Pages

Friday, February 20, 2009

Disiplin Pelajar Semakin Runcing

Beberapa hari kebelakangan ini, sering terpapar di dada akhbar tentang masalah disiplin pelajar yang semakin gawat. Hampir setiap hari, ada sahaja berita tentang pelajar dipukul rakan sendiri, kes pelajar diugut sesama mereka, kes perlakuan seks sesama rakan sekolah, dan yang terbaharu, kes pelajar membakar kereta guru. Semua ini gara-gara ketidakpuasan hati pelajar terhadap pihak sekolah dan guru yang mengajar. Pelajar sekarang dah semakin berani memukul guru. Mereka tidak lagi menganggap guru itu sebagai rakan, teman berbincang, orang yang lebih tua, atau sekurang-kurangnya seseorang yang boleh berkongsi masalah.

Aku dulu pun, nakal juga. Pernah berkali-kali dibantai cikgu. Lagi-lagi Cikgu Krishnan (ntah mana ntah Cikgu Krishnan sekarang). Cikgu Krishnan mengajar subjek Matematik di sekolah. Aku sering dibantai sebab gagal menjawab soalan dengan betul. Beliau sering menguji pelajar-pelajar menyelesaikan masalah Matematik di papan hitam. Bukan aku seorang yang kena bantai. Hampir semua rakan-rakan sekelasku yang menerima nasib yang sama. Namun, kami tidak pernah menyimpan dendam terhadapnya, malahan berasa hormat dan takut dengan kehadirannya. Di luar kelas, Cikgu Krishnan masih seorang yang tegas, tetapi mesra dengan pelajarnya. Dia juga jurulatih hoki pasukan sekolah. Sewaktu menjalani latihan hoki, beliau tidak pula menjadi 'kaki pukul'.

Aku pernah dimarahi seorang ustaz (semasa belajar di Sekolah Agama Bandar Segamat). Hanya gara-gara aku membaca buku kegemaranku 'Tidurlah Intan' di dalam kelas semasa mata pelajaran Sirah. Ustaz Hassan sebenarnya kawan baik ayahku. Tapi, dia tidak memilih kasih dalam mengajar anak-anak muridnya. Sekalipun aku ini anak kawan baiknya, aku tetap dirotan kerana membaca buku yang tiada kaitan dengan mata pelajaran Sirah. Buku kesayanganku dirampas. Aduhaiii...sedihnya. Aku tidak pula ambil hati dengan tindakannya. Cuma, aku telah memasukkan sebiji pisang di dalam saluran ekzos motosikalnya. Akbibatnya, petang itu selepas habis waktu sekolah, Ustaz Hassan terpaksa menyorong motosikalnya hingga ke rumah kerana motorsikalnya tak boleh dihidupkan. Aku tersengeh apabila melihat Ustaz Hassan berpeluh-peluh menyorong 'kuda tuanya' yang berat itu. Sesampai di rumah, aku menceritakan hal tersebut kepada ayah. Ayah ketawa berdekah-dekah. Heheheheee... Manis sungguh kenangan silam!

Kenangan alam persekolahan terlalu indah. Dimarahi dan dirotan guru merupakan nostalgia yang menyeronokkan. Sungguh istimewa! Aku tak pernah melupakan jasa mereka. Sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka, sehingga kini.

Friday, February 13, 2009

Apabila Anak Sudah Terlebih Pandai

Baru-baru ini aku menghabiskan sedikit waktu untuk membuat rawatan rambut, sekali gus menukar imej rambut baru. Setibanya di rumah, aku menggayakan rambut baru di hadapan cermin. Dengan imej baru, aku semakin suka 'bermain-main' dengan rambut. Nampak lebih bergaya (sekalipun hanya untuk di rumah sahaja). Disebabkan taksub dengan rambut baru, aku lupa memakai tudung semasa keluar dari rumah untuk mengangkat kain baju di ampai. Tiba-tiba anak sulungku menjerit "ibuuu!!! Tudung mana? Berdosa, nampak aurat!"

Alamak! Bertuah punya anak! Suaranya saja dah sebatu kedengaran. Mujurlah tiada jiran tetangga yang lalu lalang. Aku segera masuk semula untuk mendapatkan tudung, dan sempat aku memjawab "lain kali, jangan jerit-jerit kalau nak sound orang!" Dia menjawab balik, "Cikgu kata, kalau perempuan keluar rumah tak pakai tudung, bila orang lelaki nampak, nanti berdosa!" Aaaaiiiseymen....aku menepuk dahi! Inilah satu-satunya 'jejaka tampan' yang selalu mengingatkan aku tentang dosa pahala.

