Semakin hampir umat Islam menanti kedatangan Syawal, semakin galak petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi besar-besaran. Aku perhatikan semakin kerap mereka mengadakan sekatan jalan raya di tempat-tempat dan pada waktu-waktu yang tidak munasabah.
Kalau pasukan trafik atau PDRM melakukan Ops Sikap untuk memantau pemandu yang melebihi had laju dan mencegah kemalangan yang meragut jiwa, aku tak kisah sangat. Itu salah satu usaha mereka menurunkan kadar statistik kemalangan jalan raya. Yang aku kisah sangat apabila JPJ 'sibuk' membuat sekatan jalan raya hanya kerana nak saman kenderaan yang melakukan kesalahan nombor plat tidak menepati spesifikasi, masalah cermin gelap, penggunaan lampu putih dan yang paling mengejutkan baru-baru ini seorang teman disaman kerana rim tayarnya yang diklasfikasikan sebagai tidak mengikut kesesuaian kenderaannya.
Aku pernah ditahan kerana nombor plat diperbuat daripada material kaca/cermin. Kononnya hal tersebut tidak dibenarkan kerana mengundang silau kepada pemandu lain. Wajarkan aku disaman? Tidak ada satu garis panduan pun yang dihebahkan oleh pihak JPJ tentang spesifikasi nombor plat, peratusan pemasangan cermin gelap, klasfikasi spot rim, dan penggunaan lampu putih (HID). Laman web JPJ agak tidak mesra pengguna. Sukar untuk mencari maklumat tentang perkara-perkara tersebut (apa yang boleh, apa yang tak boleh). Apabila pemandu memasang cermin gelap dikatakan peratusannya tidak dibenarkan kerana terlalu gelap. Sebenarnya banyak kenderaan yang memasang cermin gelap ala-ala kenderaan Yakuza Jepun terutamanya bagi kenderaan mewah dan kepunyaan VVIP/VIP. Pernahkah JPJ mengambil tindakan terhadap spesis ini? Saya percaya mereka bertindak 'pilih kasih' dalam melaksanakan tugas rasmi mereka (tolonglah ketepikan agenda politik dalam hal yang melibatkan undang-undang).
Laman web JPJ popular kerana orang ramai mudah menyemak jumlah saman. Sebelum kena saman (atas apa juga kesalahan) tidak ada maklumat terperinci tentang Garis Panduan Nombor Plat/Cermin Gelap/Tayar Spot Rim dan Lampu HID. Aku lebih suka JPJ 'menyerbu' permis perniagaan kedai aksesori kenderaan yang menjual dan memasang aksesori kenderaan sesuka hati mereka. Mungkin mereka pun tidak dimaklumkan dengan garis panduan JPJ, jadi sewenang-wenangnya mereka menjual dan memasangnya. Mereka terima untung, pemilik kenderaan terima bencana.
Masa nak raya inilah petugas JPJ semakin galak mencari 'side income' bagi mengisi Tabung Kecemasan mereka kerana pada hari-hari lain mereka nampaknya sekadar memeriksa dan memantau cukai jalan 'hidup atau mati'. Apa kata, mereka (penguat kuasa) JPJ diberi cuti raya yang lebih panjang daripada petugas JPJ di bahagian kaunter dan pentadbiran? Biarkan mereka bergembira bersama-sama ahli keluarga. Mereka pun manusia biasa yang sebenarnya bukan suka pun dikerah bekerja pada hari raya.
Salam Aidilfitri...maaf zahir dan batin JPJ!
2 comments:
hahaha..ai likeee..
(y)ko..apa je yg tak likeee???
Post a Comment