Maria, aku, suami dan anak-anak semakin serasi di Perth.Mudah juga untuk mendapatkan makanan halal kerana terdapat beberapa warga Singapura yang bermastautin di sini dan membuka restoran makanan halal. Kelompok Melayu boleh dikatakan ramailah juga kerana beberapa pelajar Malaysia dan Brunei tinggal berdekatan dengan kawasan rumah kami. Anak-anak aku telah memulakan persekolahan mereka. Sistem pendidikan di negara maju ini sangat jauh berbeza dengan Malaysia. Mereka wajib membawa bekalan makanan sendiri dari rumah dan wajib membawa makanan yang berkhasiat dan seimbang. Mereka tidak dibenarkan membawa wang saku kerana sekolah tidak menjual makanan. Aku pernah dipanggil guru kelas Sania kerana membekalkan nasi goreng dan air kordial kepadanya. Makanan bergoreng dan kordial tidak sesuai untuk pembesaran anak-anak. Terkejut juga aku kerana di Malaysia hal ini 'biasa-biasa' saja bagi kita, kan?
Paling menggembirakan anak-anak aku ialah, mereka tidak perlu membawa beg yang sarat dengan buku teks dan buku tulis seperti dulu semasa bersekolah di Johor. Bukan kerana mereka dibekalkan dengan bahan elektronik lain namun sebenarnya semua bahan pembelajaran disediakan pihak sekolah. Dan yang paling seronok, mereka tidak lagi membuat kerja rumah yang berat-berat. Tidak ada lagi istilah menyalin...menyalin...menyalin. Setiap kali anak-anak aku pulang dari sekolah, mereka dibekalkan dengan buku-buku bacaan yang sesuai dengan peringkat umur masing-masing. Mereka digalakkan membaca...membaca...dan membaca. Aku pula akan menurunkan tandatangan di buku-buku tersebut sebagai tanda pembacaan mereka dipantau ibu bapa. Ahhh...memang seronok menjadi ibu bapa di sini. Persekitaran pembesaran anak-anak juga menyeronokkan. Alangkah cantiknya jika sistem pendidikan kita di Malaysia seperti ini, Maria. Aku perhatikan, kanak-kanak di sini sangat rajin membaca. Di mana-mana mereka membaca. Tinggi ilmu pengetahuan mereka, Maria. Sania yang berusia tujuh tahun sudah faham tentang cakerawala, tenaga solar dan galaksi.
Maria, banyak lagi yang ingin aku kongsikan dengan kau. Tapi, aku harus berhenti di sini dahulu kerana anak-anak perlu ke sekolah. Sekolah bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Waktu ini juga sangat sesuai kerana tidak bertembung dengan waktu bekerja (7.00 pagi hingga 5.00 petang). Bukan macam kita di Malaysia yang hampir semua manusia keluar serentak pada awal pagi dan pulang juga hampir serentak pada sebelah petang. Akibatnya jalan raya sesak!
Salam untuk keluarga di Johor. Zazana.
Maria merenung beg-beg sekolah anak-anaknya. Setiap hari mereka membawa beg sekolah yang sarat dengan buku walaupun mereka menyusunnya mengikut jadual yang diberi. Satu subjek hampir empat buah buku (buku teks, buku aktiviti, buku tulis dan buku rampaian). Kalau sudah lima subjek (atau lebih), hampir 20 buah buku mereka kendong setiap hari. Badan pun sudah bongkok udang! Tulang belakang sering lenguh-lenguh. Kesiannn....Hari-hari mereka membuat kerja rumah yang tak ubah seperti membuat tesis! Menyalin soalan...menulis jawapan...menyalin soalan...menulis jawapan. Masa untuk membaca buku-buku yang dipinjam di PSI dan yang dibeli Maria agak terbatas. Inilah dilema yang mereka alami. Namun, mereka masih terlalu kecil untuk bersuara.
3 comments:
malangnya bila anak-anak ini dewasa, menjadi pemimpin - mereka tetap juga tidak bersuara!
Salam Puan Maria,
Tumpang gembira membaca cerita rakan anda yang kini berada di Australia. Saya mengakui, pendidikan di negara maju memang jauh lebih baik daripada apa yang ada di negara kita. Saya percaya, ada usaha-usaha yang dilakukan untuk itu. Tetapi, segelintir rakyat di negara kita, tidak tahu menghargai harta-harta yang tertulis "HAK KERAJAAN MALAYSIA". Masih banyak perkara yang perlu diteliti dan diperhalus... (selagi masyarakat di negara kita masih berfikiran "semuanya mesti percuma", maka "percuma" juga kita melakukan perubahan itu. Percaya atau tidak jika saya kata, semakin ramai rakyat di negara kita hari ini berkata (mungkin dalam hati), apakah yang kerajaan boleh beri kepada aku daripada berkata, apakah sumbangan yang boleh aku beri kepada negara? Teringat cerpen Sifu Azhar, "TONGKAT"....
hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....
Post a Comment