Pages

Friday, September 11, 2009

Semuanya di Hujung Jari

Kepenatan pulang dari Singapura kerana menziarahi keluarga di sana belum pun reda. Bil-bil elektrik dan air bersepah di atas meja konsol menambah lagi kepenatan yang sedia ada. Setelah meletakkan kain baju di dalam bilik, Maria kembali membelek bil-bil tersebut. Suaminya Hadi, seperti biasa tekun dengan kerja-kerja IT. Menghadap komputer hampir 24 jam. PAID - tulisan tangan Hadi tertera di setiap bil. Biasanya bil-bil dibayar secara dalam talian sahaja.

"Abang, jom kita shopping raya," ajak Maria sambil memasukkan semua bil ke dalam laci.

"Apa shopping? Jalan sesak, orang ramai, puasa lagi...," jawab Hadi tidak bersetuju dengan ajakkan Maria.

"Alaaa...jomlah, cuci-cuci mata," Maria masih mengajak tanpa memikirkan alasan Hadi.

"Nak beli apa? Semua abang dah belikan," balas Hadi sambil merenung komputernya.

"Aik? Bila pergi? Dengan siapa? Dekat mana? Tak ajak pun?" bertalu-talu soalan Maria. Hadi mengalihkan pandangannya ke arah Maria. Tersengih sedikit. Dia tahu Maria cemburu apabila dia keluar membeli-belah seorang diri.

"Sekarang ni zaman orang mengejar masa. Saya mana ada masa nak keluar beli-beli barang? Awak orang perempuan ni...suka benar berpenat lelah ke shopping complex. Sudahlah penuh dengan manusia, nak parking pun susah, H1N1 lagi, kita nak kejar waktu berbuka lagi. Penat shopping, malam dah malas nak terawih pula! Lain yang dicari, lain pula yang dibelinya. Tak pasal-pasal bajet boleh lari," Hadi membebel memandang tajam ke arah Maria. Maria mengerutkan wajahnya. Mendengar bicara Hadi dengan perasaan tidak puas hati.

"Abang dah beli semua keperluan raya, secara online!" sambung Hadi lagi.

"Hah??? Apa? Online? Semuanya kah?" terkejut Maria dengan jawaban suaminya. Bimbang citarasa Hadi tidak sama dengan kehendaknya. "Apa yang abang dah beli? Takkanlah semuanya beli kat internet? Tak syoklah macam ni?" balasnya lagi.

"Syok tak syok, soal ke-44! Apa pun yang abang dah beli, kena terima. Pakaian anak-anak semua dah tempah. Esok sampai. Keperluan rumah, mana-mana yang boleh guna tak payahlah beli lagi. Langsir baru yang awak nak, esok sampai. Baju Melayu saya, jangan bimbang, pakai yang empat tahun lepas punya. Baju kasual saya pun, esok sampai. Saya beli jenama kegemaran awak, POLO. Kalau saya beli jenama PLAYBOY nanti awak kata saya 'gatal', kalau saya beli jenama CROCODILE nanti awak kata saya 'miang'. Kuih raya, saya order online juga. Ikut selera saya tahun ni! Tak payahlah beli lagi. Baju kurung awak, lima pasang saya dah order. Siap dengan tudungnya. Ada hijau, oren, merah, biru, pink. Kalau 'bising' juga, tak tahulah nak kata apa! " Maria terkebil-kebil mendengar patah-patah ayat yang keluar dari mulut Hadi. Memang tidak terkata. Alangkah bahagianya ada pasangan yang sanggup melakukan semuanya untuk dirinya. Memang bahagia. Duit poket selamat, masa tidak terbuang, kepala tidak penat memikir.

'Mudahnya hidup...,' hati Maria bersuara sendiri. 'Bukan semudah itu, abang...,' mahu tak mahu, Hadi mesti keluar juga dengannya ke pasar. Tidak mungkin daging batang pinang hendak dibeli secara online? Maria tersenyum sendiri.

4 comments:

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Wah, hebat benar, sampai semuanya order pakai internet! Saya belum sampai tahap itu lagi sebab orang rumah tak minat beli macam tu. Dan yang paling penting ialah saya dan orang rumah tak reti nak shopping guna Internet! Nak tekan apa pun tak tau! Nak pi laman web mana, satu gheja lagi. Nak kena belajaq jugak nih! Sapa nak ajaq saya pun tak tau...Memang kena belajaq nih pasai saya memang boring pi shopping pasai buang masa dan penat nak mampuih! Tambah-tambah bulan posa...orang rumah tak apa la, sebab dia tak payah dukung "Ultraman"! Saya jugak kena, dah lah kena drive, kena bayaq, kena dukung Ultraman pulak tu...Kalau buleh saya nak order pakai Internet jugak, macam suami Si Maria!

Md Nizar Parman said...

Salam Maria,
Untungnya menjadi Maria kerana punya suami yang sebaik itu. Tentu ramai yang mencemburui Maria. Itulah kelebihan teknologi IT. Semuanya di hujung jari. Emmm... tapi jangan pula nanti 1 Syawal suami Puan Maria memohon maaf menggunakan "hujung jari" juga. Hehehehe... Selamat Hari Raya Aidilfitri... maaf zahir dan batin.

Azhar Salleh said...

Amboi, lamanya di hujung jari! Tak takut kecut ke hujung jari tu?

Norasiah Md Isa said...

heheheheh kelakarlah cikgu Azhar ni..