Pages

Friday, August 29, 2008

Cintai Budaya Cintai Bangsa

Sepanjang bulan Julai dan Ogos, Johor Bahru dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan. Daripada Festival Teater hinggalah ke Festival Zapin Nusantara, kesemuanya mengundang kemeriahan yang bukan kepalang.
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) juga tidak ketinggalan menyelitkan sebuah teater hebat yang mengetengahkan tentang kesenian tarian reyok atau lebih dikenali sebagai kuda kepang. Teater tersebut bertajuk 'Roh Semberani'. Menelusuri sejarah awal reyok di Tanah Jawa yang mengisahkan tentang Bujang Ganong dan Joko Kelono yang merantau dari Negeri Kediri dan Ponorogo untuk menuntut ilmu persilatan. Daripada kegagahan dan kesaktian dua orang putera raja yang menyamar sebagai rakyat biasa inilah dikatakan bermulanya permainan kuda kepang. Perlakuan kuda kepang ditiru daripada aksi Bujang Ganong, putera Raja Ponorogo dari Jawa Timur yang mengalahkan Singo Barongan. Singo Barongan merupakan haiwan ganas yang mendiami hutan Roban di pinggir Negeri Kediri yang banyak membaham rakyat jelata negeri itu.
Malaysia sangat bertuah kerana memiliki pelbagai khazanah seni dan budaya. Antara yang unik tentang Malaysia ialah keindahan, kelembutan dan warna-warni seni tarinya. Tarian kuda kepang, barongan dan zapin begitu sinonim dengan Hujung Tanah, walaupun asal-usul tarian tersebut bukanlah dari negeri Johor. Disebabkan penghijrahan masyarakat Jawa dan Arah ke sini, lama-kelamaan tarian tersebut semakin dekat dengan jiwa masyarakat setempat.
Sekalipun DBPWS cuba mengangkat budaya mencintai seni dan budaya, masih ada segelintir masyarakat setempat yang enggan memberi sokongan apatah lagi memperjuangkan seni ini. Generasi muda tidak melihat perkara ini sebagai satu warisan yang harus dipelihara daripada terus pudar ditelan zaman. Sekalipun arus teknologi moden semakin menguasai jiwa mereka, tidak sepatutnya legasi nenek moyang ini dilupakan. Inilah yang dilakukan oleh DBPWS dalam usaha memelihara sekali gus memartabatkan seni budaya Melayu.

Jika Nikaragua terkenal dengan tarian baile folklovico, Brazil dengan tarian samba, Turki pula dengan tarian cakalele, dan China dengan tarian singa, bangsa Melayu juga harus berani mempertahankan seni budayanya yang unik dan tersendiri. Seni budaya ini harus dipertahankan oleh bangsanya sendiri. Tiada bangsa lain yang akan mengambil inisiatif memperteguh kesenian bangsa lain.

Wednesday, August 27, 2008

Surat dari Jepun

Semalam suami aku dapat surat (airmail) dari Jepun. Zulfa meluru bila posman datang hantar surat. Bila nampak surat dari Jepun, dia beritahu kat abangnya Zafri...'ada setem pelik, mesti bukan setem Malaysia'. Bila Zafri tengok, dia gembira bukan kepalang! Surat dari Jepun! Tapi malangnya surat tu bukan untuknya, untuk ayahnya. Bila tengok FROM, Zafri kata...'Cik Wan bagi ayahlah...' (kecewa betul dia, sebab tak dapat buka surat tu). Nak tunggu si ayahnya balik....dekat pukul 8.00 malam baru muncul depan pintu rumah. Lepas tu, dia macam terlupa tentang surat tu, sebab dah tergesa-gesa nak pergi mengaji. Balik mengaji, ayahnya ajak ke Setia. Dia lupa lagi tentang surat dari Jepun tu. Bila sampai Setia, seteleh selesai semua kerja sekolahnya, baru dia teringat semula. Dia minta aku ingatkan dia yang setem Jepun tu dia nak simpan untuk menambahkan lagi koleksi setemnya yang semakin melambak-lambak. Ah, Zafri pun...bukan ingat sangat kat Cik Wan...dia lebih ingatkan setem Jepun tu daripada Cik Wan dia.