Pagi tadi pula, semasa bersiap-siap hendak keluar ke pejabat, si sulung menerjah masuk bilikku (macam biasalah...nak pastikan aku bersiap awal supaya dia tidak kelewatan ke sekolah). Aku pula sedang memakai girdle dan korset. Si sulung bersuara "selesa ke, bu?" "mestilah selesa, kalau tak selesa, tak kan ibu nak pakai," jawabku. "Cikgu kata, pakaian orang Islam mesti selesa, tak ketat dan tak jarang. Ni, ibu pakai ketat-ketat ni, tak apa ke?" (Eh, budak ni...). Aku menarik nafas dalam-dalam..."Yang ketat sebelah dalam je. Bila ibu pakai baju kurung, dah tak nampaklah ketatnya...," aku menjawab sambil membesar-besarkan biji mata. Bukan nak marah, tapi terkesima kerana si anak dah pandai 'mengajar'. Dan yang paling aku tak berapa berkenan, dia suka menggunakan frasa 'cikgu kata'. Sikit-sikit 'cikgu kata'...sikit-sikit 'cikgu kata'.

Besar sungguh kuasa yang ada pada seseorang yang bergelar guru. Semua yang diperkata oleh sang guru, baginya betul belaka dan wajib dituruti! Kadang-kadang, bila aku mengajar dia membuat kerja sekolah pun, dia tak begitu setuju. Sebab, cikgu kata lain, aku kata lain. Dia lebih akur dengan ajaran gurunya, walaupun ajaran itu agak 'sesat' sedikit (lagi-lagi dalam subjek bahasa Melayu). Apa saja yang keluar daripada mulut cikgu, semuanya benar-benar belaka! Pening juga aku dibuatnya. Inilah kesan dan akibat apabila si anak sudah terlebih pandai (terlebih sudah...).

Apa pun, aku tetap bersyukur kerana si anak ini agak mendengar kata (lebih-lebih lagi kata gurunya). Di sekolah memang dia pendengar yang setia, tapi di rumah...kesetiaanyanya kadang-kadang rapuh juga!

Wednesday, February 11, 2009

Jualan Amal: Tabung DBP untuk Gaza ( 2 )

Kanak-kanak turut serta menyumbang.
Meriah sunggug gerai BAKWIS.
Terima kasih warga Singapura!
Eeemmm...sedapnya kek ni. Sebiji RM50.00! Demimu Palestin!
Alhamdulillah, usaha pihak BAKWIS mengadakan jualan amal pada 9 Februari 2009 di Danga Bay mendapat sambutan menggalakkan. Jualan dibuka seawal 10.30 pagi. Belum pun selesai kami menyusun atur barang-barang jualan, sudah ada penderma. Penderma pertama (yang enggan namanya disiarkan) merupakan seorang kaki tangan kerajaan yang membeli 30 buku nota dengan harga RM100.00. Semangat kami semakin berkobar-kobar, menjelang tengah hari. Waktu makan tengah hari dipenuhi remaja yang 'melepak' di Danga. Satu ringgit mereka amat bernilai kepada kami.

Antara barang yang boleh diperoleh di gerai BAKWIS ialah pakaian terpakai, t-shirt, kasut, cenderamata, aneka kek, aneka buah-buahan, makanan ringan, buku lama dan majalah lama.

Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh ahli BAKWIS yang saling bekerjasama menjayakan program amal ini. Terutama kepada Rizal yang mengusahakan tabung derma, tanda nama, gegantung dan pamplet. Shahrur yang berjaya mendapatkan penaja lori bagi tujuan logistik, Norasiah, Faizah, Siti Hajar, dan Melinda yang bertungkus-lumus membuat kek, makanan ringan, dan buah-buahan. Terima kasih juga kepada Syuhada dan Sheila yang menjual surat khabar lama sehingga berjaya memperoleh RM100.00. Terima kasih juga kepada syarikat Dwi Imej Sdn. Bhd. yang menaja cup cake dan chocolate cake. Sedap! Laris!
Kepada penyumbang lain yang tidak dapat disenaraikan namanya di sini, terima kasih atas sumbangan kalian. Allah sahaja yang dapat membalas jasa anda semua. Jangan lupa...14hb ini kita 'berkhemah' lagi di sana!

Friday, February 6, 2009

Jualan Amal: Tabung DBP untuk Gaza

Salam...
Kepada pembaca blog yang bermastautin di sekitar Johor Bahru/Singapura/Melaka, anda dipelawa menyertai JUALAN AMAL bagi mengisi tabung Gaza. JUALAN AMAL ini merupakan anjuran Badan Kebajikan (BAKWIS) DBP Wilayah Selatan.

