Aku tidak menyangka idea melaksanakan Pertandingan Puisi Kompang mendapat sambutan menggalakkan dan diberi sokongan sehingga ke pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah. Pelaksanaannya memang mencabar kerana program ini julung-julung kali dilaksanakan dan sebenarnya tidak pernah dilaksanakan langsung sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahu pun kebangsaan. Cadangan aku untuk mengangkat karya-karya puisi tradisional ke wadah yang lebih menarik dan diterima oleh generasi gajet, membuahkan hasil. Sokongan daripada pihak sekolah amat menggalakkan. Sasaran aku tercapai pada peringkat awal. Objektif berjaya dilaksanakan.
Dan apabila Pengarah bersetuju untuk aku menghantar proposal tentang program ini ke pihak penilaian Anugerah Inovasi, aku tidak berfikir panjang. Segala dokumen aku himpunkan bagi menyokong proposal yang bakal aku submit. Allah memudahkan segala tugas dan perancangan. Aku perkukuhkan dengan kepelbagaian rakaman semasa berlangsungnya program tersebut. Selebihnya aku serahkan kepada rezeki Allah, sebab aku tahu persaingan dengan pegawai-pegawai lain bukan calang-calang. Aku tahu proposal aku sangat padu dan kuat untuk diangkat sebagai 'top 5'.
Sebenarnya, inilah kali pertama aku memberanikan diri menyertai pencalonan Anugerah Inovasi, lantaran persaingan yang hebat saban tahun. Tahun 2018 akhirnya menyebelahi tuah aku. Anugerah ini umpama rangsangan untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dan berfikiran kreatif dan inovatif. Sesungguhnya kerja itu ibadah dan dilaksanakan kerana Allah. Kerja itu amanah yang harus dipikul sebaik mungkin demi organisasi tercinta.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah yang meluluskan peruntukan dan projek. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang memberi kerjasama dan sokongan padu (Shark, Shahrur, Rosa, Ajid dan Nadia). Rakan sinergi dari institusi lain, Puan Zety Natamulia dari UiTM Segamat, Encik Nizam Atan dari UTHM dan Encik Azrin Zainal jurulatih kompang profesional Johor. Kenangan terindah - Semarak Buku dan Penulis Februari 2018, UTHM, Batu Pahat.
Tunggu masa naik pentas... :)
No comments:
Post a Comment