Monday, August 25, 2008

Intan at Discovery Science Center


Waa..wahh..waahh..Intan....Seronok betul tengok gambar-gambar Intan anak beranak di Discovery Science Center. Macam-macam angle yang menarik dapat aku tatap. Pusat Sains di LA jauh beza dengan Pusat Sains di Malaysia. Jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan keadaan di Malaysia. Aku belum sempat lagi bersembang dengan Intan di YM, untuk mendapatkan gambaran sebenar di sana. Tapi apa yang diperhatikan, anak-anak Intan, Harith dan Hanna bukan main excited dapat berada di sana. Gambar-gambar lain sepanjang trip ke sana juga agak menarik perhatian aku, terutamanya gambar suasana jalan raya di sana yang jauh lebih luas, bendera USA terpampang di lebuh raya, bangunan serba moden...aahh...macam-macam lagilah! Bila ntah agaknya nak menjejakkan kaki ke sana?

Friday, August 22, 2008

Trip To LA


Semalam aku cuti sakit. Bila naik office hari ni, dapat e-mel daripada teman baikku, Intan. Oh, Intan ada send photo album! Intan ada bagitahu aku, yang dia sekeluarga akan berada di LA, sehingga akhir tahun ini. Maknanya, berhari raya di LA lah Intan tahun ni. Aku tumpang gembira dengan kebahagiaan Intan. Seronok melihat gambar-gambar terbaharu Intan sekeluarga. Mesti peluang tinggal di sana akan digunakan sebaik mungkin. Aku masih menantikan gambar-gambar lain daripada Intan di LA. Mungkin ada gambar menarik jika dia sempat ke Disneyland, Beverly Hills, dll.

Tuesday, August 19, 2008

Bengkel Pemindahan Tesis kepada Buku


Tiga hari berturut-turut Bengkel Pemindahan Tesis kepada Buku berlansung dengan jayanya. Keseluruhan peserta yang mengambil bahagian ialah seramai 40 orang. Bengkel 3 hari ini dibantu oleh dua rakan sekerja iaitu Melinda dan Bahktiar. Terima kasih yang tidak berhingga kepada mereka berdua yang sangat komited dalam melaksanakan tugas di luar waktu pejabat. Sebagai Pengurus Projek, aku sangat berpuas hati dengan slot bengkel yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd. Adnan. Peserta juga mengambil bahagian dalam semua slot bengkel. Persembahan hasil bengkel sangat menggalakkan. Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada pensyarah dan pelajar IPTA dari UTM, IPTI, MMU, KUIS, POLITEKNIK, Maahad, dan pegawai-pegawai penerbitan di JAIJ dan MAIJ. Banyak tajuk tesis yang diperoleh dan akan dibuat susulan untuk memantau tesis mereka yang terpilih, untuk diterbitkan.

Friday, August 15, 2008

Indahnya Kagoshima




Indahnya Kagoshima. Seronok bila dapat gambar Amni dan Anis. Seronok dapat tengok kampung halaman Wan. Tercapai hajat Amni nak tinggal di rumah Totoro (kartun kegemarannya). Cantiknya Kagoshima.
Rindu juga bila tengok wajah Amni dan Anis. Adik kata, semalam dia berbual dengan Amni di phone. Macam dekat sangat Malaysia-Jepun. Amni mesti dah tak ingat nak balik rumah nenek. Anis mesti dah lupa Adik kalau tinggal lama di Jepun. Bila adik datang rumah Setia, mesti dia menjeling rumah Cik Wan. Kadang-kadang lampu terpasang, kereta Cik Wan pun ada kat depan rumah. Seolah-olah macam Cik Wan dan Cik La ada depan mata. Tapi Adik tak berani nak singgah, apatah lagi nak menjengoknya, sebab Adik tahu, bukan Cik La yang ada kat situ. Sabarlah dik...tunggu 3 tahun lagi, nanti baliklah Cik La, Adik tu...

Thursday, August 14, 2008

Anugerah


Alhamdulillah, baru-baru ini aku dimaklumkan tentang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang bakal dianugerahi kepadaku daripada organisasi tempat kubekerja. Inilah berkat doa dan rezeki anak-anak. Dalam apa jua pekerjaan yang aku lakukan, aku mahukan yang terbaik. Tahun lepas, apabila buku yang aku tangani dinobatkan sebagai Buku Terbaik (kategori Remaja), aku cukup bersyukur. Sekurang-kurangnya penat bekerja menghasilkan produk untuk organisasi ini tidak terasa. Malahan, menjadi motivasi untuk aku terus menghasilkan kerja yang lebih baik. Bercakap tentang APC, aku tidak fikir aku begitu cemerlang dalam organisasi ini, kerana setiap tahun aku bekerja dengan hasil kerja yang sama. Tahun-tahun lepas, ada juga hasil kerjaku yang lebih cemerlang, tetapi tidak mendapat pengiktirafan. Bila aku rasa, hasil kerjaku statik...ada pula pengiktirafan seumpama ini. Apa pun, kerja tetap kerja. Selagi belum capai umur persaraan wajib (sasaran 58 tahun), aku akan bekerja dengan penuh dedikasi. Apa-apa yang dipelajari dalam Training ESQ, akan dipraktikkan dalam kehidupan.

