Maria sengaja mengambil cuti sehari untuk menyelesaikan beberapa perkara. Sekalipun bercuti, dia tetap bangun seawal 5.30 pagi untuk menyiapkan sarapan dan hal-hal persekolahan anak-anaknya.
Maria singgah di pejabat untuk mengambil manuskrip yang tertinggal. Sekalipun bercuti, kerja hakiki perlu diberi perhatian juga. Pada masa-masa terluang, dia akan duduk menghadap manuskrip tersebut. Sempat juga dia menyemak kotak e-melnya. Lima e-mel yang terbaharu semuanya tentang urusan rasmi, kiriman daripada Jabatan Penerbitan di ibu pejabat. Ada yang sempat dibalas, ada juga yang dibiarkan untuk tindakannya kemudian.
Selesai tugas menjawab e-mel, dia bergegas keluar daripada bangunan tiga tingkat itu untuk menuju ke UiTM, yang hanya mengambil masa 10-15 minit untuk sampai.
"Saya ada appoitment dengan Prof. Zainal," Maria menerangkan tujuan kedatangannya kepada salah seorang staf di tingkat bawah bangunan akademik tersebut.
"Puan Maria kah?" tanya gadis bertudung hijau muda itu dengan sopan. Maria angguk dan senyum. "Prof. sedang menunggu puan di dalam biliknya. Sila ke bilik 343, di hujung sana," gadis itu mengarahkan Maria untuk masuk. Setelah mengucapkan terima kasih, Maria bingkas maju dengan beg sandangnya.
"Mariaaaa!!!" Prof. Zainal nampak begitu gembira dengan kehadiran Maria. "Masuk...duduk...Saya tunggu awak sejak 7.00 pagi!"
"Aik??? Awat pagi sangatttt??? Saya dah habaq, saya mai sini pukui 9.00," sengaja Maria menggunakan loghat dan lenggok utara, agar mereka lebih mesra. Dia tahu Prof. Zainal anak kelahiran Pulau Mutiara.
"Hal-hal penting macam ni, mana boleh tunggu lamaaaaa...,"
"Apa yang penting sangat Prof.?" Maria bertanya sambil mengambil tempat duduk di hadapan Prof. Zainal. Sejak empat hari lepas Prof. Zainal berhajat berjumpa dengannya untuk berbincang hal penting itu. Cuma Maria sahaja yang tidak berkesempatan.
Prof. Zainal mengeluarkan sebeban manuskrip yang baru dicetak, bersaiz A4 daripada almari kayu di belakangnya. Almari tersebut sesak dengan pelbagai buku. Di satu sudut lain, beberapa rak kayu sendat dengan susunan fail. Serabut! Di lantai pula, bersepah tugasan pelajar-pelajarnya. Bilik sederhana besar itu, jika tiada pendingin hawa mungkin tidak bernafas manusia di dalamnya. Maria menarik nafas.
"Maria, manuskrip ini saya berhajat nak terbitkan menjadi buku," Prof. Zainal mencipta ayat demi ayat. Maria tekun mendengar.
"Ini tesis saya, ketika saya buat Ph.D di UK dulu,"
"Judul dan teksnya saya sudah terjemahkan ke bahasa Melayu. Masalahnya, belum convert ke bentuk manuskrip. Saya mohon jasa baik Maria, untuk bantu saya." Maria tergamam. Dibeleknya ala kadar tesis yang dimaksudkan itu. Tebalnya 895 halaman, tidak termasuk lampiran. Maria menelan air liur. Diam sejenak. Mindanya ligat berfikir.
"Prof., adakah tesis ini hendak diterbitkan oleh DBP?" tanya Maria, telus. Prof. Zainal angguk. Senyum lebar.
"Saya tak boleh terima. Ini bukan kerja saya. Biasanya saya terima yang sudah convert. Kerja convert tesis sepatutnya Prof. yang buat," Maria meletakkan semula tesis yang dibelek-belek tadi.
"Saya tahu, tapi saya tak ada masa...," kedua-duanya diam sejenak. Berfikir.
"Maaflah Prof. Saya tak sanggup...,"
"Maria...awak saja yang boleh bantu saya. Saya boleh saja suruh orang lain buat, tapi saya tak percaya sejauh mana mereka boleh melakukannya dengan kaedah yang betul, seperti mana yang awak buat," Prof. Zainal cuba memancing. Maria masih membisu.
"Kalau saya buat, saya tak boleh janji bila akan siap. Saya terpaksa lakukan kerja-kerja convert, di luar waktu pejabat. Luar waktu pejabat, masanya agak terbatas. Kalau tebal macam ni, enam bulan pun belum tentu siap."
"Ok, saya serahkan soft copy kepada awak. Awak ambillah berapa lama masa pun. Saya tak kisah, asalkan awak sanggup bantu saya," Prof. Zainal menyerahkan sekeping CD kepada Maria. Masih mengharapkan Maria menerima bahan tersebut.
"Please...Maria. Saya hanya percayakan awak untuk bantu saya," Maria masih diam. Memikirkan sama ada untuk menerimanya atau tidak.
"Saya tak janji boleh menyiapkannya dalam tempoh yang singkat," Maria berterus-terang.
"Tak mengapa. Ambillah seberapa lama masa yang awak perlukan. Janji, tesis ini dikembalikan kepada saya dalam bentuk manuskrip."
"Baiklah, kalau begitu perjanjiannya. Insya-Allah." Prof. Zainal nampak ceria kerana hajatnya untuk menyerahkan tesis tersebut kepada Maria sudah tercapai. Maria menyimpan salinan lembut tesis tersebut di dalam beg galasnya, sambil mencatat sesuatu pada buku catatan kerjanya. Tesis asal juga diserahkan sebagai bahan semakan. Maria senyum seadanya. Seberat-berat tesis itu, berat lagi tanggungjawabnya. Namun dek kepercayaan yang diberi, digalasnya dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
Prof. Zainal berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kesudiaan Maria itu. Dia sendiri tidak pasti kenapa Maria yang sangat dipercayainya dalam misi pentingnya itu.
Maria memandu perlahan keluar dari kawasan UiTM. Satu perkara sudah selesai. Pemanduaannya dihalakan ke arah utara. Kereta yang dipacu terus ke Plaza Angsana...
bersambung...
No comments:
Post a Comment