Kepada sesiapa yang ingin turut serta menjual barangan peribadi, makanan, buku, majalah, barang terpakai, dan apa saja yang difikirkan sesuai, sila ke gerai DBP di Festive Street Mall, Danga Bay pada 9 dan 14 Februari 2009 pada pukul 10.00 pagi untuk menyerahkan barang-barang jualan kepada pihak BAKWIS. Atau hubungi saya untuk saya ambil barang jualan tersebut sebelum 9 Februari 2009. Jualan akan berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam.

Hasil kutipan akan diserahkan ke Tabung Gaza di peringkat nasional, yang dikendalikan oleh pihak NSTP.

*3 perkara yang dinilai amalannya setelah seseorang itu meninggal dunia ialah, ilmu yang ditinggalkan, sedekah jariah dan anak-anak yang soleh yang mendoakannya.

Tuesday, February 3, 2009

Laryngomalacia???

Kuanggap ini satu dugaan Allah yang mempunyai hikmat nak nikmat yang tersendiri. Pada 30 Januari 2009, Zarin disahkan mempunyai permasalahan rawan tekak. Segalanya bermula apabila aku dan suami menyedari sesuatu yang aneh ketika Zarin menyusu, baring dan tidur. Zarin seolah-olah berdengkur. Kadang kala bunyinya kuat, kadang-kadang perlahan. Peliknya apabila Zarin tidur mengiring, atau ketika mandi (terlentang), bunyi itu tidak pula kedengaran.

Dr. Zu (adik ipar) yang datang ke rumah, telah melakukan pemeriksaan terhadap Zarin. Pada 2 Februari 2009, Zarin dirujuk kepada pakar ENT untuk mengesahkan masalahnya. Pada awalnya, aku berat hati untuk membawa Zarin ke hospital, apatah lagi apabila aku membayangkan rawatan yang akan dilakukan terhadap Zarin kelak. Namun, setelah memikirkan baik buruk masa depan Zarin, akhirnya aku akur dengan ketegasan Dik Zu. Akhirnya laporan rasmi dikeluarkan oleh Dr. Aizaq (suami Dik Zu) untuk mempertemukan kami dengan pakar ENT.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap Zarin, akhirnya Dr. Wong (pakar ENT) mengesahkan bahawa Zarin mempunyai laryngomalacia. Pada mulanya aku memang tidak faham langsung tentang laryngomalacia. Menurut keterangan pakar, laryngomalacia sejenis rawan yang wujud di dalam tekak, seperti cyst. Biasanya dialami oleh kanak-kanak yang baru lahir. Rawan yang lembut itu telah menutup sedikit saluran penafasannya dan dia seolah-olah berdengkur. Laryngomalacia juga boleh dianggap seperti sleep disordered. Zarin tidak memerlukan sebarang rawatan lanjut mahupun ubat-ubatan khusus kerana usianya baru menjangkau 2 bulan. Apa yang perlu dilakukan, bagi mengurangkan bunyi yang keluar dari tekaknya itu ialah, menidurkan dia secara mengiring (ke kanan). Itu sahaja.

Mujur juga Zarin masih boleh menyusu dengan baik dan aku tahu dia kenyang dengan susu yang diberi. Dan, mujur juga Zarin masih boleh bernafas dengan sempurna dan normal (tidak termengah-mengah). Inilah dugaan. Aku semakin sabar. Semakin menyayanginya. Semakin kuat semangat. Berfikiran positif. Lebih mendekatkan diri dengan Allah. Allah menduga hamba-Nya dengan dugaan yang mampu ditanggung oleh hamba-Nya. Ya, aku percaya!

Di luar sana, masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu yang mempunyai anak kecil, lebih dahsyat daripada yang aku alami. Aku pasti, hanya insan yang dipilih oleh Allah sahaja yang menerima dugaan seperti ini. Mudah-mudahan Zarin cepat sembuh, dan membesar dengan sempurna. Amin...

Monday, February 2, 2009

Bicara Herba: Khasiat Cekur

Kali ini saya ingin berkongsi tentang rahsia cekur dengan pembaca sekalian. Cekur berbentuk seperti kunyit tetapi berwarna coklat kekuning-kuningan. Sering kali dijadikan perencah dalam hidangan masakan Melayu seperti ayam masak pecal. Bagi mereka yang sering menghidapi sakit perut, rebus beberapa biji cekur, dan minum airnya. Kalau malas nak rebus, kunyah saja cekur yang muda.
Bagi ibu-ibu yang baru lepas bersalin, cekur yang dicampur dengan air asam dan diminum selama dalam pantang, berkhasiat untuk mengempiskan perut. Manakala bagi ibu-ibu yang mengalami kekurangan susu badan, bolehlah mengamalkan pemakanan cekur yang dicampur dengan kunyit dan pucuk betik untuk menambah susu badan. Tapi awas...! Rasanya amat pahit bagi yang tak suka makan herba. Selamat mencuba...