Pages

Monday, July 29, 2013

Usai Sahur

Usai sahur kau berlalu pergi
berlayar mencari rezeki
kami kembali berteman sepi
mengharapkan kau kan kembali...

Usai sahur kau lebarkan sayap
melangkah dengan senyap
bimbang si kecil lenanya sentap
moga cahaya rezeki kami tidak kan malap...

Saturday, July 20, 2013

Gurindam Sakit Jiwa

Ramadan belum berakhir
Sakit jiwa tetap mengalir.

Ramadan penuh berkat
Bersihkanlah jiwa yang berkarat.

Ramadan bulan mulia
Si sakit jiwa semakin merana.

Ramadan membuka syurga
Muhasabahlah diri yang leka.

Ramadan menutup neraka
Janganlah memulakan sengketa.

Ramadan mengundang Aidilfitri
Elakkanlah caci dan perli.

Ramadan memanggil Syawal
Sucikanlah rohani sedari awal.

Ramadan yang menginsafkan
Mohonlah restu bermaaf-maafan.

Monday, July 15, 2013

Selepas Iftar

Langit malam tanpa bintang
Kau kucium tanpa bicara
Meninggalkan kami yang kau tatang
Menghimpun seribu cinta lara

Kasih terbentang seluas samudera
Rezeki kau gali demi keluarga
Pergilah kanda tinggallah dinda
Kudoa kau selamat di bumi sana

Sunday, July 14, 2013

Segalanya Dugaan

Ramadan kelima penuh dugaan
Segalanya dugaan
Segalanya kuterima...
Jika Ramadan ini yang terakhir buatku
Mohon Kau ampuni segala khilaf dosaku...
Doa dan selawat atas junjungan-Mu

Sunday, July 7, 2013

Kenaikan Gaji Kakitangan Kerajaan

Baru-baru ini aku dan kakitangan kerajaan seluruh Malaysia mendapat surat kenaikan gaji yang bermula pada Julai 2013. Hasil perkiraan secara berhemah, nampaknya kenaikan gaji  ini tidaklah memberangsangkan kami. Ini bukan soal tidak bersyukur. Ini soal ketidaksamarataan antara kenaikan gaji kami dengan kenaikan nilai hartanah, harga barang dan barang keperluan asasi.

Belum mendapat kenaikan gaji, harga barang sudah naik berganda-ganda. Apatah lagi aku yang tinggal di Johor Bahru ini berjiran dengan sebuah negara metropolitan yang sangat berdaya maju. Kenaikan gaji ini tidak mendatangkan kesan yang mendalam dalam percaturan bulanan untuk perbelanjaan keluarga. Apatah lagi menjelang musim perayaan dan permulaan persekolahan. Sungguh terasa terjerut leher!

Walau bagaimanapun kami bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada keluarga kami. Suasana terhimpit seperti inilah kami berusaha lebih kuat untuk mencari duit saku lebih. Aku terpaksa menerima tawaran editing manuskrip dari jabatan dan organisasi lain untuk menampung keperluan sampingan lain. Ada masa aku menulis artikel dan cerpen dan menghantarnya kepada penerbit untuk disiarkan dalam majalah. Suami pula bekerja lebih kuat bagi memastikan keseluruhan keperluan rumahtangga tidak terabai. Jika kenaikkan gaji kakitangan kerajaan diberikan dengan sewajarnya mengikut keperluan kenaikkan harga barang dan ekonomi semasa, aku kira dengan senang-lenang aku tak perlu lagi membuat kerja sampingan untuk mendapatkan duit simpanan. 

Adik-adik aku yang lain pun tidak kurang hebatnya dalam mencari duit sampingan. Ada yang menjalankan perniagaan kecik-kecilan membuat dan menjual kek di pejabat. Ada yang bekerja dengan majikan lain selepas waktu pejabat. Lebih hebat lagi ada yang membuka perniagaan secara serius, membuka kedai dan menjalankan perniagaan secara 'online' bagi menampung kelangsungan hidup. Ini semua melambangkan gaji kakitangan kerajaan sebenarnya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan gaji kakitangan kerajaan negara seberang tambak. 

Ahlan ya Ramadan

Lagi dua hari umat Islam akan menyambut bulan penuh keberkatan, Ramadan al-mubarak. Dalam keadaan kesihatan diri yang tidak menentu, aku masih mengharapkan aku mampu dan berupaya menempuh Ramadan dengan jayanya.

Pastinya Ramadan tahun ini berlainan dengan Ramadan yang lepas-lepas. Ramadan tanpa seorang lelaki bergelar ayah, sangat asing bagi aku, mungkin juga bagi adik-adik yang lain. Sememangnya kami sudah terbiasa dengan ketiadaan ayah kerana ayah semasa hayatnya tinggal dengan ibu tiri. Jarang-jarang kami dapat berbuka bersama-sama tetapi ada ketikanya kami akan berkumpul di rumah ayah dan beriftar bersama-sama. Semasa zaman remaja, aku sering mengikut ayah ke masjid untuk bertarawih dan bertadurus di kediaman rasmi Menteri Besar Johor. Apabila waktu berbuka hampir tiba, ayahlah orang yang paling sibuk membeli juadah berbuka puasa untuk kami adik-beradik apatah lagi kalau emak tidak berkesempatan untuk memasak kerana pulang lambat dari pejabat.

Kini, semuanya tinggal kenangan. Manis! Tiada lagi wajah ayah dalam renungan. Tiada lagi kejutan manja semasa bangun sahur. Yang paling sedih, tiada lagi kedengaran suara garau ayah mengaji Quran sepanjang Ramadan. Rindu...sangat rindu.

Al-Fatihah buatmu, ayahanda.