Bercakap tentang rezeki, biasanya kita akan merujuk dengan Maha Pemberi rezeki. Allah yang haq. Yang satu. Kisah ini bisa menginsafkan diri aku.
Semalam petang pulang daripada kerja aku singgah di bank yang bersebelahan dengan pejabat. Dengan beg tangan di bahu kiri, tangan kanan memegang purse dan Note. Aku bank in sejumlah wang di mesin Cash Deposit. Kemudian ke mesin ATM untuk membuat pengeluaran wang. Selesai semua urusan aku terus keluar dari bank dan bergegas ke rumah pengasuh untuk mengambil anak-anak yang ditempatkan di rumah pengasuh.
Dalam perjalanan ke rumah suami menghubungi aku dan menyatakan purse aku dah sampai rumah tapi kenapa aku tak sampai-sampai lagi? Aku dalam keadaan 'blur', mungkin disebabkan keadaan jalan yang sedikit sesak membuatkan aku sedikit stres. Anak-anak pula hingar-bingar di dalam kereta. Usai tiba di rumah, suami menyerahkan purse merah Braun Buffel milik aku. Aku...tergamam, terkejut, terbeliak biji mata. Macam mana purse ini boleh berada di rumah sedangkan tadi aku memegangnya semasa berurusan di bank?
Suami aku kata, sepasang suami isteri telah datang ke rumah dan menyerahkan purse tersebut merujuk pada alamat di kad pengenalan aku. Aku menarik nafas. Penat memikirkan tentang purse tersebut yang kemungkinan besar tercicir atau tertinggal di mesin ATM. Aku memeriksa keseluruhan purse tersebut dan tidak ada satu pun yang kurang. Kami terdiam. Sebak dan terharu silih berganti. Suami menangis lantaran terlalu bersyukur. Sempat kami sujud syukur kerana peristiwa tersebut membuatkan aku insaf dan bersyukur.
Muhasabah
Aku melihat kejadian ini sebagai pengajaran. Pertama, kita mesti melakukan kebaikan supaya orang lain juga berbuat baik kepada kita. Kedua, rezeki yang halal tetap berkat apabila kita menzahirkannya ke jalan yang betul. Memang niat nak guna duit untuk perbelanjaan anak-anak dan keluarga. Mungkin sebab itulah Allah dorong insan-insan berhati mulia ini untuk merahmati rezeki aku. Alhamdulilah, Ketiga, kemungkinan inilah kesan solat duha, al-Waqiah dan tahajud yang kami lakukan hampir saban hari. Memang kadang-kadang terlepas juga kerana kekangan masa dan keadaan. Namun sedaya upaya seperti pesan suami, lakukanlah selagi terdaya. Itulah keluasan dan kemewahan pintu rezeki. Insya-Allah. Keempat, peristiwa ini satu keinsafan supaya aku lebih bersyukur dengan nikmat Allah, jangan lalai dengan suruhan Allah, dan konsisten dengan sedekah jariah walaupun sekadar satu ringgit. Tak akan papa kedana apabila kita bersedekah. Apatah lagi dengan kaum keluarga dan orang susah. Allah Maha Pemberi. Kelima, menyedarkan aku betapa semakin meningkat usia semakin terhakis ingatan dan byte memori. Kadang-kadang lupa tanpa sengaja sesuatu perkara. Kadang-kala terlepas pandang hal-hal penting. Insaf, diri ini semakin tua untuk mengingati semua perkara. Aku belajar daripada kesilapan, sentiasalah berhati-hati pada setiap langkah. Keenam, doa itu senjata orang mukmin, Amalan membaca 'bismillahi tawakaltu ala Allah, walahaulawala kuwataillah billah' setiap kali melangkah keluar rumah menyebabkab keselamatan diri dilindungi Allah Taala. Harta benda terjaga dan dirahmati. Benarlah, doa itu yang terbaik. Allah kata, mintalah apa sahaja daripada-Ku, nescaya Aku tunaikan. Kita minta yang baik, kita dapat yang baik juga.
Dedikasi
Buat insan berhati mulia yang tidak kukenali, yang berjasa dan berbudi; terima kasih yang tidak terhingga. jauh di sudut hati aku berdoa, suatu hari nanti kita akan bertemu dalam keadaan aku membalas budinya kelak. Kupanjatkan doa agar mereka suami isteri sentiasa dalam rahmat Allah. Hanya Tuhan yang membalas kebaikan mereka. Limpahilah rezeki yang luas kepada mereka berdua, ya Allah... Aminnn.