Pages

Wednesday, November 5, 2008

Jati Diri Bangsa Melayu dalam Arus Globalisasi


Sekian lama aku tidak menatap blog sendiri lantaran kesibukan menguruskan program BBSN peringkat Wilayah Selatan. Terima kasih kepada Pengarah kerana memberi kepercayaan ini kepada aku yang semakin sarat. Ikutkan hati, hendak sahaja aku menolak peluang ini. Tapi, aku terima sebagai satu tanggungjawab yang mencabar. Aku sanggup ketepikan buat sementara waktu manuskrip yang melambak di sekelilingku.

Bicara jerayawara pada 30 Oktober 2008 di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim (IPTI) berjalan dengan lancar. Memang itu yang aku harapkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ketiga-tiga ahli panel (YB Datuk Ahmad Zahri Jamil, Y. Bhg. Dato' A. Aziz Deraman dan Tuan Haji Ismail Zamzam) atas kesudian mereka menerima pelawaan kami. Bukan mudah berurusan dengan insan-insan yang sentiasa sibuk ini. Lagi-lagi Datuk Ahmad Zahri yang merupakan Exco kerajaan negeri Johor, yang tidak pernah menyangka akan dilantik sebagai panel bicara jerayawara. Terima kasih juga kepada sdr. Ghapar Abdullah (Editor majalah Dewan Budaya) yang sanggup menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi. Bicara jerayawara berlangsung dengan jayanya dan aku sangat berpuas hati dengan lontaran idea ahli panel.

Antara isu yang telah dibincangkan sepanjang 2 jam berbicara ialah erti sebenar Melayu dan asal-usul etnik ini. Selain itu, isu ketuanan Melayu juga disentuh selain hal-hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan/bahasa Melayu, budaya dan tradisi Melayu, sejarah pembentukan Tanah Melayu, dan isu pendidikan orang Melayu yang disulami dengan keputusan menteri kabinet dalam mengharungi cabaran bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aku setuju benar dengan pandangan Datuk Ahmad Zahri, jangan diundi/disokong ahli politik yang enggan mempertahankan hak-hak bangsa Melayu!

Semangat jati diri bangsa Melayu pada hari ini mula pudar. Jangan kita menunding jari kepada belia dan remaja yang gagal mempertahankan budaya dan adat Melayu. Jangan salahkan pihak lain yang enggan menegakkan jati diri bangsa Melayu. Lihat dulu tampok pemerintahan pada hari ini. Boleh dikatakan hampir 99% pemimpin kita merupakan orang Melayu. Baik kepimpinan di kampung, di felda, di pekan, dan di peringkat nasional sendiri. Rata-rata orang Melayu. Tapi mereka sendiri mengambil keputusan untuk mengenepikan hak-hak orang Melayu. Contoh paling ketara ialah tentang keputusan kerajaan membuka peluang Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Namun, siapa berani bertindak? Pakar bahasa pun sudah hilang taring untuk berunding dengan pak menteri. DBP sendiri bagai hilang punca. Kerana...kuasa bukan di tangan.

Sejarah telah membuktikan, bahawa bangsa yang tidak mampu mempertahankan dan mendaulatkan bahasanya, akan lenyap di muka bumi ini satu hari nanti. Pelbagai usaha giat dijalankan oleh DBP dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu termasuk gerakan BBSN yang saban tahun diadakan. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca dan bahasa ilmu yang mantap. Jadi, apa masalah sebenarnya sehingga bahasa Melayu dianaktirikan di bumi sendiri?

No comments: