Pages

Tuesday, October 28, 2008

Kerenah Klinik Kerajaan

Hari ini ada pemeriksaan kesihatan ibu mengandung. Oleh sebab bulan lepas aku tak sempat datang, jadi minggu ini aku dipaksa datang berjumpa doktor. Ahad lepas seorang jururawat masyarakat menghubungi aku, dan mengarahkan pertemuaan dengan doktor pada hari ini.

Inilah detik yang paling aku tak suka. Bukan tak suka diperiksa atau membuat pemeriksaan kesihatan. Aku tak suka menunggu lama. Penat dan bosan. Aku mula mendaftar pada pukul 8.00 pagi. No. giliran aku yang ke-027. Aduhai...letihnya! Pukul 9.00 barulah nama aku dipanggil. Check urin, berat, hp darah, tekanan darah, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Kemudian aku diarah masuk ke dalam bilik pemeriksaan untuk berjumpa doktor. Tunggu lagi sekitar 20 minit, barulah namaku dipanggil. Doktor periksa denyutan jantung baby dan kedudukan baby sahaja. Selebihnya dia banyak nasihat itu dan ini. Lepas tu aku ambil ubat/vitamin (yang tak pernah aku makan), sebab adik ipar aku dah bekalkan vitamin yang lebih ringkas dan mudah daripada vitamin yang klinik kerajaan beri. Mujurlah ada adik ipar yang bertugas sebagai doktor. Sudahnya, aku selesai berada di situ sekitar pukul 10.00. Huh!!! Jenuh!

Selama menanti nama dipanggil, aku selesai membaca The Star dan KOSMO. Novel yang aku baca sementara menanti nama dipanggil, genap 8 bab aku selesaikan. Sebelum ini aku pernah membuat pembacaan pruf sementara menunggu di klinik. Kira selesai juga kerja pejabat di klinik.

Bulan depan aku diarah hadir lagi. Aku tak sanggup nak datang lagi sebenarnya. Tapi...belum ada pilihan lain untuk aku elak.

Kadang-kadang aku terfikir, tak adakah cara lain yang lebih efisyen yang boleh diamalkan di klinik kerajaan agar masalah menunggu lama dapat dielakkan? Mungkin boleh ditambah jururawat dan doktor yang memeriksa. Kementerian Kesihatan sepatutnya lebih peka hal-hal begini. Sudahlah sarat mengandung, sakit pinggang, sakit kaki, pening kepala, ditambah lagi dengan kepenatan dan kebosanan menunggu lama. Kuperhatikan, kebanyakan ibu-ibu yang datang, hanya membawa beg tangan. Tiada bahan bacaan untuk dibaca, padahal waktu menunggu boleh digunakan dengan membaca. Pihak klinik sepatutnya boleh sahaja menyediakan sudut bacaan yang bersesuaian dengan situasi tersebut. Taklah mereka yang datang asyik termenung dan berborak kosong sahaja.

No comments: