Pages

Thursday, October 16, 2008

Harga Minyak Turun...?

Semalam (15 Oktober) kerajaan Malaysia mengisytiharkan tentang penurunan harga minyak. Tak perlu diulas peratusannya, kerana di dada akhbar, semuanya telah tertera. Apa yang hendak dikongsikan di sini ialah tentang kesannya kepada pengguna, terutama golongan marhain...(macam aku nilah!).

Sama ada harga minyak turun, mahupun naik...aku tetap berulang-alik ke pejabat dan ke tempat-tempat lain dengan menggunakan kereta sendiri. Kereta persendirian tetap menjadi pilihan utama keluarga, tanpa mengambil kira tentang kenaikan dan penurunan harga bahan mentah itu. Ketika kerajaan Malaysia mengisytiharkan tentang kenaikan harga minyak petrol sedikit masa dahulu, harga barang keperluan turut naik mendadak. Sangat terasa 'kemahalan' harga barang di pasaran terutama ketika membeli belah di pasar raya. Penat kepala saja memikirkan dan membeza-bezakan harga barang tertentu dari sebuah pasar raya dengan pasar raya yang lain. Kalau harga telur di Giant mahal, harga MILOnya pula murah sikit. Harga telur di TESCO pula murah, tapi harga berasnya lebih mahal daripada di GIANT. Alahaaii...sudahnya semua tempat terasa sama saja, apatah lagi kalau di kedai-kedai runcit.

Semalam bila harga minyak dah turun, harga barang masih lagi kekal pada harga lama. Santan di Pasar Borong masih kekal RM7.00 (sebiji kelapa). Pada bulan Ramadan kelmarin harganya RM6.00, tapi naik RM1.00 menjelang Syawal! Kini harga itu masih kekal RM7.00 walaupun harga minyak sudah turun. Barang makanan lain, tak usah cakaplah! Nak makan ayam pun kena fikir dua tiga kali! Pemimpin tertinggi meminta rakyat ubah cara hidup sihat! Maknanya makan kena catu, kurangkan makanan berminyak dan berlemak. Kalau dipaksa secara drastik...memang susah. Cuma yang boleh dilakukan sekarang ialah, beringat-ingat ketika makan!

Itu baru kisah bab makan dan makanan. Belum lagi keperluan lain! Nak beli penyidai baju pun kena fikir dua tiga kali. Penyidai baju pun dah naik harga! Apa hal??? Tauke kedai perabot kata, sebab harga besi dah naik! Pelik ek??? Serta merta harga besi naik bila harga minyak naik. Tak pula harga besi turun bila harga minyak turun! Harga kain ela pun dah naik melambung! Alasannya...harga kapas naik! Aduhai... Tailor pun dah berani naikkan harga perkhidmatan dengan alasan, harga benang dan peralatan lain semakin mahal. Kaki ini dah tak mampu nak melangkah ke butik-butik! Sekarang ni, pakai saja apa yang ada. Makan saja apa yang boleh.

Jadi...kalau semuanya naik...kenapa gaji tak naik-naik??? Kali terakhir gaji kakitangan kerajaan naik ialah pada tahun lepas. Alahai...naiknya tak seberapa (nak cakap pun malas!). Bukan boleh menampung keperluan lain yang melambung tinggi! Takat jadi 'nasi tambah' bolehlah...

No comments: