Pages

Sunday, July 7, 2013

Ahlan ya Ramadan

Lagi dua hari umat Islam akan menyambut bulan penuh keberkatan, Ramadan al-mubarak. Dalam keadaan kesihatan diri yang tidak menentu, aku masih mengharapkan aku mampu dan berupaya menempuh Ramadan dengan jayanya.

Pastinya Ramadan tahun ini berlainan dengan Ramadan yang lepas-lepas. Ramadan tanpa seorang lelaki bergelar ayah, sangat asing bagi aku, mungkin juga bagi adik-adik yang lain. Sememangnya kami sudah terbiasa dengan ketiadaan ayah kerana ayah semasa hayatnya tinggal dengan ibu tiri. Jarang-jarang kami dapat berbuka bersama-sama tetapi ada ketikanya kami akan berkumpul di rumah ayah dan beriftar bersama-sama. Semasa zaman remaja, aku sering mengikut ayah ke masjid untuk bertarawih dan bertadurus di kediaman rasmi Menteri Besar Johor. Apabila waktu berbuka hampir tiba, ayahlah orang yang paling sibuk membeli juadah berbuka puasa untuk kami adik-beradik apatah lagi kalau emak tidak berkesempatan untuk memasak kerana pulang lambat dari pejabat.

Kini, semuanya tinggal kenangan. Manis! Tiada lagi wajah ayah dalam renungan. Tiada lagi kejutan manja semasa bangun sahur. Yang paling sedih, tiada lagi kedengaran suara garau ayah mengaji Quran sepanjang Ramadan. Rindu...sangat rindu.

Al-Fatihah buatmu, ayahanda.

No comments: