Pages

Tuesday, May 22, 2018

Ramadan Datang Lagi 2018

Syukur, masih dilanjutkan usia oleh Sang Pencipta untuk menghirup wangian Ramadan 2018/1439. Dalam usia 42 tahun, Ramadan masih sudi bertemankan aku yang kadang kala culas dengan perintah-Nya. Agak berbeza Ramadan dalam jangkauan usia 42 tahun ini. Anak-anak semakin membesar dan keupayaan kudrat mengerjakan tarawih sehingga 20 rakaat agak terbatas. Namun sehingga hari ini aku masih lagi dalam keadaan mampu melaksanakan ibadah itu.

Cabaran Sahur.
Waktu sahur merupakan cabaran paling getir bagi seorang ibu yang bertugas di dapur seawal 4.00 pagi. Memasak untuk sahur sesuatu yang wajib bagi aku. Aku mahu suami dan anak-anak menikmati hidangan sahur daripada air tangan sendiri, dengan menu yang sihat dan berkhasiat serta tak membazir. Kadang-kadang termenung di awal pagi untuk memasak hidangan yang mampu dinikmati dalam waktu-waktu kronik untuk tidur. Tapi biasanya aku dah prepare untuk sediakan lauk sahur sebelum menghempas badan ke tilam. Tidur mesti awal bagi memastikan aku mampu masak untuk sahur, bertenaga ke pejabat dan tidak mengantuk semasa memandu. Sungguh mencabar!
Kalau nak masak sebelum tidur pun boleh, sebenarnya. Tapi aku tak suka simpan makanan dan panaskan semula. Pastinya khasiatnya berkurangan. Biasanya yang simple saja untuk seisi keluarga.

Cabaran kedua terbesar ialah cabaran mengejutkan anak-anak bangun sahur. Kadang-kadang dekat 10 kali kejut pun tak bangun-bangun. Nak kena angkat dari katil...tolak keluar bilik...paksa duduk di meja makan...haaaa...baru dia nak hadap sahur. Yang remaja pun dua kali lima! Kena kejutkan baru nak bangun, walhal masing-masing punya alarm sendiri! Lebih mencabar, apabila sekecil turut terjaga. Yang ini pun cabaran juga! Lain yang aku kejut, lain yang bangun. Melayan karenah si kecil pada waktu sahur menyebabkan gangguan pemakanan dan kujatan perut menjadi-jadi. Dia pun nak bersahur jugaakkkk....habis berkecah meja dan lantai. Namun, ada kemanisan di situ - kesabaran dan nilai kasih sayang.

Cabaran Tarawih.
Zaman remaja semasa tinggal di asrama, aku mampu laksanakan tarawih sehingga 20 rakaat. Selagi imam tak habis, selagi itulah aku setia menjadi makmum. Hadir ke masjid yang berdekatan dengan asrama bersama-sama rakan seasrama, ala-ala konvoi jalan kaki menuju ke masjid siap dengan wuduk dan telekong solat. Biasanya selepas berbuka puasa, kami akan solat magrib berjamaah di asrama. Usai salam bergegas ke masjid menanti waktu isyak dan seterusnya tarawih dan witir. Pukul 10.00 sudah kembali semula ke asrama. Ada keseronokan pada usia remajaku di situ. Sudah dilatih berdisiplin dengan waktu solat sepanjang Ramadan. Maklumlah dikawal selia oleh kakak-kakak senior dan warden! Hahaha...
Apabila pulang bercuti ke kampung, rutin yang sama kuulangi tetapi dengan emak, ayah dan adik-adik. Tetap juga bertarawih di masjid. Kadang-kadang berbuka di masjid terus berada di masjid sehingga tarawih.
Hari ni, aku terpaksa akur dengan keadaan. Bertarawih di rumah sekadar empat hingga lapan rakaat. Bukan boleh berlama-lama, kerana anak-anak perlukan perhatian, suami perlukan layanan. Begitulah kehidupan yang telah diatur Allah. Setelah aku manfaatkan usia remajaku dengan ibadah kepada-Nya, Dia simpangkan aku untuk menabur budi dan menggali pahala pada usia 40-an dengan cara yang lebih santai. Aku tidak pernah rasa kesal punya anak yang ramai. Memang waktu ibadahku agak terhad, tetapi mencari pahala dan jalan ke syurga, bukan hanya dengan solat semata-mata.

Cabaran Praraya
Inilah cabaran terakhir pada bulan Ramadan. Persediaan menjelang Syawal. Aku bukan mahukan kesempurnaan. Ala kadar sahaja mengikut kemampuan. Yang pasti kelengkapan raya anak-anak tersedia dan kebersihan rumah untuk menyambut tetamu sudah lengkap. Selebihnya tak perlu difikirkan sangat. Dalam hal ini yang paling mencabar ialah peruntukan dan kos! Dalam ekonomi yang so-so ni, tidak semua permintaan dapat dilunaskan. Yang penting sajalah. langkah penjimatan sangat perlu, sebab lepas raya pun duit masih punya nilai. Maka berdikit-dikitlah dalam berbelanja. Tak perlu tiru orang. Ikut kemampuan diri sendiri. Waallahualam.

1 comment:

Rafi said...

eh berapa banyak cabaran daa..hahah..anyway selamat berpuasa si chantek :P