor pertukaran mata wang. Johor sentiasa membuka peluang kepada warga asing untuk berbelanja. Peniaga di Johor pun senang hati dengan kehadiran warga Singapura yang berbelanja tanpa sempat memikirkan mahal murah sesuatu barang. Kebanjiran warga Singapura di Johor Bahru semakin merancakkan perkembangan ekonomi Johor. Orang Johor saja yang tak sudi nak berbelanja di Singapura!

Dalam kesibukan menyambut Syawal, hati sebenarnya terasa pilu dan hiba. Pertama-tama sekali kerana akan berakhirnya Ramadan yang penuh berkat. Rasa tak puas beribadat dalam bulan Ramadan tahun ini. Hampir setiap kali solat, air mata pasti akan gugur mengenangkan Ramadan yang akan meninggalkan aku...dan seluruh umat Islam. Sayu mengenangkan...mungkinkah Ramadan 1430 akan kutemui? Atau mungkinkah...Ramadan tahun ini menjadi Ramadan terakhir bagiku? Itulah yang paling menyayat hati! Sebak sangat kerana tahun ini aku tak sempat menyempurnakan terawih sepenuhnya. Aku tak sempat khatam Quran seperti tahun-tahun yang lepas. Kepenatan bekerja, melaksanakan tugas di rumah dalam keadaan berbadan dua, sering kali menghalang aku mengerjakan ibadat-ibadat sunat itu secara konsisten. Namun, aku bersyukur kerana masih berupaya bangkit malam untuk kiamulail pada malam-malam tertentu. Itu sahaja yang mampu aku laksanakan. Semoga Allah memudahkan jalanku mengerjakan ibadat pada masa-masa akan datang. Amin...

Tahun ini juga aku tidak berhasrat untuk pulang ke kampung di Rengit. TIDAK! Sekian lama aku tidak berhari raya di kampung. Duka lama masih belum pulih. Luka lama masih basah berdarah. Kesedihan masih bersarang di hati, sekalipun tidak bersulam dendam kesumat. Mak Ngah dan Pak Uda sering mengajak aku pulang ke kampung, tapi hati aku masih berbaki pedih. Maaf...belum terbuka pintu hati untuk menjejakkan kakiku ke sana. Belum tergerak sanubariku untuk meraikan hari raya bersama-sama sanak saudara di kampung. Aku harap mereka faham. Apapun, hubungan kekeluargaan yang terjalin sekian lama akan tetap aku pelihara. Setitis darah yang gugur ke bumi ini pun tidak akan memutuskan silaraturahim kami. Percayalah...

No comments: