Pages

Monday, April 25, 2016

Kisah Zarin - Bahagian II

Homeschooling

Aku berusaha menyediakan jadual untuk Zarin belajar di rumah. Rutin hariannya bermula seawal subuh. Bersiap-siap awal pagi untuk aku hantar dia ke rumah mak mentua aku. Bas sekolah agama akan mengambil Zarin pergi dan balik ke sekolah agama pada pukul 10.00 pagi. Zarin akan pulang dari sekolah agama pada pukul 12.00 tengah hari.

Kebiasaannya dia akan berehat (solat Zuhur dan makan tengah hari) di rumah nenek, memandangkan tiada sesiapa di rumah kami kerana anak-anak lain ke sekolah dan tiga yang terakhir aku hantar ke rumah pengasuh.

Zarin, akan belajar mengemas rumah nenek selesai solat dan makan tengah hari. Dia suka persekitaran yang kemas dan bersih. Usai semuanya dia akan mulakan latihan Matematik atau Penulisan (Melayu dan Inggeris) yang telah aku tetapkan. Pada sebelah petang Zarin akan keluar bermain. Dia akan ikut nenek ke kebun untuk belajar berkebun (gardening). Kalau cuaca terlalu panas atau hujan, biasanya nenek tidak membenarkan Zarin ke kebun, bimbang dia akan demam atau tak tahan panas. Waktu itu akan digunakan Zarin untuk melukis. Zarin, pandai berkebun. Memetik sayur, mengenal jenis tanah, mengenal tumbuh-tumbuhan, membuat baja kompos dan sebagainya. Ya, itu juga salah satu proses pembelajaran.

Pada sebelah malam aku bantu Zarin menghafal ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuannya. Jika tidak pun aku pantau dia menghafaz doa-doa dalam solat. Pada masa yang sama aku semak latihan Matematik dan Penulisannya.

Aku cuba daftarkan Zarin ke Kelas Art and Design untuk kanak-kanak (tanpa pengetahuan suami). Aku tidak dapat bertahan lebih lama memandangkan kosnya terlalu tinggi iaitu sekitar 800.00. Kukira tidak berbaloi dengan usianya yang masih kecil. Begitu juga dengan kos kelas Phonetic English yang mencecah 3,600.00 (60 kali kelas) sahaja. Aku gagal bertahan untuk meneruskannya kerana pencapaiannya tidak memberangsangkan dan tidak berbaloi dengan harganya. Akhirnya aku sendiri yang mengajar Zarin di rumah.

Pihak PPD nampaknya tidak bersetuju dengan penjadualan homeschooling Zarin. Aku disaran untuk menghantar Zarin semula ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan formal supaya dia dapat bergaul dengan rakan sebaya yang lain. Buat masa ini aku masih memikirkan jalan terbaik untuknya.

Waallahualam...

Tuesday, April 19, 2016

Kisah Zarin

Sudah dua bulan Zarin enggan ke sekolah. Sudah bermacam-macam usaha aku ikhtiarkan agar dia menjadikan sekolah sebagai satu ruang yang paling dia suka. Tidak berjaya! Tapi aku sebagai ibu sama sekali tidak mahu mengalah dengan keadaan. Perkara ini nampak kecil tetapi impaknya sangat besar. Perbincangan dengan pihak sekolah, dengan atuk dan nenek Zarin dengan suami semuanya menemui jalan buntu. Zarin masih enggan ke sekolah.

Punca keengganan dia ke sekolah bermula daripada sikap seorang guru Matematik yang garang. Dia dimarahi gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah. Dia salahkan guru kerana cepat sangat padam soalan di papan putih menyebabkan dia ketinggalan menyalin soalan. Saya salahkan Zarin kerana dia lambat menyalin. Dia tak mengaku kesilapannya kerana menyalin bukan sesuatu yang dia suka. Buku latihan Matematik sedia ada dengan soalan Matematik yang cikgu beri di papan putih tidak ada beza. Kenapa mesti disalin semula? Itu kata Zarin. Aku katakan kepadanya proses menyalin mungkin salah satu cara galakan mencantikkan tulisan murid. Alasan itu disangkal dengan pendapatnya. Lebih baik menulis karangan atau cerita untuk latihan mencantikkan tulisan. Ok. Ibu mengalah!

Perbincangan dengan pihak sekolah sama sekali tidak membantu usaha menempatkan Zarin ke sekolah semula. GPK gagal, guru kelas gagal, guru kaunseling gagal, guru besar langsung tak ambil peduli. Ok, aku pasrah! Zarin wajar ditempatkan ke sekolah lain. Aku ke PPD bagi urusan pertukaran sekolah. Nasib tidak menyebelahi aku untuk berurusan dengan cepat kerana beberapa kerenah birokrasi. Sebulan menunggu keputusan kekosongan sekolah baharu. Aku berulang alik ke sekolah-PPD-sekolah-PPD sehinggalah akhirnya aku 'penat' dan give up!

Puas berusaha dan berdoa, suatu hari Allah pertemukan aku dengan beberapa insan yang mendorong aku untuk melaksanakan homeschooling! Yessss!!!! Allah datangkan ilham kepada aku untuk post tentang homeschooling di status FB. Kesannya, aku menerima beberapa pendapat dan pandangan positif rakan-rakan FB tentang homeschooling. Ya, tidak kurang juga komen yang memberi kencaman!

Bersambung...