Homeschooling
Aku berusaha menyediakan jadual untuk Zarin belajar di rumah. Rutin hariannya bermula seawal subuh. Bersiap-siap awal pagi untuk aku hantar dia ke rumah mak mentua aku. Bas sekolah agama akan mengambil Zarin pergi dan balik ke sekolah agama pada pukul 10.00 pagi. Zarin akan pulang dari sekolah agama pada pukul 12.00 tengah hari.
Kebiasaannya dia akan berehat (solat Zuhur dan makan tengah hari) di rumah nenek, memandangkan tiada sesiapa di rumah kami kerana anak-anak lain ke sekolah dan tiga yang terakhir aku hantar ke rumah pengasuh.
Zarin, akan belajar mengemas rumah nenek selesai solat dan makan tengah hari. Dia suka persekitaran yang kemas dan bersih. Usai semuanya dia akan mulakan latihan Matematik atau Penulisan (Melayu dan Inggeris) yang telah aku tetapkan. Pada sebelah petang Zarin akan keluar bermain. Dia akan ikut nenek ke kebun untuk belajar berkebun (gardening). Kalau cuaca terlalu panas atau hujan, biasanya nenek tidak membenarkan Zarin ke kebun, bimbang dia akan demam atau tak tahan panas. Waktu itu akan digunakan Zarin untuk melukis. Zarin, pandai berkebun. Memetik sayur, mengenal jenis tanah, mengenal tumbuh-tumbuhan, membuat baja kompos dan sebagainya. Ya, itu juga salah satu proses pembelajaran.
Pada sebelah malam aku bantu Zarin menghafal ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuannya. Jika tidak pun aku pantau dia menghafaz doa-doa dalam solat. Pada masa yang sama aku semak latihan Matematik dan Penulisannya.
Aku cuba daftarkan Zarin ke Kelas Art and Design untuk kanak-kanak (tanpa pengetahuan suami). Aku tidak dapat bertahan lebih lama memandangkan kosnya terlalu tinggi iaitu sekitar 800.00. Kukira tidak berbaloi dengan usianya yang masih kecil. Begitu juga dengan kos kelas Phonetic English yang mencecah 3,600.00 (60 kali kelas) sahaja. Aku gagal bertahan untuk meneruskannya kerana pencapaiannya tidak memberangsangkan dan tidak berbaloi dengan harganya. Akhirnya aku sendiri yang mengajar Zarin di rumah.
Pihak PPD nampaknya tidak bersetuju dengan penjadualan homeschooling Zarin. Aku disaran untuk menghantar Zarin semula ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan formal supaya dia dapat bergaul dengan rakan sebaya yang lain. Buat masa ini aku masih memikirkan jalan terbaik untuknya.
Waallahualam...
No comments:
Post a Comment