Jam digital di dinding rumah tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Suami Maria, Hadi masih bersengkang mata menghadap komputer riba. Komputer cari makan. Sungguh pun kecil, harganya mencecah RM4,000.00. Itulah punca rezekinya. Maria memandang wajah lesu Hadi tanpa sebarang bicara. Kerja pembinaan sistem IT yang dilaksanakan oleh Hadi memerlukan ketekunan. Tarikh akhir penyerahan perlu ditepati. Jika tidak pelanggan akan hilang kepercayaan.
Maria sebenarnya merancang tidur awal. Anak kecilnya yang berusia lapan bulan sudah dibuai mimpi. Dua orang lagi anaknya yang akan bangun awal pagi keesokan harinya sudah pun terlentang di perbaringan masing-masing. Maria ke dapur membuat secawan milo untuk Hadi. 'Lepas minum milo, boleh cepat tidur,' hati Maria berbisik. Dia bukan suka Hadi tidur lewat.
Suaminya sudah setahun setengah mengabdikan diri dengan perniagaan sendiri yang berteraskan IT. Kerana itu, hidup matinya dengan komputer. Tengah-tengah malam begitu, memang tiada perasaan untuk berbual-bual. Lagi-lagi mata sudah semakin layu. Maria meletakkan milo suam di sebelah meja kerja suaminya.
"Dah nak tidur kah?" tanya Hadi. Maria mengangguk malas.
"Kejap lagilah...," tegas Hadi. Maria mengambil tempat duduk. Dia akur. Beg galasnya dibuka. Sementara menanti Hadi mengantuk, dia mengambil manuskrip novel terbaharu Young Rahimah. Novel itu baru diluluskan penerbitannya. Dia mengambil masa tiga hari untuk membacanya sepintas lalu untuk mengetahui jalan ceritanya sebelum diedit. Petang semalam di pejabat, dia telah mula mengeditnya. Boleh tahan celaru juga novel ini. Perlu suntingan substantif!
Maria mencapai pen biru yang biasa digunakan untuk membuat suntingan. Sambil bersandar di sofa berbentuk L berwarna hitam, dia memulakan kerja-kerja penyuntingan. Kerja pejabat sekarang terpaksa dibuat di rumah, memandangkan waktu pejabat bagai tidak mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut. Apatah lagi kerja-kerja penyuntingan memerlukan konsentrasi yang tajam. Barulah hasilnya memuaskan.
Suasana sepi. Sesekali kedengaran bunyi motorsikal pengawal keselamatan yang membuat rondaan di taman perumahan itu. Jiran-jiran di sekitaran pasti sudah lena. Kebanyakan mereka bekerja makan gaji. Jiran warga Jepun yang tinggal di sebelah kiri rumahnya sahaja yang tidak bekerja. Mereka orang kaya. Wang simpanan boleh digunakan sampai tujuh keturunan! Dia dan suaminya masih bersengkang mata. Bersengkang mata kerana kerja. Kerjaya juga perlu diutamakan. Inilah rezeki. Inilah yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan. Maria membuat suntingan sehingga bab 10. Matanya mula berair. Suntingan tidak boleh diteruskan dalam keadaan mengantuk.
Maria menjeling milo di meja suaminya. Tinggal separuh. Dia mencapai cawan tersebut lalu meneguknya.
"Aik, buatkan orang, dia pula yang licinkan...," Hadi mengomel.
"Dahaga...," jawab Maria sepatah. Tersenyum dengan perangainya yang tidak senonoh. Hadi menggeleng. Senyum juga.
"One more glass," ujar Hadi. Maria menurut tanpa banyak soal. Setelah meletakkan secawan lagi milo suam di atas meja kerja Hadi, Maria terus menapak ke tingkat atas. Tilam empuknya setia menanti...
bersambung...
3 comments:
salam kak. macam kisah benar jerk. ada pula tu, young rahimah.he.
Rend,
Siapalahhh agak2nya Young Rahimah tu ek???
Azura,
1. Mana perginya watak tempelan @ penyibuk yang tidak kacak lagi tidak menarik penampilan fizikalnya yang bergelar 'pegawai senior tu'? Mungkinkah 'pegawai senior' yang tidak kacak itu akan merungkai kisah akhir cerpen ini? Hehehe...
2. Siapa tu 'Young Rahimah'? macam pernah dengar... rasa-rasanya beliau ini juga sering berkunjung (urusan rasmi kerja) ke meja 'pegawai senior' itu? Hehehe...
- dari Penang Road, P. Pinang.
Post a Comment