Semasa saya melalui zaman kanak-kanak, sambutan hari raya merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu, walaupun puasa tak pernah cukup. Semasa menyambut Ramadan, waktu bersahur menjadi waktu yang paling memberatkan. Apa tidaknya, terpaksa mencelikkan mata yang sedang sedap terpejam. Biasanya kami bersahur seawal 4.30 pagi. Mak akan paksa kami minum air panas supaya perut tidak terkejut dengan makanan yang akan masuk ke perut (itulah alasan mak waktu itu). Kami akan makan semeja dengan ayah menjadi ketua membaca doa. Selesai sahur, ayah juga yang akan memastikan kami adik beradik membaca niat puasa dengan maksudnya sekali dalam bahasa Melayu, supaya kami lebih faham dan menghayati erti berpuasa.
Waktu berbuka pula, merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu. Saya dan adik-adik lain membuat pelbagai macam permintaan semasa berbuka puasa. Dan ayah tak pernah menghampakan permintaan kami.
Apabila hari raya semakin hampir, ayah dan mak akan membawa anak-anaknya yang seramai empat orang untuk membeli-belah. Tapi, waktu itu kami tinggal di bandar Segamat. Segamat pada tahun 80-an bukanlah sebuah bandar yang gah dengan megapura. Paling canggih pun pasar raya Great Wall (saya tak pasti, masih wujud lagi atau tidak pasar raya tersebut). Kami membeli-belah di kedai-kedai biasa sahaja. Tetapi, keperluan kami cukup lengkap. Pendek kata serba baru dari atas sampai ke bawah! Itulah ayah...sanggup berhabis-habisan untuk anak-anak. Hal ini berlanjutan sehingga kami meningkat remaja. Ayah memberi kebebasan membeli keperluan sendiri setelah kami berusia 18 tahun. Itu pun masih dipantau keperluan-keperluan lain yang maha penting.
Setiap kali menyambut hari raya, kami akan pulang ke Batu Pahat (kampung halaman ayah). Seawal pagi kami akan menziarah kubur. Sebaik selesai solat Aidilfitri, ayah akan membawa kami ke merata pelesok kampung sehingga ke Muar untuk menziarah sanak saudara, supaya kami kenal saudara-mara. Yang penting kata ayah, supaya kami tak terkahwin dengan saudara sendiri. Ayah sangat tidak menggalakkan kami berkahwin dengan saudara terdekat. Kesannya sehingga kini saya amat mengenali saudara-mara yang jauh sekalipun amat jarang bersua muka. Itulah kepentingan ziarah.
Selepas beberapa hari di Batu Pahat, barulah kami bertolak ke kampung mak di Kebun Teh, Johor Bahru. Mak juga mengamalkan ziarah dengan membawa kami adik-beradik ke rumah saudara-maranya. Hubungan kami sekeluarga sangat erat sungguhpun masing-masing sudah membawa haluan sendiri kini. Yang menyeronokkan pada musim hari raya ini ialah, collection duit raya. Nila ringgit bukanlah sesuatu yang penting bagi kami, tapi terasa seronok apabila ada orang yang memberi kami wang walaupun jumlahnya sekadar 20 sen. Betapa besarnya nilai 20 sen ketika itu!
Dan amat menyeronokan apabila musim Syawal diraikan dengan kehadiran kumpulan marhaban. Kumpulan marhaban ini hadir ke rumah-rumah dengan iringan doa dan selawat nabi. Dan disudahi dengan sedikit jamuan ringan. Kami sekali lagi berkumpul untuk bergotong-royong menyediakan juadah jamuan. Sibuknya bukan kepalang, kerana yang hadir itu terdiri daripada penduduk setempat hampir 100 orang termasuk yang tua dan yang muda. Meriah!!!
Kini, saya dan adik-adik yang lain telah dewasa malah sudah beranak-pinak. Beberapa subjek yang ditegaskan ayah semasa zaman kanak-kanak saya terapkan dalam kehidupan saya sekeluarga. Sesekali mengenang kenangan manis ini, terasa juga sendunya, apatah lagi ayah saya kini sedang sakit. Semakin lanjut usianya, semakin sensitif pula dia. Namun, ayah tetap seperti dulu...suka betul memberi duit raya untuk anak-anaknya walaupun ayah sudah lama bersara. Ayah tak pernah kata "ayah tak ada duit", sekalipun ayah sudah tidak bekerja.
No comments:
Post a Comment