Pages

Showing posts with label Drama Bersiri (16). Show all posts
Showing posts with label Drama Bersiri (16). Show all posts

Wednesday, September 2, 2009

Slogan Baru...

Maria menjengah bilik tidur adik iparnya Asha. Bilik itu telah dicat baru. Merah jambu. Sesuai dengan Asha yang bakal menjadi raja sehari tidak lama lagi.

'Bakal pengantin baru...semuanya baru...,' sukmanya berbisik. Senyumnya berbunga. Teringat set katil pengantinnya yang telah mencecah usia sembilan tahun. Senyum lagi. Sehingga kini katil pengantinnya masih utuh!

Hadi memasuki ruang yang sama. Tangannya mesra merangkul bahu Maria yang sedang membelek-belek set katil kayu jati. Kurang-kurang tiga ribu juga harganya.

"Jom kita ganti katil baru. Kita beli yang ada tiang!" ujar Maria secara tiba-tiba tatkala Hadi melemparkan tubuhnya ke tilam empuk seperti hendak menguji kelasakan katil baru adiknya.

"Awak ni Yang...mintak yang pelik-pelik. Nak TV yang lekat di dindinglah, nak katil bertianglah, nak peti sejuk melintanglah!" Hadi mengomel.

"Aik, apa salahnya?" Maria masih membelek-belek keunikan kayu jati.

"Salah tu tidaklah...Kalau saya nak beli katil, tak payah tunggu awak mintak....Nanti bila saya nak kahwin, saya belilah...,"

"Hah???Apa??? Ulang lagi!!!" Maria spontan mencapai sekaki payung di sebalik pintu. Mahu sahaja rasanya direjam ke dada suaminya. Hadi ketawa mengelekek, cuba mengelak payung di tangan Maria. Takut juga dia kalau-kalau gurauan itu memutuskan kepalanya daripada badan! Maria agak alergi apabila mendengar ungkapan 'kahwin lagi', 'bini muda', 'poligami', dan yang seangkatan dengannya.

"Sorry, Yang...sorry...," Hadi mengelak-ngelak payung yang masih di tangan Maria.

"Abang jangan macam-macam...dah lupa slogan saya?"

"Apa dia?"

"Satu Bini: Isteri Didahulukan Anak-anak Diutamakan!" Hadi tergelak memanjang. Maria turut memburaikan ketawanya. Tidak tertahan melihat Hadi yang sakan mengelak rejaman payung di tangannya.


bersambung...