Tuesday, August 12, 2008

Sukan Olimpik



Hari ini masuk hari ke-4 kontinjen Malaysia berkampung di Beijing, sempena Sukan Olimpik yang ke-29 bermula 8 Ogos 2008 yang lalu. Tadi, aku baca akhbar hari ini, pungutan pingat semakin meningkat. Negara-negara jiran kita seperti Thailand dan India masing-masing telah menggondol sebutir pingat emas. Cemerlangnya mereka. Kalau atlit Malaysia, sah-sah 1 juta dalam tangan apabila pulang ke tanah air. Indonesia juga telah tersenarai dalam negara yang berjaya memungut pingat. Gangsa pun gangsalah...Mana ntah kilauan emas daripada atlit Malaysia... Harapan disandarkan kepada atlit badminton. Mereka boleh buat kejutan. Tunggu dan lihat. Harap-harap mereka tidak goyah dengan kehandalan pemain China selaku tuan rumah. Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan yang terbaik daripada mereka.


Oh, ye...sebut tentang Beijing, teringat akan aku pengembaraan ayahanda ke Beijing dengan teman-teman seangkatan dengannya pada 1998 (kalau tak silap). Balik dari Beijing ayah tunjukkan gambar menarik yang diambil di sana, termasuklah gambar di bawah sepohon pokok gergasi yang kuamat-amati...sangatlaahhh besar! Aku tanya ayah, apa nama pokok tu. Ayah gelak dan ayah kata, sesiapa yang berpeluang berteduh di bawah pokok gergasi ni, akan bertuahlah badan, sebab bakal berkahwin lagi...Lepas tu ayah ketawa lagi. Aku pun ketawa juga (sebab bagi aku, tak kan ayah nak kahwin lagi kot???). Merepek sungguh ayah yang ketika itu hampir mencecah usia persaraan, berhajat nak kahwin lagi. Tapi...gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan, apabila ayah disahkan bernikah satu lagi dengan seorang janda beranak dua. Aduhai...ayah, oh ayah! Mungkin bukan kerana pokok tu, tapi dah memang ditakdirkan mak aku akan bermadu...maka bermadulah jawabnya. Kalau dah jodoh ayah dengan mak janda tu, berteduh bawah pokok pisang pun, perkara tersebut tetap berlaku.


Apa pun, doa harianku sering dipanjatkan untuk ayah dan mak. Semoga gembira dengan kehidupan hari ini.

Monday, August 11, 2008

Seminggu Berlalu


Seminggu empat hari Ila dan Wan serta anak-anaknya terbang ke Jepun, meninggalkan Hujung Tanah ini. Semasa mereka di Tokyo, kami sempat bersembang di YM. Katanya Jepun dilanda hujan saban hari. Macam tak ada beza cuaca dia Jepun dengan Malaysia. Bila Wan selesai orientasi, mereka berangkat ke Kagoshima, tempat Wan akan berkhidmat. Rindu sungguh dengan Amni dan Anis. Bila mereka tak ada, memang terasa 'kehilangan' sangat. Dah tak berapa meriah seperti dulu. Anak-anak aku pun dah semakin bosan sebab tak ada teman nk ajak 'berkelahi'. Minggu lepas, mereka sibuk nak ke rumah opah. Sampai di rumah opah, bosan jugak sebab Didi tak ada (adik bongsu aku)-ke Langkawi. Mereka sibuk nak ke rumah Pak Ngah Zack. Nak main dengan anak-anak Pak Ngah Zack. Aku hantar mereka ke Nusa. Nampak sangat kebosanan sedang melanda anak-anak aku.
Minggu depan, dah masuk musim cuti sekolah...pasti lebih membosankan kalau aku tak mengatur sebarang aktiviti untuk mereka.

Satu Percubaan



Akhirnya berjaya juga membina blog sendiri.

Dah lama sebenarnya mengidam membina blog sendiri supaya dapat berkongsi isu semasa dengan para pelayar internet yang lain. Selalu sangat masa menjadi penghalangnya. Tapi, bila difikir-fikirkan semula, masa tak boleh dipersalah. Tuhan peruntukan 24 jam sehari untuk hambanya... Masakan dalam tempoh tersebut tiada seminit dua untuk dipertingkatkan dalam hidup? Waktu rehat di pejabat aku gunakan untuk membuat catatan ini.