Baru-baru ini aku dan kakitangan kerajaan seluruh Malaysia mendapat surat kenaikan gaji yang bermula pada Julai 2013. Hasil perkiraan secara berhemah, nampaknya kenaikan gaji ini tidaklah memberangsangkan kami. Ini bukan soal tidak bersyukur. Ini soal ketidaksamarataan antara kenaikan gaji kami dengan kenaikan nilai hartanah, harga barang dan barang keperluan asasi.
Belum mendapat kenaikan gaji, harga barang sudah naik berganda-ganda. Apatah lagi aku yang tinggal di Johor Bahru ini berjiran dengan sebuah negara metropolitan yang sangat berdaya maju. Kenaikan gaji ini tidak mendatangkan kesan yang mendalam dalam percaturan bulanan untuk perbelanjaan keluarga. Apatah lagi menjelang musim perayaan dan permulaan persekolahan. Sungguh terasa terjerut leher!
Walau bagaimanapun kami bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada keluarga kami. Suasana terhimpit seperti inilah kami berusaha lebih kuat untuk mencari duit saku lebih. Aku terpaksa menerima tawaran editing manuskrip dari jabatan dan organisasi lain untuk menampung keperluan sampingan lain. Ada masa aku menulis artikel dan cerpen dan menghantarnya kepada penerbit untuk disiarkan dalam majalah. Suami pula bekerja lebih kuat bagi memastikan keseluruhan keperluan rumahtangga tidak terabai. Jika kenaikkan gaji kakitangan kerajaan diberikan dengan sewajarnya mengikut keperluan kenaikkan harga barang dan ekonomi semasa, aku kira dengan senang-lenang aku tak perlu lagi membuat kerja sampingan untuk mendapatkan duit simpanan.
Adik-adik aku yang lain pun tidak kurang hebatnya dalam mencari duit sampingan. Ada yang menjalankan perniagaan kecik-kecilan membuat dan menjual kek di pejabat. Ada yang bekerja dengan majikan lain selepas waktu pejabat. Lebih hebat lagi ada yang membuka perniagaan secara serius, membuka kedai dan menjalankan perniagaan secara 'online' bagi menampung kelangsungan hidup. Ini semua melambangkan gaji kakitangan kerajaan sebenarnya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan gaji kakitangan kerajaan negara seberang tambak.
No comments:
Post a Comment